PADA SATU MASA
Pada satu masa yang lama dulu aku sedang mendewasa di Kampung Batu Serambai Ulu Klawang. Pada masa itu aku tidak sedar bahawa aku sebenarnya betul-betul budak kampung. Kampung Batu Serambai ini mendidik aku membesar untuk membina wujudiah aku yang tegar hingga ke hari ini.
Kampung Batu Serambai aku takrifkan sebagai wilayah permulaan aku membesar dan mendewasa. Di kampung ini aku mula merakam perjalanan hidup dalam alam persekolahan.
Sekolah untuk aku amat menarik. Aku amat suka bersekolah. Sekolah adalah tempat aku berjumpa ramai kawan-kawan. Berkumpul dan berkawan-kawan untuk aku memang seronok.
Mengikut peraturan sekolah pada pagi Ahad bila loceng berbunyi jam 7.30 maka kami akan berkumpul di padang sekolah . Cikgu Mat Zain guru besar atau guru yang lain memberi sedikit ucapan.
Lagu Berkatlah Negeri Sembilan dan lagu Sekolah Kita akan dinyanyikan. Ketika lagu Berkatlah Negeri Sembilan dinyanyikan seorang murid darjah enam akan menurunkan bendera Negeri Sembilan yang terikat tinggi dibatang kayu. Selesai menyanyi bendera berkibar.
Aku tak faham makna ritual ini. Menurut Abang aku di negara Jepun bila ritual menyanyi ini berjalan mata kita pun tak boleh berkelip. Pernah sekali aku mencuba. Tapi gagal. Mata aku terbuka luas merayau-rayau ke tiang bendera dan akhirnya masuk habuk. Hari itu mata aku jadi gatal.
Aku dalam darjah tiga. Tempat duduk murid tidak beralih-alih. Meja panjang dan kerusi panjang untuk empat murid. Murid perempuan duduk di hadapan.
Aku duduk di meja paling belakang. Aku berkongsi dengan Isa anak Lebai Juri – Tuan Lebai kampung kami dan Zainuddin anak Aziz pembantu Tok Penghulu. Si Isa ini kami panggil Ah Chau – mungkin kerana dia pandai melawak cakap pelat China.
Sebelum loceng berbunyi kami murid-murid ada tugas masing-masing. Kami akan menyapu bahagian luar dan dalam sekolah. Menyiram bunga dan memotong rumput. Sampah di kumpul dan dibuang untuk dibakar di belakang sekolah. Sekolah kami nampak kemas dan indah dan kami merasa bangga dengan usaha tenaga kami sendiri.
Jumaat Sabtu hari sekolah cuti. Ketika sekolah cuti aku merasa bosan kerana tak ada kawan-kawan. Hanya di sebelah petang kawan-kawan mula berkumpul di padang bola.
Aku masih ingat lagi zaman main bola dipandang sekolah. Padang bola sekolah kami ini tidak besar. Tiang gol pun tidak ada. Sebagai ganti kami letakkan selipar , sabut kelapa atau buah kelapa sebagai penanda ganti tiang gol.
Kami akan bagi-bagi diri kami. Biasanya kami tak sampai 8 orang tapi wajib ada dua pasukan. Secara tersendiri Ayin anak Raja Husin yang lebih tua dari yang lain akan membuat keputusan untuk mendirikan pasukan.
Pada masa itu tidak ada sesiapa pun yang gila nak jadi kapten tim bola atau gila nak jadi ketua. Yang kami pentingkan pada masa itu hanyalah bermain seseronok yang mungkin.
Aku teringat pada satu petang bila kami nak buat pasukan tertiba Suman Dusa anak Mak Cik Jarah pemilik kedai runcit kampung Batu Serambai bersuara.
‘ Buek satu dari Burma .. satu dari Israel...’ Suman memberi cadangan. Ini cadangan baru. Menggunakan nama negara untuk pasukan bola seperti ini belum pernah berlaku.
Semua akur.
Pada petang itu tim Israel bertarung dengan pasukan bola Burma. Nama Israel dan Burma ini diambil oleh Suman kerana dia membaca akhbar. Aku masuk tim Burma.
Pada masa kami bermain bola di padang Sekolah Umum Batu Serambai pasukan Israel dan Burma sedang bertarung di Stadium Merdeka Kuala Lumpur untuk merebut Piala Merdeka tahun 1959.
Aku yang telah mula pandai membaca akhbar Utusan Melayu Jawi telah terbaca nama pasukan bola dari Indonesia, Siam dan Filipina yang juga ada sama merebut Piala Merdeka.
Budak-budak kampung bermain bermusim-musim. Ada sahaja idea untuk bermain. Budak kampung amat kreatif. Aku ingat lagi pada satu ketika kami bermain gasing.
Kami bermain Gasing Kampung. Ada sahaja abang-abang yang pandai membuat gasing kampung. Gasing kampung ini dari biasanya dari batang nangka yang mudah dibentuk atau yang lebih keras dari batang jambu biawas. Tali gasing kami buat dari kulit batang terap.
Gasing Kampung berbeza dari Gasing China yang dijual 5 atau 10 sen sebiji di pekan Kuala Klawang. Gasing China di buat dengan mesin dan dicantikkan dengan cat warna coklat. Gasing Kampung buatan tangan dengan warna asli kayu.
Pakar gasing Kampung Batu Serambai ialah Pak Chu Solat. Sosok ini amat spesial – dia memilik sepucuk senapang patah. Pak Chu Solat adalah pemburu yang arif. Justeru dia berani tinggal bersendirian dihujung kampung.
Kami – tiga atau empat orang budak-budak akan bertandang ke rumah Pak Chu Solat. Kami merayu dan meminta jika dia ada gasing untuk ‘ di sedekah’. Biasanya Pak Chu Solat akan berjanji membuat gasing untuk kami.
Pada masa itu kami sebagai budak kampung amat pandai mereka-reka permainan. Apa sahaja yang ada di sekeliling akan kami jadikan bahan permainan. Pada satu musim satelah letih main gasing kami beralih untuk main kotak rokok.
Awas! Kotak rokok yang telah dibuang untuk kami pada masa itu amat bernilai. Kotak rokok jadi pertaruhan. Rokok Rough Rider atau orang kampung panggil Rokok Tembak nilainya agak rendah berbanding dengan rokok Gold Leaf atau Craven A.
Paling mahal ialah kota rokok 555. Kotak rokok warna kuning ini amat-amat susah untuk ditemui kerana orang kampung tidak sanggup membelinya. Hanya Orang Berduit – cik gu , pegawai kerajaan dan orang berniaga sahaja yang mampu menghisap rokok 555.
Cara bermain amat senang : kotak rokok sama nilai akan susun. Dari garisan yang telah sama dipersetujui kami akan pangkah kotak rokok ini dengan kotak rokok yang lain. Mana-mana kotak yang terkena pangkah akan dimenangi oleh si pemangkah.
Bila bosan bermain kotak rokok maka kami akan beralih untuk main penutup botol minuman ringan. Ketika itu syarikat minuman air ‘ lemenet’ di Negeri Sembilan ialah Wee Siang Brothers.
Cara bermain penutup botol ini sama seperti main kotak. Hasilnya - selepas poket seluar membonjol dengan kotak rokok - kini memboyot dengan penutup botol.
Bila bosan dengan yang ini kami beralih ke permainan baru.
Aku masih ingat lagi Majid Ali telah membawa permainan baru ke Kampung Batu Serambai. Si Majid empat tahun lebih tua dari aku. Majid belajar di Goverment English School Kuala Klawang.
Majid bernasib baik kerana pernah sampai ke Kuala Lumpur untuk menziarah saudaranya di kem Askar Melayu Sungai Besi. Di Sungai Besi Majid ternampak budak-budak China bermain ‘ susun tin’ kosong.
Bila pulang ke kampung Majid telah memperkenalkan permainankah ‘ susun tin’ ini.
‘ Dua tim... lapan biji tin susu kosong... tin besar di bawah .. kecik di atas.. baling tin dengan bola...’ Majid memberi penerangan. Malah Majid telah bersedia dengan sebiji bola tenis.
Permainan amat popular. Lapan hingga sepulih biji tin susu kosong diatur bertingkat. Perlu dua pasukan. Satu pasukan menjadi penjaga. Satu pasukan menjadi pembaling. Jika tin ini jatuh maka tim penjaga wajib mendirikan kembali tin yang terbarai.
Ketika tim penjaga hendak mendirikan kembali tin ini tim pembaling akan mengganggu dengan ‘membantai ‘ dengan bola tenis sesiapa saja yang cuba menyusun tin ini.
Seronok memang seronok permainan ini.
Hari berjalan. Masa bergerak. Sekolah tutup sekolah dibuka. Musim berganti.
Satu musim tak tahu siapa yang memulakan satu permainan baru – berlaga ayam. Keluarga aku memang ada memelihara ayam. Malah semua orang kampung ada ayam dan itik. Bukan untuk dijual tapi untuk makan sendiri.
Ayam, itik , lembu dan kambing milik orang kampung boleh dibaca sebagai dana dalam bank. Bila putus duit boleh jual binatang ternakan.
Di tepi padang sekolah ada tanah berpasir yang digunakan untuk sepak takraw. Kawasan ini kami jadikan gelanggang laga ayam. Setiap petang terutama hari tidak bersekolah ada sahaja budak yang akan membawa ayam untuk berlaga.
Budak-budak dari kampung luar juga akan datang membawa ayam untuk dilagakan. Ayam yang dilagakan ini ada yang bertaji dan ada yang baru nak tumbuh taji.
Jaguh kampung Batu Serambai dimilik oleh ayam Atot anak Lebai Juri. Si Atot ini abang kepada Achau kawan sedarjah dengan aku.
Ayam jantan Atot ini memang hebat. Ayam milik budak Kampung Kemin dikalahkan. Ayam milik budak Kampung Jambatan Serong dikalahkan.
Pada satu petang tiga orang budak dari Kampong Renal telah datang. Kampung Renal hampir dua batu jauh dari kampung kami. Budak Kampung Renal ini telah mendengar tentang gelanggang kami. Maka mereka datang dengan tiga ekor ayam jantan.
Nasib mereka kurang baik. Dua ayam merek kalah. Seekor menang. Tapi mereka tak dapat mengalahkan jaguh Kampung Batu Serambai.
Petang Sabtu itu gelanggang takraw menjadi rioh dengan sorak sorai melihat ayam berlaga.
Seronok memang seronok. Sebelum masuk gelanggang ayam ini akan disapu muka dengan arang dengan harapan akan menjadi lebih garang. Ada juga petua untuk memberi ayam ini makan lada padi untuk menambah gagah berani. Ayam untuk jadi jaguh wajib diberi makan nasi panas. Ini ilmu yang diturun temurunkah entah dari mana gurunya. Tidaklah aku tahu.
Aku pun sama mencari ayam jantan yang muda dan gagah dengan niat untuk masuk gelanggang. Ayam aku tidak masuk rangking. Belum memiliki taji. Tiga kali masuk gelanggang. Semua kalah. Lalu memotong ekornya dengan harapan ekor baru akan tumbuh lebih rimbun dan dia menjadi gagah berani.
Pada satu petang aku sedang memeluk ayam sabung dalam perjalanan ke Kampung Jambatan Serong untuk mencari lawan. Di tangga rumah - Abah aku ternampak ada ayam di dada aku.
‘ Nak ke mana... jangan laga-laga ayam tak baik.. ‘ Itu saja kata dari mulut Abah aku. Pendek dan tegas.
Semenjak petang itu aku tidak lagi main melaga ayam. Kami juga mula reda dari berhimpun di gelanggang. Akhirnya main ayam laga ayam berhenti dengan sendiri.
Tertiba berita tersebar Raja Husin ayah kepada Ayin dapat hadiah dari Yang Di Pertuan Besar.
‘Hadiah apa Yen... ‘ Aku bertanya.
‘ Adalaaa... nanti kau tengok...’ Ayen masih menyimpan rahsia.
Satu petang teksi dari Serembah berhenti di hadapan rumah Raja Husin. Raja Husin membawa pulang membawa keluar satu kotak besar.
‘ Yam Tuan bagi....anak anjing ....macam anjing polis Amerika...nama dia Jackie ... jantan ada telo.... ‘ Ayen dengan bangga menerangkan kepada kami budak-budak kampung.
Jackie menjadi tarikan. Aku dan budak kampung yang lain akan datang ke rumah Raja Husin untuk melihat Jackie. Anak anjing berwaran kuning ini manja dan menarik.
Bermain dengan Jackie cukup seronok. Jackie membesar bersama kami budak kampung. Selang beberapa bulan Jackie telah kelihatan lebih besar dari anjing kampung.
Aku ingat lagi lepas musim menuai sawah akan menjadi padang yang amat luas. Di Kampung Batu Serambai padi ditanam sekali dalam satu tahun. Ertinya hampir enam bulan lopak-lopak sawah menjadi padang.
Ketika padi telah selamat dibawa pulang Ayen telah membawa Jackie turun ke sawah yang telah hampir kering. Yang tinggal dalam sawah hanyalah longgokkan timbunan batang padi dan jerami yang telah dibanting.
Di bawah batang padi dan jerami ini tikus membuat sarang.
Kami akan naik dan menghenjut timbunan jerami dan batang padi ini. Ketika ini tikus akan bertempiaran lari keluar untuk menyelamatkan diri. Ketika ini juga Jackie akan mengejar tikus-tikus ini. Kami juga akan mengejar sama.
Aduh ! Seronok betul bermain dengan anjing sambil menangkap tikus.
Tertiba satu cadangan muncul.
‘ Kita tangkap tikus ini ... suruh dia berlumba....’ Satu lagi permainan lahir.
Aku dan yang lain mula menangkap tikus yang belum digigit oleh Jackie. Kami masukkan ke dalam tin kosong. Kemudian kami bawa tikus-tikus ini ke padang sekolah.
Di atas padang kami buat satu garisan di mana tikus tikus ini akan serentak di lepaskan untuk berlumba. Bayangkan seronoknya bermain pada petang itu. Satu permainan baru. Jackie juga turut sama mengejar tikus yang berlari di padang bola. .
Suara gegak gempita yang amat sangat ini telah menarik perhatian Abah aku di rumah. Abah aku muncul. Dia terperanjat melihat permainan kami pada petang itu.
‘ Jangan .... jangan bawa tikus ke rumah.. bahaya.. tikus bawa penyakit...’ Ayah aku memberi arahan. Petang itu Abah aku betul-betul potong stim. Perlumbaan tikus dibatalkan.
Semenjak petang kami tiak lagi ke sawah dengan Jackie atau pergi mencari tikus.
Satelah beberapa hari tanpa bermain kami merasa bosan. Lalu kami hidupkan kembali permainan Perang Jepun. Main Perang Jepun ini sentiasa ada bersama kami budak-budak Kampung Batu Serambai.
Di tepi sekolah ada kawasan hutan belukar seluar tiga padang bola. Wilayah ini menjadi tempat budak kampung main Perang Jepun. Ini mainan teater tembak menembak.
Kami ada kayu yang kami gunakan sebagai senapang atau pistol. Kami tidak memakai apa apa peluru. Suara kami menjadi tembakan pistol dan senapang.
‘ Beng.. kau mati !’
Mainan teater Perang Jepun ini amat menarik. Seperti kami telah berjanji bersetia sesama sendiri. Seperti kami ikat janji sesama sendiri. Sebenarnya teater Perang Jepun ini kami ada peraturan dan perjanjian yang tidak bertulis – siapa kena tembak dulu dia wajib mati. Untuk permainan ini berjalan lancar maka perjanjian yang tidak bertulis ini wajib dipatuhi.
Kadang kala aku menjadi Jepun. Kadang kala aku menjadi Askar Melayu. Ada kala menang ada kala kalah Bukan kalah atau menang yang penting. Untuk kami ialah kegembiraan bermain dan berkawan-kawan menjadi tujuan utama.
Tapi dalam suasana gembira bermain teater ini ada juga watak bebal lagi degil. Aku telah perhatikan watak ini. Nama dia Ahmad – satu tahun di bawah umur aku.
Aku ternampak Ahmad sedang merangkak dalam belukar. Dia tidak nampak aku yang menyorok di belakang rimbunan pokok senduduk. Aku mengintai kemudian aku menembak.
‘ Beng .. beng ...’ Dua tembakan dari aku.
‘ Beng beng ...’ Ahmad menambak balik.
‘ Aku tembak dulu... kau dah mati laaa.... ‘ Aku menjelaskan.
‘ Mana ada ... aku tembak kau dulu..’ Ahmad berdegil tak mahu mati.
Ini bukan kali pertama berlaku. Sebelum petang ini ada sekali aku menembak Ahmad dahulu tetapi dia enggan mati. Dia terus bertelagah mengatakan bahawa dia yang menembak dulu.
Bila ini belaku maka teater Perang Jepun kami akan terencat - berhenti. Dengan sendirinya suasana ini menjemput kami untuk berhenti bermain.
Kami memandang sesama sendiri. Kemudian membuangkan pistol dan senapang kami. Ahmad ini adalah watak potong stim.
Dalam bermain Perang Jepun ini aku mula sedar watak si Ahmad ini telah gagal memahami tolak ansur dalam permainan.
Kami juga budak-budak telah pandai mengumpul pengalaman. Jika pada petang itu Ahmad ada bersama maka kami tidak akan mengajak dia bermain Perang Jepun. Pengalaman mengajar kami budak-budak untuk mula mengenal perangai dan watak kawan-kawan.
EPILOK
Bermain - berkawan-kawan untuk aku amat penting. Di kampung Batu Serambai dunia aku amat luas. Sawah, padang, sungai bukit, belukar, hutan – semua menjadi latar untuk aku bermain
Sebenarnya bermain di zaman kanak-kanak ini adalah zaman aku mendidik diri aku untuk menyesuaikan diri hidup dalam kumpulan. Jika dari kecil aku bebal dan degil maka bila mendewasa pasti aku tidak memiliki sifat berunding dan bertolak ansur.
Perjalanan hidup ini adalah perundingan antara aku dengan diri aku. Antara aku dengan kawan-kawan yang lain. Perjalanan hidup aku ketika membesar mendidik aku untuk menjiwai watak yang memiliki sikap bertolak ansur. Amin. (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/06/09/pada-suatu-masa/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan