Rabu, 6 Oktober 2021

BETINA MEMILIH JANTAN

 

 BETINA 

MEMILIH JANTAN

Makan tengah hari  di Garuda Restoran tidak meriah. Jarang warga  London datang makan tengah hari. Satu dua meja sahaja yang digunakan.  Budaya makan warga London ialah makan malam kecuali bulan Disember. Ini apabila  hari  raya  Krismas akan datang  dan  ramai Pak Cik   Santa menebeng  di merata persimpangan jalan memberi sedekah atau mengiklan barangan. 

Ketika musim pesta-pestaan  ini  Garuda akan dihujani oleh  ‘jamuan  pejabat ‘ . Siang malam  restoran penuh.
Bulan  Disember dan Januari  saku aku  penuh  dengan duit tip. Dari hasil ini aku berupaya  membayar  yuran sekolah bila kampus di buka  lepas tahun baru.

Pada hari Rabu  musim panas tahun 1990 itu  aku  seorang diri bekerja sebagai pelayan  di waktu makan tengah  hari di Garuda.

Hampir jam 1   dua wanita yang sudah putus haid masuk ke  restoran. Dari pakaian  - kasut  Nike  , seluar panjang luas, jaket dan topi – aku yakin  Mak Cik berdua ini pasti pelancong dari Amerika. Mereka  sedang menapak  dan merayau-rayau menziarahi kota London. 

Aku menyantuni mereka dengan penuh hormat. Bukan aku nak mengayat. Tidak. Ini bukan agendanya.  Aku tahu pelancong  dari Amerika  tidak akan gagal meninggalkan duit tip. Di Amerika aku di fahamkan memberi tip ini menjadi satu kemestian – obligatoire kata Orang Belgium.

Telefon berdering. Aku menjawab.

‘  Aku masih ada dua Mak Cik  Amerika... restoran tutup lepas jam dua... ok...aku datang... ‘ Mata aku memandang kepada meja besar di mana dua pelanggan sedang menikmati  pergedel dan  sate.

Janina meminta aku datang ke   tempat biasa -  kedai kopi  di China Town di Charing Cross Road.  Aku juga tak sabar nak tahu apa perkembangan dari iklan  Janina  ‘menjual diri’ dalam majalah Time Out.

Mak Cik Amerikan  selesai makan. Mereka  meninggalkan Garuda. Aku mengemas meja. Bersepah duit siling – kecil dan besar – di atas meja. Aku menjadi  5 pound  kaya  tengah hari itu. 

Jam 2.30 dengan pantas aku memasang  nota – CLOSED – di tepi pintu. Aku  menapak ke Charing Cross Road.  Dari jauh aku nampak Janina sudah mengambil meja di kaki lima kafe.

‘ Apa cerita.. berjaya ke?..’ Aku dengan cepat bertanya. 

‘ Sue... tuan rumah aku hairan.... ha ha ha....’ Janina ketawa kuat tapi tak sekuat ketawa aku.

‘ Surat  banyak dalam peti surat... aku kata pada Sue  aku sedang  melamar nak cari kerja baru.... entah dia percaya entah tidak...’

‘ Berapa banyak .... surat jawapan sampai..’  Dengan gelojoh aku bertanya.

“ Semalam tiga.. sebelum itu ada lima keping... hari ni ini ada  satu lagi...’ Janina menunjukan pada aku sembilan keping sampul surat. Semua  surat  dari jantan Mat Salleh ingin mencari betina  Oriental. 

‘ Baca laaa...’  Janina mencapai beg tangan kemudian melambakkan surat   ke atas meja.

Amoi pelayan datang. Aku meminta  kopi hitam dan kuih pau. Janina meminta  air teh limau panas.

Aku membuka surat pertama. Jantan  bernama  Erick . Surat tulisan tangan besar dan jelas. Erick berumur  30++ dari Kent . Ada gambar  poskad Erick  berdiri di tepi kereta.  Jantan ini tidak menyatakan dia bujang atau duda.
‘ Mamat ini dari Kent ... jauh laaa...kampung dia di luar London ... ‘ Aku memberi komen.

‘ Muka ok... badan ok... jauh macam  mana Sham..’ Janina ingin pencerahan.

‘  Ini dekat Dover ... pelabuhan kapal.. aku turun naik disana dari Belgium atau Peranchis... Mamat ni nak bergaya..ekshen...laaa...tunjuk dia ada kereta..boringlaaaa...‘  Aku memberi pandangan  berasaskan ilmu semiotik yang baru aku belajar dari kuliah Ian Green Cik Gu kelas teori filem.

‘ Wow .. tempat jauh ...... tolak...tolak...’  Janina buat keputusan.

Amoi pelayan kedai kopi membawa pesanan kami. Aku cukup suka makan kuih pau yang dihangatkan sambil menghirup kopi pahit hitam.

Aku buka surat  ke dua dari jantan bernama  Nigel  juga berumur  30++. Lelaki bujang ini menulis : friendship  and  seeking  long term relationship.. Maknanya  jantan Nigel ini amat  serius  dan sedang  mencari  teman hidup. Nigel  menuliskan yang dia juga suka masakan Asia. Tinggal  di  E7 Stratford East London. Muka kacak bergaya.

‘ Woit... Mamat ni tinggal kat Stratford... aku tahu tempat ini... dulu aku  pernah  tinggal di sana. Tumpang rumah kawan aku Yunus...awal dulu... mula-mula  aku sampai ke London..... Emak dan Abah aku pun pernah datang ke sana...’

‘ Okay ke kampung Stratford  ni ... ...’ Janina ingin tahu daerah  Stratford.

Inilah perkara yang cilaka tentang London. Kalau kita sepintas lalu datang ke  London sebagai pelancong kita lihat semua indah. Taman bunga, pengangkutan awam, tempat hiburan, kafe, restoran dari seluruh dunia , panggung wayang , panggung teater  – semua menarik. Dalam keindahan ini ada cilaka yang maha cilaka. 

Sistem kelas di United Kingdom ini memang cilaka.  Sistem kelas Inggeris – the English class system  - ini lebih tebal dari sistem kasta di India.

Pakaian boleh diubah untuk tidak menunjukkan kelas. Mungkin duit boleh membeli baju terbaru dari Chanel atau Hermes.  Duit boleh menutup badan tapi  bila buka mulut kelas akan terbuka luas. 

Lorat  warga London yang miskin berbeza dari bunyi pengucapan  warga London dari kelas atasan atau elit. 

Kelas atasan berbahasa dengan bunyi pengucapan sama seperti  suara penyampai berita di   BBC – British Broadcasting Coperation. 

Dari sini muncul istilah lorat BBC atau yang lebih tinggi derajatnya  lorat  Queen’s English – bahasa pengucapan Baginda Queen dan kerbat  Di Raja. 

Hakikatnya memiliki  gaya penampilan,   elegan  dan kelas tidak dapat dibeli dengan wang ringgit.   Ini samalah seperti cuba mengubah  Pantai Dalam untuk jadi Bangsar South. Adalah  mustahil asal usul  kad pengenalan 03 akan berubah jadi 14.  Lorat 03 akan terkeluar  juga sekali sekala. 

Paling cilaka juga sekolah  tempat belajar dan universiti juga  menunjukkan kelas. Bukan keputusan atau pencapaian akademik. Begitu juga akhbar  dan buku yang dibaca juga akan menunjukkan kelas.
Filem apa yang dituntun , jenis filem apa yang diminati,  genre teater apa yang dianggap ada kelas.  Justeru muzikal di West End dianggap  teater lekeh.  Teater muzikal ini dianggap hiburan untuk  penternak ayam dari Belanda yang  kini berduit selepas menjual telor- lalu datang ke London untuk melihat teater.

Tentang teater muzikal ini  aku tak akan lupakan apa yang terjadi kepada diri aku. Tahun 1986 aku  sedang hangat berpacar dengan Carmen gadis  Basque dari  Sepanyol.

Tahun itu juga aku telah menuntun teater muzikal La Cage aux Follies  di West End. Aku budak kampung dari Jelebu merasa amat berbangga dapat menuntun teater di West End

Bila Carmen datang melawat aku di London aku dengan bangga konon bercerita tentang teater  yang baru aku  tuntun.

‘ That’s a musical....  we don’t watch that  kind of theatre... too simple...’ Carmen menembak jatuh kebanggaan aku.  

Aku senyap tak bersuara. Semenjak dari  tarikh itu  aku tidak lagi menuntun  apa-apa teater muzikal di West End.  Budak kampung dari Jelebu merasa malu.

Paling cilaka ialah alamat rumah. Kawasan kediaman ini benar-benar menunjukan kelas. Kelas bukan berasakan  rumah banglo atau flet  tetapi  di mana tertulisnya alamat tempat tinggal.

Duduk di Hamstead dengan serta merta dianggap kelas intelektual.  Islington North London wilayah  kampung seniman, pemuzik atau pereka feshen.  Surrey untuk  kelas orang berduit -   pemain dan penjaga  pasaran saham di City of London. 

 Jika di Tower Hamlets ini di East End wilayah miskin yang pada satu masa dahulu  didiami oleh imgiran Yahudi. Selepas Perang Dunia Ke dua  Tower Hamlets menjadi  kampung imigran Bangla sama seperti  Brixton jadi kampung Orang Hitam dan Southall dipanggil Little India.

‘ Stratford ni..  di East End...’ Aku menerangkan kepada Janina.

‘ Tak nak laaa.... jantan East End tak cool... entah-entah Mat Bangla menyamar jadi  Mat Salleh...ha ha ha..’ Janina terbarai ketawa sambil menolak   Nigel.

Aku selesai  membaca tiga  helai surat jantan mencari betina.  Semua surat yang aku baca menarik. Gambar yang aku lihat semua kelihatan  kacak.  Gambar  dipotret khas untuk mengiklan diri. Semua jantan dalam lingkungan umur tiga puluhan.

 Semua jantan sedang gian nak mencari betina dari Asia. Betina Oriental dianggap manja, tak banyak songel dan amat baik untuk dijadikan bini. Ini terpahat dalam mitos jantan Mat Salleh.

‘ Kau nak yang macam mana...’ Aku bertanya kepada tuan punya badan.

‘ Aku pun tak tahu... semua okay... susah nak pilih... aku rasa kena jumpa satu satu....” Janina menjawab.

‘  Ni macam nak beli seluar.... masuk kedai seluar ... nampak banyak  seluar.... rambang mata... semua cantik... semu nak....’ Aku buat bandingan.

‘ Aku nak  buat  macam Sang Kancil ... satu dua tiga lekuk  surat jantan aku ketuk... mana kena ... aku rasuk... ha ha haa.... ‘ Janina  berseloka sambil ketawa.

‘ Wow... sekarang  pasal nak cari jantan.... Melayu kau datang...kau ingat pada Sang Kancil... jantan Melayu kau tak ingat...’ Aku juga turut ketawa.

Tertiba Janina meletakkan sembilan keping  surat itu dan dia mengetuk dengan jarinya  satu per satu.

‘ Nah ini yang dulu... buka dan baca... ‘  Janina menghulurkan surat itu pada aku.


Aku menyambut dan  membaca surat itu. Surat ini  dari jantan bernama Christopher Kelly dari Chelsea. Arkitek berumur  32 tahun. 

Isi surat : I am looking for LTR  not ONS  with loads good SOH.

‘ Ehhh... aku tak faham apa bendanya LTR .. ONS.. dan SOH ini... ini cakap apa ni...’  Asal usul kampung aku muncul bila bertembung dengan akronim moden. 

‘ Laaa....kau  tak tahu ....LTR ... long term relationship... ni nak ajak se hidup semati... ONS  ini one  night stand .... bukan  nak tidur semalam saja... SOH ni.... sense of humor... pandai berjenaka... ini bahasa  iklan.. tulis panjang-panjang orang muak nak baca...’  Janina memberi pencerahan pada budak kampung dari Jelebu.

Janina membuat keputusan untuk berjumpa dengan Christopher Kelly.

‘ Aku nak ajak jumpa di Soho... ‘ 

‘ Garudalaa... boleh aku tengok sama...aku layan spesial kau berdua nanti...’ Cadangan dari pelayan Garuda.

‘ Nak makan Italian... mana ok ? ‘

‘ Amalfi  di Old Compton Street .. tak  jauh dari  Desaru  Restoran tempat aku kerja dulu...’ 

‘ Ujung minggu ni ke..... kau tak sabar nak jumpa Kelly...’ 
‘ Kau  nak gi salun .. pasang rambut...... ‘ Aku melawak.

‘ Bukan saja salun... aku nak beli Wunder Bra... nak naikkan buah dada....  ha ha ha..’ Kami sesama terbarai ketawa.

Aku mengangkat tangan untuk memanggil Amoi pelayan. Amoi sampai aku membayar.

‘ Wow... banyak duit....’ Janina berseloroh.

‘ Tadi Mak Cik Amerikan sedekah pada aku tadi....nak tanya hotel mana mereka duduk...tapi dua dua  dah kering haid...ha hah...’ Aku terbarai ketawa.

‘ Eh.. kau  tak takut ke ... jumpa orang yang tak kau kenali....’ Aku masih was was dengan projek cari jantan ini.

‘ Kau pernah ada blind date kan .... sama je... jumpa Minah dalam Garuda... macam aku nak jumpa Kelly dalam restoran Itali....  Garuda makan Melayu... Amalfi makan Itali.’

Bila Janina bertanya tentang  blind date – temu janji dengan sosok yang tak dikenali ini aku teringat kesah aku pada tahun 1972. Ini ketika aku tinggal di Kolej Kelima Universiti Malaya.

Kawan  satu kolej dan satu fakulti – si  Zainal ini ada kekasih  yang dia  dipanggil Jija. Nama penuh aku tak tahu. Zainal ini selalu bersurah tentang Jija. Mereka berkenalan semenjak dari zaman sekolah menengah lagi.  Bila Zainal  masuk universiti saham  Zainal  melonjak naik. Emak bapak Jija tak melarang Jija keluar bersama Zainal.

Aku jantan solo. Sibuk dengan aktiviti persatuan. Sibuk ke sana  ke sini.   Kami duduk di Master House Kolej Ke Lima – rumah banglo lima bilik yang dijadikan bilik asrama.  Master House ini memang spesial.  Lelaki perempuan tidak ada larangan keluar masuk ke rumah kami.

Bila Zainal pulang dari berjumpa dengan Jija dia akan bercerita tentang itu dan ini.  Ini bukan lagi kesah cinta monyet. Ini kesah cinta kejantanan jantan yang sedang membara.

‘ Isham... kau tak ada  girl friend ke ...  ramai  kat  fourth  college.... tak kan tak ada.... kau duduk kat union house  memang tak ada  woman......’  Zainal menganjing aku.

‘  Carilah la aku seorang..’ Aku melawak.

‘ Betul ke ni... kawan Jija ada... nak ke..’ Zainal jadi serius.

Aku yang awalnya melawak kini beralih pedoman.  Ini satu yang baru. Aku tak perlu  menolak.

‘ Betul ke ... Jija ada kawan...’

‘Sabtu depan.. Jija  datang KL... aku suruh dia  ajak  Susan kawan dia datang  sama.  Susan ni half half.. ada darah China Melayu India ... dulu ada boy friend... tapi  tersangkut dadah...’ Zainal memberi pengenalan agar aku bersedia Sabtu depan.

Aku ingat lagi petang Sabtu itu. Zainal    membonceng  motosikal aku   BS2974 – Honda 90CC. Kami menuju  Taman Tasik Petaling Jaya. 

Jija dan Susan  duduk   atas kerusi tepi tasik.  Ini kali pertama aku melihat Jija kekasih Zainal. Susan aku lihat  gadis manis yang  bukan Melayu, yang  bukan India dan bukan China – anak jati  Malaysia.

Susan  pada hemat aku anak gadis manis mimpi basah setiap jantan.

‘ Ni Isham...’ Zainal kenalkan aku pada Jija dan Susan. Kami bersalaman. Zainal  menarik tangan Jija dan terus berundur  menuju ke bawah  rumpun buluh . Aku tinggal dengan Susan.

Sebenarnya ketika ini  aku tak tahu  apa yang sedang  aku lakukan.  Aku bergerak jauh dari rumpun buluh di mana Zainal dan Jija sedang memadu kasih.   Susan  mengikut aku dari belakang.

Kemudian kami duduk di atas rumput menghadap  tasik. Kami duduk seolah-olah dua kekasih yang sedang berasmara.

Demi Zeus aku tak tahu apa yang harus aku lakukan. Segala kejantanan aku punah. Belum pernah  aku merasa diri aku tersesat. Sesat barat  di mana aku tak tahu apa yang wajib aku ucapkan.

‘  Rumah you di mana? ‘ Soalan bodoh dari aku. Zainal telah menerangkan  yang Susan duduk di Puchong.

‘ Puchong... ‘  Sepatah jawapan dari Susan.

Kepala   aku  bertanya  bagaimana agaknya Usman Awang  memadu cinta  hingga dia boleh menghasilkan teater Uda Dan Dara. 

Aku yang sedang berhadapan dengan dara ini telah hilang akal. Tidak  tahu apa yang seharunya aku tuturkan. Lidah aku yang petah di Sudut Pidato tertiba  kelu di hadapan gadis ayu ini.

Aku memerhatikan Zainal d bawah  rumpun   buluh.  Jelas mereka dua kekasih yang sedang dilamun cinta berahi. Antara Zainal dan Jijan sehelai  rambut tidak akan lulus. Manakala  diantara aku dengan  Susan  seekor gajah boleh melintas.

Ketika itu aku rasa masa berjalan terlalu lama. Bila agaknya  Zainal akan puas mengucup Jijan.  Bila agaknya  cumbu mesra mereka akan selesai. Aku terseksa menunggu.

Satu jam pada hari Sabtu itu  aku rasakan sebagai 10 jam. Semuanya berjalan lambat. Aku tidak tahu apa isi perbualan aku dengan Susan. Yang aku ingat hanya Susan tinggal di Puchong.

‘ I will see you after my date..’ Janina membawa  aku kembali ke London dan meninggalkan Zainal, Jijan dan Susan di tepi Taman Tasik Petaling Jaya.

‘ Ok... all the best with  your  blind date... jangan duduk bawah rumpun buluh....’ Aku tak sengaja tersebut rumpun buluh walhal di London tidak ada buluh.

“ Buluh apa?  ‘  Janina hairan bertanya.

‘ Selamat berdating...jangan keras macam buluh...nanti jantan takut....’ Aku mengalih jawapan dan terus menapak meninggalkan Janina menuju ke  Garuda restoran untuk kembali menjadi pelayan. (TT)


TULISAN INI JUGA DISIARKAN
DALAM PORTAL MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/10/06/betina-memilih-jantan/


Tiada ulasan: