Selasa, 26 September 2017

NYAH NAJIB - SELAMATKAN KWSP






LAWATAN KERJA YANG TERSIRAT

 26 September 2017

Rancangan Najib untuk menangkis imej buruk yang terpalit ke atasnya oleh skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melalui lawatannya ke Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini kelihatan telah gagal.

Meskipun beliau mungkin sedar AS tidak akan menarik balik atau mengkaji semula siasatan jenayah ke atas salahguna dana wang 1MDB, namun andaian beliau bahawa pandangan umum rakyat akan lebih positif kepadanya amat meleset.

Komen-komen di media sosial dengan jelas menunjukkan kemarahan rakyat apabila video Najib menawarkan dana awam seperti KWSP, Khazanah dan MAS untuk membantu ekonomi Amerika Syarikat mula tular.
Malah menurut Rafizi Ramli, Naib Presiden KEADILAN, kemarahan itu tidak akan reda apabila lebih banyak maklumat terperinci mengenai lawatan tersebut mula sampai ke pengetahuan rakyat.

Antaranya ialah mengenai pelaburan KWSP di AS.  Najib memberi komitmen kepada Presiden Trump untuk membawa masuk wang rakyat Malaysia melalui pelaburan KWSP sebanyak USD 4 bilion (RM 16.8 bilion) di dalam projek-projek prasarana di sana. Namun selain tidak masuk akal untuk Malaysia membantu projek di AS sedangkan prasarana negara masih belum tahap negara maju, terdapat beberapa masalah dengan janji  itu.

Pertama, KWSP sebenarnya memohon supaya Najib mendapatkan persetujuan Presiden Trump agar KWSP diberi status “Tabung Pencen Luar Negara Berkelayakan” atau QFPF (“Qualified Foreign Pension Fund”). Ini akan membolehkan KWSP diberi pelepasan cukai bagi pelaburan di AS. Perkara ini tidak dinyatakan oleh  Najib, sebaliknya beliau telah mengumumkan keputusan bahawa KWSP akan melabur sehingga RM16 bilion tambahan di Amerika Syarikat.

Kedua, pengumuman itu bertentangan dengan peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan yang menghadkan pelaburan luar negara KWSP kepada 30% sahaja dari jumlah pelaburan keseluruhan.

Menurut Rafizi, setakat 22 Februari 2017, KWSP telah hampir mencecah had maksimum 30% pelaburan luar negara tersebut. Ini dakwanya sah menurut satu laporan oleh akhbar The Nation (akhbar Perdana Bangkok) yang memetik temuramah dengan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Shahril Ridza Ridzuan. Dengan penambahan RM16 bilion tambahan, sudah tentu tahap maksimum tersebut akan pecah.

Dalam konteks ini, apa yang dipersoalkan bukan pulangan balik atau dividen yang akan kembali kepada pencarum KWSP. Yang dipersoalkan ialah komitmen yang sepatutnya dibuat oleh  Najib dan parti pemerintah untuk menjamin pulangan balik yang lebih baik atas pelaburan yang dilakukan (jika mendapat pelepasan cukai AS) dan menghormati peraturan dan tata kelola kewangan (had pelaburan luar negara 30%).

Satu lagi perkara ialah janji Najib mengenai pembelian pesawat-pesawat baru Boeing oleh MAS yang dianggarkan berjumlah USD10 bilion (atau RM42 bilion) dalam tempoh 5 tahun akan datang.

Menurut Rafizi, sebenarnya MAS akan berbelanja sehingga sekitar RM53 bilion dalam tempoh 5 tahun akan datang untuk membeli 50 pesawat kelas Boeing 737-Max 8/10 dan 25 pesawat besar “widebody” iaitu kelas Boeing 787 atau Airbus A330neo. Beliau memetik beberapa laporan industri penerbangan yang berkait dengan MAS.
“Sedang rakyat terkejut dengan jumlah wang yang begitu besar, rupa-rupanya ada risiko yang lebih besar”, ujar Rafizi.

Menurutnya, risiko yang lebih besar berkait dengan kemungkinan campur tangan daripada pihak  Najib dalam keputusan-keputusan kewangan penting tentang MAS yang akan berlaku dalam masa setahun dua ini.

Ini lebih-lebih lagi membimbangkan apabila Lembaga Pengarah MAS menerima pelantikan orang kanan Najib iaitu Dato’ Habibul Rahman Kadir Shah sebagai ahli lembaga pengarah MAS pada 18 Mei 2017. Habibur Rahman Kadir Shah sememangnya diketahui umum sebagai orang kanan Najib hingga ada yang menggelar beliau “Jeneral perang Najib”.

Meskipun penstrukturan semula MAS dikatakan berjaya (walaupun melibatkan pemecatan 6,000 orang kakitangan) untuk mengurangkan kerugian dan MAS dijangka mula mencatatkan keuntungan dalam masa setahun, namun dengan perbelanjaan paling besar sekitar RM53 bilion oleh mana-mana syarikat milik kerajaan dalam tempoh 5 tahun akan datang (kecuali PETRONAS) maka ia mengundang kebimbangan.

“Adakah keputusan untuk membeli 8 Boeing 787 Dreamliners itu keputusan Lembaga Pengarah MAS yang telah melalui proses penilaian yang sewajarnya yang menepati strategi perniagaan MAS, atau itu keputusan politik Najib?” soal Rafizi.

Beliau juga khuatir jika harga yang dirundingkan akan lebih mahal dan tidak telus jika ada campur tangan politik. Bayangkan, jika 5% komisen atas kos RM53 bilion sahaja boleh bersamaan dengan RM2.65 bilion!

Di samping itu dakwa Rafizi, oleh kerana MAS dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia melalui Khazanah, sebarang keputusan kewangan tidak perlu dilaporkan kepada mana-mana pihak dan rompakan sebegini melalui harga pembelian yang lebih tinggi boleh berlaku tanpa disedari.

Apakah jaminan yang boleh diberikan bahawa skandal 1MDB yang melibatkan wang lesap berpuluh ribu juta ringgit tidak akan berulang dengan pelaburan sebesar MAS?

Mungkin dahulu perkara-perkara begini boleh lepas daripada pandangan umum, tetapi dengan keadaan ekonomi negara sekarang, bebanan kos sara hidup yang menekan rakyat dan budaya rasuah serta salahguna kuasa yang meningkat, saya percaya rakyat tidak boleh lagi menerima apa yang didedahkan sebagai putar belit pembangkang.

Budaya kleptokrat atau perompak wang rakyat telah menjadi-jadi. Jika tidak diambil tahu, tidak diteliti dan tidak dicegah, sampai bila-bila pun mungkin rakyat menjadi hamba di tanah air sendiri seperti kata peribahasa anak kera di hutan disusui, anak sendiri di rumah kebuluran. Tambah malang jika ada yang menangguk di air keruh. Kaut keuntungan berlebihan untuk kepentingan diri dan kroni namun hak dan tuntutan rakyat tidak diutamakan malah terabai.

Syed Ibrahim Syed Noh
Ketua Penerangan
Parti KEADILAN Rakyat




-----------------

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Lantik orang bangang jadi ketua...maka banggang lah rakyat negara tersebut. PRU14 nanti masih mau lantik ketua banggang itu lagi?????