Rabu, 29 Ogos 2018

MERAKAM SEJARAH DISAILANG LAGI



MERAKAM SEJARAH  

DISAILANG  LAGI


Jumaat 11 Mei 2018 - Majlis Presiden Pakatan bercadang untuk  mengadakan mesyuarat pertama. Ini sehari sesudah  upacara Mahathir Muhamad selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 7 dihadapan  Yang Di Pertuan Agong.  

Kabinet masih belum ditubuh. Umum hanya tahu bahawa Mahathir sebagai Perdana Menteri dan  Wan Azizah sebagai Timbalan. Fakta ini telah dijaja ke seluruh negara ketika kempen Jelajah. Mustahil masih ada  sosok  yang terlalu Lokman Adam hinggakan  gagal memahami  fakta ini.

Pada hari Jumaat biasanya Mahathir akan bermukim di Yayasan  Al-Bukhary. Ini rutin Mahathir untuk berada dekat dengan Masjid Negara. Hanya perlu menapak beberapa minit melintasi jalan untuk berJumaat.

Justeru pada pagi Jumaat itu Mahathir mencadangkan agar mesyuarat pertama kerajaan baru ini diadakan di Yayasan Bukhary.  Pemimpin Parti Amanah dan DAP bersetuju. Cadangan ini  masuk akal kerana secara muktamad kerajaan Pakatan belum lagi wujud. Tidak mungkin boleh menggunakan ruang Parlimen. Atau bermesyuarat di Pejabat Perdana Menteri di Putra Jaya.

Sayugia diingat Jumaat 11 Mei 2018 ialah hari cuti umum di Malaysia. Sesudah mengundi pada Rabu 9 Mei warga Malaysia mendapat cuti panjang - Khamis , Jumaat, Sabtu dan Ahad. Ini adalah cuti merayakan kejayaan anak semua bangsa menghumbankan Najib Rosmah dan United Malays National Organisation ke tong sampah sejarah.

Mesyuarat pertama kerajaan Pakatan Harapan dipengerusikan oleh Mahathir Muhamad berjalan lancar.

Mereka membincagkan ini dan itu dalam Pakatan Harapan. Dan akhirnya Mahathir memberi tahu kepada yang hadir bahawa dia melantik Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri, Mat Sabu sebagai Menteri Pertahanan dan Lim Guan Eng sebagai Menteri Keewangan.

Wan Azizah bersuara menyatakan yang dia tidak bersetuju dengan perlantikan Lim Guan Eng.

‘ Kalau bukan Guan Eng  siapa yang patut dilantik…’ Mahathir bertanya.

‘ Rafizi..’ Jawapan jelas dari Wan Azizah.

Keadaan menjadi tegang. High Noon muncul  di Yayasan Bukhary. Ini kerana apa yang disuarakan oleh Wan Azizah tidak masuk akal kepada sesiapa yang waras.

‘ Bagaimana…’ Mahathir bertanya. 

Pertanyaan Mahathir ini berasaskan fakta. Rafizi tidak bertanding dalam PRU14 ini. Rafizi sedang menghadapi beberapa tuduhan. Kerusi Parlimen Pandan yang dahulunya diwakili oleh Rafizi kini diambil alih oleh Wan Azizah sendiri.
Semua mata memandang kepada Wan Azizah. Semua menunggu jawapan. Suasana tegang.

‘ Kita tangguhkan kerajaan Pakatan Harapan selama dua minggu. Kita amponkan Anwar. Kita amponkan Rafizi…’ Ini jalan pintas yang diajukan oleh Wan Azizah.

Jika gajah ada dalam bilik ketika Wan Azizah bersuara pasti gajah ini akan bertempik. Jika harimau yang mendengar kata-kata Wan Azizah pada petang itu  pasti sang harimau ini akan menerkam. Tapi ini tidak berlaku di bilik mesyuarat Yayasan Bukhary.

Semua sopan membisu. Semua senyap. Semua menjadi Hairan bin Takjub. Semua  menjadi Pelik bin Tak Percaya. Tapi inilah yang telah berlaku pada Jumaat 11 Mei 2018 di Yayasan Bukhary.

Kata-kata pelik dari Cik  Siti  Susah Nak Percaya berdesing lalu. Hairan. Hairan. Pelik lagi memelikkan.

Babak Yayasan Bukhary yang saya tulis ini  pasti ramai yang tidak akan percaya. Kenyataan PKR untuk menangguhkan kerajaan Pakatan Harapan selama dua minggu tidak masuk akal. Tujuan penangguhan  hanya untuk tujuan pengampunan Anwar dan Rafizi pasti susah untuk dipercayai.

Tangguh dua minggu ertinya meneruskan kerajaan Kerajaan Najib Rosmah  sebagai Kerajaan Menjaga. Pelik tetapi inilah yang disuarakan oleh Wan Azizah.

Hishamuddin Rais wajib merakam babak ini. Ini untuk pengajaran kepada anak cucu cicit kita. Ini untuk mengenali  watak Mat Songel sama saperti kita semua dapat mengenali watak Kitul yang wujud 600 tahun dahulu dalam Kerajaan Melayu Melaka.

Suasana tegang berterusan. Ratusan media dalam dan luar negara sedang menunggu diluar bangunan. Dalam suasana tegang ini sidang akhbar diadakan juga sesudah mesyuarat berakhir. Mahathir  memberitahu  media bahawa nama-nama  para menteri akan diumumkan esok  Sabtu  12 Mei 2018.

Mesyuarat kedua Pakatan Harapan  akan diadakan di Ibu Pejabat Bersatu di sebelah Amcorp Mall Petaling Jaya.

Pada hemat saya pada Jumaat malam sebelum pagi Sabtu muncul pasti banyak pekara yang telah bergayut dan hanyut dalam sungai PKR. Pasti banyak surat khabar lama yang  dibaca sekali lagi.  Pasti banyak hampas kelapa yang telah diramas berkali-kali. Pasti deringan talipon simpang siur. Merancang. Berstratiji. 

Buktinya - dipagi Sabtu 12 Mei 2108  PKR menolak untuk mengadakan mesyuarat di Ibu Pejabat Bersatu. Wan Azizah mecadangkan mesyuarat diadakan di bilik tahanan  Anwar di Hospital Cheras.

Dimana?  Dimana? Dimana?

Saya ulangi sekali lagi. Dibilik Anwar Ibrahim ditahan. Dimana? Dalam hospital Cheras. Biar betul? 

Betul. Apa yang ditulis oleh Hishamuddin Rais ini betul, tepat  lagi saheh. Ini bukan fitnah. Ini bukan penglipur lara. Ini fakta. Ini bukan skrip teater Tok Gopoh.

Bila cadangan ini keluar dari mulut Wan Azizah semua pemimpin Pakatan berpandangan sesama sendiri. Cadangan  membuat mesyuarat di bilik tahanan dalam hospital Cheras diperkuat oleh desakan YB Saifuddin Nasution yang juga Setiausaha PKR.

Semua senyap kerana pemimpin Pakatan Harapan tidak menyangka apa yang mereka dengar. Wan Azizzh terus dengan pendirian untuk mengadakan mesyuarat di bilik tahanan hospital Cheras.  PKR berkeras dengan tuntuan ini. PKR tidak mahu mesyuarat berlangsung di pejabat Bersatu.

Mahathir Muhamad secara sopan menolak cadangan Wan Azizah. Mahathir mahu meneruskan permesyuratan di pejabat Bersatu. Tapi PKR terus berkeras.  

Dua pandangan kini bertentangan.

Ini menjadikan suasana pagi Sabtu  tegang megang. Suasana High Noon sekali lagi muncul pada hari kedua kerajaan Pakatan Harapan.

Ini titik dan detik-detik songel dalam sejarah Malaysia Baru. Fakta ini wajib diketahui oleh anak semua bangsa. Hari pertama mesyuarat pertama  Pakatan Harapan  telah menjadi songel. Hari kedua juga berpotensi untuk menjadi lebih songel.

Wan Azizah enggan  mengundur. Mahathir juga tidak lentur. Wan Azizah  mahu ‘menarik diri’ jika mesyuarat ini  diteruskan. Semua menjadi gelabah. Tegang. 

Kalau dalam Istana pada malam sebelumnya seorang  China  bernama Lim Guan Eng telah memujuk Mahathir. Kali ini seorang Bengali  bernama Gobind Sing Deo telah memujuk Wan Azizah agar jangan ‘ walkout’ dari mesyuarat.

Jalan tengah dicari. Satu delegasi dihantar  bertemu Anwar untuk menerangkan duduk pekara. Mesyuarat ditangguh.

Sosok yang dilantik sebagai wakil Pakatan  untuk pergi ke Cheras ialah Mat Sabu dari Amanah, Gobind  dari DAP dan Syed Saddiq dari Bersatu. Mereka ditugas untuk membuat penerangan demi meredakan ketegangan.

Di Hospital Cheras - Gobind dan Mat Sabu dibenarkan masuk. Syed Saddiq tidak dibenarkan masuk atas alasan - ini tempat banduan ditahan. Kenapa dua dibenarkan dan yang ketiga dilarang? Inilah namanya politik Dunia Ketiga yang  bergantung kepada budi bicara. Khalas.

Gobind menerangkan duduk pekara kepada Anwar. Cuba meredakan keadaan dan memperlihatkan lojik kenapa mesyuarat diadakan di Ibu Pejabat Bersatu dan bukan dalam tempat banduan atau hospital.  

Gobind juga  berjanji kepada Anwar bahawa dia akan meminta Mahathir sendiri datang berjumpa dengan Anwar salepas mesyuarat selesai pada petang ini.

Bagaimana dengan Mat Sabu? Apa yang disuarakan  oleh Anwar kepada Mat Sabu?

Sejarah merakamkan bahawa Mat Sabu dan Anwar ialah kawan lama dan juga musuh lama. Pada satu ketika dulu Mat Sabu memperkenalkan kosep Al-juburi untuk Anwar Ibrahim. Ini ketika Anwar dalam United Malays National Organisation dan Mat Sabu dalam Parti Islam PAS.

Dizaman Reformasi - dua musuh ini berkawan kembali dalam kancah perjuangan menentang musuh yang  bernama Mahathir. Musuh bersama yang memenjarakan Al-Juburi. Ketika Anwar ditahan kali kedua Mat Sabu terus bersama bertahan melawan Najib.

Wajib diberitahu Mat Sabu pernah bertanding melawan Anwar di Permatang Pauh dalam PRU7 pada tahun 1986. Perlu diingatkan juga  dua sosok ini adalah pemegang kad ahli ABIM.

Pada pagi Sabtu itu Anwar agak kasar terhadap Mat Sabu. Anwar meminta cermin , kayu ukur dan kain untuk tujuan membuat baju Mat Sabu. Mat Sabu kenal dan tahu sangat siapa dia si Anwar ini. Justeru Mat Sabu membiarkan Anwar berlabon seorang diri.

Mat Sabu faham tekanan dalam penjara yang dihadapi oleh Anwar. Ini kerana  Mat Sabu sendiri pernah dua kali di penjara oleh Mahathir Muhamad.

Deligasi berjumpa Anwar sampai kembali ke PJ. Mesyurat diteruskan. Keadaan masih tegang. Wakil PKR terus menolak mesyuarat diadakan di Ibu Pejabat Bersatu.

Wan Azizah mengambil talipon  bimbit dan membuat panggilan. Kemudian Wan Azizah muncul kembali untuk mengambil barangan diatas meja. Parti Keadilan Rakyat merasa tidak puas hati atas  penerusan mesyuarat di Ibu Pejabat Bersatu.

Mat Songel mana yang ditalipon oleh Cik Siti  Susah Nak Percaya  tidak pula jelas. Hanya Guru Nanak saje yang mengetahui.

Akhirnya Wan Azizah dan delagasi PKR mengambil keputusan untuk memulaukan mesyuarat. Pucuk pimpinan PKR berundur dari Ibu Pejabat Bersatu. Amin.

Pada hari Sabtu ini saya berada dalam kedai kopi di Amcorp Mall. Kemudian saya mendapat panggilan agar saya naik ke tingkat 8 pejabat Bersatu. Tujuan ialah untuk memberi sokongan kepada Mat Sabu. 

Saya menunggu di pintu bilik. Muncul Zeti yang terus  hilang  ke dalam lift. Kemudian muncul Hasan Merican. Kami bersalaman. Kami mengenal satu sama lain. Kami dari sekolah yang sama. Si Hasan ini pemain kriket yang baik. Dia ini junior saya di sekolah.

Kemudian muncul Daim berselur hitam, berbaju puteh lengan pendek dan bercapal. Kami bersalaman. Kali pertama saya kenal Daim ialah pada Jumaat  4 Mei 2018. Kami berkenalan diatas pentas   ketika malam penutup kempen Jelajah di Melaka. 

Daim membisikkan kepada saya. ‘ Semua selesai. Muhyiddin Menteri KDN, Mat Sabu Pertahanan dan Lim Guan Eng Keewangan…’ 

Jelas  tugas saya untuk memberi sokongan kepada Mat Sabu selesai. Lalu saya turun kembali untuk pulang. Nampaknya semua telah beres.

Di rumah saya menerima SMS dari Ayen.

Si Ayen ini adalah bekas mahasiswa Universiti Bangsar Utama. Sosok ini adalah  pelakon asal Tok Ampoo. Watak Tok Ampoo ini juga  pernah dimainkan  oleh Amir yang kini sudah menjadi Menteri Besar Selangor.

Si Ayen, kawan saya ini bertanya kenapa Wan Azizah tidak ada ketika sidang akhbar  Pakatan Harapan dimana Mahathir mengumumkan tiga menteri kabinet?  Si Ayen ini pasti telah menonton tv atau FB live.

Saya tidak menjawab SMS Si Ayen. Saya harapkan dia akan membaca tulisan ini. Maka dia akan faham kenapa Wan Azizah  dan pimpinan PKR tidak hadir dalam sidang akhbar itu.

Pada petang Sabtu yang sama  saya difahamkan Mahathir telah pergi berjumpa  Anwar Ibrahim dalam bilik tahanan di hospital Cheras. Apa yang mereka  dilabonkan hanya Guru Nanak yang tahu.

Tetiba. Tup tup. Lewat petang Sabtu  yang sama  Rafizi meraung-raung dan melaung-laung. Tanda tidak puas hati  atas lantikan tiga menteri oleh  Mahathir. Rafizi menolak lantikan ini. PKR tidak bersetuju.

Beberapa jam sesudah berita raungan Rafizi yang dilaporkan oleh Malaysiakini muncul pula berita dari twitter Ambiga.

Ambiga menulis ‘PKR please stop your nonsense’. Dalam Bahasa Melayu  Si Ambiga dengan penuh hormat meminta  PKR berhenti dari membuat onar karut marut.

Apakah onar karut marut ini berhenti? Tunggu minggu hadapan. (tt)

TULISAN INI TIDAK
DISIARKAN
DALAM SUARA KEADILAN
HANYA BOLEH DIBACA
DALAM BLOG TUKARTIUB
ATAU
MALAYSIA KINI
AMIN


----------------------------

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Allahhu..
sedihnya..baru sahaja bermula..
PKR, kenapa tiada kesepakatan?
belajarlah dari segala kesilapan lalu
bermatanglah..ketepikan kehendak nafsu sendiri
utamakan perjuangan sebenar
jangan diinjak2 kepercayaan rakyat
kelak binasa diri dan parti..

anak malaysia

panglimo potaseh berkata...

Romantik guwa nengok Sadik peluk pesilat kita ari tu.. dua dua nangis. TT pulak stori yg Madey antar Sadik bujok Sudara Nuar yg sedang rajuk. Yg potong stim ..dan kacau daun.. adalah Bang Mat kita.. siap kena bedal lagi dgn Sudara Nuar?

Tanpa Nama berkata...

kah kah kah

tak disiar dalam suara keadilan.. kah kah kah
ini memang kelakar tahap baboon

En. Ahmad berkata...

Dah kenapa tak siar dlm suara keadilan????

SukuSamdol berkata...

Suara Keadilan boikot karya TT sebab dah pecah rahsia siapa si Tukang Sailang tu.
kahkahkah!!