Kemenangan di Melaka mungkin dorong Umno desak PRU lebih awal, kata Kit Siang
KEPIMPINAN Umno akan terdorong untuk melanggar memorandum persefahaman (MoU) keyakinan-pembekalan-reformasi (CSR) yang ditandatangani antara kerajaan dan Pakatan Harapan selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata penasihat DAP Lim Kit Siang.
Katanya langkah ini adalah supaya parti Barisan Nasional (BN) dapat memanfaatkan momentum kemenangan di Melaka.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) boleh diadakan seawal tahun depan.
“Berdasarkan keputusan Melaka, Umno dan Barisan Nasional (BN) akan dapat mengambil alih kerajaan pusat dengan sendirinya dan mungkin memperoleh semula majoriti dua pertiga di Parlimen.
“Malah mereka mungkin membebaskan pemimpin tertinggi Umno dari tuduhan rasuah jika PRU15 diadakan pada awal 2022. Tetapi ini boleh menjadi kesilapan besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 13 September, kerajaan persekutuan dan PH menandatangani MoU untuk kestabilan dan transformasi politik.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata MoU itu akan membentuk pendekatan dwipartisan yang lebih kukuh dalam politik.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu Putrajaya bersetuju untuk tidak membubarkan Parlimen sebelum 31 Julai 2022. – 21 November, 2021.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan