PERSOALAN NASIONAL
KEMANA DARI SINI
Minggu lalu saya telah bersurah tentang bagaimana Bani Melayu telah dipaksa dengan Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874. Bagaimana Alam Melayu dipecah perentah melalui Anglo-Dutch Treaty 1824 dan Anglo-Thai Treaty 1909.
Satu demi satu negeri di Semenanjung Tanah Melayu jatuh ke tangan kolonial Inggeris. Akhirnya Bani Melayu Semenajung juga telah dipaksa menerima kedatangan Bani China dan Bani India dari China dan Bharat. Mereka dibawa oleh kolonial Inggeris untuk dijadikan tenaga buruh.
Bani China untuk memburuh dilombong bijeh. Memburuh dipelabuhan. Bani India memburuh diladang getah milik Inggeris. Kedatangan dua bani ini telah mengubah badan polity Bani Melayu. Semenanjung Tanah Melayu tidak jadi tanah Melayu lagi.
Babak sejarah inilah yang menimbulkan persoalan nasional. Rentetan dari babak-babak inilah yang menimbulkan persoalan nasional yang saya cuba rungkai. Merungkai untuk mencari jalan penyelesaian.
Sebelum kita bertemu jalan penyelesaian adalah wajib untuk kita semua mengenali persoalan yang dihadapi. Saperti doktor, bomoh dan tabib - sebelum memberi ubat , jampai atau serapah - wajib diketahui hantu apa yang merasuk. Kuman mana yang menyerang. Virus apa yang menggigit.
Wajib saya nayatakan disini bahawa persoalan nasional yang saya timbulan pada tahuan 2017 ini bukan satu yang baru. Saya hanya mengulang buka. Saya hanya menokok tambah dengan pandangan dan pendekatan teori baru.
Apabila pencerahan sampai ke Tanah Melayu, apabila api suluh bacaan mula tersebar - kesedaran mula timbul dikalangan pemimpin Bani Melayu. Kolonial Inggeris memerlukan aparacik - tenaga tempatan untuk terus merampok harta kekayan tanah Melayu. Maka sekolah dibuka.
Untuk mewujudkan budak suruhan yang setia kepada penjajah - kolonial Inggeris telah mendirikan MCKK - Kolej Melayu Kuala Kangsar pada 1905. Untuk kaum tani Melayu ditubuhkan SITC - Sultan Idris Training College pada tahun 1922.
Dari sini kita mula melihat kelahiran kelompok politik dan kumpulan politik dan sosial.
Kesedaran siapa aku. Kesedaran dimana aku - muncul apabila bertemu dengan Yang Lain. Hakikat dan teorinya Yang Lianlah yang bertanggungjawab melahirkan kesedaran diri. Yang Lain jugalah yang melahiran jati diri. Yang Lain juga melahir semangat kesedaran berkelompok. Kelainan ini menimbulkan semangat nasional. Semangat nasionalis ini muncul mengembang kerana berhadapan dengan Yang Lain.
Sejarah merakamkan bahawa Parti Komunis Malaya (PKM) ditubuhkan pada 30 April 1930. Awas dan waspada tujuan asal PKM ialah untuk mempertahan dan membela hak kaum buruh Bani China di Tanah Melayu - terutama di wilayah industri dan pelabuhan Singapura. Hanya dikemudian hari PKM beralih dasar untuk memperjuangkan hak kaum buruh dan tani di Tanah Melayu.
Parti siasah anak bumi yang pertama lahir di Tanah Melayu ialah Kesatuan Melayu Muda (KMM) ditubuhkan pada tahun 1939. KMM lahir ketika gelombang api kebangkitan anak anak tanah jajahan sedang bangun melawan kuasa kolonial.
Di Asia, Afrika dan di Amerika Latin - anak tanah jajahan mula bangun untuk menghalau kuasa penjajah. Kuasa kolonial Inggeris, Itali, Peranchis, Portugis dan Sepanyol sedang dihambat.
Tahun-tahun empat puluhan ialah tahun kebangkitan nasionalisma diseluruh dunia. Di German - kerana tidak puas hati atas keputusan Perang Dunia Pertama telah membuka jalan membawa kelahiran Hitler. Sikap kolonial Inggeris yang mahu meminggirkan Jepun telah melahirkan Tojo dan kuncu-kuncu di Tokyo.
Di Tanah Melayu kita bertemu dengan Dr. Burhanuddin, dengan Ibrahim Yacob, dengan Ahmad Boestaman, dengan Ishak Muhamad, dengan Aishah Ghani, dengan Shamsiah Fakeh, dengan Ghafar Baba - antara lain.
Sosok-sosok ini menganggap diri mereka penerus perjuangan nasionalisma Melayu. Menganggap mereka menyambung perjuangan suci anti kolonial Dol Said, Tok Janggut, Tok Sagor, Maharaja Lela , Tok Bahaman, Rahman Lembong - antara lain
Tetapi - awas dan waspada - ketika ini nasionalisma Melayu berhadapan dengan Yang Lain.
Ini perbezaan hakiki antara zaman Dol Said atau zaman Tok Janggut dengan zaman Boestamam. Ketika Tok Janggut atau Tok Bahaman bangun berjuang - Yang Lain hanyalah Inggeris dan sepoi dan soldadu upahan dari India. Musuh dapat dilihat jelas. Amat senang mengarahkan mata keris dan tombak ke dada musuh.
Tetapi di zaman Buhanuddin, di zaman Boestamam nasionalisma Melayu berhadapan pula dengan Yang Lian - Bani China dan Bani India.
Apakah mereka Yang Lain ini musuh? Apakah mereka Yang Lain ini kawan? Ini adalah persoalan nasional dari dulu hingga ke hari ini yang masih belum mendapat jawapan tuntas untuk Bani Melayu.
Jika kita kaji maka kita akan dapati kehadiran Bani China dan Bani India ini sebenarnya telah membantutkan nasionalisma Melayu. Perjuangan anak tanah jajahan di Asia, Afrika dan Amerika Latin - semuanya menuntut kemerdekaan. Merdeka jugalah slogan dan laungan perjuangan KMM. Tetapi laungan merdeka KMM di Tanah Melayu tidak sampai ke penghujung yang tepat - not into its rightful conclusion.
Lihat bagaimana Bung Karno dengan bambu runcing telah melaungkan merdeka. Akhirnya Bung Karno berjaya membawa ribuan pulau-pulau dibawah bendera Pancasila. Negara bangsa Indonesia - Bhinneka Tunggal Ika - tegak berdiri pada tahun 1947.
Di Pilipina - Jose Rizal walau pun ke tali gantung tetapi laungan MERDEKA dan sajaknya Noli Me Tangere telah membakar semangat anak anak muda untuk bangun melawan Sepanyol dan Amerika. Nasionalisma Melayu Pilipina ini berjaya menyatukan ribuan pulau-pulau dalam satu negara bangsa yang akhirnya wujud pada 1946.
Di Tanah Melayu - laungan Merdeka ini tidak kompak. Yang menyahut laungann KMM hanya Bani Melayu. Kemana arah Yang Lain? Apakah mereka tidak mendengar laungan KMM?
Sejarah merakamkan bagaimana ketika KMM melaungakan - MERDEKA - Bani China dan India sibuk dengan perjaungan tanah asal usul mereka. Cinta mereka kepada Tiongkok masih tebal. Cinta mereka pada Bharat masih tebal. Kesetian kepada tanah Melayu nil, zero dam sifar.
Bani India di Tanah Melayu sibuk dengan politik Bharat. Pertempuran idealoji antara garis Mahatma Ghandi dengan Chandra Bose merebak ke Tanah Melayu. Manakala Bani China di Tanah Melayu sibuk mengumpul dana sama ada untuk Parti Komunis China yang dipimpin oleh Mao Zedong atau dana untuk Parti Kuomintang dibawah Cheng Kai-shek. Ketika ini Mao dan Cheng sedang bertempur.
Hakikatnya politik tanah asal usul masih membara tebal.
Apa yang saya tulis ini bukan surah dongeng dari Hishamuddin Rais. Ini fakta sejarah. Inilah yang telah membantutkan semangat nasionalisma Melayu hingga ianya gagal untuk menuju ke matlamat terakhir.
Unsur-unsur kesangsian Bani Melayu terhadap Yang Lain ini telah mula tertanam pada zaman kebangkitan nasionalisma Melayu. Apa yang berlaku dihadapan mata Bani Melayu menimbulkan soalan dimanakah kesetiaan Bani China dan Bani India? Apakah kepada Chandra Bose, kepada Ghandi atau kepada Cheng Kai-sheik atau kepada Mao Zedong.
Kemudian - lanjutan babak-babak sejarah akan merakamkan bagaimana kesangsian ini mula merebak dan mula membeku. Kesangsian yang membeku inilah melahirkan persoalan nasional.
Gelombang nasionalisma pada tahun-tahun sebelum perang Perang Dunia Kedua cukup rancak. Eropah bergolak. Ekonomi Amerika mengelombong sebelum meledak pada tahun 1929.
Di Tanah Melayu keadaan sama saperti politik kita hari ini - semuanya terpencar-pencar - terpisah-pisah. Kelompok A membantu kelompok A. Kaum buruh industri dari Bani China. Buruh ladang getah dari Bani India. Manakala Bani Melayu terus menjadi pesawah, peladang kecilan dan nelayan. Semua terpisah-pisah. Cukup molek untuk stratiji - pisah dan perentah.
Maka timbul pertanyaan - apakah ketika ini tidak ada fikrah rasional yang ingin mendobrak musuh yang satu - kolonial Inggeris? Apakah ketika ini tidak ada kesedaran bahawa musuh utama ketika ini ialah Inggeris. Apakah tidak ada Sang Pemikir yang memikirkan siapa musuh utama and siapa musuh kedua?
Jawabnya pasti ada. PKM walaupun mengumpul dana untuk Mao dan Parti Komunis China tetapi telah wujud kesedaran bahawa wajib diwujudkan satu garis politik yang tepat untuk Tanah Melayu.
Garis politik PKM ini telah cuba memimpin perjuangan pembebasan. PKM telah cuba membawa satu pendekatan baru. Mengikut ajaran Marx dan Engels kaum buruh ini tidak bertanah air. Dimana buruh memburuh disana tanah air mereka. Kaum buruh adalah internationalis. Dengan slogan - Kaum Buruh Bersatulah - PKM berharap masalah nasional ini dapat diselesaikan.
Sabar dahulu wahai kawanku. Tidak mudah ini. Masalah bani bani ini bukan semudah tulisan Karl Marx atau tulisan Mao Zedong yang mengajukan perjuangan kelas. Yang mengajukan semangat setikawan kelas. PKM berharap kesedaraan kelas akan melahir kesatuan bangsa-bangsa.
Yang tertindas bersatulah!
Slogan ini tidak mudah untuk dikotakan. Wujudiah insan memerlukan lebih dari kelas. Manakala dalam kes Bani Melayu kehadiran Yang Lain ini telah menimbulkan kesangsian. Kesangsian ini telah merebak dan mengenap
Kesangsian yang mengenap tenang ini telah menimbulkan PSYKIK MELAYU. Apa itu psykik Melayu? Tunggu minggu depan. (TT)
NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-30-45
-----------------
1 ulasan:
Semua nya dah di gadai kan
Ke LAUT saja lah macam LOLINGHYA nanti....
Melayu hanyut ke BANGLA pulak
Catat Ulasan