Selasa, 6 Oktober 2020

KAMAL DAN SADDAR

 



KAMAL DAN SADDAR

Tahun 1975 aku sampai ke kota Baghdad dari Beirut. untuk kali pertama.  Ketika itu Presiden Iraq ialah Ahmad Hasan al-Bakr.  Timbalan Presiden ialah Saddam Hussein. Dalam kota ini untuk pertama kalinya aku mula mengetahui tentang Sunni dan Shia. Ketika membesar di Jelebu  aku pernah mendengar  tentang dua mazhab ini.  Aku dibesarkan  dalam keluarga  dan masyarakat Melayu Islam Budaya justeru keluarga dan jiran  kami tidak ambil pot hal Sunni Shiah ini.

Di Baghdad – ibu kota Iraq - aku sempat berkenalan dengan pemimpin pelajar Iraq dan para aktivis muda dari Palestin. Mereka arif tentang hal  dua mazhab ini. Bukan arif dari sudut teoloji tapi arif dari sudut budaya Arab. Malah dari mereka aku mula mendengar surah surah  tentang Imam Ali, tentang Karbala dan Najaf. Di Baghdad juga untuk  pertama kali aku melihat wajah kacak Imam Ali terpampang dalam kedai makan.


Aku masih ingat kepada  Bashir – pemimpin persatuan  pelajar Iraq dari Universiti Basrah.   Kami berkenalan mesra  di Baghdad. Hari akhir sebelum  Bashir  pulang ke  Basrah dia bertanya ‘ di Malaysia  Sunni boleh kahwin dengan Shia atau tidak ? ’ Aku tak faham sebenarnya soalan ini. Aku terangkan di Malaysia yang selalu timbul persoalan ialah  China atau India nak kahwin Melayu. Sunni nak kawin Shiah ini tidak pernah aku dengar.

Bashir memandang tepat muka  aku. ‘ Kekasih aku Sunni dan aku Shiah …kami graduate tahun depan… keluarga   menghalang….’   Aku terkejut. Baru aku  sedar  bahawa Bashir minta simpati. Tapi aku tidak ada pandangan dalam hal ini.  Aku hanya berupaya  menghulur tangan  salam berpisahan.

Tahun 1977 aku sampai ke Baghdad  untuk kali kedua. Presiden Iraq  ialah Saddam Hussein.  Kali ini paspot aku telah dirampas oleh Kedutaan Malaysia. Aku nyeludup lari ke Pakistan.  Di Pakistan  aku  menjadi pendatang haram.  Aku menumpang  tinggal dengan anak mahasiswa Patani di Karachi. Aku tumpang tidur  di bilik mereka   di  International House Karachi Universiti. Bilik  number 4 yang menjadi alamat surat menyurat aku ketika di Pakistan.  Sosok Melayu Patani dan Melayu Malaysia  untuk warga Pakistan  tidak ada  beza. Aku selamat menyamar sebagai orang Siam.

Di Karachi Universiti aku berkenalan dengan ramai pelajar luar negara.  Pelajar dari Iran, Uganda, Palestin, Somalia, Afrika Selatan,  Iraq dan Lebanon.  Pelajar Petani ditakrif  pelajar dari Thailand. Kebanyakan  pelajar luar negara  menginap dalam asrama. Ketika itu tidak ada pelajar Melayu dari Malaysia yang belajar di Universiti Karachi. Aku selamat.

Semua ini berlaku sebelum Revolusi Iran. Sebelum kejatuhan  Shah Reza Pahlavi.  Sebelum dunia kenal nama Ayahtollah Khomeini. Sebelum  dunia bukan Islam tahu adanya  Sunni  Islam dan Shia Islam. 

Dalam Univeristi Karachi aku berkenalan dengan Kamal  anak Kurdish dari Iraq.  Kami jadi sahabat baik. Dia hairan kerana aku pernah sampai ke Shaqlawa wilayah  utara Kurdistan hampir dengan sempadan Turki. Kamal sendiri belum pernah sampai kesana.

Pernah dalam satu jamuan makan malam  pelajar luar  negara Univeristi Karachi aku diminta membuat tayangan slide. Ketika itu aku yang telah mula bermain dengan kamera. Secara jujur aku  merakam  aktiviti  mahasiswa luar negara  dari  Karachi Universiti. Kamal aku takrifkan sebagai mahasiswa dari Kurdistan.


Satu minggu kemudian Kamal dimarahi oleh pemimpin pelajar Iraq. Mereka marah kerana aku mentakrifkan Kamal sebagai siswa dari  Kurdistan. Untuk  Iraqi bangsa Kurdish tidak wujud.  Di Iraq hanya ada Arab Iraqi. Kurdish bangsa hina yang menempel.

Masa berjalan musim berubah. Pelajar baru masuk. Dan  satu hari aku diberitahu bahawa Kamal telah jatuh cinta dengan siswi yang baru masuk. Aku mengingtai intai  nak melihat rupa Saddar.  Kawan-kawan gumbira kerana  Saddar gadis  manis lagi bergetah  dari Karachi ini telah memilih Kamal.

Ketika ini juga kawan aku Yunus Ali  sampai ke Karachi sesudah bergerila  di Beirut.  Yunus  telah memberikan aku buku – Ali And Nino.  Buku ini dicetak pada tahun 1937 garapan Kurban Said  (1905-1942). Kurban Said dan buku ini hingga hari ini masih menjadi  kontrovesi. Tapi bukan bab ini yang ingin aku surahkan.

Ali dan Nino membawa  kesah cinta terhalang.  Ali lelaki Islam  bercinta  dengan Nino gadis Kristian   latar belakangkan kota  Baku dalam   suasana Revolusi Bolshevik di Azerbaijan.

Di hadapan mata aku di Karachi Kamal anak muda   Kurdish sedang  jatuh cinta dengan Saddar gadis   Sindhi  keluarga Shiah warga Pakistan . Mereka bercinta di Karachi berlatarkan  Revolusi Iran.

Aku rasa Kamal dari kelas berada.  Dia memiliki motosikal. Tidak ramai pelajar di Pakistan yang berupaya memiliki motosikal. Sesekali aku ternampak Saddar memboceng dan Kamal yang memacu.  Untuk kami pelajar luar negara si  Kamal dan si Saddar telah  menjadi Laila dan Majnun – Ashik dan Mashuk.  Kawan-kawan tahu bahawa mereka berdua  bukan cinta main main. Chinta Kamal dan Saddar menuju ke jinjing pelamin.

Satu petang  di chai khana – warung teh -  Kamal bersurah.  Desas desus telah mula tersebar bahawa keluarga Saddar tak suka percintaan Saddar dengan Kamal. Kesah percintan mereka dalam kampus sudah sampai  ke telinga keluarga.

‘ Emak dan ayah aku akan  datang minggu depan…’ Mereka nak berjumpa keluarga  Saddar… ‘ 

‘ Nak jumpa keluarga Saddar ..Wow… Nak masuk meminng ke?’ Dengan gumbira sambil ketawa  aku bertanya.

Kamal menerangkan bahawa dari desas desus yang di dengarnya keluarga Saddar  tak mahu menerima Kamal saorang Kurdish dari mazhab Sunni. Kamal terasa ayah dan emak Saddar menganggap Kamal ini dari keluarga miskin.   Untuk membuktikan anggapan ini salah emak dan ayah Kamal akan datang membawa buah tangan.  

‘ Bawa apa dari Baghdad? ‘

‘ Cincin, rantai, gelang dan emas permata… sebagai hadiah…’ Kamal menerangkan kepada aku.  Aku  menjadi hairan dengan adat istiadat dan cara masyarakat Pakistan. Aku merasa macam ada jual beli.

‘Kalau mereka nak emas… keluarga kami akan bawa emas…’  Kata nokhtah dari Kamal.

Aku sempat bertemu dengan emak dan ayah Kamal. Emaknnya  berpakaian tradisional Kurdish. Ayah Kamal saperti lelaki Eropah – kacak berjaket  tweed, baju puteh lengan panjang dan berkasut kulit hitam.  Dari cara pemakaian aku yakin mereka pastilah  orang berada di Kurdistan.



Satu minggu sesudah ayah dan emak Kamal pulang aku mendengar berita tidak baik. Saddar hilang. Saddar telah tidak datang ke kampus. Kamal tercari cari tapi  tak jumpa.  Apakah  Saddar  hilang diculik? Hilang kemana ?  Tidak ada sesiapa yan tahu.  Terbukti kedatangan  emak dan ayah  Kamal telah menghasilkan babak buruk.

Beberapa bulan kemudian  aku mendengar yang Saddar  awalnya disorokkan di luar Karachi. Kemudian satelah mendapat visa  Saddar telah di bawa lari ke Kuwait untuk disimpan  dirumah kakaknya.  Bagaimana Kamal mendapat berita ini aku kurang pasti.  Apa yang jelas keluarga  Saddar  berkeras mahu memisahkan Saddar dari Kamal. 

Sesekali aku terserempak dengan Kamal di chai khana. Aku tak sanggup bertanyakan   hal Saddar. Berat mana  mata memandang berat lagi  hati sosok yang ditinggal kekasih.

Dua minggu sebelum  kampus ditutup aku mendengar berita bahawa Saddar cuba membunuh diri di Kuwait. Dari desas desus aku dengar Saddar telah dikurung oleh kakaknya di Kuwait.  Aku yakin ini berita saheh.

Cinta Oh cinta. Lalu aku baca sekali lagi Ali and Nino. Bacaan kedua ini memberi aku pemahaman dalam  tentang beberapa  babak ritual  Shiah dalam   bulan Muhharam. Dulu di kampong  aku hanya   tahu Ashura kerana ada bubur Ashura  bila ada kenduri surau. Kini pemahamam aku tentang makna Ashura lebih dari makan bubur. Malah di Karachi aku dapat melihat ritual mengingati Perang Karbala dengan laungan Ya Hasan Ya Husin.

Kampus dibuka kembali. Tahun bermula. Tetiba Kamal membawa berita yang Saddar  telah diterbangkan pulang ke Karachi. Aku jangka Saddar  masih ingin menyambung kembali belajar yang telah ditinggalkan.

Pagi itu aku  di chai khana sedang minum. Mata aku merayau  memandang ke arah dalam  kampus. Aku ternampak Kamal bermotosikal.  Dia seorang diri.  Sambil minum teh aku memerhati  kedatangan posman. Aku sentiasa  menunggu posman. Posman adalah  jantan yang  aku harap-harapkan  ada membawa surat untuk Maruding Kasa No4 International Hostel  Karachi Universiti. Maruding Kasa ialah nama yang aku gunakan untuk menerima surat.

Pagi itu nasib aku baik. Ada sepucuk surat untuk Maruding dari Kuala Lumpur.  Sebelum sempat aku membuka surat itu Kamal telah sampai membawa Saddar ke meja aku.

Aduh ! Saddar kurus kering. Saperti baru keluar dari wad batuk kering.  Gadis dihadapan aku ini bukan Saddar yang  aku kenali. Manis telah hilang. Aku mengucapkan  selamat datang. Saddar cuba  tersenyum.  Kamal beredar mencari kerusi dan memesan minuman.

‘ Lama tak jumpa…’Aku memulakan surah.  Lalu Saddar bercerita bagaimana dia dikurung oleh kakak sendiri di Kuwait.  Sebagai jawapan Saddar telah enggan makan minum hinggkan dia wajib mendapat rawatan doctor. Gadis Sunni ini telah bersedia untuk berkorban demi kekasihnya jejaka  Shiah.  Aku   gumbira kerana Saddar akhirnya telah pulang ke Karachi untuk bertemu Kamal. Kegumbiraan aku menjadikan aku lupa tentang surat dari Kuala Lumpur.

Pulang ke bilik aku membuka surat. Ada potongan akhbar dari Utusan Malaysia. Seorang mahasiswa  dari Kelab Umno  yang belajar di Karachi telah  membuka kesah aku dalam Perhimpunan Agong Umno. Pelajar  ini menyeru kerajaan mengambil tindakan  ke atas aku di Karachi.

Dua hari kemudian aku membungkus barang-barang- barang meninggalkan Karachi. Aku menyeberang  ke Pintu Wagah – sempadan Pakistan India di Lahore Punjab. Aku meninggalkan Pakistan menuju ke New Delhi.

Aku putus hubungan dengan Pakistan. Sampai hari  ini aku tidak tahu apa terjadi kepada Kamal dan Saddar.  Pada tahun 2016  filem Ali And Nino dibuat. Aku tahu filem ini wujud dalam portal internet. Aku masih belum bersedia untuk menonton filem ini. Aku  belum  sanggup melalui kembali detik detik cinta agung yang gagal. Amin.(TT)


KESAH INI JUGA
DISIARAKAN DALAM
PORTAL MALAYSIANOW
SILA LAYARI
https://www.malaysianow.com/wacana/2020/10/06/cinta-kamal-dan-saddar/


2 ulasan:

HALIMI MN berkata...

Boleh buat filem lagi nih Tajuk "BUKAN dari Jemapoh ke Manchester." Lepas ni nak cari kat google Ali & Nino.

panglimo potaseh berkata...

Minggu lepas lu cerita hal Budak Sekolah nutoh Mak Chik ..minggu ni Sunni nutoh Syiah ..corito kawan REFORMASI lu bojubo bilo lak ..?