Kelantan Dalam Sejarah:Gugurnya Abdul Samad Gul, Terus Menjadi Misteri
Peminat tegar politik Kelantan akan berkata, anda tidak layak bercakap tentang politik Kelantan, jika anda tidak boleh bercakap mengenai kes ini.
Abdul Samad Bin Gul Ahmad Mianji, adalah pakej lengkap seorang ahli politik yang pernah lahir di bumi Kelantan. Tampan, tinggi, segak dan bergaya. Kepetahan berpidatonya hampir tiada tandingan. Keberaniannya juga begitu.
Malangnya, selepas tengah malam 3hb Julai, 1967, Samad Gul melangkah keluar dari Pejabat Perhubungan PAS Kelantan di Jalan Dato’ Pati untuk kali terakhir. Beliau baru menghadiri perjumpaan sempena Maulud Nabi.
Ahli Parlimen Pasir Mas Hulu itu kemudiannya berjalan kaki seorang diri menuju ke keretanya yang terletak di Jalan Hulu Pasar.
Lebih kurang jam 12.15 tengah malam, seorang mata-mata polis, Kuan Khek Nong melihat Samad berdiri berdekatan Mercedes Benz dengan tangan memekuk bahagian telinga kanannya. Kuan dapat melihat darah mengalir dari tengkuk Samad.
Apabila Kuan menghampiri, Samad menoleh dan menghulurkan kunci Mercedes kepada Kuan sambil meminta dihantar ke hospital.
Mata-mata polis itu bagaimanapun menahan sebuah kereta sewa yang melintasi di situ untuk membawa Samad mendapat bantuan perubatan.
Di dalam kereta sewa itu, Samad memberitahu Kuan, dia seorang Ahli Parlimen sebelum rebah ke hadapan dan tidak sedarkan diri.
Mereka tiba di hospital jam 12.25 tengah malam.
Pegawai perubatan bertugas, Dr. Wong Chong Wah memberi rawatan awal dan mendapati Samad di dalam keadaan separuh sedar dengan luka sepanjang 10 cm dari telinga kanan hingga ke belakang tengkuknya. Darah masih mengalir dari luka itu. Dr. Wong membuat keputusan memanggil pakar bedah.
Lima minit kemudian, pakar bedah Dr. Mohan Lall tiba. Samad didapati dalam keadaan tidak sesuai untuk pembedahan. Mohan mengarahkan 2 pint darah diberikan.
Berita Harian 4hb Julai, 1967 melaporkan, isteri Samad, Che Som Binti Mamat, seorang bidan yang bertugas di hospital pada malam tersebut segera ke bilik rawatan bila mendapat berita.
“Bila sampai, saya lihat suami saya berlumuran darah tubuhnya sedang diberi darah tambahan.
“Saya bertanya kepadanya, kenapa jadi begini?
“Suami saya menjawab, saya dipukul orang.
“Saya meminta suami saya mengucap, dan dia pun mengucap dua kali.”
Selepas itu, Samad tidak lagi sedar.
Pada 4.30 pagi, Pakar Bedah Mohan Lall mengarahkan Samad dipindahkan ke bilik pembedahan.
Pembedahan bermula pada jam 5.00 pagi. Samad berdepan dengan komplikasi pernafasan. Bantuan pernafasan yang diberikan tidak berjaya menyelamatkan Samad.
Pihak Hospital mengesahkan Abdul Samad Bin Gul Ahmad Mianji, 32 tahun, Ahli Parlimen Pasir Mas Hulu yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat meninggal dunia pada 6.00 pagi, 3 hb Julai, 1967.
Laporan rasmi hospital memaklumkan kematiannya berpunca dari kecederaan otak.
Allahyarham di kebumikan pada jam 3 petang hari yang sama di Tanah Perkuburan Kampung Dusun, 1.6 kilometer dari rumahnya di Jalan Bayam, Kota Bharu.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Che Som Binti Mamat, yang waktu kejadian berusia 30 tahun dan 5 orang anak, Zaiton 10 tahun, Shamsul Kamar, 7; Muna Hairani, 4; Zulkifli, 2, dan Mohamad Iqbal, 1.
Samad Gul, ahli politik hebat Kelantan sudah tiada lagi, selepas itu yang tinggal hanya Samad Gul seorang lagenda yang tumpas pada kapak kecil yang membelah 10 cm tengkoknya, dari telinga kanan hingga ke belakang kepalanya.
Mata-mata Kuan Khek Nong di dalam inkuiri awal memberitahu Majistret Abu Mansor Bin Ali pada malam kejadian, dia telah melihat seorang lelaki berlari ke arah belakang Jalan Hulu Pasar.
Kuan yang merasa curiga telah mengejar lelaki tersebut dengan basikal.
“Saya memotong jalan dengan basikal ke Jalan Che Su, ke Jalan Temenggong dengan harapan memberkas orang itu, tetapi tidak dapat melihatnya lagi,” kata Kuan.
Kuan kemudian membuat keputusan kembali ke Jalan Hulu Pasar untuk menyiasat, dan menemui Allahyarham berdekatan keretanya.
Setelah membawa Samad ke hospital, Kuan kembali ke tempat kejadian dan memeriksa kawasan sekitar Jalan Hulu Pasar, tetapi tiada apa-apa yang ditemuinya.
Bagaimanapun apabila memeriksa lorong belakang, Kuan menemui sebilah kapak kecil di atas peti-peti ikan. Kuan memberitahu majistret,
“Pada kapak kecil itu ada kesan darah dan beberapa helai rambut.”
Pada 4.40 pagi, 4hb Julai, 1967 pihak polis telah menahan seorang penarik beca, Mat Daud Bin Sahak, 30 tahun dari Sungai Golok. Menurut ASP Sarjit Singh Gill, Mat Daud ditahan di Pengkalan Tan Hock Seng di Sungai Golok, Rantau Panjang.
Mat Daud atau lebih dikenali sebagai Pak Dek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu yang penuh sesak dengan orang ramai pada 19hb Ogos. Di hadapan Majistret Abu Mansor Bin Ali, tuduhan ke atas Pak Dek dibaca.
Menurut pertuduhan yang dibaca, Pak Dek telah membunuh Abdul Samad di Jalan Hulu Pasar dengan menggunakan kapak kecil pada tengah malam 3hb Julai, 1967.
Pak Dek tidak dibenarkan ikat jamin.
Pada 19 September 1967, Majistret Abu Mansor mengeluarkan perintah supaya perbicaraan dijalankan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu. Timbalan Pendakwa Raya Kuala Terengganu, Talib Bin Abdul Hamin menjalankan pendakwaan, sementara Haji Hashim Bin Abdul Hamid dan C. Jegathesan bertindak sebagai peguam bela.
Pihak pendakwa bergantung kepada keterangan seorang pemandu ‘prebet sapu’, Mohamed Noor Bin Ismail, 25 tahun yang memberitahu mahkamah, tertuduh pernah bertanya samada dia kenal Samad Gul, dalam pertemuan di Golok pada bulan November 1966.
“Mat Daud memberitahu saya bahawa satu orang telah menyurohnya ‘katok’ Samad Gul.
“Selepas membuat kenyataan itu, Mat Daud ketawa lalu pergi,” jelas Mohamed Noor.
Bagaimanapun Mohamed Noor memberitahu Mahkamah, Pak Dek yang merupakan kawan baik tidak pernah memberitahu siapa yang mahu mengupahnya. Dia juga pada ketika itu berfikir bahawa Pak Dek hanya bergurau justeru tidak pernah melaporkan kejadian tersebut.
Pendakwa kemudian cuba meletakkan Pak Dek di tempat kejadian pada malam pembunuhan berlaku. Untuk tujuan tersebut pendakwa mengemukakan kepada mahkamah seorang pegawai polis trafik, Hasnan Bin Abdullah yang mengaku melihat Pak Dek sedang berjalan di Jalan Hilir Pasar pada 11.45 malam 2hb Julai, 1967. Iaitu 30 minit sebelum mata-mata polis menemui Abdul Samad Gul dalam keadaan berlumuran darah.
Di dalam keterangannya, Hasnan memaklumkan kepada mahkamah,
“Pada kira-kira jam 11.15 malam itu saya pergi ke sebuah kedai di hadapan panggong wayang Odeon untuk makan mee.
“Saya kemudian berjalan pulang di Jalan Sultanah Zainab, Jalan Tok Hakim, Jalan Temenggong dan Jalan Hilir Pasar.
“Dia (tertuduh) memakai seluar biru tua dan baju biru dan menuju ke tempat letak teksi,” kata Hasnan.
Di dalam keterangannya, Hasnan juga memberitahu bahawa Pak Dek adalah kawannya. Sewaktu dia bertugas di Pasir Mas, dia sering menaiki beca Pak Dek untuk ke Golok.
Selain daripada Hasnan, pendakwa juga mengemukakan seorang lagi saksi bernama Sa’ad Bin Hassan, 30 tahun. Saad seorang pemandu beca memberitahu mahkamah melihat seorang lelaki berlari ke arah satu lorong dekat Jalan Temenggong pada tengah malam di hari kejadian.
Bagaimanapun Sa’ad tidak dapat melihat wajah lelaki tersebut. Sebaliknya dia hanya mengenalpasti lelaki itu sewaktu kawad cam menerusi saiz tubuh.
Pada 3hb April 1968, Yang Arif Syed Othman Ali membuat keputusan membebaskan tertuduh, Mat Daud Bin Sahak tanpa dipanggil membela diri.
Hakim bersetuju dengan peguam bela bahawa tertuduh tidak perlu dipanggil membela diri terhadap keterangan yang dikemukakan oleh saksi-saksi pendakwa.
Hakim berpendapat bahawa memang Abdul Samad telah dibunuh dengan niat tetapi tidak yakin pihak pendakwa membuktikan Mat Daud adalah pembunuh Abdul Samad berdasarkan bukti-bukti yang dihadapkan ke mahkamah.
Hakim berpendapat, kenyataan dua saksi utama pendakwa hanya berkisar kepada kemungkinan-kemungkinan sahaja.
“Dalam perbicaraan jenayah khususnya dalam perkara bunuh, kita tidak ambil hirau terhadap kemungkinan-kemungkinan atau keterangan yang merupakan agak-agak,” jelas Yang Arif ketika menyampaikan keputusannya.
Hakim memberitahu semua keterangan perlu menunjukkan ke satu arah sahaja, iaitu yang tertuduh adalah orang yang melakukan kesalahan. Sebaliknya, didalam kes ini, keterangan dari saksi-saksi pendakwa menunjukkan bahawa tertuduh boleh jadi tidak bersalah.
Walaupun tertuduh dilihat berdekatan tempat kejadian tetapi tidak ada bukti menunjukkan tertuduh berada ditempat kejadian sewaktu mangsa diserang. Atau tidak ada saksi yang memberi keterangan melihat tertuduh bersama kapak kecil sebelum kejadian.
Sebaik keputusan diumumkan, Mat Daud berjabat tangan dan memeluk kedua-dua peguamnya. Beberapa rakannya yang hadir turut memberi ucap tahniah.
Penduduk Kelantan yang mengikuti perbicaraan dengan penuh minat, terkejut dan kecewa. Khabar-khabar angin terus tersebar. Semenjak hari itu sehinggalah ke hari ini, setiap kali nama Allahyarham disebut, pelbagai teori konspirasi akan terus menghangatkan perbualan di hadapan nasi berlauk dan nasi kerabu pagi.
Nota:
Ucapan terima kasih kepada sdr. Mohamad Iqbal Bin Abdul Samad yang memberi beberapa input mengenai Allahyarham, untuk melengkapkan artikel ini.
Warga Sokmo.Net merakamkan ucapan takziah kepada waris dan anggota keluarga Allahyarham. Apa yang terpaksa dilalui oleh mereka amat-amat menyayat hati. Kepergian Allahyarham pada usia begitu muda merupakan kehilangan besar. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan kekasih-kekasihNya. Al Fatihah.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi pengarang, ia tidak semestinya mewakili pandangan Sokmo.Net. Sebarang pandangan/artikel balas boleh dihantar ke admin@sokmo.net. Terima kasih. END
-------------
2 ulasan:
Dlm diri mengalir darah Melayu Islam. Tiada sedetik kecintaan
Assassin zaman 60an guna kapak kecik. Assassin skrg guna C4. Assassin dibebaskan. Tak bersalah. Hebat, perundangan Di negara Kita memang hebat!
Catat Ulasan