KAK BIBAH TAK KAYA KAYA
Minggu lalu saya telah menerangkan dari mana datangnya kekayaan. Apa dia punca kekayaan. Dari kajian terbukti - kekayaan datang hasil dari nilai lebihan masa dan tenaga kerja seorang buruh. Masa dan tenaga kerja ialah pelaburan dari seorang buruh yang dikumpul untuk menjadi kekayaan. Punca kekayaan ialah tenaga manusia.
Mat Husin yang memburuh 8 jam sehari dikilang biskut milik Towkay Lim. Nilai tenaga dan masa Mat Husin untuk 8 jam ialah 50 ringgit. Tetapi Towkay Lim hanya membayar Mat Husin 40 ringgit.
Lebihan 10 ringgit dari nilai tenaga dan masa memburuh telah diambil oleh Towkay Lim. Towkay Lim dihalalkan mengambil 10 ringgit dari tenaga dan masa Mat Husin ini kerana dia melabur membuka kilang. Towkay Lim dikatakan telah mengambil risiko besar untuk melabor. Melabur dan risiko adalah hujah yang dihamburkan oleh para pendukung sistem ekonomi kapitalis.
Bayangkan kalau ada 40 orang Mat Husin bekerja untuk Towkay Lim. Maka setiap hari Towkay Lim tanpa membanting tulang akan mendapat 400 ringgit bersih. Lagi ramai yang bekerja untuk Towkay Lim lagi banyak Towkay Lim dapat duit.
Diwar warkan Towkay Lim melabor memberi kerja untuk yang tak ada kerja. Dia juga mengambil rasiko besar maka kerana semua ini Towkay Lim turun temurun anak beranak berhak mengambil lebihan nilai masa dan tenaga dari Mat Husin dan buruh yang lain.
Hasilnya Towkay Lim – Bani China jadi kaya. Justeru Mat Husin Bani Melayu terus jadi Mat Husin yang dikritik oleh Mahathir. Mat Husin Bani Melayu dikatakan malas bekerja, dikatakan memilih kerja, dikatakan suka bekerja dengan kerajaan. Suka kerja yang ada pencen. Amin.
Kenapa kita tidak berupaya melihat Towkay Lim yang harta kekayaannya adalah hasil dari titik peloh lebihan tenaga dan masa Mat Husin dan buruh buruh yang lain.
Lihat pula bagaimana Alang Dusin bersama empat kawan telah turun ke laut jam tiga pagi sebelum air surut. Mereka merentas Selat Melaka selama 2 hari tiga malam bergantung pada tangkapan. Jika lumayan maka mereka bertahan lama. Jika meleset mereka akan pulang awal.
Di Jeti Kuala Muda Kedah Towkay Hong dengan Pajeronya telah menunggu Alang Dusin. Semua tangkapan Alang Dusin dipukul harga dan diambil terus oleh Towkay Hong kecuali anak-anak ikan. Towkay Hong bukan hanya memukul harga ikan Alang Dusin. Apa sahaja ikan, sotong dan udang terbaik dari perahu nelayan yang lain akan juga dibeli oleh Towkay Hong.
Towkay Hong akan menjual ikan, sotong, udang dan ketam ke restoran makanan laut di Tanjung. Satu kilo Senagin dari Alang Dusin Towkay Hong membayar 10 ringgit. Kemudian Towkay Hong menjual dengan harga 18 ringgit. Towkay Hong mendapat laba 8 ringgit dari setiap kilo Senagin. Towkay Hong membeli dari nelayan dengan harga murah dan menjual dengan harga yang lebih mahal.
Apa kelebihan Towkay Hong? Dia tidak melabor apa -apa. Tidak ada rasiko maut dari taupan dan ombak. Dia hanya datang dengan Pajero. Opps… sabar dahulu. Dari mana datangnya Pajero ini? Awal dulu Towkay Hong hanya datang dengan Kapcai dan sebuah raga.
Hubaya hubaya . Pajero ini adalah pengumpulan tenaga dan masa dari nelayan-nelayan di Kuala Muda yang terdahulu. Inilah punca Pajero ini – inilah punca kekayaan Towkay Hong. Amin.
Kak Bibah menanam padi satu relong. Ibu tunggal anak tiga ini adalah pemilik dan pengusaha. Kak Bibah bekerja bersendirian satelah suaminya meninggal dunia dalam satu kemalangan motosikal. Kak Bibah berusaha sendiri. Masa dan tenaga Kak Bibah untuk Kak Bibah sendiri.
Tapi awas sampai kiamat - tujuh puluh kali kerajaan membuat Dasar Ekonomi Baru atau membuat dasar Wawasan hingga ke tahun 2010000 - Kak Bibah tidak akan kaya kaya.
Ini kerana Kak Bibah tidak saperti Towkay Lim atau Towkay Hong yang berjaya mengumpul lebihan tenaga dan masa orang lain. Malah Kak Bibah sama saperti Alang Dusin dan Mat Husin tidak mungkin dapat menetapkan nilai lebihan tenaga dan masa milik mereka.
Bila ajenda siapa menetapkan nilai masa dan lebihan tenaga ini ditimbulkan maka akan muncul jawapan: kuasa pengeluaran dan permintaan. Atau untuk lebih cool dan cun dikatakan semua ini adalah ‘market forces – kuasa pasaran.’
Bila bab kuasa pasaran timbul maka Kak Bibah, Mat Husin dan Alang Dusin menjadi kabur kerana tidak faham apa itu pengeluaran dan permintaan dan apa itu market forces. Apa yang mereka tahu ialah mereka terus jadi hamba manakala Towkay Lim dan Towkay Hong berjenerasi menjadi kaya.
Pekara bagaimana Bani China jadi kaya dan kenapa Bani Melayu corot ekonomi tidak diperjelaskan dengan tuntas. Anak semua bangsa didodoikan dengan dongengn bahawa Bani Melayu malas, memilih kerja dan dan dan. Ini cerita hampeh.
Justeru tugas saya disini ialah membawa satu jalur penjelasan dan pencerahan untuk membuktikan bahawa ada satu lagi cara untuk kita semua melihat dan memahami kenapa Bani Melayu corot ekonomi.
Tukul dan paku yang saya gunakan untuk membawa pencerahan ialah tukul dan paku Marxis. Untuk saya inilah tukul dan paku yang paling tepat yang dapat memberi saya pemahaman kenapa Bani Melayu corot dan akan terus menerus corot ekonomi.
Tukul dan paku Marxis ini tidak diajarkan disekoah sekolah. Tidak diajarkan di university dan kolej atau di institusi pengajian ilmu. Malah tukul dan paku Marxis ini dilarang dipelajari.
Sesiapa yang membaca dan menggunakan tukul dan paku Marxis ini akan ditangkap dan dipenjara. Memiliki buku dan ilmu yang bersangkutan dengan tukul dan paku Marxis pada satu ketika dahulu juga akan di tangkap dipenjara dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Malah memiliki buku yang ada bau-bau tukul dan paku Marxis boleh digunakan sebagai salah satu bahan bukti untuk menghalalkan ditahan dibawah ISA.
Ini bukan kesah penglibur lara dari Hishamuddin Rais. Ini fakta sejarah.
Ketika saya di Universiti Malaya pada tahun 1971 – ada jenis jenis buku jika mahu dibaca maka wajib mendapat kebenaran dari Kementerian Dalam Negeri. Kebanyakan buku-buku ini bersangkut dengan ilmu tukul dan paku Marxis tentang ekonomi dan politik.
Hasil dari dasar anti ilmu dan anti Marxis maka pandangan kita , analisa para ilmuan kita tidak pernah tuntas dalam hal ekonomi. Analisa kita tentang kenapa Bani melyu corot ekonomi bercelaru. Ini kerana satu alat bertukang untuk memahami ekonomi tidak kita guna pakai. Malah ilmuan kita tidak tahu menahu bahawa wujudnya satu lagi sistem ekonomi selain dari sistem ekonomi kapitalis.
Pusing pusing yang di sebut hanya nama Adam Smith. Bila disebut Marxism akan muncul komunis, Yahudi dan kapir laknat tak sembahyang dan tak percaya pada Tuhan. Apa sangkut paut tuhan dalam sistem ekonomi kapitalis ini walllah hu alam bissawab.
Maka wajib saya beri tahu disini bahawa Das Kapital garapan Karl Marx (1818-1883) ialah buku tentang ekonomi, tentang kaji masyarakat dan tentang politik. Tukul dan paku Marxis ini adalah pandangan paling saintifik tentang alam dunia kita ini. Tentang wujudiah umat manusia. Tentang kenapa kita menjadi kita. Dan kenapa dia TIDAK menjadi kita.
Tukul dan paku Marxis ialah pengumpulan pengalaman keilmuan umat manusia. Satu kajian saintifik tentang kita semua – anak semua bangsa. Malah dalam tukul dan paku Marxs ini dihuraikan juga pandangan tentang apa itu Bani. Dan secara generik sosiolojis cuba dirungkai kenapa Bani Melayu benci Bani China.
Paling afdal kita akan faham kenapa Kak Bibah tak kaya kaya macam Towkay Lim dan Towkay Hong.
Saya berani mengatakan bahawa tukul dan paku Marxis ini tepat, betul dan saintifik kerana teori dan pandangan kaum Marxis ini bukan hanya untuk memahami Kak Bibah dan Alang Dusin dan Mat Husin. Ianya boleh digunakan untuk alam sejagat.
Kak Bibah ialah Moroko dibumi Arab . Alang Dusin ialah Uganda di Afrika. Manakala Mat Husin ialah Chile di Amerika Latin. Mereka adalah negara miskin. Towkay Lim ialah German. Towkay Hong ialah United Kingdom.
Kenapa Moroko, Uganda dan Chile terus miskin sama saperti yang dialami oleh Kak Bibah, Alang Dusin dan Mat Husin.
Jawabnya senang sahaja. Kemiskinan adalah hasil sistem ekonomi sistem kapitalis. Sistem ini memiliki hukum dan syarat. Untuk idividu, untuk kumpulan dan untuk negara. Sistem ekonomi kapitalis ini tidak berubah rukun imannya : mendapat keuntungan maksima – mencari laba. Keuntungan kaum kapitalis global ialah hasil dari lebihan nilai kerja dan masa umat manusia.
Semua yang hidup dalam sistem ekonomi kapitalis ini akan memiliki pengalaman, budaya dan gaya hidup yang sama. Tenaga dan masa mereka dieksploit untuk dikumpul dan dijadikan keuntungan.
Warga Chile memburuh di lombong tembaga akan dibayar dengan upah yang murah dari nilai harga tembaga. Pekebun buah limau di Moroko akan dibeli panen mereka oleh negara Kesatuan Eropah dengan harga murah. Upah pemetik kopi di Uganda sehari lebih murah dari harga secawan cuppicino atau secawan kopi di Sharaton Hotel New York.
Hubaya hubaya – sistem ekonomi kapitalis ini bergerak secara global. Dimana sahaja sistem ini digunakan pakai maka akan wujud Kak Bibah, Alang Dusin dan Mat Husin.
Moroko, Chile dan Uganda adalah negara dunia ketiga. Negara ini di ekspolit oleh negara maju saperti German, Canada, Peranchis atau Britain. Negara-negara maju ini tidak ada bezanya dari peranan yang dimainkan oleh Towkay Hong atau Towkay Lim.
Negara maju mengumpulkan nilai lebih masa dan tenaga bukan dari saorang Kak Bibah atau seorang Alang Dusin tetapi mengumpulkan nilai lebihan nilai tenaga dan masa 42 juta warga Uganda, 35 juta warga Moroko atau 18 Juta warga Chile.
Kak Bibah, Alang Dusin dan Mat Husin miskin bukan kerana dia dari Bani Melayu atau malas. tetapi kerana sistem ekonomi kapitalis yang bergerak dengan hukum dan syaratnya. Towkay Lim dan Towkay Hong kaya bukan kerana mereka dari Bani China - rajin bekerja tetapi kerana hukum dan syarat ekonomi kapitalis menyebelahi mereka.
Sila cari dan baca kembali buku The Godfather (1969) garapan Mario Puzo. Ada tertulis : Behind every great fortune lies a great crime. Every great fortune begins with a crime..’ Di sebalik harta kekayan ada jenayah besar. Setiap kekayaan bermula dengan jenayah….’ Apa jenayah ini ? Tunggu minggu hadapan. (TT)
TULISN INI DISIARKAN JUGA
DALAM SUARA KEADILAN
SESIAPA INGIN MELANGGAN
SILA PUKUL TALIPON:
03-92-21-30-45
-------------
1 ulasan:
Nko ingak oghe melayu baco ko ni sham.... Melayu malas membaco sham! Yang MELAYU TAHU ADALAH TONGGANG TONGGEK TONGGANG TONGGEK PASTU GI SEMBAH BENDA EMPAT SEGI YANG WARNA ITAM. Sib baik aku dah ikut pendeta saifudin ibrahim a.k.a abraham moses
Catat Ulasan