Ahad, 7 Februari 2021

KETUM DAN GANJA -TUMBUHAN ASLI TANAH MELAYU

 



KETUM DAN GANJA

TUMBUHAN ASLI

TANAH MELAYU


Aku tidak akan menggunakan nama  saintifik atau lebih tepat lagi nama kolonial terhadap dua tumbuhan asli milik bumi tropikal Tanah Melayu ini. Nama-nama yang bunyinya pelik lagi asing dan susah nak dieja. Nama-nama pelik ini   pada hemat aku ini  sengaja disebarkan  untuk menakut-nakut orang yang mendengar. 

Dalam masa yang sama nama kolonial ini digunakan untuk nak menunjukkan betapa bijaknya sosok  yang berupaya mengeja dan menyebut  nama  itu.

Dua tumbuhan asli dari  bumi tropikal Tanah Melayu yang ialah ganja dan  ketum. 

Semua warga tahu apa itu ganja. Semua tahu apa itu ketum.  Mustahil ada sosok yang mengada-ngada buat tidak tahu.

Aku yakin semua  warga yang akil baligh pernah mendengar  nama  ganja dan ketum sekurang-kurangnya sekali.  Aku juga yakin  ramai  belum melihat  rupa dua tumbuhan ini. Mungkin juga ramai juga  yang tidak tahu apa guna dan peranan dua tumbuhan ini.  

Kalau  masih  ada  lagi  Mamat atau  Minah yang klim  tak pernah mendengar ganja dan ketum – kalau aku ada kuasa -  aku akan gantung status kerakyatan hingga mereka kenal apa itu ganja dan apa itu ketum.

angan  risau dan jangan kecewa kalau  tak pernah  melihat  ganja dan daun  ketum. Tidak pernah melihat dua tumbuhan ini  bukan satu jenayah. 

Penggunaan nama Latin untuk ketum dan ganja adalah mengarut. Ketum dan ganja mustahil  akan tumbuh segar di tepi Sungai Tiber Rom Itali – tempat asal usul bahasa Latin.  

 Satu Tanah Melayu tahu bahawa ganja dan ketum boleh hidup subur membiak di belakang Kedai  Pak Usin Batu Tujuh Bendang Raja Kuala Nerang.  

Pasal itu ada daerah dan orang-orang kampung  di Tanah Melayu ini panggil Daun Ketum sebagai Daun  Biak. Kerana senang membiak dalam alam bumi tropikal.

Aku menulis tentang ketum dan ganja ini dengan tujuan yang amat jelas.  Aku menulis bukan kerana aku di upah oleh tokan ganja atau  tokan ketum.   Tidak.   

Aku menulis ini untuk membuka pencerahan kepada anak semua bangsa dan bangsa semua agama. Untuk membuka wacana baru tentang daun ketum dan daun ganja. Untuk menjadikan ganja dan ketum perbualan harian. Membawang dan berlabun tentang ketum dan ganja  dari sudut  yang segar, cerah  dan berpaksikan   sejarah dan fakta.

Akhirnya aku mahu meminta ahli-ahli Parlimen  kita  menilai kembali sikap anti ketum dan anti ganja yang mereka anuti.   Sikap anti ketum dan anti ganja ini telah melebar. Sikap anti dua tumbuhan  asli Tanah Melayu ini  muncul melalui  apa yang dipanggil akta dan undang-undang yang diluluskan melalui  apa yang dipanggil Parlimen.

Ahli Parlimen dan Senator – para YB -  bertanggung jawab membuat dan meluluskan rang undang-undang. 

Undang-undang ini adalah konstruk sosial yang diwujudkan oleh daulah. Konstruk  sosial bukan azali. Konstruk sosial ialah hasil perbuatan manusia.  Ianya  tidak natural saperti petai dan kerdas atau pisang.  

Konstruk sosial  ini diwujudkan oleh manusia seperti rumah atau reban ayam. 

Tetapi ianya bukan macam reban ayam yang boleh dilihat dan dipegang.  Konstruk sosial  tidak dapat dilihat. Tetapi ianya  wujud.  Konstruk sosial  wujud  dengan agenda dan tujuan  masing-masing. Semua kontruk sosial memiliki agenda. Amin.

Pada hemat saya para YB ahli Parlimen yang meluluskan akta dan undang-undang  ini boleh juga mengubahnya sekali lagi.

Undang–undang bukan macam air h2o  – 2  bahagian hydrogen  dan  1 bahagian oxygen  bila bercampur akan  jadi air. Kombinasi h2o ini tidak boleh diubah-ubah.

Akta  anti ganja dan anti ketum bukan begitu. Hakikatnya apa sahaja yang di buat oleh manusia boleh juga diubah atau dilupuskan oleh manusia.

Opss... awas... betul ke para YB kita yang membuat akta anti ketum dan anti ganja ini? 

Opps... gua silap.  Aku silap besar. Bila aku tanya Lebai Google  tentang akta ini baru aku sedar  apa yang sebenarnya telah berlaku. Bila aku selidiki lagi maka aku mendapat melihat dengan jelas lagi terang.  Terang macam  tengah hari jam 12. 

 Jeng jeng jeng. Pencerahan sampai pada aku.  Biar aku terangkan dan berkongsi  apa  pencerahan ini telah sampai ke dalam kepala aku.

Awal wahid  -  selesai membaca tulisan aku ini para pembaca yang budiman sila beri perhatian teliti. Baca dengan  teliti apabila membaca berita   tangkapan ganja atau ketum yang dilaporkan oleh media.

Pada hari Senin 1/2/2021  lalu Portal My Metro ada melaporkan sebuah lori dengan muatan 4.5 tan daun ketum ditahan dalam perjalanan dari Baling  Grik Kedah  ke  Serambi Mekah. 

Polis berkata : Suspek di reman sehingga 4 Februari depan untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Pada 10 Jun 2020  portal Berita Harian telah melaporkan tentang sosok bernama Mat Tarzan dari  Jalan Datuk Kumbar Alor Star  telah ditahan  kerana  menanam ganja di halaman rumahnya.

Polis berkata : Kes disiasat mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana menanam pokok ganja dan Seksyen 15 (1) ADB 1952.

Satelah membaca dua berita ini adakah pembaca  nampak sesuatu? 

Bukan nampak daun ganja atau daun ketum. Tetapi sesuatu  yang amat menonjol. Selama ini  ianya  tenggelam dalam laporan berita.  Selama ini mata kita hanya memerhati berapa kilo ganja dirampas atau berapa guni daun ketum ditemui dalam lori.  Gambar polis berhadapan dengan daun ketum atau air ketum mengalihkan pandangan kita untuk menjadi teliti.

Angka  1952  - perhatikan betul -betul – angka  1-9-5-2 -  Akta Racun 1952. Akta Dadah 1952. Kuncinya disini ialah angka 1-9-5-2.

Kenapa aku mengatakan angka 1-9-5-2 sebagai kunci ?

Elementri Bro.... 1952  ialah angka tahun akta itu dibuat.  Sedarlah bahawa pada tahun 1952  kita  belum ada  Parlimen. Kita masih lagi di jajah oleh Inggeris. Maknanya  undang-undang dan akta ini adalah hukuman dari kuasa kolonial  Inggeris.  Betul atau tidak?

Ini bukan undang-undang dari  Parlimen Tengku . Bukan  Parlimen Tun Razak. Tapi  kuasa kolonial Inggeris dan Baginda Queen  yang membuat udang undang ini. 

Lu ada faham? Lu faham atau tidak faham?

Undang-undang anti ganja dan ketum ini di buat oleh kuasa kolonial Inggeris.  Sesudah fakta ini difahami maka aku akan masuk ke satu bab yang baru.

Fakta baru ini ialah di  negara yang di jajah seperti Tanah Melayu - anak buah suku sakat kaum kerabat Baginda Queen  dari  London awalnya  datang dengan syarikat  bernama East India Company. Ini sebenarnya lanun laut   yang di payung oleh Baginda Queen. Datang untuk menjarah harta kekayaan  Tanah Melayu.  

Lanun ini diberi taraf ‘perniagaan’ oleh Baginda Queen. Mereka melanun atas nama Baginda Queen. Dapat senjata dan bantuan laut dari Baginda Queen.  Ini sama macam Najib mencuri duit 1MDB atas nama United Malays National Organisation – dibantu oleh segala kemudahan negara – atas alasan  untuk menolong Melayu. Amin.

Lanun penjajah ini  telah  mendirikan kilang Tiger Beer di Singapura pada tahun  1932. Pada  tahun 1933 kilang Anchor beer didirikan juga di Singapura.  Dua  beer ini amat terkenal dalam dunia ini. Dua-dua beer ini berasal  dari air  Kallang di Singapura. 

Anak anak muda  jangan silap faham dan bertanya -  ada apa tersangkut dengan Singapura.

Singapura ini adalah sebahagian  dari Tanah Melayu. Pulau ini kita boleh nampak dari Johor Baharu. Kalau kita menonggeng  beramai-ramai dan terkentut di Johor Baru mengarah ke Singapura mungkin ada bangunan yang akan runtuh di Woodland.   

Bagaimana parti ketuanan Melayu -  United Malays National Organisation belot hingga  Singapura cabut lari – satu cerita lain. Bukan dalam surah  ganja dan ketum. Amin.

Apa yang hendak aku sampaikan disini ialah bagaimana kuasa kolonial Inggeris mahu memunculkan satu akta dan udang undang untuk melarang ketum dan ganja. Undang- undang ini di buat pada tahun 1952. Akta anti ketum dan anti hanja ini muncul 20 satelah Tiger dan Anchor bertapak di Singapura.

Nampak atau tak nampak?

Tujuan undang-undang anti ganja dan  anti ketum  dibuat  agar orang ramai  lari dari menghisap ganja dan  meninggal meninum air ketum untuk membeli beer buatan  syarikat  kolonial Inggeris. 

Satu habuk pun aku tak percaya bahawa  Baginda Queen  yang meluluskan akta anti ganja dan anti ketum ada  niat untuk  menjaga  kesihatan anak-anak tanah jajahan. Poorah.

Niat kesihatan ini tak timbul. Kuasa kolonial Inggeris datang untuk menjarah Tanah Melayu. Apa boleh dirembat akan dirembat . Apa boleh  dilanun akan di lanun.   Gali, tebang dan jual. Ini rukun iman kuasa kolonial Inggeris.

Jangan lupa  - rokok dan tembakau telah diperkenalkan ke Tanah Melayu seawal tahun 1912 – lebih awal dari Tiger dan Anchor.  Di Kelantan walau pun klim sebagai Serambi Mekah  menjadi wilayah penting untuk kaum tani menanam tembakau.  Tidak ada undang-undang anti rokok yang bersabit dengan kesihatan  sehingga tahun 1977. 

Para perancang syarikat beer pasti sedar bahawa ganja dan ketum adalah dua tanaman asli Tanah Melayu. Ini memberi persaingan yang maha hebat kepada Anchor dan Tiger. Voila! Maka undang-undang  yang berselindung disebalik kesihatan dibuat.

Konon untuk mengawal dan menjaga kesehatan anak tanah jajahan dari makan racun. Maka dimunculkan Akta Racun 1952. Pukrak mukrak  apa ? Ganja dan ketum tidak penah menjadi  racun dalam alam Melayu. Tak ada siapa kena racun. Ganja dan ketum wujud selari dalam budaya kehidupan kaum tani, nelayan dan buruh cucu cicit anak Bani Melayu.

Tetiba   Mat Salleh para penjajah ini  mengatakan ganja dan ketum ini racun. Ganja dan ketum tidak baik untuk kesihantan. Untuk berehat dan bersantai salepas memburuh di bendang atau pulang dari menangkap ikan buka sebotol  Harimau atau sebotol Sauh. 

Apakh para pembaca budiaman tidak melihat kenapa  harimau  dari hutan dan sauh dari laut telah dijadikan  logo?

Ini taktik kuasa kolonial  Inggeris di belakang Akta Racun 1952.  Tak percaya ? Tunggu minggu hadapan aku akan sambung.  (TT)


TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM KOLUMN
PORTAL MALAYSIAKINI.COM




2 ulasan:

Yeop sepet berkata...

Caya la TT dah lama gua tggu lu bukak ceta nie. Gua nak share ngan pembaca TT,2019 gua ada involve projek smart farming dgn north corridor investment authority (NCIA). nCIA nie bwh JPM chairman Masa tu PM atok la.ada satu prujek Gua dimintak dek NCIA utk dptkan benih ganja,Gua Masa mula2 dengar drp mulut pegawai NCIA 'benih hemp' rasa mcm mimpi.ya betoi NCIA nak buat ladang hemp di kedah, initatif pjbt PM,atok sndri. Hujung tahun tu,mesyuarat ADUN kedah luluskan tanah 100ha utk pilot projek hemp di wang kelian border ngan siam.dijadual Pula atok sndri akan bwk usul di parlimen gubal akta utk cannabis dan ketum bulan 3 2020. kalau bukan kerana langkah sheraton,aku ari nie dah bule mintak permit tanam ganja utk komersial. Aku paling pelik budak PPBM,depa tau ceta nie,siap ada mantan calon MP bagan serai drp sayap ARMADA kantoi pokok ganja dlm Rumah jadi tokan,tp psl apa hangpa sokong malikul sembab.padan muka kena tangkap,kalu hangpa sokong atok dulu skg nie rilek je isap balut kat kebun ganja sendiri. Haha padan muka ARMADA betoi bunch of fakin idiot.

Jungle man berkata...

Tembakau lebih memudaratkan drp ganja kenapa tak diharamkan