AKU INI
BINATANG JALANG
Pada tahun 1959 aku pindah. Dari ‘budak pekan’ aku kembali menjadi ‘budak kampung’. Aku hanya sempat belajar dua tahun di Sekolah Umum Kuala Klawang A – yang didirikan atas bukit yang menghadap pekan Kuala Klawang.
Guru pertama aku ialah Cik Gu Raja Razali. Bersosok gemuk gempal dan berkulit hitam.
Sebelum cuti tahunan sekolah selesai emak aku telah diberitahu oleh Guru Besar – Cik Gu Fatimah - bahawa ada arahan pindah sekolah untuk emak aku dari Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan. Emak aku berpindah dari Sekolah Umum Kuala Klawang B ke Sekolah Umum Batu Serambai. Tiga batu dari pekan Kuala Klawang.
Aku ingat lagi petang itu. Pada hari ke pertama di tepi rumah guru yang baru aku telah berkenalan dengan budak kampung Batu Serambai yang pertama. Budak ini namanya Ahmad - Ahmad bin Endot. Mustahil akan aku lupakan sosok ini. Dia kawan aku yang pertama di Batu Serambai.
Ketika sampai ke tempat baru aku tanpa kenalan tertiba Ahmad yang berkulit hitam manis muncul. Dia dengan mesra telah mengambil basikal roda tiga adik aku dan menolak dan terus bermain dengan aku. Kemesraan ini menghairankan aku.
Petang itu Ahmad Endot telah mengajar aku jika hati kita terbuka kita boleh berkenal suai dengan sesiapa sahaja walau pun orang yang belum pernah kita ketahui.
Ini titik pengenalan yang aku ingati sepanjang hayat. Pertemuan petang itu amat bermakna dan aku jadikan ilmu yang sentiasa aku bawa sepanjang perjalanan hidup aku.
Satu minggu kemudian Sekolah Umum Batu Serambai dibuka. Aku tidak gelabah di bilik darjah dengan muka- muka baru. Aku telah ada kawan - Ahmad Endot - rupa-rupanya dia menjadi rakan sedarjah.
Kelas darjah tiga kami tidak besar. Ada Rahim, Saari, Jamaluddin, Mat Shah – mereka dari Kampung Kemin. Dari Kampung Batu Serambai ialah Zainuddin, Abu, Isa, Yusup, Ahmad dan aku. Pelajar perempuan tak ramai – Tengku Alawiyah, Raja Noor Hamidah, Salmah dan Zaiton.
Apa yang memeranjatkan aku ialah guru darjah aku masih lagi Cik Gu Raja Razali. Cik Gu yang berkulit gelap hitam ini juga telah juga berpindah dari Sekolah Kuala Klawang A kini menjadi guru darjah tiga dan darjah satu.
Darjah tiga dan darjah satu disatukan dalam ruang yang sama. Hanya dipisahkan melalui susunan bangku. Ini dilakukan kerana darjah satu dan tiga tidak ramai murid.
Sekolah ini sampai ke darjah enam. Aku rasa jumlah kesemua murid tidak melintasi 100 orang.
Guru besar sekolah ini ialah Cik Gu Mat Zain yang berasal dari Kampung Kemin satu batu dari sekolah. Guru Besar mengajar darjah dua. Darjah satu dan tiga Cik Gu Razali. Darjah empat emak aku. Darjah lima Cik Gu Brahim dan darjah enam Cik Gu Jaaman Abu. Guru agama kami ialah Ustaz Ramli.
Ketika aku membesar di Batu Serambai aku rasakan dunia ini begitu indah sekali. Aku membesar dalam kampung yang permai. Wilayah baru yang agak berbeza dari suasana pedalaman di Sekolah Tapak . Juga berbeza dari Sekolah Kuala Klawang yang dalam pekan.
Ini sekolah kampung. Dihadapkan padang sekolah ialah kawasan sawah padi yang luas terbentang. Di belakang sawah padi ini kebun getah dan rumah orang kampung. Sawah padi dipagari oleh Sungai Klawang dan bonda.
Bonda ialah tali air yang di buat khas untuk laluan air. Air sungai Klawang yang datang dari bukit bukau hutan belantara di Bukit Tangga di masukan ke dalam bonda apabila air sungai ditahan oleh empangan batu.
Ada satu perkara yang aku rasa berbeza dari kampung lama aku di Tapak atau Kampung Tengah. Di Batu Serambai ramai penduduk kampung dari keluarga Raja.
Di belakang sekolah ialah rumah Raja Agong, di sebelah kiri sekolah rumah Raja Husin. Disebalah rumah Raja Husin ialah rumah Raja Raman. Depan sekolah rumah Raja Hamjat dengan anak perempuannya Raja Abut dan Raja Atup. Raja Hamzah dan adiknya Raja Arshad. Kedai depan sekolah milik Raja Suman – adiknya Raja Kadir..
Dalam kelas aku ada Raja Noor Hamidah anak Raja Wahab dan Tengku Alawiyah anak Tok Penghulu Tengku Razak. Malah Cik Gu Raja Razali guru kelas aku adalah anak watan Batu Serambai.
Semua rumah di sekeliling sekolah adalah rumah keluarga raja kecuali Kedai Mak Cik Jarah. Kedai di sebelah kiri sekolah ini menjadi tempat tumpuan. Kedai runcit, kedai teh, kedai jual getah dan kedai membaca surat khabar. Kedai Mak Cik Jarah ini menjadi alamat pos untuk semua warga Kampung Batu Serambai. Suami Mak Cik Jarah Pak Cik Dusa bekerja sebagai pemberi ubat di Hospital Daerah Jelebu di Petaling.
Pada awalnya ketika sampai ke Batu Serambai aku tidak menyedari perkara ‘ raja ‘ ini. Satelah beberapa minggu tinggal di Batu Serambai baru aku mula sedar.
Bila sekolah dibuka aku mula bertemu dengan kenalan baru. Aku mula berkawan dengan Raja Brahim yang tua setahun dari aku. Kami panggil dia Ayen . Kakaknya Raja Zaleha, abangnya Raja Mustapha, adiknya Raja Musa dan Raja Abu Bakar.
Mereka ini anak kepada Raja Husin dan Mak Engku. Aku hanya mengenali emak Raja Ibrahim sebagai Mak Engku. Ini nama panggilan dari orang kampung dan cara dia membahaskan dirinya.
‘ Mak... sapa raja-raja ni Mak...ramai keliling sekolah ini...’ Aku dengan sifat yang sentiasa ingin tahu. Aku nak tahu kenapa dan apa benda itu - terutama apabila aku bertemu dengan perkara baru.
‘ Mereka suku sakat Raja.....’
‘ Raja mana?..’
‘ Raja kita di Seri Menanti..’ Emak aku memberi penerangan. Aku sendiri merasa penerangan kali ini tidak mencukupi.
Lalu aku teringat akan Seri Menanti di mana emak aku pernah menjadi Cik Gu mengajar anak-anak raja disana. Malah Tok Wan Rahmah aku pernah bersurah bagaimana dia mengintai anak raja mandi di perigi.
‘ Anak rajo ni tangan kida.. tak roti basuh berak.. ‘ Tok Wan aku bersurah. Dan kami sekeluarga semua ketawa. Ini lawak keluarga kami apabila nama Seri Menanti timbul dalam perbualan.
‘ Pasal apa Ayen bila Mak dia panggil dia tak jawab saya.. ... Mak dia panggil dia jawab ku.. ku ni apa Mak?’
Aku bertanya lagi tentang raja. Ini timbul kerana pada satu petang ketika aku lalu depan rumah Raja Husin aku dengar Ayen dipanggil oleh emaknya. Dia menjawab ku.
‘ Ku .. tu jawapan sopan pada mak dia..sama macam kau jawab ya saya... Ya Engku .. di pendek jadi ya ku...’
Emak aku menerangkan duduk perkara.
“ Raja Husin tu raja macam mana.... dia ini raja ni apa Mak? Aku masih tak puas hati.
‘ Keturunan dia dulu dulu... dia raja .. kita ini bono.. bila cakap dengan mereka kita bahasakan diri kita sebagai patik... ini bahasa bersopan..’ Emak aku menjelaskan dengan perkataan -perkataan yang aku tak faham.
‘ Bono ... patik ni apa Mak.... “
‘Laaa .. banyak sangat kau bertanya... kau nak jadi raja ke?’ Mak aku melawak.
‘ Bono ni apa?’ Aku mengulangi pertanyaan.
“ Bono ni kito... orang biasa... orang bukan ada darah raja di panggil orang bono.. kau ni bono.. Ayen , Musa dan Tapa tu raja.. patik ini diri kita ... patik tu bila kita bahasakan diri kita bila bercakap dengan raja’
‘ Kita tak boleh jadi raja ke Mak?’
‘ Tak boleh... bukan darah keturunan kita... tulah nanti... raja ni ada daulat... kalau kau mengaku raja kau akan jatuh sakit... kau akan sakit perut... tulah.. kau bukan keturunan raja... kita bono... payah ke nak faham...’ Emak aku macam hilang sabar dari pertanyaan aku yang berulang-ulang.
“ Sakit perut pasal apa?’ Aku memberi soalan lagi.
‘ Pasal kau bono mengaku raja... tulah laaaa kena sumpah daulat raja..’
‘ Daulat ni apa..”
‘ Daulat ini ilmu raja..’
‘ Sapa beri daulat ni Mak.. dalam kelas bila Cik Gu Raja Razali panggil kenapa tak ada sapa jawab ku.. Raja Razali tak da daulat ke?’
“ Sekolah lain... sekolah dah moden...’ Mak aku menjawab ringkas dan tak tahan dengan soalan bertalu-talu dari aku. Aku pula mahu pencerahan kerana semua ini amat baru untuk aku.
Semenjak penerangan itu aku mula faham apa itu raja, bono, daulat dan tulah. Dari pemahaman ini aku makin selesa duduk di keliling kampung keluarga raja dan berkawan-kawan dengan anak raja di Batu Serambai.
Raja yang aku anggap betul betul raja ialah Raja Husin Dia ini pakar silap mata. Kami budak budak selalu berbisik-bisik bercerita yang Raja Husin ini ada memelihara jin. Mengikut surah budak-budak jin Raja Husin ini akan membantu Raja Husin dalam permainan silap matanya.
Dalam pertunjukan Raja Husin paling menarik ialah Awang. Awang ialah patung kayu yang boleh bercakap sendiri. Kami budak-budak amat takut dengan Awang. Ini kerana dari Awang yang boleh bercakap sendiri dan berbual-bual dengan Raja Husin. Patung kayu Awang ini menambah kuat keyakinan kami bahawa Raja Husin ini ada memelihara jin.
Raja Husin bukan hanya terkenal di Jelebu malah di luar Jelebu pun orang kenal siapa dia Raja Husin. Sebut sahaja Raja Husin Magic Show orang di Negeri Sembilan akan tahu.
Tapi Raja Husin ini agak jarang di kampung. Dari anaknya Ayen aku selalu dengar ayahnya berada di Serembah di Istana Hinggap. Raja Husin mengikut surahnya anaknya amat rapat dengan Raja Menawar d Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Dari apa yang aku lihat Raja Husin inilah yang menjadi tali ikatan penyambung keluarga raja-raja di Kampung Batu Serambai dengan Yang DiPertuan Besar Raja Negeri Sembilan.
Hari berjalan. Masa berubah. Bila cuti Jumaat Sabtu atau waktu petang kami budak-budak kampung akan mandi sungai, mandi dalam bonda, mengail ikan, atau melukah atau memasang tajur mencari ikan
Aku membesar dalam kampung yang luas terbentang. Sesekali datang musim bola. Sesekali datang musim guli dan gasing. Kami bermain bermain dan bermain. Budak-budak kampung lebih banyak bermain dari belajar.
Satu pagi di sekolah aku telah dipanggil oleh Cik Gu Jaaman Abu. Ini waktu rehat. Aku sampai ke bilik darjah enam. Emak aku ada sama. Murid dan guru sedang berehat jam 10.00.
Cik Gu Jaaman menghulur kuih karipap pada aku. Aku mengambil kuih dalam suasana yang tak selesa. Aku tidak tahu apa yang sedang berlaku. Aku hairan kenapa Mak aku ada bersama Cik Gu Jaaman.
‘ Baca ini.... baca...’ Cik Gu Jaaman menghulur sekeping kertas ke tangan aku.
‘ Baca lah... ini sajak... sajak Chairil Anwar... sajak Aku...’ Cik Gu Jaaman memberi penjelasan.
Aku merangkak-rangkak membaca :
‘ Kalau sampai waktuku
Ku mau tak seorang 'kan merayu
Tidak juga kau
Tak perlu sedu sedan itu
Aku ini binatang jalang
Dari kumpulannya terbuang
Biar peluru menembus kulitku
Aku tetap meradang menerjang…’
Aku memandang pada Emak aku. Kemudian aku pandang Cik Gu Jaaman. Sebenarnya aku tidak tahu apa yang sedang aku baca.
‘ Sham... kita akan adakan jamuan sekolah.. sambut perayaan Raya... kau akan baca sajak ini... boleh ...kena hafal... jangan pakai surat... boleh..’ Cik Gu Jaaman memberi penjelasan.
‘ Beranikan hati ... kau boleh buat... kau tak cuba kita tak tahu...’ Kata putus dari Cik Gu Jaaman Abu.
Aku memandang pada Emak aku. Kemudian aku memandang pada Cik Gu Jaaman Abu. Aku mengangguk dua kali tanda setuju.
Dalam darjah tiga tahun 1959 aku telah dipaksa berkenalan dengan sajak Aku. Aku sendiri tidak tahu apa itu sajak. Aku tidak tahu siapa penulis yang bernama Chairil Anwar ini. Yang aku tahu aku wajib hafal sajak ini untuk aku bacakan di jamuan sambutan Hari Raya Sekolah Umum Batu Serambai tahun 1959. Inilah kali pertama aku naik atas pentas. Amin
Waktu berjalan. Bila musim hujan air sungai akan naik. Kalau hujan turun malam Jumaat maka inilah masa terbaik ketika cuti sekolah untuk budak kampung bercempera mandi sungai. Kami yang masih belum bersunat tanpa segan silu akan mandi telanjang ramai-ramai.
Lubuk pilihan kami ialah di tepi sawah tak jauh dari jambatan disebelah Surau Lebai Juri.
Dari atas jambatan atau dari tebing kami akan menjunam terjun ke dalam sungai yang airnya melimpah ke tepi sawah. Hanya yang berani saja akan terjun dari jambatan. Aku sendiri tak berani mencuba terjun dari jambatan.
Pernah pada satu pagi Sabtu ketika air melimpah satelah hujan lebat kami bercempera. Pagi itu Yusuf kawan sedarjah aku ada bersama. Usup ini budak kampung yang berani. Rumahnya tidak berapa jauh dari sungai. Bukan saja Usup berani terjun dari jambatan kadang kala dia terjun dari pokok kundang di tepi sungai.
Aku masih dapat menggambarkan bagaimana si Usup telanjang bogel naik ke jambatan dan berlagak sebagai superman. Lalu dia bersuara, ‘ siapa berani lawan aku...’ Kemudian Usup akan terjun ke dalam sungai.
Di pagi Sabtu itu si Usup sedang berlakon babak siapa berani lawan aku . Tertiba muncul Pak Cik Jaafar yang sedang mengheret basikal.
‘ Aku berani lawan engkau......’ Pak Cik Jaafar bersuara dari tepi jambatan.
Usup menoleh. Dia tak jadi terjun. Usup mengambil seluar baju lari beredar. Kami yang dalam sungai pun menjadi tak selesa. Akhirnya kami juga keluar dari dalam sungai. Ambil seluar dan baju terus balik ke rumah.
Pak Cik Jaafar yang mengheret basikal itu ialah ayah si Usup. Aduh! Pak Cik Jaafar ini telah potong stim pesta mandi sungai kami pada pagi itu.
Kesah Usup – siapa berani lawan aku – menjadi bualan kami budak-budak Batu Serambai. Lama juga Usup tak bersama kami bercempera mandi sungai. Mungkin dia segan dengan apa yang telah berlaku. Untuk kami kesah Usup ini menjadi surah klasik..
Hari berjalan bulan beredar. Bila sekolah nak dibuka sampai berita buruk. Sekolah Umum Batu Serambai hanya akan ada tiga kelas sahaja – darjah satu dua dan tiga. Murid-murid darjah empat , lima dan enam wajib pindah sekolah.
Ada dua pilihan - Sekolah Umum Amar Penghulu – tiga batu dari Batu Serambai atau ke Sekolah Umum Kuala Klawang.
Aku terpaksa berpisah dengan kawan-kawan budak kampung Batu Serambai. Ramai memilih untuk ke Amar Penghulu. Aku memilih untuk kembali ke sekolah di pekan Kuala Klawang. Kini aku menjadi budak setengah kampung dan setengah bandar.
Darjah empat tahun 1960 di musim cuti panjang emak aku telah diarahkan untuk mengikuti kursus cara pendidikan yang moden. Emak aku menjadi guru di zaman Jepun. Pendekatan baru – cara mengajar baru yang lebih moden wajib diketahui oleh semua guru. Maka Emak aku wajib berkerusus.
Kursus dua minggu ini dijalankan di Seremban. Emak aku menyewa rumah di Ampangan Seremban. Aku dan adik aku membonceng sama ke Ampangan dengan alasan untuk menemani Emak yang sedang berkursus.
Hari pertama di Ampangan aku terasa tersilap kerana mengekor Emak aku. Aku jadi kera sumbang tanpa kenalan. Adik aku menjadi teman setia.
Hari ke dua aku nampak seorang budak sedang berjalan ke arah rumah sewa kami. Dia kelihatan sebaya dengan aku. Ketika ini aku teringat kepada apa yang dilakukan oleh Ahmad Endut bila ternampak aku kali pertama. Tanpa segan dan silu aku membuat perkara yang sama – aku hampiri budak ini.
Dengan senyum yang luas aku membuka mulut dan bertanya , ‘ Padang disini kat mana?’ Soalan seperti aku ini budak sesat agar dilihat tidak mengancam.
‘ Saya pun tak tahu... saya bukan dari sini...’ Jawapan aku terima.
‘ Dari mana? ‘
‘ Dari Tapah... datang cuti sekolah... kakak kerja di Seremban...’
‘ Ooo ..Tapah ni ... kek mana?
‘ Di Perak... dekat Ipoh..’ Satu nama tempat yang membuka mata budak kampung dari Jelebu yang belum pernah sampai ke Perak.
Nama kawan baru aku Azmi. Dia sebaya dengan aku. Adiknya Kero baru darjah tiga dan adik perempuan Ina baru nak masuk sekolah.
Rumah sewa kakak mereka di sebelah rumah sewa yang Mak aku sewa. Maka kami sama-sama pendatang ke Ampangan. Kami mula berkawan-kawan dan meneroka wilayah Ampangan.
Tidak banyak yang dapat aku lakukan. Aku budak kampung mati akal untuk bermain dalam kawasan perumahan yang agak sempit. Aku telah biasa dengan sawah terbentang dan sungai mengalir. Di Ampangan rumah yang rapat-rapat merimaskan.
Sesudah dua minggu kursus Emak aku tamat. Kami akan pulang ke Jelebu. Sehari sebelum berangkat pulang aku berjumpa Azmi.
‘ Mi.. esok aku pulang ke Jelebu... nanti kalau ada chan kita jumpa lagi... kau tulis surat pada aku... ni alamat aku...aku nak juga sampai ke Tapah satu hari nanti...’
‘ Saya pun akan pulang ke Tapah.. kakak akan antar.. sekolah nak buka...Ina nak mula sekolah..’
Aku menghulurkan alamat kepada Azmi. Azmi pula menuliskan alamat rumahnya di Tapah. Satelah bertukar alamat kami berpisah.
Sekolah Melayu di buka pada hari Ahad tapi pejabat pos tutup hari Ahad. Hari Isnin aku ke Pejabat Pos di Kuala Klawang. Dengan setem 10 sen aku pos kan surat bersampul biru kepada Azmi. Tidak banyak yang aku tulis hanya bercerita yang aku, Mak aku dan adik aku selamat sampai ke kampung. Amin.
Aku tak sabar menunggu surat jawapan dari Azmi. Dia telah berjanji akan membalas surat aku.
Surat ke kampung Batu Serambai akan dibawa oleh Posmen Maniam dari Pejabat Pos Kuala Klawang. Maniam naik basikal dari Kuala Klawang hingga ke Amar Penghulu. Sistem pos amat mudah. Maniam hanya perlu meninggalkan surat-surat ini di beberapa buah kedai di tepi jalan.
Kalau ada surat berdaftar Maniam akan beri tahu tuan kedai. Esoknya tuan empunya surat akan menunggu. Kalau telegram sampai maka posmen bermotosikal akan datang ke rumah. Jaringan tolong menolong di kampung amat kuat. Telegram pun boleh diambil oleh orang lain. Yang penting sampai ke tangan tuan empunya.
Aku sekolah pagi. Waktu petang lepas makan tengah hari aku akan pergi merayau ke kedai Mak Cik Jarah dengan harapan ada surat dari Tapah.
Satu minggu aku menunggu. Tak ada surat dari Azmi. Aku putus harapan hingga dua minggu kemudian satu petang tanpa di rancang aku menghampiri kedai Mak Cik Jarah. Aku nampak Raja Hamzah ada di kedai.
Tertiba Raja Hamzah menggamit aku dan menayangkan sekeping surat. Aku berkejar untuk mengambilnya.
‘ Ni sapa ni...” Raja Hamzah bertanya dengan muka yang ketat lagi masam
Aku melihat nama disampul surat. Jelas nama aku. Sahih ini surat yang aku tunggu dari Azmi.
‘ Surat saya...’ Aku ambil dengan suka hati dan terus berlari ke rumah.
Di atas rumah Emak dan kakak aku sedang melipat kain. Aku dengan tak sabar terus bersuara kuat ‘ siapa berani lawan aku...’ Aku menayangkan surat itu seperti lakonan Usup di atas Jambatan.
“ Mak surat dari Azmi... yang di Ampangan dulu... sapa berani lawan aku...’ Emak dan kakak aku yang tak tahu hujung pangkal menjadi tercengang.
‘ Surat apa? Emak aku bertanya.
‘Surat untuk Raja Hishamuddin Rais... ini surat untuk Raja Hishamuddin ...’ Aku menepuk perut dan ketawa.
‘ Tak sakit perut pun... tak ada daulah pun... aku.. tak ada tulah... tak cuba kita tak tahu... aku dah cuba... tak sakit perut pun...ini buktinya ... ini surat untuk Raja Hishamuddin...’ Aku ketawa dan menunjukkan surat pada kakak aku.
“ Apa berita dari Azmi..’ Emak aku bertanya dengan suara seorang guru. Secara rasional Emak aku menerima hakikat bahawa aku tidak sakit perut.
EPILOK
Pada tahun 1960 dalam darjah empat aku telah membuktikan tentang sakit perut, daulat dan tulah. Aku akan terus berterima kasih kepada Cik Gu Jaaman Abu yang memberi aku nasihat - tak cuba kita tak tahu.
Aku menjadi berani membuka hati macam Ahad Endot. Berani berhadapan dengan apa sahaja yang baru..
Cik Gu Jaaman Abu ini juga bertanggung jawab memperkenalkan aku kepada sajak Aku, kepada Chairil Anwar dan sastera. Hasilnya aku menjadi binatang jalang yang tidak memerlukan sedu sedan itu. Kalau pun peluru menembusi kulitiku aku tetap akan meradang dan menerajang, Amin. (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/06/02/aku-ini-binatang-jalang/
1 ulasan:
Aku juga, seorang cikgu yg tunjuk kan pintu berani. Berani mencuba, berani tanggung, berani berahi juga.
Catat Ulasan