Rabu, 24 November 2021

CINTA BAGHDAD


CINTA BAGHDAD


Penyair, novelis, dramatis tersohor Victor Hugo ( 1802 -1885)  warga Perancis pernah berkata : Hidup ini adalah bunga dan madunya ialah cinta. Aku percaya dan amat yakin dengan kata-kata ini. Semenjak aku pandai memakai  seluar dalam aku telah cuba mencari cinta.

Ahli falsafah China Lao Tzu ( 571 Sebelum Nabi Isa ) pernah berkata : Perjalanan seribu batu itu bermula dengan satu langkah. Aku juga percaya akan kata-kata ini. Malah aku telah berjalan beribu ribu batu untuk mencari  apa yang Victor Hugo katakan sebagai bunga dan madu.

Aku sendiri pernah  berkata bahawa : Cinta yang agung itu alah  cinta yang gagal.

Cinta yang gagallah yang menjadi ingatan. Uda gagal meminang Dara. Maka ianya menjadi  kesah cinta yang agung untuk Melayu.  Cinta Romeo terhadap  Juliet dihalang yang akhirnya membawa tragedi.  Ali dan Nino bercinta tapi cinta mereka dihalang kerana  berlainan agama.

Semua  kesah-kesah cinta yang gagal ini akan  menjadi  cinta agung dan  terus  menjadi ingatan. Bayangkan apa akan terjadi jika  Uda berjaya meminang dan berkahwin dengan Dara. Sembilan bulan selepas kenduri kahwin   Dara  melahirkan anak pertama  ,  kemudian dapat anak  ke dua, ke tiga... hingga ke anak cucu. Pasti Usman Awang (1929-2001) tidak akan mengagungkan kesah cinta Uda dan Dara ini.

Halangan dan kegagalan  menjadikan  cinta itu agung. Lagi menyayat hati akhiran cinta itu lagi agung  taraf  kesucian cinta itu.

Aku sendiri telah lupa berapa ratus  kali aku telah jatuh cinta. Semua cinta aku gagal. Ertinya semua cinta aku ini agung dan perlu diingati. Sekurang-kurangnya aku sendiri wajib terus mengingati kesah cinta  itu. Walau pun  kesah cinta aku tidak diteaterkan oleh Usman Awang.

Pada tahun 1977 aku sampai untuk   kali ke dua ke kota Baghdad. Kali pertama tahun 1975. Kali pertama aku hanya berniat untuk singgah. Kali  ke dua ini agak berlainan. Aku mencari tempat suaka.

Aku ingat lagi satelah hampir dua bulan tinggal di hotel aku berpindah ke  Asrama Belia kota  Baghdad.  Asrama ini tidak jauh dari pusat kota. Tidak jauh dari Jalan Abu Nawas. Dan tidak jauh dari tebing Sungai Dajlah.

Asrama ini menjadi tempat tinggal aku yang berjangka panjang.  Ertinya :   Tuan Rumah – NUIS ( National Union of Iraqi Students ) tidak perlu mengeluarkan dana yang  banyak untuk membayar sewa hotel.

Aku menghabiskan masa membaca. Di Baghdad  aku sempat membaca :  The Selected Work of Kim Il Sung. Aku  selesai   membaca empat jilid.  Dari kitab ini aku faham  tentang konsep dan  idea Juche – atau berdikari  sebagai ideologi Korea Utara.

 Aku membaca buku Kim kerana tidak ada buku lain yang dapat aku capai. Buku kulit keras Kim Il Sung ini  aku temui dalam almari buku Asrama Belia. Pada tahun 1977 – kedai  buku di Baghdad tidak ada menjual buku Inggeris.  

Iraq ada satu akhbar Inggeris -   Baghdad Observer . Pejabat akhbar ini  selalu aku datangi kerana kawan aku anak Palestin bernama Muhamad Zam Zam bekerja sebagai penterjemah.

Di Asrama belia ini aku mula berkenalan  dengan anak-anak muda  dari luar negara.   Ada anak muda Arab warga Perancis, ada anak muda dari Moroko, ada dari Sudan dan dari Tunisia. 

Dasar Iraq cukup terbuka : membenarkan  sesiapa sahaja warga Arab datang masuk ke Iraq.  Tanpa banyak soal jawab. Bayangkan ketika ini Iraq cukup kaya dan lumayan dengan bahan bakar minyak. 

Justeru ramai anak muda Arab datang untuk  melamar kerja dan ada yang menyambung pelajaran. Arab dari Eropah datang untuk mengenal dan melawat Iraq negara yang penuh dengan sejarah kuno  dan sejarah tamadun manusia.

Tamadun umat manusia semunya bermula di Sumeria. Ini wilayah Mesopotamia -  lembah subur antara dua sungai : Sungai  Dajlah dan  Sungai Furat atau Tigris dan Euphrates. Wilayah  Kota Baghdad  ini termasuk dalam  wilayah tamadun Sumeria hingga  ke Telok Parsi. 

Di Asrama ini aku  berkenalan  dengan Sam. Ini anak  muda  dua puluhan berasal dari Sudan. Dia telah melintas  dari Sudan mengikut jalan darat  ke Mesir. Beberapa  bulan tinggal  di Kaherah  kemudian naik kapal  terbang masuk ke Iraq. Sam berniat hendak   ke Kuwait untuk mencari kerja. 

Aku  panggil  dia Sam :  seperti nama watak Sam pemain piano dalam filem Casablanca ( 1947). Sam Baghdad  kurus langsing tidak segemuk Sam Casablanca.

Aku juga berkenalan dengan  Luca  – anak muda  dua puluhan dari Colombia. Luca sedang berjalan merayau-rayau dari Latin Amerika ingin menuju ke India dan singgah di Baghdad. Dari Baghdad Luca berniat hendak ke Kuwait untuk mencari kapal ke India.

Asrama ini agak besar. Aku rasa boleh memuat 100  katil Ada satu bilik khas untuk perempuan. Ada ruang tamu dan bilik rehat. 

Asrama ini lengkap : ada dapur untuk memasak. Ada penjaga dan pekerja. Malah  kain baju juga boleh dibasuh jika betul diatur ada Mak Cik Iraqi yang boleh membasuh dengan memberi sedikit baksheeh.

Di sebelah dapur ada bilik kecil ruang makan. Selesa  duduk disini. 

Ketika aku mula sampai Asrama ini tidak ramai penghuni. Asrama agak kosong.

Ada seorang lelaki pertengahan umur  berasal dari Mesir. Dia bekerja di Baghdad. Mungkin kerana susah  mendapat rumah sewa dan  dia bertugas dengan kerajaan maka dia boleh terus tinggal di Asrama. Sama seperti aku menjadi tamu berjangka  panjang.  Lelaki Mesir ini telah tinggal lebih lama dari aku. Mungkin telah setahun.

Ketika ini juga aku telah berjaya berkenalan dengan  pelajar Melayu dari Patani. Ikatan setiawan aku dengan warga Patani ini telah terikat lama. Ketika  aku di Universiti Malaya lagi aku telah diberi pencerahan  perjuangan rakyat Patani. Juga  tentang gerakan nasionalis BRN – Barisan   Revolusi Patani. 

Dari pembacaan aku telah mendengar nama Pok Yeh dan Pok Su. Dua sosok yang dicap sebagai pengganas oleh Siam.

Aku juga pernah mendengar nama Haji Karim. Pemimpin BRN.  Jalinan sejarah yang telah terikat dari Kuala Lumpur ini menjadikan  aku rapat dengan pelajar Petani dari kumpulan BRN. Gerakan pembebasan Patani ini juga terbagai kepada  kumpulan dan garis politik yang berbeza.

 Aku selalu merayau-rayau dengan Sam. Bila bosan dengan Arab dan nak merasa cakap Melayu aku ke daerah Adhamiah – perkampungan pelajar Patani. Aku keluar makan dengan mereka. Bila aku ingin tahu  perkembangan politik  aku singgah di pejabat Baghdad Observer berjumpa Muhamad Zam Zam.

Hidup aku agak selesa  di kota Baghdad. Cuma aku tidak ada kekasih. Kalau mengikut Lao Tzu aku telah berjalan lebih dari seribu tapak. Tapi kalau mengikut  Victor Hugo aku ada bunga tapi tak ada madu.

Tidak jauh dari Asrama ini ada kawasan  rumah banglo – kawasan perumahan yang agak lumayan – tanda orang berada.  Aku selalu menapak menggunakan jalan di hadapan  di kawasan perumahan ini untuk mengambil bas  masuk ke dalam kota.

Hanya ada lima buah banglo diwilayah ini. Banglo akhir yang hampir dengan jalan besar  agak spesial kepada aku.   Aku ternampak ada seorang  anak gadis di rumah ini.

Bila  Sam dan Luca menjadi warga  Asrama kami bertiga  sering melintas di hadapan rumah.  Biasanya kami akan melintas di hadapan rumah ini selepas jam lima petang. Ini ketika panas berkurangan. 

Aku perhatikan setiap kali Sam, Luca dan aku melintas di hadapan rumah Si Minah anak gadis rumah  ini akan keluar menyapu. Pada mulanya aku tak sedar tetapi apabila rutin ini aku amati maka aku rasa ada sesuatu.

‘ Kau ada girl friemd Arab ke ...’ Aku bertanya  pada Dolah pelajar  dari Patani.

‘ Mana boleh.... bahaya... ini bukan di Bangkok atau di Kuala Lumpur... bahaya .. bahaya...’ Dolah berkata dengan serius. 

‘ Bahaya macam mana..’ Aku mahu penjelasan.

‘ Ada aib... kalau keluarga tahu  anak dara ada boy friend.. ini aib untuk nama keluarga ...  kena bunuh  nanti... Sham kau jangan main main...’ Dolah memberi penjelasan.

Satu petang Sam, Luca dan aku lalu di hadapan banglo ini. Si Minah itu sedang  menyapu halaman rumah.

‘ Look ... she knew our timing... she is always there pretending to sweep the garden...’ Aku beri maklumat ini  kepada Luca  dan Sam.

‘ Isham.... thia is not Europe... this is Arab country... very dangerous... you  don’t know these Iraqi...’ Sam  anak Sudan tahu akan budaya Arab memberi amaran tentang masyarakat Iraq yang konservatif.

‘  She is good looking... why not... never say never... Isham your only failure is not trying..’ Luca  memberi galakan dengan  falsafahnya. 

Aku hanya gagal jika aku tidak mencuba. Kata-kata Luca ini melekat dalam fikrah aku. 

Aku masih berjalan dengan niat mencari madu. Lalu aku pergi berjumpa kawan Palestin aku  Muhamad Zam Zam. Sosok ini  graduan Jabatan Inggeris  lulusan Baghdad Universiti.  Pasti dia boleh memberi aku  pencerahan.

‘  When you are in campus.. do you have a girlfriend.... ‘ Aku bertanya sama ada ketika dia belajar apakah dia berpacar.

‘ Very strange question....’ Jawapan dari Zam Zam.

‘ I think  Arab girls   are cute and sexy...’  Aku membocorkan berahi aku terhadap gadis Arab.

‘ Don’t think about it... or you are dead... honour killing is a tradition here...sex is only after marraige...this is not your Melbourne ...’  Amaran dari  Muhamad Zam Zam.

Kemudian Zam Zam bersurahh tentang budaya konservatif Iraqi.  Lalu aku diberi  pencerahan tentang aib atau  honur killing. 

Jika anak gadis didapati mempunyai kekasih dan mengadakan hubungan sulit – ini akan mencemarkan nama keluarga. Ayah  , abang atau adik lelaki wajib bertindak membersihkan nama keluarga. Untuk membersihkan nama keluarga  anak gadis ini akan dibunuh . Kematian itu bertujuan membersihkan nama keluarga.

Aku juga memberi penerangan tentang perkara yang sama dalam budaya Melayu.  Aku beritahu  Zam Zam pada satu  ketika dulu dalam budaya Melayu ada juga konsep ‘menconteng arang di muka ... atau memberi malu nama  keluarga.’

Tetapi di Malaysia  modeniti telah berjaya  menghapuskan budaya dan konsep ‘ menconteng arang’ ini.  Berpacar dan meniduri kekasih sebelum berkahwin  bukan lagi satu yang ajaib  dan memeranjatkan dalam masyarakat Melayu hari ini.

Tunggul-tunggul dan saki bakinya  fahaman konservatif masih ada. Gaya  hidup moden di bumi tropika sedang  mencairkan  sikap menjaga tepi kain orang.

Mengikut Zam Zam di Iraq anak gadis  yang didapati mempunyai kekasih  mungkin akan dibunuh  secara gelap  untuk membersihkan  arang di muka keluarga. 

‘ Lebanon, Morocco and Tunisia ... they are cool.. Beirut is Paris for the Arabs..’ Zam Zam mengakui   negara   Arab di Utara Afrika lebih terbuka kerana pengaruh Perancis. Paling kolot ialah Arab di Negara Telok Parsi.

Setiap petang ketika aku melintasi banglo itu Si Minah itu telah berada di halaman. Dia menyapu atau membersihkan pasu bunga. Aku sedar bahawa  Si Minah ini tahu aku berada di hadapan rumah.  Dia boleh melihat kami  sedang menapak di jalan.

Malah aku juga yakin Si Minah ini tahu kami yang menapak di hadapan rumah bukan warga Iraq. Kami orang luar.

Telah hampir tiga minggu di Iraq Luca dan Sam di Iraq. Kami telah melawat Karbala dan Najaf. Apa yang perlu di lawati telah kami lawati. Akhirnya  Luca dan Sam membeli tiket bas  menyambung perjalanan ke  Kuwait.

Kini aku tidak ada kawan. Aku masih dengan rutin biasa melintasi banglo itu  menuju ke jalan besar untuk masuk ke dalam kota. Si Minah itu  dengan  rutinnya  menyapu di halaman ketika aku lalu

Kalau di Kuala Lumpur aku faham  tanda  makna bahasa badan yang sedang di tunjukkan oleh  gadis Arab ini.  Di Kuala Lumpur  rutin dari Minah ini memberi  maknanya :  Datang- lah.. apa tunggu lama-lama.

Dalam masa yang sama aku juga tidak mahu  menjadi Majnoon yang tergila akan Laila.

Kata-kata Luca : Aku akan gagal jika aku tidak mencuba. Falsafah Luca ini  sentiasa   bermain  dalam fikrah aku.

Maka pada  satu petang  yang permai  ketika aku di hadapan banglo itu – ketika Si Minah itu sedang menyapu – ketika kata-kata Luca berdesing dalam kepala kau – aku menapak menuju ke pintu banglo.

Seperti penyamun nak pecah rumah aku memerhati keadaan sekeliling. Mata aku mencari-cari jika ada Jantan Arab ternampak apa yang sedang aku lakukan.

Dari pintu aku mengarah ke  hala rumah dan terus berhadapan dengan Si Minah yang aku tak tahu namanya.

‘ Shoolonak anta...kif ha laak...’   Apa khabar  -  ayat  Iraqi yang aku hafal.

‘ Me... ‘ aku menampar dada aku. Di hadapan aku Si Minah yang cun kiut langsing bergetah. Jantan aku tercabar.


‘ Me... me.. name Isham... from Malaysia...’ Aku memperkenalkan diri.

Gadis  ini hanya tersenyum. Dia tidak  berkata apa-apa. Tapi aku tahu yang dia faham apa yang aku tuturkan. 

‘ Ana Malaysia.... ziarah Baghdad.. anta  name...’  Arab pasar keluar dari mulut aku.

‘ Speak English.... ‘ Aku bertanya.

‘ La .. la.. laa... ‘ La  - perkataan ini aku faham ertinya tidak.

Aku tak tahu apa yang harus aku lakukan. Aku hilang akal. Kalau di Melbourne  aku pasti akan  mengajak  gadis ini  ke pub atau ke cafe. Tapi aku di Baghdad – kota Harun Al-Rasheed ... kota Abu Nawas.

Tapi Baghdad juga kota  Sharizad dan Fareeda – kota 1001 malam – kota Alaf Layla Wa Laila.  Kitab yang penuh dengan kesah-kesah  erotik wanita Arab  yang  memberahikan tubuh badan Jantan Hitam walau pun jantan hamba abdi.

Apa yang  berlaku di hadapan Minah Arab ini  ialah ‘ aku sidang menyerah’.  Konsep dan budaya menyerah ini wujud dalam  budaya Melayu Negeri Sembilan. Bila jantan datang masuk menyerah  ke bilik anak dara maka tidak ada jalan keluar melainkan di ijab kabul.

Justeru rumah Wan Timah aku di Chenor ada loteng  Di loteng  - tingkat atas  - tempat  anak-anak gadis  tidur di waktu malam. Susah untuk jantan masuk  ‘ menyerah’

Hampir sepuluh minit aku berhadapan dengan gadis ini.. Akhirnya aku mengambil  langkah  mengundur.

Aku keluar dari kawasan rumah.  Aku teringat akan Luca dan Sam. Kalau Luca ada di hadapan  aku pasti  dia akan memberi ‘ lima’ kepada aku.

‘ Isham kamu tidak gagal.... kamu telah mencuba....’ Ini ayat  Luca.

‘ Kamu telah mencuba bukan di Paris, bukan di London, bukan di Melbourne tapi di Baghdad – di  negara Iraq yang konservatif. Salut. Tahniah...’  Kata-kata Luca yang akan menyedapkan hati aku.

Sesampai  ke Asrama  aku nampak ada  satu kumpulan  Mat Salleh dan Minah Salleh baru sampai. Beg dan rucksack mereka masih lagi bersepah di ruang tamu. Mereka muda cun, jambu dan bergetah. 

‘ Welcome.. where are you people from..’ Aku bertanya dari mana mereka datang.

‘ From Poland...’ Suara jantan menyahut.

Poland negara Eropah Timur Negara yang menjalin hubungan baik dengan Saddam Hussein dan Arab Baath Socialist Party – parti yang memerintah Iraq.

Aku melintasi bakal penghuni baru Asrama ini di pintu  utama. Aku memberi perhatian kepada sosok-sosok ini. Jantan aku tercabar. Aku terus  menjual senyum dalam usaha mencari madu. Mata jantan aku sedang memberi perhatian kepada gadis Poland.(TT)


TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/11/24/cinta-baghdad/


1 ulasan:

Unknown berkata...

Tt melalui banyak kisah cinta agung. Kalau dibukukan boleh jadi kisah 1001 malam. Sebelom kisah cinta Tt menjadi agung ia melalui kisah kisah malam yang agung. Tt menjadi raja si amoi menjadi dayang. Ada ratusan dayang. Kalau kehidupan itu bunga cinta bisa menjadi madu juga racun. Qays menjadi majnun bila terkene racun cinta. Bila melalui malam malam yang agung bersama Tt pasti si dayang menjerit kesenakkan.. terasa mencucuk hingga ke ulu hati dan kegagalan terbesar Tt adalah akibat dari kesenakkan tersebut hurmm..