Rabu, 7 Julai 2021

SABTU DAN NAIK HAJI

 

 SABTU 

DAN

 NAIK HAJI

Aku masih ingat lagi  ketika itu aku dah masuk umur  empat tahun. Keluarga kami  tinggal  di rumah guru Sekolah Umum Tapak Padang Lebar Kuala Pilah.   

Kawan aku pada ketika itu ialah Kassim anak kepada Wahid.  Adik kepada Salleh.  Salleh sudah berumur  belasan tahun. Salleh duduk di asrama bersekolah di Kuala Pilah.  Kassim dan aku sebaya.  Rumah kami tak jauh. Jadi kami berkawan.  

Ayah Kassim ialah Wahid – orang kampung panggil Wahid   Mesin Padi. Nama ini muncul kerana  Pak Cik Wahid bekerja di kilang mesin padi yang juga tidak jauh dari rumah aku.

Semenjak zaman kanak-kanak lagi  sikap ingin tahu aku amat kuat sekali. Semua aku tanya. Semua aku soal.  Apa? Kenapa? Bagaimana?  Ini kadang kala menimbulkan masalah kepada Emak aku kerana aku  bertanya tak putus-putus.

‘ Mak... pasal apa nama dia Sabtu.. pasal apa dia bawak   kayu  macam itu...’ Aku mahu penjelasan terhadap sosok bernama Sabtu.  Sosok  bernama Sabtu ini  dikenali umum di  Kampung Tapak. Atau oleh sesiapa saja yang  melintasi kampung kami. 

‘ Dia dilahirkan pada hari Sabtu... emak dan ayahnya namakan dia  Sabtu...’ Penerangan  Emak aku.

‘ Adik  ni lahir hari apa?’  Aku membahasakan diri aku adik.

‘ Kau lahir bukan pada hari Sabtu...’ Emak  aku sudah malas hendak menjawab.

‘ Kalau Adik lahir hari Sabtu kena seret kayu ke ?  Aku bertanya lagi.

‘ Sabtu tu ...ada dunia dia... lain dari dunia kita...’ Aku tak faham apa maksud jawapan Emak aku ini.

Emak aku seorang guru cukup berbudi bahasa melayan semua pertanyaan aku.  Aku membesar dalam suasana yang bebas lagi  demokratik. Emak aku memberi kebebasan kepada aku untuk terus bertanya dan menanya.

Kadang-kadang Cik Gu Zaleha Sidek  merasa bosan juga  dengan anak murid yang bernama Hishamuddin Rais. Ini kerana anak murid  ini tidak tahu bila masa yang tepat untuk bertanya. Jika ini berlaku Cik Gu Zaleha akan senyap tak mahu menjawab pertanyaan dari muridnya.

‘ Mak kenapa hidung  dia  tu kemik ...’  Aku secara jujur bertanya  ketika aku ternampak hidung sepupu aku lebih  kemik dari hidung  aku. Soalan sedemikian tidak pernah mendapat jawapan. Tapi Emak aku tak melarang aku bertanya.

Pernah sekali ketika melawat jiran yang baru bersalin. Emak aku datang menziarah dengan  membawa buah tangan kuih biskut Merry dan air lemanet. 

Mak Cik yang baru bersalin masih lagi dalam pantang. Emak aku  melihat bayi yang sedang tidur di sebelah ibunya.  Mata aku liar. Aku terlihat ubun kepala botak  bayi yang baru  lahir  itu  bergerak-gerak seolah-olah bernafas. Tangan  aku pantas hendak mengusik. Tapi tangan Emak aku  lebih cepat menepis. Bayi selamat.

Justeru  sikap ingin tahu aku ini menjadikan Emak aku berhati hati  jika aku dibawa bersama melawat  jiran tetangga. Dalam masa  yang sama dari semenjak  kecil lagi aku menjadi teman baik Emak aku  kerana ayah aku seorang soldadu hanya ada di rumah bila bercuti. 

Membesar di kampung di kelilingi oleh orang dewasa  aku memasang telinga. Aku  mendengar banyak cerita  dan surah  yang terhambur dari mulut orang-orang  yang lebih berumur.  

Aku cukup tertarik memasang telinga  mendengar cerita-cerita  hantu tahayul, majik dan ilmu-ilmu. Mendengar dari mulut tukang cerita atau mendengar  dari mulut  ke dua.  Dari perawi ke atas perawi – dari pendengar yang mendengar. 

‘ Kau tau Sam.. nanti  kito kono   nyoborang  jambatan.. nak poi surgo .... jambatan ini halus macam rambut dibolah  tujuh... bawahnya ado api... kalau tak lopeh jambatan.. kito jatuh masuk dalam api...api nerako..’  Kassim memberi penerangan kepada aku tentang  neraka.

Belum habis Kassim bersurah aku telah meraba rambut aku. Aduh!  Rambut aku yang belum dibelah ini sudah halus. Aku tak dapat membayangkan kalau  rambut aku dibelah  tujuh. Lalu aku terfikir kenapa tuhan ini berbuat  demikian. Menyusahkan  aku nak  masuk ke  syurga.

‘ Ekao donga dari mano ni...’  Aku bertanya nak tahu punca berita.

‘ Lobai  Hassan  cerito..  dio cerito dongan Apak  den....’ Kassim memberi penjelasan. Kassim juga  bukan perawi sahih. Surah tangan kedua.

‘ Lobai tu... dio dah naik kek jambatan tu ko? Aku mahu penjelasan

‘ Ontah...den pun tak tau...’ Kassim mematikan cerita.

Dalam kepala aku  tergambar akan  jambatan batang kelapa  dalam sawah  depan rumah aku di Kampung Tengah. Bila musim hujan sampai kami  wajib berhati hati takut terkelecek atas titian batang kelapa.  

Surah jambatan  ke syurga sehalus rambut dibelah tujuh  dari Kassim ini menjadi  amat pelik kepada aku.

‘ Tu macam mano kito nak lopeh...’ Aku terus bertanya dan mahu penjelasan. Aku takut jatuh ke dalam api.

‘ Rayo aji somboleh lombu...kito buek  korban... nanti kek jambatan kito naik lombu kito yang kito somboleh....’ Kassim memberi pencerahan.

‘ Kaki lombu  ado cabang  lagi susah nak lalu ateh rambut...’  Pandangan rasional  dari aku.

‘  Ontah den pun tak tau...apak den tak cerito hal kaki lombu..kalau nak lagi copek lalu  jambatan kono  pogi Mokah... sombolih lombu di Mokah ... tu macam  Lobai Asan dio tak lamo laai nak poi Mokah..’ Kassim membuka babak baru.

Ketika aku dan Kassim berlabun hal  jambatan ke syurga orang kampung Tapak  sedang heboh  bercerita tentang Lebai Hassan yang akan pergi ke Mekah. Lebai   Hassan ini tuan pemilik kedai runcit. Kedai dan rumahnya   betul-betul di hadapan padang sekolah Tapak – depan rumah aku. 

Isteri Lebai Hassan  bernama Sawi.  Sawi ini jauh lebih muda dari Lebai Hassan.  Sawi ini ranggi, genit  dan langsing. Lebai Hassan pemilik  kedai runcit ini dianggap orang berada dalam kampung Tapak. Bukan calang-calang orang yang mampu pergi ke Mekah.

Aku tak tahu sangat tentang cara dan bagaimana aturan  pergi ke Mekah ini. Apa yang aku ingat sebelum Lebai Hassan memulakan perjalanan dia  ada membuat kenduri doa selamat. Malam kenduri  itu aku dan Mak aku datang ke  rumah Lebai Hassan.

Esok paginya – awal pagi lagi -  Lebai Hassan  hendak memulakan perjalanan ke Mekah. Ramai  saudara  mara  dan jiran yang datang untuk mengucap selamat jalan.  Aku dan Kassim melihat dari jauh. 

Bila Lebai Hassan keluar dari pintu aku dengar ada  laungan azan. Kemudian disambut oleh pukulan kompang mengiring Lebai Hassan.

Lebai Hasan pergi seorang diri. Dia tidak membawa Sawi isterinya.  Sawi tinggal menjaga rumah, ayam itik dan kedai. 

Beberapa orang  saudara mara dan jiran ikut sama  berjalan mengiringkan Lebai Hasan menapak berjalan  dari Kampung Tapak ke pekan Padang Lebar. Agak jauh juga hampir 5  batu.  

Aku nampak   tilam, bantal, tikar mengkuang  semua terikat bersama beg rotan. Barang ini naik atas basikal yang diheret bersama rombongan mengiring Lebai Hassan.

‘  Bawak tilam pulak... tido kek mano... nanti...? Kassim bersuara.

‘ Dalam kapal laa... kan dio naik kapal gi Mokah...’ Aku  menjawab senang.   

Aku difahamkan  tikar mengkuang ini bukan jadi tikar sembahyang. Tikar ini untuk jadi alas tempat tidur dalam kapal.  Kepala  aku penuh dengan persoalan. Aku nak  tahu besar mana kapal ini. Dan macam mana tidur dan makan minum dalam kapal. Tapi naluri ingin tahu aku ini terbantut. Tak ada sesiapa dapat menjawab.  Tak ramai orang Tapak yang pernah pergi ke Mekah.

Aku dengar  dari Padang Lebar Lebai Hassan akan naik kereta  ke Kuala Pilah. Dari Pilah tukar kereta ke Seremban. Dari Seremban  naik kereta api ke Singapura.  Dari Singapura  naik kapal ke Mekah.

Aku merasakan jauh sekali perjalanan  Lebai Hassan ini.

Nama Kuala Pilah  dan Seremban  ada dalam kepala aku. Kuala Pilah aku pernah sampai. Aku  ikut Mak aku dua kali ketika Emak aku  ambil gaji di Pejabat  Tuan D.O Kuala Pilah.

Seremban  aku hanya mendengar  namanya saja.  Tapi belum pernah sampai. Singapura  aku tak tahu di mana. Aku  hanya  mendengar nama Singapura melalui  cencorong nyanyian dari suara  R. Azmi.

Rumah aku  ada cencorong. Bukan semua rumah ada cencorong.  Kalau di zaman Jepun sapa ada cencorong akan dibunuh oleh Kempeitai.  Masa itu    cencorong rumah aku  pakai bateri air.

Lebai Hassan selamat dihantar hingga  ke Padang Lebar. Heboh se kampung  tentang   Lebai Hasan  pergi ke Mekah jadi reda.  Sawi tinggal  bersendirian. 

Kampung Tapak kembali seperti sedia kala.   Sosok yang lahir hari Sabtu tertiba muncul menampakkan diri di jalan depan sekolah.  Ketika heboh tentang Lebai Hassan nak ke Mekah  si Sabtu  ini lesap entah di belukar mana.

Macam Lebai Hassan juga   si Sabtu pun dikenali  oleh semua orang Kampung  Tapak.

 Rambut Sabtu panjang  menggerbang.  Baju dan seluar kotor dan comot. Dia berkaki ayam. Biasanya Sabtu akan menarik kayu. Dia menarik kayu songsang.  

Orang Kampung Tapak anggap Sabtu ini  gila. Kassim dan aku tidak pernah takut atau lari apabila a melihat  Sabtu. Aku hanya  anggap  Sabtu ini lain kerana cara dia  menarik kayu songsang. Aku tidak tahu di mana rumah Sabtu dan  apa guna kayu yang  sentiasa ditariknya ke hulu ke hilir. 

Beberapa bulan kemudian  Kampung Tapak heboh kembali.  Lebai Hassan diberitakan sudah sampai ke Seremban.  Kemudian sampai ke Kuala Pilah. Sehari kemudian Lebai Hassan muncul.  Dia berkain sarung  berbaju Melayu putih  dan  serban terikat di kepala.

Kini sudah menjadi Haji  Hassan bukan lagi   Lebai Hassan.

Petang itu   ramai kaum keluarga dan jiran datang  menyambut Haji Hasan. Rumah Sawi penuh dengan  tetamu sekali lagi.
 
‘ Apak den cakap ... borokat kalau  kito salam dongan orang baru  pulang dari Mokah...’  Kassim memberi penerangan kenapa ramai orang datang ke  rumah Sawi.

‘ Borokat macam mano..’ Aku mahu penjelasan.

‘ Kito dapek pahalo... nanti kono kiro.. kalau nak lopeh jambatan tu....’ Kassim mengingatkan kembali tentang jambatan sehalus rambut dibelah tujuh.

Kassim  dan aku menebeng memerhati  jauh   dari jalan.  Kami budak-budak tidak faham sangat apa yang berlaku. Apa yang jelas  aku nampak ialah muka Sawi yang  bertambah manis.  Sawi keluar rumah masuk rumah menyambut tamu.

‘ Kao agak Lobai Asan  sombolih lombu ko  di Mokah...’  Aku bertanya pada Kassim.

‘ Dio bukan  lobai lagi ...  dah pogi Mokah dah tak jadi lobai.. dah  jadi aji...’ Kassim membuat  pembetulan.

‘ Di Mokah Haji Assan sombolih lombo  ko...’ Aku mengulangi pertanyaan.

‘ Mesti sombolih...... tak sombolih mana dapek jadi aji’.  Kassim memberi penerangan lagi.

‘ Susah boto ... nak lopeh jambatan ..  kono pogi Singapura.. pogi Mokah naik kapal...’  Aku memikirkan  betapa juahnya Mekah dari  Kampung Tapak. Wajib berjalan kaki ke Padang Lebar, ke Kuala Pilah, ke Seremban untuk  naik kereta api ke Singapura. Dari Singapura naik kapal laut ke Mekah. 

Bukan mudah dan senang untuk lalu di jambatan sehalus rambut dibelah tujuh. Bukan senang nak masuk syurga.

Ketika  orang ramai sibuk  bersalaman menyambut Haji Hassan pulang dari Mekah  Sabtu muncul melintas di hadapan  rumah Sawi. Sabtu  tidak peduli apa yang sedang berlaku. Sabtu seperti biasa  bersenang lenang menyeret kayu. 

Bila Sabtu muncul  mengheret kayunya ini bermakna Kampung Tapak kembali seperti sedia kala. (TT)



TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/07/07/sabtu-dan-naik-haji/


Tiada ulasan: