SPR - SUSUN
PENIPUAN RAKYAT
Pada malam Ahad 25 Febuari 2018 yang lalu Alor Gajah Melaka telah dipilih oleh Pakatan Harapan (PH) untuk melancarkan Jelajah Harapan. Ini adalah siri ceramah mega anjuran Pakatan Harapan bertujuan memberi pencerahan kepada penyokong dan bakal pengundi PH dalam PRU14.
Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Muhamad dalam mukadimah ucapannya telah mengumumkan kepada lebih dari 4000 penyokong dan bakal pengundi bahawa dalam PRU14 Pakatan Harapan menang - kecuali ditipu.
Tepokan tangan gemuruh menyambut. Sorakan gempita terdengar dari bawah pentas. Ini berita gumbira dari Mahathir yang faseh dan mahir dalam selok belok mencapai kemenangan
Jelas dan tepat sekali dalam RU14 kali ini Pakatan akan menang sekali lagi.
Pakatan menang sekali lagi? Kenapa gunakan sekali lagi? Bila kali pertama Pakatan menang?
Biar saya beri pencerahan disini untuk kesekian kalinya. Fakta dan sejarah telah menunjukkan bahawa pada hari Ahad 5 May 2013 Pakatan Rakyat telah menang dalam PRU13. Pakatan Rakyat mendapat 52% undi rakyat. Jumlah undi Pakatan sebanyak 52% melebihi undi Najib yang hanya mendapat 48%.
Ini membuktikan bahawa majoriti rakyat Malaysia telah menyokong Pakatan Rakyat. Majoriti 52% rakyat telah menghumbankan United Malays National Organisation dan kuncu-kuncu dalam Barisan Nasional ke dalam tong sampah sejarah..
Dimana-mana pun dalam dunia ini kumpulan mana atau parti politik jenis apa pun jika telah mendapat 52% undi maka kumpulan ini akan dinobat sebagai kumpulan yang menang. Ini tidak berlaku di Malaysia. Kenapa?
Kerana wujudnya perancangan yang disusun licik - dibantu oleh projek gelap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Tipu helah dan putar alam SPR telah menafikan Pakatan Rakyat dari menubuhkan kerajan baru pada tahun 2013 dulu. Ini fakta bukan kelentong Hishamuddin Rais.
Justeru apabila Mahathir mengumumkan dalam PRU14 Pakatan Harapan menang lagi maka ini bukan propaganda tapi hakikat. Dalam PRU14 ini Pakatan Harapan hanya akan kalah kerana ditipu.
Pada 24hb Febuari 2018 kajian terbaru dari Merdeka Center yang dilaporkan oleh portal MalaysianInsight telah menunjukkan bahawa kuasa gerombolan United Malays National Organisation di Johor semakin goyah.
Kajian juga telah mendapati di Kedah pengaruh Parti Bersatu cukup ampoh. Sokongan rakyat terhadap Mahathir telah mengerunkan Menteri Besar Kedah sehingga Ahmad Bashah sendiri terpaksa mengakui jasa besar Dr Mahathir di Kedah. Ini fakta.
Lalu timbul persolan apa bentuk dan projek penipuan yang sedang dirancang oleh SPR dan ajen-ajen gelap dan aparacik Najib dalam PRU14 nanti.
Sebelum saya huraikan PROJEK TIPU PRU14 benarkan saya mengali ingatan tentang beberapa bentuk penipuan SPR dalam PRU13. Ini untuk menyegarkan ingatan kita bersama.
Contoh paling afdal dan paling senang untuk difahami ialah dakwat kekal yang TIDAK kekal. Pengunanan dakwat kekal dijari satelah membuang undi adalah salah satu dari tuntutan BERSIH.
Tuntutan rakyat ini telah disabotaj oleh SPR. Satu penipuan licik dijalankan. Dalam PRU13 dakwat TIDAK KEKAL telah digunapakai. Ini projek tipu yang diatur oleh SPR untuk memastikan Najib mendapat undi tipu yang berganda-ganda. Dakwat kekal yang TIDAK KEKAL memungkinkan penyokong Najib mengundi lebih dari sekali. Ini fakta sejarah penipuan SPR dalam PRU13. Ini bukan fitnah atau berita palsu dari Hishamuddin Rais.
Ingat SPR ingat tipu - ingat FATIMAH ISMAIL. Jangan silap Minah. Ini bukan Salmah Ismail a.k.a Saloma. Salmah Ismail isteri kepada arwah P. Ramlee. Yang ini namanya Fatimah Ismail. Kadang-kadang jadi anak dara sunti, kadang-kadang Mak Jan, kadang-kang ibu tunggal. Siapa Minah ini?
Pada 15hb Januari 2018 portal Malaysian Insight telah melaporkan berita Mahathir membocokan kepada dunia bagaimana nama Fatimah Ismail telah wujud 900 kali dalam daftar pengundi. Nama ini telah wujud dalam daftar pengundi semenjak 2013 lagi.
Dalam PRU 13 pasti Si Fatimah ini telah mengundi 900 kali. Pada PRU14 nanti Si Minah ini akan mengundi 900 kali lagi. Ini baru satu nama yang ditemui. Berapa ramai lagi Fatimah , Bedah, Joyah dan Esah yang terselit tersepit dalam daftar pengundi hanya Guru Nanak sahaja yang tahu.
Pembaca akan bertanya - kenapa tidak dibersihkan nama-nama ini dari daftar pengundi?
Satu soalan yang tepat. Tapi soalan lojik ini jawapannya amat amat tidak masuk akal. Ini kerana dibelakang nama Fatimah Ismail ialah SPR yang ditugaskan oleh Najib untuk menipu.
Kali ini - sebelum PRU14 - amat-amat susah lagi payah untuk mendapatkan senarai daftar pegundi. Sebelum PRU13 daftar ini boleh dibeli. SPR akan menjual nama pengundi dalam bentuk CD kepada sesiapa sahaja yang berhajat. Ini membolehkan Mahathir dan sesiapa sahaja meneliti nama-nama yang berganda.
Justeru kali ini dalam PRU14 - daftar pengundi tidak lagi dikeluarkan. Hanya dapat dilihat dipejabat SPR. Segala kerenah birokrasi diwujudkan untuk memustahilkan nama pengundi dapat dilihat dan dikaji.
Untuk PRU14 - nama pengundi hanya akan diketahui pada hari membuang undi. Akan muncul nama-nama baru yang berdaftar. Nama-nama baru ini TIDAK pernah terlihat oleh pekerja parti Pakatan. Ini cara licik untuk memastikan Najib menang. Jika ini bukan penipuan maka Kaabah bukan di Mekah.
Dalam ucapan di Alor Gajah Melaka Mahathir telah juga menyebut bagaimana ada rumah yang diduduki oleh berpuluh-puluh orang - hampir sama saperti sebuah hotel. Ada China, Melayu dan India duduk dalam rumah yang sama.
Bila disiasat didapati rumah ini hanya ada dua penghuni. Jelas alamat rumah ini telah digunakan untuk mendaftar PENGUNDI HANTU yang diupah untuk mengundi Najib.
Siapa pengundi hantu ini? Jangan risau kita ada Hantu Bangla, Hantu Indon atau Hantu Myamar. Ini bukan lagi satu yang pelik. Ini adalah naratif pilihanraya di Malaysia.
Jika semua yang saya lakar ini bukan tipu namanya maka Rosmah Mansor adalah Duta Slim World yang telah berjaya menggantikan Ziana Zain.
Pada ketika ini ada satu projek penipuan resmi yang dipanggil Persempadanan Semula. Projek tipu ini akan dibawa ke Parlimen. Bunyinya molek tapi isinya adalah penipuan dan taktik SPR untuk memastikan Najib Rosmah akan terus berkuasa.
Dibawah ini saya paparkan satu contoh cara dan teknik SPR menjalankan penipuan awal sebelum projek Persempadanan Semula dibawa ke Parlimen.
Kes contoh penipuan ini sedang berjalan di Lembah Pantai. Ini kawasan YB Nurul Izzah - Puteri Keadilan pemegang obor reformasi. Justeru YB Nurul wajib dikalahkan. Bagaimana caranya untuk mengalahkan YB Nurul?
Di Lembah Pantai YB Nurul mendapat sokongan kukuh dari penduduk. Anak semua bangsa - bangsa semua agama menyokong YB Nurul. Untuk mengelincirkan Nurul agak susah. Lalu SPR merancang dan menyusun.
Secara resmi 8,000 pengundi baru didaftarkan. Pengundi baru ini didatangi dari pelbagai tempat di Kuala Lumpur atau dari entah mana tempat dari muka bumi ini. Malaoan-malaon ini bukan warga Lembah Pantai. Justeru jika dikaji maka akan ditemui nama Mutumaniam dialamat serumah dengan Hajjah Sakinah Lebai Ali. Lim Ah Lok duduk dalam PPRT - beralamat sama dengan Haji Mokhtar Surin.
Tidak cukup dengan cara penipuan ini. Untuk memastikan YB Nurul kalah SPR telah mengeluarkan 5 ribu nama-nama pengundi Lembah Pantai. Nama mereka dialihkan keluar dari Lembah Pantai hingga ada yang dihantar ke Sekichan. Ini nama yang tak ada bau Melayu - yang dicap sebagai penyokong tegar YB Nurul.
Mengikut kenyataan resmi SPR nama-nama yang dipindahkan ini telah tercicir dahulu. Ini kesilapan kerja pejabat SPR.
Sayugia diingatkan bahawa ramai para pengundi yang dialihkan ini TIDAK tahu apa apa. Tidak tahu yang nama mereka telah dikeluarkan dari Lembah Pantai. Jika ini bukan tipu maka saheh Najib tidak pernah kenal dengan Minah Cun berambut panjang langsing lagi bergetah bernama Altantuya.
Bagaimana dengan Projek Penipuan Resmi yang diketahui umum sebagai Persempadanan Semula? Apa akan terjadi di Lembah Pantai?
Ini lagi licik. Ini lagi tersususn. Hanya menunggu Parlimen untuk meluluskan penipuan ini. Sebanyak 6,500 Mata-mata Terang dan Mata-mata Gelap dari Bukit Aman akan meloroh masuk untuk menjadi pengundi Lembah Pantai. Kebanyakan akan menjadi pengundi awal. Sah dan terbukti ini cara menipu pilihanraya untuk memastikan Najib dan Rosmah terus berkuasa.
Tetapi kerana YB Nurul mendapat sokongan yang amat kukuh di Lembah Pantai maka satu lagi taktik penipuan ditambah. Ini bertujuan untuk memastikan YB Nurul dipukul mati. Apa caranya?
Caranya ialah kawasan Kampong Bohol dan Kampong Petaling Bahagia akan dimasukkan ke Kawasan P122 Seputeh. Seputeh ialah kawasan YB Teresa Kok. Dalam PRU13 YB Teresa mendapat 51,522 majoriti kemenangan.
Jumlah kemenagan YB Teresa ini lebih tiga kali ganda dari jumlah semua pengundi Tengku Fraud Adnan di Putrajaya. Ini bukan labon kosong. Ini rancangan jahat SPR.
Kemasukan Kg Bohol dan Kg Petaling Bahagia ini tidak membawa apa-apa makna kepada YB Teresa. Laut milik YB Teresa telah masin - dua koyan lagi garam dicurahkan tidak akan mengubah apa-apa. Yang hilang penyokong ialah YB Nurul.
Dari surah yang saya paparkan ini amat jelas bahawa penipuan telah, sedang dan akan berjalan. Semua ini dirancang dan diatur secara resmi oleh SPR.
Penipuan-penipuan ini membuktikan isi ucapan Mahathir di Alor Gajah adalah betul dan tepat. Semua jarum politik mengarahkan bahawa dalam PRU14 Pakatan Harapan menang - kalah hanya kerana ditipu.
Perancangan licik penipuan ini membuktikan Najib akan kalah. Dalam PRU14 saperti PRU13 majoriti rakyat akan menyokong Pakatan Harapan. Dalam PRU14 majoriti pengundi akan menolak Najib Rosmah.
Yakinlah Najib dan Rosmah sedang membuat persediaan. Apakah persediaan itu? Tunggu minggu hadapan. (tt)
NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-10-45
------------------------
1 ulasan:
Saya ulang sekali lagi bila kiamat berlaku fenomena Alam akan berlaku iblis cukup takut ketika itu maka janji Allah itu benar now you listen and learn pru14 ini paling sukar namun berusahalah dan berdoa moga dipermudah yg benar itu dari tuhan yg Salah itu datang dari kemahuan manusia itu sendiri oleh itu Cara dan nawaitu mesti betol betol did hahaha
Catat Ulasan