BILA
MAT REMPIT
PASANG
KAIN RENTANG
Dari laporan beberapa portal berita saya telah membaca berita tentang satu kumpulan Mat Rempit ‘mengamuk’. Ini berlaku pada malam raya tahun 2021 ketika Malaysia dalam PKP 3.0. Ketika wabak virus Kobid sedang mengganas.
Babak ini berlaku di Parit Raja Batu Pahat. Berita telah melaporkan bagaimana Mat Rempit telah menaikan kain rentang bertulis ‘ Kerajaan Gagal ‘ di jambatan yang melintasi jalan raya. Jelas langkah Mat Rempit ini ialah untuk memperlihatkan kain rentang ini kepada sebanyak mungkin orang rami. Jika mata dan hati orang ramai bukan sasaran pasti kain rentang ini akan dipasang dalam kelambu. Hebat.
Seperti biasa di Malaysia kita ini dari zaman kerajaan United Malays National Organisation hingga ke kerajaan Bersatu sekarang ini - jawapan terhadap kain rentang itu adalah sama. Mat Rempit dan anak anak muda ini di tahan oleh mata-mata dan di bawa ke rumah pasung. Amin
Kalau saya Muhyiddin Yasin , kalau saya Azmin Ali dan kalau saya Hamzah Zainuddin - saya akan cuba memahami tanda dan makna dari apa yang sedang disampaikan oleh Mat Rempit ini.
Mata-mata menangkap dan memasukan Mat Rempit ini ke dalam rumah pasung kemudian di dakwa hanyalah menelan penadol untuk menghilangkan sakit kepala .
Sakit kepala itu masih wujud. Kencing manis tetap wujud. Malah makin membara dan membarah. Silap hari bulan kaki akan dipotong.
Justeru, kalau saya Muhyiddin Yassin , kalau saya Azmin Ali dan kalau saya Hamzah Zainuddin – dipagi raya – sesudah makan lemang dan rendang - saya akan mula melihat dan cuba memahami apa sebenarnya telah berlaku. Amin.
Bila Mat Rempit menaikkan kain rentang - ini sudah berat.
Saya cukup sedar bagaimana masyarakat memahami dan melihat kelompok yang dipanggil Mat Rempit. Mat Rempit sentiasa di pelekeh – mereka dipandang rendah – kelas terkebawah. Kelas tercorot. Menjadi tempat membuang kemarahan kepada pemandu kereta di jalan raya.
Masyarakat kelas menengah - dari Bangsar dan Taman Tun - menganggap Mat Rempit ini ‘sampah masyarakat’. Moto Kapcai Mat Rempit bukan sahaja bising malah mengganggu perjalanan luncur Mercedes atau BMW mereka.
Masyarakat soh seh soh seh yang bercakap dalam Bahasa Inggeris menganggap Mat Rempit ini sebagai ‘ pest and nuissance’ sama seperti lipas dan tikus yang wajib dibasmi.
Pak Lebai, Para Ustad dan Ulama YouTube menganggap Mat Rempit sebagai kumpulan sesat kerana tidak mahu tunduk mengikut ajaran budaya Arab yang melarang lelaki dan perempuan – jantan dan betina - yang bukan abang dan kakak bercampur bebas untuk enjoy de menjoy.
Mat Rempit dan Minah Rempit melaram dengan motosikal mereka. Minah Rempit a.k.a Chikaro membonceng atas kapcai menjadi piala rebutan untuk dinikmati. Mereka mengancam budaya Arab.
Justeru kalau saya Muhyiddin Yasin, kalau saya Azmin Ali dan kalau saya Hamzah Zainuddin - sesudah memakan ketupat dan lemang saya akan mencari buku untuk dibaca dan agar dapat memahami apa itu politik, apa itu persepsi dan apa itu manifestasi.
Kalau saya Muhyidin Yasin, kalau saya Azmin Ali dan kalau saya Hamzah Zainudin saya juga akan mencari buku untuk memahami apa itu kontradiksi. Untuk memahami apa kontradiksi besar atau pertentangan besar dan apa itu kontradiksi kecil atau pertentangan kecil.
Kalau saya Muhyidin Yassin, kalau saya Azmin Ali dan kalau saya Hamzah Zainuddin saya juga akan menelaah kitab klasik Marxisme untuk memahami kontradiksi. Membaca buku genre marxis pada tahun 2021 bukan lagi satu kesalahan. Lagi pun menteri di Malaysia ini mustahil akan ‘ diusik’ oleh pihak berwajib.
Bila Mat Rempit menaikan kain rentang – ini sudah berat. Apakah persepsi Mat Rempit terhadap kerajaan hingga mereka menaikan kain rentang Kerajaan Gagal.?
Awal wahid untuk memahami apa Mat Rempit lakukan di Parit Raja kita wajib memahami apa itu persepsi.
Persepsi bermakna orang ramai memahami sesuatu pekara melalui pendengaran, melalui penglihatan atau memahami melalui perasaan. Persepsi ialah pemahaman , anggapan dan andaian. Persepsi tidak ilmiah. Tidak saintifik. Mustahil dapat diuji dalam bilik makmal.
Politikus bekerja siang dan malam untuk mewujudkan persepsi. Anwar Ibrahim menjadi Imam membaca khutbah. Muhyidin membaca doa. Azmin Ali menyapu masjid di Mekah. Najib memberi salam pada kubur nabi. Shahidan apabila di dakwa di mahkamah atas tuduhan ‘meraba anak gadis bawah umur ‘ telah datang dengan pakaian Pak Lebai berketayap dengan menaiki kerusi roda.
Semua perbuatan dan kelakuan ini dirancang untuk melahirkan persepsi. Semua ini dirancang dengan niat untuk memperlihat kepada bakal pengundi, kepada penyokong dan kepada rakyat betapa zuhud alim wafak dan syumul sosok-sosok politikus ini.
Politikus sama seperti iklan ubat gigi akan berdiri memakai baju putih dengan stetehoscope tergantung di leher. Doktor dan jururawat memakai serba putih. Politikus Melayu memakai ketayap, serban dan kopiah – untuk melahirkan persepsi alim ,warak , syumul , suci lagi bersih.
Mat Rempit menaikan kain rentang dengan tulisan ‘ Kerajaan Gagal’ ini persepsi apa pulak ?
Mat Rempit kelas tercorot – kumpulan paling tak ambil pot tentang politik negara – kini telah memiliki persepsi – Kerajaan Gagal. Ini amat berat.
Kerajaan gagal ini bukan persepsi atau fitnah politik dari Hishamuddin Rais. Saya hanya melakarkan apa yang saya lihat. Saya melihat gambar kain rentang bertulis Kerajaan Gagal. Gambar ini saya lihat dalam portal berita.
Yang saya lihat bukan persepsi. Apa yang saya lihat dan baca ialah fakta. Fakta bukan persepsi.
Jika saya Muhyiddin Yassin , jika saya Azmin Ali dan jika saya Hamzah Zainuddin – saya akan bertanya kepada diri saya sendiri : Kenapa Mat Rempit yang lekeh kini memiliki persepsi Kerajaan Gagal?
Pelik binti Hairan kenapa dan bagaimana Mat Rempit ini telah memilik persepsi. Persepsi ini adalah persepsi politik. Persepsi politik tinggi seperti ini keluar dari mulut warga Bangsar atau Taman Tun. Bukan dari Mat Rempit – anggota masyarakat yang paling corot yang tidak mengambil tahu hal ehwal politik negara.
Malah bila sekumpulan Mat Rempit ditanya hal ehwal politik jawapan akan memeranjatkan. Siapa Perdana Menteri sekarang? Besar kemungkinan ramai Mat Rempit akan menjawab Mahathir Muhamad.
Jangan ketawa. Ini jawapan Mat Rempit bukan jawapan dari ahli Majlis Profesor.
Dari mana asal usul persepsi Mat Rempit ini?
Bila soalan dari mana persepsi datang maka akan lahir satu lagi perkataan. Perkataan ini ialah manifestasi.
Manifestasi ini apa ? Manifestasi ini talepon keluaran baru dari Korea ke? Ada berapa lubang kamera? Jika ada sesiapa yang bertanya sedemikian maka inilah contoh pertanyaan dari Mat Rempit.
Persepsi lahir dari manifestasi. Manifestasi ialah perkara yang sedang berlaku. Manifestasi adalah perkara yang kita lihat sedang terpampang dimata kita. Contoh : Ramai orang memakai topeng muka. Ini adalah manifestasi dari serangan Kobid.
Contohnya : Apabila Ahmad kahwin dengan Aminah lima bulan kemudian Aminah mengandung. Mengandung ini ialah manifestasi dari perkahwinan Ahmad dan Aminah.
Manifestasi ini adalah perkara yang berlaku. Ianya terjadi disebabkan oleh sesuatu. Ada sebab musabab. Ada sebab ada akibat. Ada penyebab. Aminah mengandung sebab Aminah telah ditiduri oleh Ahmad. Benih Ahmad telah masuk ke dalam perut Aminah. Mengandung itu adalah manifestasi dari perkahwinan. Khalas
Apa yang kita lihat sedang berlaku dan terjadi di sekeliling kita semuanya adalah manifestasi dari sesuatu. Pokok bergoyang kerana tiupan angin atau kerana tupai . Tupai meloncat kerana lari dari ular. Ular mengejar tupai kerana lapar nak makan. Dan dan dan.
Semua ada sebab dan akibat. Pokok bergoyang adalah manifestasi. Penyebabnya angin atau tupai.
Tidak ada satu pun perkara dalam dunia ini yang berlaku tanpa sebab tanpa penyebab. Sebab dan penyebab ini adalah hukum alam yang azali. Amin.
Justeru jika saya Muhyiddin Yasin, jika saya Azmin Ali da jika saya Hamzah Zainuddin maka saya akan cuba mencari apa sebab musabab Mat Rempit menaikan kain rentang Kerajaan Gagal.
Kenapa agaknya kumpulan masyarakat yang paling tercorot ini melakukan apa yang telah mereka lakukan pada malam raya di Parit Raja.
Perbuatan Mat Rempit ini satu manifestasi. Apa yang telah menunda, memahat dan menolak hingga lahir manifestasi Mat Rempit ini.
Sebenarnya persepsi kain rentang Mat Rempit ini adalah manifestasi dari pandangan orang ramai. Saya bukan berniat untuk mempelekeh keupayaan fikrah Mat Rempit.
Saya menulis ini untuk merayakan Mat Rempit yang berani berkata : Woit Muhyiddin, woit Azmin dan woit Hamzah - seluar kamu semua dah koyak... kontol terkeluar. Amin.
Bila Mat Rempit menaikan kain rentang ‘ Kerajaan Gagal ‘ ini maknanya kemarahan rakyat telah sampai ke tahap gaban. Bila Mat Rempit mula bersuara ini maknanya ada sesuatu yang tidak kena dalam negara ini.
Jika saya Muhyidin Yassin, jika saya Azmin Ali dan jika saya Hamzah Zainuddin maka saya akan membaca tulisan Hishamuddin Rais tentang Mat Rempit ini hingga selesai.
Dan saya Hishamuddin Rais akan menyambung tulisan tentang Mat Rempit ini ke minggu hadapan. Amin. (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DI KOLUMN
PORTAL MALAYSIAKINI.COM
1 ulasan:
Sudah la penjilat PN.Sapa nak percaya cakap ko lagi.Dasar penjilat. Dah takde job merakam sejarah ke?
Catat Ulasan