Rabu, 19 September 2018

MERAKAM SEJARAH - DISINI IANYA BERMULA




MERAKAM SEJARAH  

DISINI IANYA BERMULA

Untuk berlaku adil kepada sejarah saya wajib merakamkan juga beberapa babak latar belakang  yang menuju kepada 9 Mei 2018. Saya wajib menuliskan pertemuan-pertemuan gelap dan  watak-watak gelap yang  memainkan peranan untuk membidani kelahiran 9 Mei.

Pada 5 Mei 2013 - Pakatan Rakyat gagal ke Putrajaya. Penipuan yang dirancang  licik  oleh SPR  cukup jelas. Penipuan SPR ini bertujuan untuk  memastikan Najib Rosmah dan United Malays National Organisation terus berkuasa.

Contoh terbaik ialah dakwat kekal  yang TIDAK kekal. Anak semua bangsa ditipu bulat-bulat oleh Najib dan SPR. Ketika ini penipuan dijalankan dengan angkuh sekali. SPR merasakan United Malays National Organisation  ini akan terus berkuasa hingga  dunia kiamat. Tidak ada kuasa dalam dunia ini yang dapat mengalahkan Najib Rosmah. Amin

Kemenangan yang dirampas dalam PRU13 cukup menyakitkan hati. Pada  malam Rabu 8 Mei 2013 satu berhimpunan besar telah diadakan di Stadium Kelana Jaya. Ini tanda bantahan terhadap penipuan SPR dalam PRU13.

Pada petang 6 Mei 2013 kawan lama saya Zahid Hamidi yang kini  menjadi orang kanan Najib telah manalipon saya. Zahid meminta saya mengalihkan perhimpunan ini ke Stadium Merdeka. Zahid Hamidi  tanpa diminta telah menyewa Stadium Merdeka dengan menggunakan duit poketnya sendiri. Saya  dengan sopan telah menolak permintaan Zahid.

Anak semua bangsa telah berbondong-bondong turun dari awal petang ke Stadium. Paling jelas ialah kedatangan anak anak muda. Paling jelas ialah sokongn ampoh anak muda China. Semua turun membantah.

Angka 300 ribu  yang turun ke stadium cukup menakutkan Najib. Tapi perhimpunan malam itu telah gagal kerana ini hanya bantahan yang tidak bergerak ke mana-mana. Tersadai dalam stadium. Akhirnya ianya hanya   menjadi berhimpunan melepas geram. 

Polis dan FRU tidak kelihatan pada malam itu. Ini cara Zahid yang tidak  mahu berkonfrantasi. 

Saya berpendapat pada  malam itu seharusnya Anwar Ibrahim bukan hanya labon  berceramah tetapi membawa  300,000 anak semua bangsa bergerak ke  ke Putrajaya. Saya yakin malam itu juga Najib dan Rosmah akan lari lintang pukang.

Satelah gagal di Kelana Jaya anak-anak muda turun pula ke Padang Merbok  - berhimpun bermalam - terus  membuat bantahan penipuan SPR.  Sasaran anak muda ialah bangunan Parlimen. Semangat lawan anak muda sesudah PRU13 cukup kental. 

Najib mengambil tindakan  menangkap berbelas-belas anak muda . Mereka  yang ditangkap dihadapkan ke mahkamah.

Najib dengan licik telah menggunakan hukum dan hakam untuk mengalahkan musuh politik. Niat anak muda untuk membatalkan upacara angkat sumpah para YB di Parlimen telah digagalkan.

Sesudah semua ini berlaku maka ada semacam rasa kecewa. Ada semacam rasa ‘keletihan politik’. Ada semacam rasa putus asa. Ada semacam rasa mustahil untuk menumbangkan United Malays National Organisation dan kuncu-kuncunya. Dalam bahasa politik telah wujud ‘ political fatique’.

Tetiba pada 27 Januari 2014 tenaga dan kegairahan politik muncul semula. Rafizi memulakan ‘Langkah Kajang’. Saya menjadi penyokong awal memberi analisa tanda dan makna ‘Langkah Kajang’. Rafizi, Aru  PSM dan saya telah berforum di UBU Bangsar. Saya menyokong stratiji ini untuk mengangkat Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor. Khalid  yang semakin tidak mengindahkan kepentingan Pakatan Rakyat wajib  digantikan dengan Anwar Ibrahim. 

Rancangan ini juga telah digagalkan. Kes Anwar ‘berjahat’ dengan Saifol dipercepatkan. Akhirnya Langkah Kajang gagal. Khalid digantikan oleh Azmin Ali. Kemuramam politik bertambah-tambah.

Dalam suasana keletihan politik ini Anwar telah didapati bersalah dan dimasukkan ke penjara untuk kali ke dua pada 20 Feb 2015. Seolah-olah jalan buntu telah ditemui.

Saya sendiri merasakan keletihan politik. Ini bukan letih pisikal tapi letih emosi. Satu demi satu saya bertemu dengan kegagalan. Malah saya telah menyatakan kepada Anak Muda Bangsar  - kita wajib tunggu  30  tahun - untuk sekali lagi pusingan politik anti kerajaan sampai. 

Pada ketika ini Mahathir Muhamad masih lagi  Mahafiraun. Saya yang terlibat dalam menyusun politik jalanan Reformasi98 telah berjaya mengcap Mahathir sebagai ikon kezaliman. Tulisan-tulisan saya telah menggariskan siapa dia si Mahathir ini. Hingga ke hari ini tulisan saya itu masih dirujuk untuk digunakan sebagai kutukan bahawa  Hishamuddin Rais hari ini telah ditimbus dedak.

Dalam suasana keletihan politik   saya mula terdengar sok seh sok seh  Mahathir telah mula mengkritik Najib. Sebab musabab masih tidak jelas.

Inilah latar  dimana saya mula merisik untuk mencari kawan baru. Masanya telah sampai untuk  memperbanyakkan kawan. Membuat pensejajaran semula  dan memencilkan musuh. Saya yang bermazhab kiri cukup yakin dengan teori ‘united front’ atau Barisan Bersatu. 

Saya bukan ahli parti. Dan saya juga bukan ahli mana-mana NGO. Saya hanya menjadi ‘sosok rujuk’ untuk BERSIH2.  Saya sedar bukan semua ahli Pemandu Bersih itu cekap politik. Malah banyak NGO dalam jaringan Bersih ini amat-amat bebal politik. Mereka tidak faham hal stratiji dan taktik untuk menjatuhkan kerajaan.

Saya terlibat dalam BERSIH hanya dengan satu tujuan. Untuk menyusun gerakan jalan raya. Mengumpulkan orang ramai  untuk menjatuhkan kerajaan. Pilihan raya bersih dan adil ialah stratiji untuk mengolah persetujuan orang ramai agar turun ke jalan raya. Dalam hal ini saya cukup jelas.

Kritikan Mahathir terhadap Najib makin lantang. Para aktivis Ngo dan parti politik masih melihat ‘pertelingkahan’ ini  hal dalaman parti. Untuk saya bunyi biola yang digesek oleh Mahathir ini amat menyegarkan.

Saya berkhayal dan membayangkan betapa indahnya  Si Mahathir  yang mengkeritik Najib dapat diajak bersama untuk menggalang barisan bersatu.

Justeru untuk menglunaskan niat, saya telah meminta pandangan dan bantuan Amin Blak seorang wartawan MalaysianInsider. Pada ketika ini portal ini  belum diarwahkan. 

Sebagai wartawan Blak  memiliki jaringan yang luas.  Dia memiliki hubungan dengan pemimpin parti politik dari kerajaan dan pembangkang. Blak juga ada hubungan dengan  sosok-sosok  ahli perniagaan. 
Lalu saya  menyatakan  keinginan saya untuk bertemu dengan Orang Tun. Maksud saya ialah berbincang dengan sosok yang memiliki hubungan intim dengan Mahathir Muhamad.

Perbincangan untuk   mencari Orang  Tun ini berlaku pada awal tahun 2015. Hakikatnya saya sebenarnya  sedang merancang Bersih4. Justeru saya wajib memperbanyakkan kawan dan mengurangkan  lawan.

Saya tidak memilik mandat dari Bersih atau dari sesiapa pun untuk memulakan perbincangan gelap ini.  Maria Chin atau Ambiga tidak mengetahui apa yang saya lakukan. Saya melakukan ini kerana saya yakin dengan teori United Front. Saya mahu menggalang barisan bersatu yang luas.

Malah saya tidak tahu siapa Orang  Tun yang akan saya temui.  Blak melontarkan beberapa nama. Semua nama-nama yang dilontar  saya tidak tahu atau kenal. Maka saya pulangkan proses penapisan ini kepada  Blak.

Pada bulan  Feb 2015 Blak membawa berita baik. Dia telah berjaya menghubungi Orang Tun. Sosok ini telah bersetuju untuk bertemu dan berbincang.  

Biasanya saya akan mengadakan perbincagan di Old Town Brickfield.  Dalam dunia romantik,  saya anggap Old Town Brickfeild ini sama   saperti kedai kopi yang amat terkenal dalam dunia ini - Cafe de Flore St. Germain Paris. 

Cafe de Flore ialah tempat Jean-Paul Satre bertemu dengan buah hatinya Simon de Beauvoir. Tempat ahli falsafah ini menulis falsafahnya. Ianya juga tempat lepak Albert Camus. Kedai kopi ini telah dan masih menjadi  tempat lepak para aktivis politik dan intelektual kota Paris. 

Dalam kedai kopi ini garis politik  pemberontakan anak muda dan pelajar di Paris pada tahun 1968 telah dibincangkan. Kedai kopi ini telah menjadi salah satu simbol Paris.

Manakala di Old Town Cafe Brickfeild saya telah membincangkan keputusan untuk mengadakan Bersih 3, 4 dan 5. Disini juga pertemuaan awal merancang  antara Mat Sabu dan saya untuk mengadakan Himpunan Kebangkitan  Rakyat.

Rafizi, Mat Sabu, Rahim Ghaus, Tian Chua, Latifah Koya, Eli Wong, Salehuddin Ayub,  Suhaizan Kayat, Saifuddin Nasution, Sivarasa, Malek Husin, Rara, Jamaliah, Sheikh Omar, Dr S.Husin, Dr Jeya adalah  diantara nama-nama orang politik yang pernah datang berbincang dengan saya  di Old Town Cafe. 

Old Town saya pilih kerana saya boleh sampai dengan berjalan kaki dari bilik sewa saya. Sabenarnya nama Old Town itu hanyalah nama tempat bertemu. Kami  selalu duduk berbincang disebelah Old Town. Kami memesan minuman dari Restoran Husin atau membeli  chee cheong fun dari kereta tolak   dipermulaan  Jalan Thambypillay. Ini sejarah. Amin.

Justeru saya mencadangkan kepada Balak untuk bertemu Orang Tun di Old Town. Cadangan telah ditolak oleh Blak. Blak merasakan kedai kopi ini tidak sesuai. Maka dipersetujui untuk bertemu di Strawberry Cafe di Petaling Jaya. Ini lebih ‘up market’ berbanding  Jalan Merah Thambypillay.

Kami memilih hari bekerja agar tidak ramai pelanggan dalam cafe. Pertemuan jam 9.30 malam. Saya  dengan Blak datang awal dan menunggu.  Tepat jam 9.30 malam sosok ini sampai. Saya tidak akan menuliskan nama sosok ini. Kerana sosok ini adalah sosok belakang tabir yang pasti tidak mahu namanya diwar warkan.

‘ Datuk… saya berniat nak bekerjasama dengan Tun… ok ke?  Saya membuka gelangang.

‘ Kerja sama macam mana?

Saya terperangkap dengan soalan yang datang. Sabenarnya saya cuma merisik-risik.

‘ Dengan Bersih… kalau kami buat himpunan lagi… ‘

Pada ketika ini tidak ada sesiapa pun bersuara tentang Bersih 4. Tapi saya telah mula merisik secara gelap tanpa pengetahuan Maria Chin yang ketika ini menjadi Pengerusi Bersih.

‘ Kita tengok macam mana.. kita bincang nanti…’

Risikan saya tamat disini. Kemudian kami berlabun politik. Saya terus mengcungkil kesah politik Mahathir dengan Najib. Orang Tun ini juga berkesah itu dan ini. Pertemuan pertama mesra.  Apa terjadi sesudah pertemuan ini. Tunggu  minggu hadapan.  (tt)


NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan 
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-10-45

------------------

3 ulasan:

air gunung berkata...

Bosan tol TT.
Memang terpengaruh drama indon la kao neh.kah kah kah kah.. Mau jadi 345 episod ni.

Tanpa Nama berkata...

Mendatar cerita minggu ni TT..tulis pjg sikit. Selang seminggu banyak lama maa...

Tanpa Nama berkata...

That brader AI maybe a crowd puller but, he could not beat the CP AND MS ie. Crowd Puller and Master Strategist. These traits are with the current PM and he is always 100 (perhaps 10,000) steps ahead. He scanned the road and the path and the airspace even underwater for clearance sweeping of 'DEBRIS' ahead of time.

End game...with that Brader's stature and stale charisma, he still FAILED to take the mantle ie. GE13!

So, TT, stop kidding yourself...that brader will fail again despite his ride on the bandwagon that won GE14.....errrr that guy was,is still just a PASSENGER, period!

MLN