KOMIDI DAN KELAS
Ketika aku membesar aku selalu mendengar perkataan – pemola. Emak aku akan berkata Si Anu dan Si Anu ini pemola orangnya. Atau Si Anu itu pandai buat pemola. Sekarang aku tak jumpa lagi perkataan ini. Apakah Dewan Bahasa tahu atau tidak tentang perkataan ini. Atau pemola ini hanya lorat pekat orang Kampung Tengkek Kuala Pilah Negeri Sembilan.
Pemola ertinya lawak. Ertinya lucu. Ertinya komidi. Si Pemola pandai buat lawak dan menimbulkan geli hati.
Aku mula mengenal pemola yang bernama Mat Kambing. Sosok ini aku temui ketika aku dalam darjah dua tahun 1958. Entah sambutan apa pada malam itu. Pentas didirikan di padang bola depan rumah pasung Kuala Klawang. Ada pertunjukan aneka ragam – ada muzik dan nyanyian. Yang aku ingat satu nama penyanyi perempuan bernama Norma Salim.
Mat Kambing bergabung dengan dua orang lagi pemola - Ibrahim Din dan S.M Salim. S.M Salim ini suami kepada Norma.
Aku mencanguk di depan pentas mendengar Mat Kambing , Ibrahim Din dan S. M Salim membuat lawak. Mat Kambing dan Ibrahim Din memakai pantelon berbaju Melayu dan kain sarung terselendang. Songkoknya di pakai songsang. Ini pakaian pemola atas pentas di zaman aku membesar. Pakaian sedemikian diharapkan akan membawa lucu. S.M Salim berbaju dan pakaian biasa.
Aku masih ingat lagi sandiwara lawak mereka malam itu. Mat Kambing berlagak sebagai Pegawai Melayu yang fasih berbahasa Inggeris walhal dia hanya tahu perkataan Yes – No – All Right dan Thank you. Akhirnya rahsia terbongkar. Aku tidak ketawa pada malam itu.
Ketawa memerlukan asas budaya. Aku budak kampung tidak faham apa yang menggelikan hati dengan Yes No Thank You.
‘ Pasal apa namanya dia Mat Kambing..’ Esoknya aku bertanya pada Emak aku.
‘ Dia dulu kerja polis...sedang berkawat... hujan turun.. dia lari cari tempat teduh... lalu lekat nama Mat Kambing.. kan kambing takut hujan...’ Dari perawi mana Emak aku dapat surah ini aku tidak tahu. Aku hanya menerima sebagai hadis sahih.
Masa berjalan. Aku mendewasa. Ketika itu aku sudah masuk sekolah Inggeris – Goverment English School (GES Jelebu ). Hari Ahad sekolah cuti. Hari Ahad jam 12.30 tegah hari Radio Malaya siaran Melayu ada rancangan lawak – Ismail Bontak Kembali ke Udara.
Budaya lawak, budaya lucu yang menggelikan hati telah mula meresap ke dalam jiwa aku. Aku mulai faham apa itu lawak. Justeru aku anggap Ismail Bontak ini memang pemola. Lagi pun dari apa yang aku dengar Ismail Bontak ini orang Rembau. Maka lorat Nogorinya yang pekat dapat aku hayati.
Kemudian Radio Malaya mengambil S.M Salim , Ibrahim Din dan Jamal Kerdil untuk membuat rancangan lawak menggantikan Ismail Bontak. Aku juga amat-amat meminati rancangan komidi kumpulan ini.
Aku dibesarkan oleh Radio Malaya yang dipancarkan dari bangunan Federal House - Rumah Persekutuan. Sebelum aku masuk sekolah lagi rumah aku telah ada radio.
Televisyen datang lambat. Malah ketika aku mula berkelana tahun 1974 – Jelebu masih belum ada TV. Aku hanya ‘ menjenguk-jenguk ‘ TV ketika aku belajar di Kuala Kangsar.
Ketika aku tinggal di Kolej Kelima Universiti Malaya – di Dewan Makan ada TV. Tapi aku tidak ambil pot. Ketika itu ada drama lain yang lebih hebat yang aku sendiri rancang dan pentaskan.
Secara serius aku mula menghadapi kaca TV ketika aku menyorok di rumah Tongkat Waran. Ketika ini polis sedang mencari aku. Iklan – wanted – telah muncul di Utusan Malaysia kerana aku gagal muncul ke mahkamah di Johor Bahru – kes Tasik Utara.
Mata-mata mencari aku. Aku cabut lari. Aku ke sana dan ke sini. Akhirnya aku mendapat ‘suaka politik’ dari Tongkat Waran dan Kak Hasnah.
Di rumah Tongkat Waran aku mula berkenalan dengan Mary Tyler Moore. Mary Tyler Moore adalah komidi bahasa Inggeris yang aku rasa aku fahami. Ada kata-kata dan situasi yang akan membawa aku tersenyum gembira. Sebelum ini ada juga aku ternampak Minah bernama Lucy di kaca TV tapi aku tak ambil pot sangat.
Mary Tyler Moore masuk ke dalam sanubari aku agak berlainan. Di rumah Tongkat aku tidak ke mana-mana. Duduk dalam bilik. Saban hari aku menyelongkar khazanah buku dan kitab-kitab milik Tongkat. Aku sempat membaca majalah Mestika dalam tulisan Jawi koleksi Tongkat.
Kerana aku bersendirian tak ada kawan berbual maka aku jatuh hati dengan Mary Tyler Moore. Minah cun lagi cool ini menjadi penghubung aku dengan dunia luar.
Aku tidak sedar pun pada ketika apa yang aku tuntun ini humor Amerika. Untuk aku semuanya Inggeris. Sebenarnya tidak semua ‘ punch line – garis penumbuk ‘ dalam komidi ini aku fahami. Bahasa Inggeris aku boleh tahan bukan hebat sangat. Tapi kerana di setiap garis penumbuk itu ada suara orang ketawa maka aku pun ikut ketawa sama.
Pada tahun 1972 ketika aku belajar di Universiti Malaya aku mendengar ayat - English Humour – humor Inggeris. Apa dia humor Inggeris ini aku tak tahu.
Pernah ketika aku di Melbourne tahun 1976 – kawan serumah aku Philip Lim membawa aku menuntun filem Monthy Phyton bertajuk Holy Grail (1975) di Varhalla Cinema Melbourne. Penonton Mat Salleh dan Minah Salleh dalam panggung ketawa terbahak-bahak. Aku budak kampung yang baru masuk pekan senyap – satu habuk aku tak faham.
Aku menyedari bahawa lawak dan humor ini memerlukan latar belakang budaya dan sejarah untuk rujukan. Aku yang tidak memahami budaya Inggeris. Sejarah Inggeris pun aku bebal.
Lawak Monthy Phyton ini bukan lawak terkelecek kulit pisang. Humor ini muncul bukan dari aksi tapi dari kata bual. Aksi hanya membantu. Kerana itu aku tak ketawa bila melihat Holy Grail.
Di Brixton College London aku masuk belajar Asas Seni. Ini termasuk sastera, lukisan, seni fotografi dan filem. Semua ini bukan satu yang baru untuk aku. Apa yang baru ialah aku mempelajari semua cabang ilmu ini secara formal, ilmiah dan tersusun.
Aku belajar nahu filem. Aku belajar bahasa filem. Aku belajar nahu dan bahasa lukisan. Baru aku sedar bahawa filem dan lukisan ini memiliki nahu. Sedikit demi sedikit pemahaman aku tentang budaya Inggeris meresap ke dalam dunia baru aku. Aku mula memahami humor Inggeris.
‘ Tony... tell me what comedy you watch on telly ...’ Aku bertanya pada kawan aku Anthony. Babbington Grant. Anak muda kulit hitam warga asli Brixton.
‘ Isham you lived in Bromley – by- Bow.. you’re a cockney... You must watch Steptoe and Son... opps.. old comedy... find the video if you’re lucky...’ Tony memberi aku nasehat.
‘ What else...’ Aku bertanya lagi.
‘ Watch ...Only Fools and Horses... get to know Del Boy..and Rodney his brother...’ Tony memberi maklumat.
‘ What is cockney Tony ‘ Aku bertanya.
‘ Any blokes who lives near Bow Bells or could hear the bell .. you’re a cockney ... Malaysian cockney...you lived not too far from the bell...’ Tony memberi penjelasan.
Aku menjadi cockney mengikut takrifkan Tony. Betul aku tinggal dekat Bow Bell – loceng besar – tapi aku tak faham pun selain dari itu. Aku tahu warga cockney di wilayah East London ini ada lorat tersendiri.
Ketika aku berhijrah ke London No 10 Jalan Downing diduduki oleh Puan Margaret Thatcher. Ini era permulaan dasar ekonomi neo-liberal. Agenda utama dari parti Konservatif ialah buat duit – ada duit semua jadi.
Di Amerika ketika ini Rumah Puteh diduduki oleh Ronald Reagan. Thatcher dan Reagan adalah wakil kaum kapitalis yang terunggul. Dua pemimpin negara kapitalis besar ini mengajukan dasar ekonomi neo-liberal. Dasar ini mengurangkan perbelanjaan kerajaan, mengurangkan subsidi, membebaskan pasaran dari kawalan dan mengekang kesatuan sekerja dan buruh.
Dasar buat duit tahun 80’an inilah yang menjadi latar belakang budaya ketika aku berhijrah dari Wavre Belgium ke London.
Dari dasar ekonomi ini lahir konsep lahir konsep ‘loads of Money ‘ – duit bertimbun-timbun. Bunyinya seperti lawak lucah tapi inilah yang berlaku di tahun 80’an.
Ketika ini juga kota New York mewujudkan konsep Yuppie – Young Upwardly Mobile Professional. Karyawan muda yang hanya mengejar kerja dan duit untuk tujuan hidup.
Budaya ‘ loads of money ‘ inilah yang menjadi budaya latar belakang komidi , lawak dari para pemola kota London tahun 80’an.
Pada awal penghijrahan aku melihat masyarakat dan budaya United Kingdom ini indah dan berkebajikan. Perubatan percuma, pembelajaran percuma, tak bekerja ada dana dari kerajaan, ada rumah sewa majlis tempatan. Cukup cantik.
Makin lama dan makin banyak aku bercampur maka makin banyak aku mendapat pencerahan budaya. Aku mulai sedar di belakang welfare state atau negara berkebajikan ini wujud sistem kelas yang ortodoks lagi pekat.
Kelas di United Kingdom bukan hanya tentang Baginda Queen Elizebeth, tentang Putera Philip atau tentang Lady Diana. Bukan hanya tentang ekonomi mata pencarian.
Kelas merangkumi semua. Mata pencarian satu rujukan asas tapi kelas lebih dari pound dan sterling. Di mana kamu tinggal. Apa kamu makan, pub mana kamu kunjungi, kedai siapa kamu langgan, akhbar apa kamu baca, rokok apa kamu hisap, beer apa kamu minum – semuanya memiliki latar belakang kelas.
Malah bila sosok itu membuka mulut maka yang terhambur keluar ialah kelasnya.
Kelas dimanifestasiku dalam semua bentuk kehidupan. Malahn cara kamu bersegama diatas katil juga mengikut kelas. Kah kah kah.
Aku ikut nasihat Tony. Aku mula menuntun Only Fools and Horses. Ketika aku sampai ke London siri komidi BBC ini sudah masuk tahun ke dua. Kisah tentang Derek Trotter dan adiknya Rodney. Mereka tinggal di blok flet bernama Nelson Mandela milik Majlis Bandaran Peckham.
Derek lebih dikenali dengan panggilan Del Boy punya awek bernama Raquel. Rodney pula sedang memburu dan merayu cinta Cassandra. Dua beradik ini meniaga barang-barang terpakai dipasar.
Mereka memiliki sebuah kereta kecil bertayar tiga. Niat mereka dalam budaya ‘ loads of money ‘ ialah untuk menjadi jutawan. Maka mereka sanggup menjual dan membeli apa sahaja.
Apa yang boleh dijual akan dijual. Apa yang boleh dibeli akan dibeli kemudian dijual. Termasuk barang curi.
Bayangkan Del Boy , Rodney dan Pak Cik Albert duduk di rumah DBKL Kampung Kerinchi. Mereka ini peniaga Bumiputera yang memiliki gerai barang terpakai di Pasar Chow Kit.
Mula-mula aku agak sukar memahami komidi ini. Sama saperti aku gagal memahami Mat Kambing. Tetapi lama kelamaan aku sendiri mula menghayati siri ini.
Lorat cockney East London mula aku fahami. Baru aku sedar beta mainan kata-kata lapik berlapik yang membawa makna yang berlainan. Kias berkias. Ironi dan putus harapan dalam usaha untuk menjadi kaya.
Del Boy memasang niat untuk mengejar kekayaan dan menyambut seruan Margaret Thatcher. Manakala Rodney yang ada sedikit pelajaran sekolah menengah memandang dunia akan berlainan dari abangnya Derek yang hanya ada sekolah asas.
Bayangkan Mat Dolah Kampung Kerinchi yang hanya lulus darjah enam ingin menjadi Syed Mokhtar. Bayangkan Mat Dolah Kampung Kerinchi berlagak sebagai anggota Royal Selangor Club. Inilah gaya hidup Del Boy cuba meniru gaya hidup kelas atasan kota London di Kesington dalam usaha untuk menjadi jutawan.
Pak Cik Albert dengan pakaian kelas buruh lebih jujur tapi tak habis habis dengan ayat dan khutbah ..’ when I was in the war. Against the German ....’
Aku yang duduk di New Mill House Bromley-by Bow merasakan hati aku agak rapat dengan sosok -sosok dan watak ini. Aku merasa simpati terhadap mereka yang duduk menyewa flet milik Majlis Tempatan dan berpindah ke banglo di Notinghill Gate.
Aku merasa sedih dan dalam masa yang sama aku juga ketawa apabila melihat kereta tayar tiga Del Boy terkandas rosak.
Inilah komidi kota London dengan budaya loads of money yang di war-warkan oleh anak towkay kedai runcit dan kedai jual tembakau yang kini duduk di No 10 Jalan Downing.
Jika Magaret Thather yang ayahnya penjual rokok dan tembakau boleh menjadi boleh menjadi Perdana Menteri United Kingdom aku rasa Del Boy juga merasakan yang dia boleh menjadi jutawan.
‘ Isham... how do you like Del Boy...’ Tonya budak Itam dari Brixton yang memperkenalkan aku dengan Del Boy kini hendak tahu perkembangan diri aku.
‘ Del Boy... aint finish yet...’ Aku menjawab bahawa kesah Del Boy ini belum tamat. Aku belum ceriatkan lagi Mat Kambing kepada Tony. (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIRKAN DALAM PORTAL
MALAYSIA NOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/08/13/komedi-dan-kelas/
2 ulasan:
Untuk peminat satira politik dalam kerangka ketidakcekapan urus tadbir, boleh layan sitkom british, thick of it garapan amando ianucci. beliau juga menulis sitkom veep di amerika.
Rodney you plonker!
Catat Ulasan