Khamis, 17 Jun 2021

SAWAH LUBUK DAN IKAN

 

 SAWAH LUBUK

DAN IKAN 

Kampung Batu Serambai  jauhnya tiga batu dari pekan Kuala Klawang. Terletak di jalan utama Jelebu ke Seremban.  Ini kampung Melayu tradisional.  Ekonomi utamanya  getah dan sawah padi.  Buah-buahan dan barang hutan  juga menjadi punca duit pencarian  tapi bermusim.  

Kampung ini diairi oleh batang Klawang berpunca dari curahan air terjun Jeram Toi. Jeram ini terletak di bahagian pergunungan akhir kaki  Banjaran Titiwangsa . 

Di tebing kiri dan kanan sungai ini adalah lembah sawah padi yang subur. Aliran air sungai  menjadi tulang belakang bukan saja  Batu Serambai  malah di seluruh Jelebu.

Sawah  di tebing kiri dan kanan sungai ini mewujud perkampungan.  Pekan Kuala Klawang   itu sendiri  sebahagian darinya dipagari oleh sawah. Kuala Klawang - pekan ini terletak di tanah subur  pertemuan  dua sungai -  Sungai Klawang dan Sungai Gagu.

Dari kajian ilmu alam - Jelebu  adalah  lembah gaung yang dikelilingi oleh bukit bukau di kaki Banjaran Titiwangsa. Ini menjadikan Jelebu daerah yang  paling kering di Malaysia. 

Bila aku pindah  dari pekan Kuala Klawang ke Batu Serambai pada tahun 1959 aku merasa tidak janggal.  Aku belum menjadi  budak pekan yang tegar.  Empat tahun tinggal di Kuala Klawang tidak menjadikan aku budak pekan.

Sungai dan sawah Batu Serambai menyambut aku. Di hadapan rumah guru Sekolah Umum Batu Serambai ialah sawah yang luas terbentang.  Buka pintu depan rumah aku – yang kelihatan ialah sawah terbentang.

Dalam jenjang sawah ini ada lubuk dan lopak air yang dipenuhi dengan ikan.  Sungai menjadi pusat  orang kampung mencari ikan. Laluan anak-anak air dan aliran  bonda – laluan air ke sawah -  menjadi wilayah yang didiami oleh ikan.

Masih cerah lagi dalam ingatan aku  pada pagi Sabtu itu Abang aku telah berjaya   mendapat empat ekor ikan Nil nama asal Talipia.  Pagi  cuti sekolah itu aku dan Abang aku  telah memancing di tepi lubuk limpahan kolam ikan  yang dimiliki oleh  Haji Shamsuddin.

Kolam ikan ini berpagar. Abang aku dan aku memancing di luar pagar di tepi pembetung laluan  air dari kolam.

Kolam ikan ini terletak tidak jauh dari sekolah dan rumah kami. Haji Shamsuddin memelihara ikan Nil. Ketika hujan  lebat air  kolam melimpah maka ada ikan-ikan peliharaan akan menerobos lari masuk ke dalam anak sungai. 

Inilah ikan yang berjaya dipancing oleh  Abang  aku pada pagi itu. Aku  tak dapat ikan. Aku   hanya tumpang  glamor bila aku buka cerita pada kawan-kawan  tentang tertangkapnya empat ekor ikan Nil.

Memancing sebenarnya adakah perkataan yang generik yang memberi pengertian menangkap ikan. Aku budak kampung memiliki banyak perkataan  yang lebih tepat untuk menggambarkan perbuatan menangkap ikan. 

Kalau Arab memiliki berbelas-belas  perkataan untuk menerangkan apa itu unta – aku budak  kampung juga memiliki berbelas-belas perkataan untuk menerangkan perbuatan menangkap ikan.

Memancing hanya satu kata yang umum. Memancing sama maknanya dengan mengail. Ertinya menangkap ikan dengan tali kail yang ada umpan.  Memancing menggunakan  joran.

Hendak menangkap ikan ini ada pelbagai cara dan teknik.

Menjala menggunakan jaringan  jala yang dianyam khas dari benang.  Jala ditebari ke dalam kolam  atau lubuk atau sungai. Menjala memerlukan kawasan air yang luas.  Terbaik air kolam  atau lubuk yang tenang. Juga  wajib memiliki kebijaksanaan  teknik dan tenaga  untuk menebar jala.   

Bukan semua orang boleh menjala. Budak-budak tidak ada keupayaan untuk menjala. Aku sendiri tidak pernah berjaya menebar jalan.

Melukah – memasang lukah  - perangkap ikan yang di buat dari buluh. Lukah dipasang pada laluan air yang deras. Ikan yang berjalan ke hilir akan  masuk ke dalam lukah.  Sama seperti yang dilakukan oleh Badang untuk mendapat bayak ikan yang  akhiri dicuri makan oleh hantu.

 Menajur memasang  mata pancing dalam kolam , tasik atau paya. Pancing  tajur berjoran  akan ditinggalkan untuk beberapa jam atau sehari  sebelum di pungut kembali.

Mengail cucuk – memasang sebanyak mungkin mata pancing pada joran yang pendek. Mata kail  diikat pendek pada joran kemudian dicucukkan ke tepi tebing sungai. Esok paginya baru di pungut kembali untuk melihat rezeki.

 Mengotek   menggunakan anak katak sebagai umpan. Mengotek ini  khusus untuk menangkap ikan haruan.

Menjaring menggunakan  jaring serkap yang di buat dari dawai pagar halus. Menukul menggunakan jaring  benang  yang diangkat dengan hulu buluh. 

Menangguk menggunakan tangguk yang dianyam dari buluh. Tangguk ini membantu untuk menangkap ikan ketika menimba kolam atau lubuk.

Menimba – mengeluarkan air dari kolam atau lubuk untuk menangkap ikan.  Bila air telah ditimba maka  aku mula  menggecar. Ini untuk  mencari dan menangkap  ikan dengan tangan  atau tangguk dalam lopak sawah , lubuk atau  kawasan paya yang airnya cetak atau hanya berlumpur.

Menyuluh – ini sama seperti mencari  kancil dan landak d waktu malam. Menyuluh  menggunakan lampu picit. 

Kalau menyuluh kancil pemburu membawa senapang. Ketika  menyuluh ikan aku membawa parang panjang. Nampak saja ikan yang terapung tidur di waktu malam aku akan  libas dengan parang. Biasanya  hasil menyuluh semua ikan terluka  badan atau terputus dua.

Menjeramak  menangkap ikan menggunakan jala kecil. Tangan meraba-raba di tepi tebing  sungai sambil jeramak  menunggu ikan yang telah diganggu dan cuba melarikan diri.

Lopak sawah , lubuk dan sungai mengenalkan aku dengan ikan. Aku kenal rupa tilan, sepat , haruan, sembilang, puyu, baung, keli, limbat dan sebarau. 

Malah  dari kecik lagi aku telah mengenal ikan karin. Ini ikan yang kecik yang akan mengembangkan sirip yang berwarna warni untuk berlaga. Atau mengembangkan sirip bila berhadapan dengan cermin. Tahap disedari yang dilihat  bukan musuh tapi  diri sendiri.

Seronok memang seronok.   Inilah budaya ikan yang membesarkan aku ketika di Batu Serambai.

Ketika itu ada juga  aku  mendengar  ada Si Polan Si Polan  dari Kampung Hulu Sana dan Hilir Sini telah berjaya   menangkap banyak ikan  dengan menggunakan  bom letupan.  

Aku tertarik dengan  kesah mengebom ikan. Lalu aku merisik cara membuat bom ikan.

Aku wajib membeli  mercun  sebanyak yang mungkin. Buka kertas mercun dan keluar dan kumpulkan semua belerang mercun.  Masukkan belerang   sepadat mungkin ke dalam buluh atau batang besi paip. Kemudian pasang sumbu pada besi paip ini. Bakar sumbu   dan sebelum meletup balingkan  bom ini ke dalam   tasik, sungai  atau kolam.

Air dalam kolam akan meledak. Ikan akan dipukul oleh ledakan air. Ikan mati terapung menunggu bakul untuk dipungut.

Aku menjadi berahi dengan cerita bom ikan ini. Lalu aku  mencuba. Tapi gagal meleset.  Aku tidak memiliki besi paip. Aku gunakan buluh.  Aku juga  tidak memiliki modal yang lumayan  untuk membeli  mercun sebanyak yang mungkin. Lima  papan mercun tidak mencukupi untuk mengisi ke dalam  buluh. Tapi aku telah mencuba. 

Kekecewaan dan kegagalan aku diredakan apabila aku  mendengar tentang bahaya ‘tangan putus’ akibat dari bom ikan. Kesah ini  menakutkan aku.

Tapi ada satu lagi cara menangkap ikan : dengan tuba.

 Aku ada membaca pesta menuba ikan dari akhbar Jawi Utusan Melayu.  Dari apa yang  aku baca Sultan Pahang  selalu mengadakan pesta menuba ikan ketika menyambut hari jadi.

Sultan menuba ikan di Sungai Pahang.  Siang menuba ikan. Waktu malam  Sultan bersama orang kampung  kenduri berjoget bertandak  merayakan hari jadi Sultan.

Aku hanya mendengar surah. Aku berangan-angan alangkah indahnya jika aku ini anak Pahang yang tinggal ditebing Sungai Pahang.  Boleh aku tumpang sekaki.

Hakikatnya aku  tak pernah melihat atau mengalami pesta menuba ikan ini. Yang aku lihat hanya gambar Sultan Pahang  berdiri  di atas perahu  dalam Sungai Pahang bersama orang kampung.

Tentang menuba ikan ini aku ada  satu rahsia. Tak pernah aku  surahkan rahsia ini. Aku merasa takut untuk bercerita. Tapi kali ini  satelah beberapa kali  aku fikirkan maka aku memberanikan hati untuk membuka rahsia ini. Kesah ini belum pernah aku buka untuk sesiapa pun.

Rahsia ini bermula begini : Di hadapan rumah Raja Husin  ada   kawasan  tanaman getah. Dalam kebun getah ini ada sekelompok tuba hidup menjalar.  Tuba ini bukan pokok kayu yang meninggi. Ianya tumbuhan rendah. Tuba macam keledek berakar menjalar di atas bumi. Akar inilah  yang  mengeluar getah  tuba.

Sebenarnya  aku tak kenal  tuba ini.  Raja Musa anak Raja Husin memberi tahu  dan mengenalkan  cara dan teknik  menuba ikan. Musa mendapat ilmu  mengenal tuba ini  dari ayahanda Raja Husin.

‘ Sam... ambek akar tuba ni... tumbuk dan  masukan dalam lubuk...ikan akan mati...’   Musa mengajar aku. 

‘ Betul ke?...’ Aku seperti biasa ingin mencuba apa saja. Cara menuba ikan ini yang aku dengar  dari mulut Musa aku rasakan amat senang.

Satu pagi di waktu cuti sekolah aku telah membawa  parang untuk mengali  akar tuba. Musa telah datang bersama. Pagi itu kami hanya berdua.  Aku  merasa selesa kerana kalau ramai yang ikut selalunya  tidak projek tidak berjaya.

Aku menggali  dan memotong akar-akar tuba. Satelah  dikumpulkan mengikut arahan  Musa aku mula  mengetuk dan memecahkan  akar ini. 

‘ Cukup ke banyak ini...’ Aku mahu penjelasan satelah aku mengetuk akar ini dengan batu.

‘ Lagi banyak ... lagi baik.. lumat-lumat...’ Musa menerangkan. Anak Raja Husin ini memberi arahan.

‘  Lebih  baik kita ketuk akar ni... kek bonda ... lagi copek lagi sonang.....’ Aku mengikat gumpalan bakar tuba yang aku kumpulkan.

Kemudian kami bergerak menuju ke bonda. Bonda ini lorat orang Negori.  Bonda ialah laluan air buatan manusia.  Di buat  khusus untuk menerima air sungai  yang dialirkan  dari empangan batu.  Talian air bonda amat penting  sawah. Tanpa air  keluar dan masuk dari bonda sawah tidak dapat diusahakan.

Ketika Musa dan aku sampai  ke tepi sawah air dalam bonda kurang. Air tidak mengalir.  Aku tahu - Ini bermakna empangan batu di hulu telah dibuka.  Air sungai tak masuk ke dalam bonda.

Aku melihat air bonda  bertakung. Di beberapa tempat  kelihatan lebih dalam  seperti lubuk.  Bila aku nampak ini aku gembira. Pada hemat aku di lubuk ini akan  kami tuba.

Aku terus mengetuk semua akar tuba dengan batu. Kemudian aku mencari satu lubuk dimana aku  lihat  airnya lebih hitam dari yang lain. Maknanya air amat dalam dan banyak ikan.

Aku membalingkan akar tuba ke lubuk ini.

Kemudian aku dan Musa menunggu ditebing.  Kami berpandangan. Tak ada apa berlaku. Kami menunggu lagi. Aku nampak ada kocakan air. Tapi tidak ada ikan kena tuba  mengapung, meloncat mencari udara    atau menggelepar seperti cerita-cerita yang selalu aku dengar.

Aku dan Musa duduk tepi tebing menunggu dengan harapan tuba kami akan menjadi.  Gagal. Seekor ikan  pun tak mati kena tuba kami. Lalu kami pulang.

Projek  gagal ini tidak akan aku ceritakan  kepada sesiapa pun. Kalau  kami berjaya pasti aku dengan bangga akan menghebohkan kejayaan. Dengan tokok tambah untuk menaikkan  derajat kejayaan kami. Kerana gagal maka aku senyap membisu.

Kegagalan  anak yatim piatu. Kejayaan – walau pun anak haram – akan  menjemput  ramai yang bersedia untuk menjadi ayah dan ibu. Ini sifat manusia. Aku dan Musa senyap membisu.

Waktu berjalan.  Hari bertukar.

Di sebelah hilir kampung  Batu Serambai ada seorang  guru pencen bernama Cik Gu Maarof.  Di belakang rumahnya ialah bonda dan sawah. Cik Gu pencen ini   juga   dianggap dukun - dukun kampung.   Cik Gu Maarof ini setiap  pagi  menghantar kuih  untuk dijual di  kedai  Mak Cik Jarah. 

Kuih muih Melayu – kuih gelang, kuih lepat ubi, kuih gulung – semua untuk pelanggan kedai kopi Mak Cik Jarah.

Di waktu petang Cik Gu Maarof akan datang sekali lagi untuk melihat apa yang terjual. Aku tidak tahu apa perjanjian Cik Gu Maarof dengan Mak Cik Jarah.

Seminggu satelah projek tuba aku gagal aku telah datang untuk membeli kuih di kedai  Mak Cik Jarah.   

Dalam kedai aku ternampak ada beberapa pelanggan sedang minum teh dan membaca akhbar.  Aku nampak Baba, Chu Solat dan  Ujang sedang minum teh.

Ketika ini juga  Cik Gu Maarof datang untuk melihat  berapa kuihnya telah terjual.

‘   Tak  tahu apa  jadi ... potang marin itik kito mati..   tibo  tibo... bukan seko... tujuh eko... mati dalam bonda...’ Cik Gu Maarof berkata  dengan kuat tapai tidak ditujukan kepada sesiapa.

‘ Mati macam mano?.’ Suara  Chu Solat bertanya.

‘ Itik ni main .. mandi mandi  bilo kepalo air sampai...air bonda baru  nak  pasang... itik nyudu  sano sini  tetibo ... ngolopor... lopeh itu mati... tergelimpang...kono hantu air apo ....’ Cik Gu Maarof memberi  penerangan dan meminta  dapat penjelasan.

Aku memasang telinga.  Tangan kiri aku menggenggam kuih kacang  buatan isteri Cik Gu Maarof.

‘ Sompek semboleh  ko tak... ‘ Ujang bertanya.

‘ Dah mati.... tak sompek sombolih..’ Jelas  Cik Gu Maarof

‘  Kepala air ni... kok ada racun ke...’  Chu Solat bertanya sambil memberi penerangan.

Bila aku mendengar  perkataan racun aku menjadi takut.  Aku tahu apa  yang telah berlaku. 

‘ Berapo eko mati.... Cik Gu... kono racunlaaa tu...’ Baba meletakkan akhbar untuk campur sama dalam perbualan.

‘ Tujuh eko... yang lain masuk  ke bonda kemudian... tak jadi apo... yang main kepalo air tu yang mati...’ Cik Gu maarof memberi penjelasan.

Dada aku kembang kempis. Aku betul betul takut. Apakah  mereka aku tahu tentang projek tuba aku. Ikan tak mati tapi itik yang mati. 

Aku menapak perlahan-lahan. Aku  berundur dari kedai Mak Cik  Jarah dalam ketakutan.

Aku tak buka mulut kepada sesiapa pun.  Aku takut jika aku beri tahu Musa apa yang aku dengar maka cerita itik mati ini  akan terbarai. 

Rahsia  hanya akan selamat jika tidak diceritakan   kepada sesiapa pun. Amin.  (TT)



TULISAN INI JUGA 
DISIARKAN DI PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/06/17/sawah-lubuk-dan-ikan/


2 ulasan:

capt salai berkata...

Melukah juga dilarang untuk orang pompuan apatah lagi untuk anak dara..contohnya " kau jgn duduk melukah daro..kang meleleh air liur p.cik tt tu kang nengok eh"

panglimo potaseh berkata...

TT ..apo lak janggal eay pindah dari Klawang ko Sorambai ..orang lain kau buley akalkan ..den pon org Jolobu ..apo ado kek Klawang tu ..kampong jugak ..kahkahkah. Jolobu mmg paling koring dalam Malaya tapi tu dulu ..sekarang Jolobu pantang ujan, misti banjir ..banjir ni sobab mombalak ..timo kasih pado pomorintah skrg yg ambik inisiatif mombolengkan kaki gunong Titiwangsa untuk mombalak caro gilo2 di Jolobu. Ingat Duopuloh tahun dulu Jolobu di nobatkan wilayah paling "sustainable" dlm Malaya ..korano kehijauan nyo ..skrg ni sungai di jolobu dah mcm teh tarik ..mampuih ..