AWAS
PKP di seluruh negara 12 Mei hingga 7 Jun, umum PM
PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di seluruh negara bermula Rabu ini sehingga 7 Jun, umum Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, dengan larangan rentas negeri dan daerah berkuat kuasa serta merta hari ini.
Larangan aktiviti sosial, sukan dan pendidikan juga berkuat kuasa serta merta hari ini, kata Muhyiddin.
“Tarikh kuat kuasa bagi larangan-larangan dan arahan-arahan lain bermula pada 12 Mei hingga 7 Jun 2021.
“Sepanjang tempoh ini, semua sektor ekonomi dibenarkan untuk beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.
Keputusan mengenakan PKP di seluruh negara dicapai awal hari ini dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan oleh Muhyiddin.
Menurut Muhyiddin, keputusan itu dibuat selepas kes jangkitan Covid-19 harian pada minggu ini melebihi 4,000 kes, dengan keseluruhan kes aktif sebanyak 37,396 dan 1,700 kematian.
“Malaysia sedang berhadapan dengan gelombang ketiga Covid-19 yang boleh mencetuskan suatu krisis nasional,” katanya.
Keputusan mengenakan PKP di seluruh adalah langkah lebih tegas dan ketat bagi mengekang penularan wabak dalam masyarakat dan menghalang kenaikan kes secara mendadak, tambahnya.
Muhyiddin menyebut tiga faktor yang menjadi asas keputusan iaitu adanya varian baharu Covid-19 yang mempunyai kadar jangkitan lebih tinggi, kekangan ke atas kemampuan sistem kesihatan awam yang semakin meruncing, serta kelemahan pematuhan SOP dalam kalangan sebahagian anggota masyarakat.
“Data dan sains terus menunjukkan bahawa aktiviti-aktiviti perhimpunan yang menyukarkan penjarakan sosial dan keberadaan orang ramai dalam ruang yang sesak menjadi punca utama penularan Covid-19.
“Rantaian jangkitan Covid-19 hanya dapat diputuskan dengan menggalakkan orang ramai duduk di rumah menerusi kawalan pergerakan yang lebih ketat,” kata perdana menteri. – 10 Mei, 2021.
KITA
JAGA
KITA
1 ulasan:
Pkp ni untuk rakyat saja. Tak lama lagi keluarlah cerita orang kayangan langgar pkp. Lepas tu keluarkan semua dalil untuk halalkan cara.
Catat Ulasan