Selasa, 5 September 2017

SEKALI LAGI








Nota Hishamuddin Rais tentang Anwar Ibrahim di penjara




MERUJUK kepada apa yang sedang berlaku dalam PKR sekarang. Merujuk kepada wujudnya perbezaan pandangan di antara beberapa sosok pimpinan PKR.

Perbezaan pendapat dalam parti politik, dalam NGO atau dalam apa sahaja badan atau persatuan adalah perkara biasa. Malah perbezaan pendapat wajib digalakkan untuk melahirkan percambahan pendapat. Ini agak berbeza dari apa yang berlaku dalam PKR sekarang.

Perbezaan pendapat dan pandangan dalam PKR ini  telah, sedang dan akan mengganggu Pakatan Harapan dalam saat dan masa yang amat kritikal - ketika menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pada hemat saya perbezaan pendapat ini berpunca dari cara dan pendekatan atau method Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim mengendali dan mengurus pimpinan.

Contohnya: Dalam satu perkara yang sama Anwar telah memberi pandangan, memberi arahan yang berbeza-beza dari satu sosok kepada yang lain. Misalnya kepada Si Polan A, Anwar memberi pandangan lain dari yang diberi kepada kepada Si Polan B. Dan agak berbeza juga dari yang diterima Si Polan C.

Ini menimbulkan kekeliruan. Buktinya apa yang sedang berlaku sekarang dalam agenda memutuskan kerjasama PKR dengan PAS. Cara atau method dan pendekatan memimpin seperti ini tidak baik. Ianya tidak melahirkan keputusan yang kompak dan tuntas. Hasilnya ialah cerai  berai.

Wajib disedari bahawa Najib (Razak) memenjarakan Anwar untuk tujuan menafikan PKR pimpinan dan buah fikiran Anwar. Penjara memisahkan Anwar daripada nadi fikrah rakyat yang sentiasa berubah dan bergerak setiap detik.

Penjara memustahilkan Anwar daripada dapat membuat keputusan dan mengeluarkan pandagan tentang politik harian yang betul dan tepat.

Dalam penjara Anwar tidak menerima semua pandangan dengan jelas. Dalam penjara maklumat sampai terputus-putus. Pengalaman dalam penjara membuktikan bahawa maklumat yang sampai bukan saja tidak tuntas malah ada kemungkinan dimasuki oleh aji-no-moto.

Dalam penjara kita memiliki masa yang banyak. Justeru kita boleh membaca. Kita boleh menulis. Malah berangan-angan dan berkhayal dalam penjara bukan satu jenayah. Mengelamun dan bernostalgia juga boleh dilakukan tanpa gangguan dalam penjara.

Pada hemat saya apa yang wajib dilakukan oleh Anwar ialah menulis, berfikir, menulis dan berfikir. Menulis dan berfikir tentang pandangan dan teori dan falsafah politik yang wajib diajukan dirinya kepada rakyat Malaysia.

Antonio Gramci seorang ahli Parlimen Parti Komunis Itali mengeluarkan Prison Notebooks -hasil dari penjara. Menjadi rujukan ilmu hingga ke hari ini.

Tan Melaka dari Parti Komunis Indonesia melahirkan Madilog dan buku Dari Penjara Ke Penjara - hasil dari penjara. Menjadi rujukan ilmu hingga ke hari ini.

Nelson Mandela juga seorang komunis dari Afrika Selatan yang melahirkan A Long Walk To Freedom- hasil dari penjara. Menjadi bacaan wajib untuk aktivis politik hingga ke hari ini.

Dengan berfikir dan menulis, Hishamuddin percaya Anwar boleh meninggalkan rujukan ilmu yang berguna sepanjang zaman seperti Prison Notebooks yang ditulis oleh ahli politik Itali, Antonio Gramci atau Madilog dan Dari Penjara ke Penjara oleh Tan Malaka dari Indonesia, atau sekurang-kurangnya menulis puisi Kim Chi Ha di Korea Selatan.

Kim Chi Ha - seorang patriot kiri Korea Selatan terus menulis puisi dari dalam penjara. Menjadi rujukan seni hingga ke hari ini.

Anwar wajib sedar tentang Julai 2018. Pada hari itu Anwar wajib telah bersedia dengan magnum opus daripada dirinya untuk dihadiahkan kepada rakyat Malaysia pada Julai 2018.

Magnum opus Anwar Ibrahim ditunggu rakyat. Rakyat tidak mahu lagi mendengar kesah dirinya disepak atau dirinya dibogelkan atau dirinya dihina. Zaman kisah itu telah tamat. – 4 September, 2017.



--------------

2 ulasan:

Annoy berkata...

strategi pkr.. harapan utk segrakn pru.... yg btul xde pe2 pun.... tuan tt kna merantau lgi... utk tajamkn keris...

Anak kota belud berkata...

Potong kuku kongsi ramai ramai... Itu je aku ingat tentang penjara....kakaakakakakakk