.

Ahad, 27 Mei 2018

MELIHAT SEJARAH TAKTIK STRATIJI







TULISAN INI 

8 JUN 2016

PERMULAAN

MENYEBAR TEORI

UNITED FRONT


Pensejajaran semula
Hishamuddin Rais
8 Jun 2016, 2:49 tengahari (Dikemaskini 9 Jun 2016, 5:06 petang)


Hakikatnya ketika saya menggarap tulisan ini fakta dan kajian jelas menunjukkan orang ramai makin jelak dengan Najib dan Rosmah. Orang ramai - warga Malaysia anak semua bangsa - menjadi rimas dan resah.

Ini terbukti dengan 52 peratus rakyat Malaysia memilih Pakatan Rakyat dalam PRU13. Najib Rosmah masih terus berkuasa kendatipun tanpa ada sokongan orang ramai.

Tidak pernah berlaku dalam sejarah Tanah Melayu kebencian yang maha sangat terhadap seorang pemimpin. Tunku, Razak, Hussein dibenci oleh musuh politik tetapi tidak dibenci seperti rakyat Malaysia membenci Najib Rosmah.

Hanya Pak Lah sahaja seorang pemimpin yang tidak dibenci oleh rakyat. Inipun kerana Pak Lah menjadi pelawak yang suka tidur. Ketika Pak Lah berkuasa yang dibenci oleh rakyat bukan Pak Lah tetapi Khairy Jamaluddin. Makhluk yang bernama Khairy ini telah berjaya menyusup masuk ke politik kuasa kerana berkahwin dengan anak pelawak.

Mahathir yang menendang Anwar Ibrahim ke penjara sah amat dibenci oleh rakyat. Tetapi tidak sebenci rakyat benci dan menyampah terhadap Najib Rosmah. Malah dari segi sejarah, isteri-isteri perdana menteri tidak pernah menjadi buah mulut jauh sekali agenda politik seperti dihadapi oleh Najib.

Hari ini buka sahaja internet - layari apa sahaja portal dan buka laman sosial dan Facebook - tanpa gagal kita akan membaca sentimen benci kepada Najib Rosmah. Ada laman secara terang-terang mengutuk.

Ada yang mengutuk secara jenaka. Ada yang tanpa segan silu ‘mengencing' Najib Rosmah. Hakikatnya Najib Rosmah adalah bahan kutukan media sosial.

Media sosial adalah mukim dan daerah anak muda. Orang muda adalah warga asli media sosial. Justeru tidak silap jika saya katakan yang mengutuk Najib Rosmah secara kreatif di media sosial ini pastilah majoritinya datang dari golongan pelajar mahasiswa yang mungkin belum mengundi atau baru sekali dua mengundi.

Yang membaca, yang ketawa dan yang mengaminkan kutukan itu pastilah generasi berumur - warga imigran media sosial.

Berdasarkan surah yang tidak saheh, mengikut kata sahibul hikayat pada satu ketika dahulu di Kedah ada seorang raja yang amat zalim. Raja ini suka memakan hati dan darah manusia.

Mungkin kebencian rakyat terhadap Najib Rosmah ini sama seperti rakyat Kedah membenci Raja Bersiong. Tetapi Raja Bersiong hanya menzalimi beberapa buah kampong di sekitar Istana Raja. Walhal kejahatan yang dilakukan oleh Najib Rosmah ini amat luas.

Kini lebih daripada 28 juta warga Malaysia sedang dipaksa tunduk dan mengikut arahan dan selera Najib Rosmah. Semua lembaga daulah kini dalam tangan Najib Rosmah. Sebutlah apa sahaja dari SPRM, SPR, PDRM, Peguam Negara, Media dan dan dan.

Sebanyak 171 ketua bahagian parti Ketuanan Melayu dibiayai oleh Najib. Semua tunduk makan dedak. Maka inilah maknanya - cash is king.

Dalam keadaan demikian semakin ramai warga tertanya-tanya. Selama mana lagi Najib Rosmah akan menginjak-injak kepala kita sebelum dua makhluk ini dihumbankan ke dalam tong sampah sejarah?

Ini soalan yang paling viral hari ini. Di mana-mana sahaja ada kumpulan yang cerah otak, yang tidak buta fikrah dan yang sedar budaya politik-pasti mereka akan membincang hal Najib Rosmah, hal 1MDB dan tentang Cina Tembam Jho Low.

Setiap kali muncul laporan dari The Wall Street Journal tentang Najib Rosmah atau berita 1MDB atau berita anak tiri Najib maka satu Malaysia merasa lega dan berharap FBI akan menangkap dua makhluk ini.

Setiap kali ada berita 1MDB dari Swistzerland - satu Malaysia merasa lega bahawa negara kapir ini masih meneruskan siasatan walaupun negara Islam Hadari Malaysia tidak melakukan apa-apa.

Setiap kali ada berita Encik Yeo Jiawei yang kini dalam penjara di Singapura pasti akan menggembirakan satu Malaysia. Encik Yeo Jiawei ini adalah pegawai bank BSI milik Switzerland. Dia sedang ditahan dalam penjara kerana terlibat bersubahat dalam usaha menggelapkan duit 1MDB.

1MDB ialah kerja jahat yang dirancang dengan licik untuk melarikan berbilion ringgit duit rakyat Malaysia ke luar negara. Duit rompakan ini kemudian dihalalkan dengan melabur pembikinan filem di Holywood. Atau dengan membeli kondo dan apartment yang mahal-mahal di New York dan London.

Justeru mengikut pandangan Mahathir Muhamad, untuk Malaysia diselamatkan, Najib Rosmah wajib diketepikan dahulu daripada memiliki kuasa.

Untuk berjaya dalam projek-menendang Najib Rosmah - kita wajib merungkai dan melihat babak-babak sejarah yang telah menimpa suku sakat kita di Indonesia dan Filipina.

Apa yang sedang kita hadapi pada ketika ini telah dialami oleh rakyat Indonesia dan Filipina. Indonesia ada Siti Hartinah yang gila projek. Filipina ada Imelda yang gila kasut. Malaysia ada Rosmah yang gila beg tangan Birkin.

Perjuangan dan pertempuran rakyat Indonesia dan Filipina untuk menjatuhkan Marcos dan Suharto bukan satu jalan yang lurus. Ia juga bukan satu jalan yang enteng. Ia mengambil masa. Ia memerlukan fikrah dan perancangan.

Terimalah hakikat bahawa kita di Malaysia bukan unik. Rosmah Mansor bukan hanya wujud di Malaysia. Rosmah Mansor pernah wujud di Rusia, di Perancis, di Argentina, di Tunisia. Ini pelajaran pertama yang wajib kita hafal.

Juga - ada hukum-hukum dan syarat-syarat yang wajib kita lalui. Ada syarat yang wajib kita guna pakai sebelum fajar kebebasan muncul. Hukum-hukum dan syarat ini telah dilalui oleh warga Filipina dan Indonesia. Malah hukum dan syarat ini juga telah dilalui oleh semua negara yang berjuang untuk menegakkan keadilan.

Sekali lagi saya katakan bahawa kita bukan unik. Kita bukan bersendirian.

Dalam tulisan ini dan seterusnya saya akan mengajukan pensejajaran semula politik Malaysia. Realignment/penyusunan semula politik Malaysia pada hemat saya adalah amat penting untuk mencapai cita-cita menyelamatkan Malaysia.

Semua akan bertanya - menyelamatkan Malaysia daripada apa? Daripada serangan tentera mana? Daripada serangan geruda ke? Jawabnya: pada tahap ini kita wajib menyelamatkan Malayia daripada Najib Rosmah.

Perlunya kita mengadakan pensejajaran semula ini kerana telah berlaku beberapa babak dalam naratif politik tanah air kita. Naratif daripada babak-babak politik ini amat penting kerana ia mempengaruhi arus politik tanah air. Arus politik inilah yang mewajibkan kita membuat satu pensejajaran semula.

Naratif pertama: Perginya Tok Guru Nik Aziz. Dengan wafatnya Nik Aziz parti PAS kelihatan hilang sauh. Nik Aziz bukan pentadbir yang cekap dalam istilah politik moden. Tetapi Nik Aziz adalah sauh dan ubur penyuluh untuk parti PAS. Malah Nik Aziz menjadi rujukan bukan hanya untuk PAS tetapi termasuk juga untuk DAP dan PKR - yang Islam dan yang tidak Islam.

Pada hemat dan bacaan Nik Aziz - United Malays National Organisation yang tidak mengamalkan Islam dianggap musuh. Dalam hal melihat gerombolan Ketuanan Melayu sebagai musuh, Nik Aziz tidak berdolak dalik. Tidak ada hu hah yang berbelah bagi untuk parti PAS terus memusuhi gerombolan ketuanan Melayu.

Nik Aziz tahu, dia sedar kerana dia telah bersama berkerja dalam saf United Malays National ketika PAS dalam Barisan Nasional semenjak tahun 1974 hingga tahun 1978. Ini adalah ilmu politik daripada pengalaman berpolitik.

Justeru, memusnah dan mengIslamkan United Malays National Organistion adalah perjuangan Nik Aziz. Justeru apabila dia wafat maka garis ini menjadi pencong, terbarai akhirnya budaya cash is king menyerap masuk.

Naratif kedua: Pemenjaraan Anwar Ibrahim untuk kali kedua. Ini adalah babak politik yang membawa implikasi yang amat mendalam ke dalam arus politik Malaysia. Anwar yang dipenjarakan adalah langkah politik bijak yang telah dilakukan oleh Najib Rosmah.

Anwar dalam penjara telah melahirkan krisis dalam PKR. Intrik individu dalam PKR semakin jelas. Anwar yang menjadi sauh PKR kini berada dalam penjara. Dia tidak dapat lagi memainkan peranan Ketua Umum untuk memberi pandangan dan nasihat.

Dalam masa yang sama - wajib diakui bahawa sosok yang bernama Anwar Ibrahim inilah yang bertanggung jawab membawa kemenangan cemerlang untuk rakyat dalam PRU12 dan PRU13.

Betul dan tepat dalam perubahan politik ombak yang penting ialah ombak rakyat. Anwar Ibrahim telah berjaya mengocak lautan politik zalim United Malays National Organisation. Dari kocakan inilah lahirnya ombak reformasi yang masih lagi belum sampai ke tujuan asal. Reformasi bertujuan untuk mendirikan Malaysia yang bebas dan demokratik.

Sebelum ke penjara - sosok yang bernama Anwar Ibrahim ini telah berjaya menjadi gel atau gam untuk menyatu padukan jalur-jalur politik yang melawan tapi terpencar-pencar dalam satu ikatan ombak Reformasi. Ombak ini kemudian memenangi kerusi politik dalam pilihan raya dan memanggil diri mereka Pakatan Rakyat - kini arwah. ( tt)



BACA JANGAN

TAK BACA



----------------------

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Apo bendo ni beri beri selipi ngantok teman apa kabo tun Sri rosmah mansor dan najib tun razak moga dipanjang usia dimurah kan rezekinya serta sejahtra selamat menjalani ibadah dibulan Ramadan ini dgn penuh sabar dan istiqomah amin ya Robb bal alamin

Nazrio Dond DoLLa berkata...

Gambar rosmah bukak Tak Ada ker.
Dah 11 Hari Kita puasa rakyat nak tahu demokerasi Tak berbuka umah rosmah