ZAMAN INGGERIS
Ketika Cik Gu Zaleha melahirkan aku Orang Inggeris masih lagi menjadi Tuan kepada Tanah Melayu. Sebelum aku masuk sekolah Tuan OCPD di Rumah Pasung Kuala Klawang masih Orang Putih. Tuan D.O Jelebu Orang Putih. Guru Besar GES (Goverment English School) Orang Putih. Doktor yang sesekali melawat Hospital Petaling dari Seremban juga Orang Putih. Malah satu ketumbukan askar Ghurkha yang berkhemah di tepi pekan Kuala Klawang di ketuai oleh Orang Putih.
Aku dilahirkan ke Tanah Melayu yang dimiliki oleh Orang Putih.
Aku ingat lagi dua nama Tuan Ellis dan Tuan Ebon. Entah dari mana aku dengar nama ini. Sampai sekarang terpahat dalam kepala aku. Entah pegawai apa mereka ini. Tapi aku ingat nama Mister Lewis. Sosok ini guru besar GES. Nama ini aku ingat kerana Kakak aku yang belajar di GES beri tahu aku nama guru ini.
Keluarga aku duduk di rumah guru di belakang sekolah. Di hadapan sekolah Melayu Kuala Klawang B ada padang sekolah. Di hadapan padang ini ialah pejabat PWD (Public Work Department). Aku diberitahu bahawa bangunan ini asalnya penjara yang telah diubah suai untuk jadi pejabat.
Di sebelah pejabat PWD ini ialah Kaman Keling. Pekerja PWD ini tinggal dalam rumah kediaman khas. Ada lebih dari 100 buah rumah teres quaters PWD ini. Hampir semua pekerja PWD di Jelebu orang Keling. Amat jarang China atau Melayu yang bekerja dengan PWD.
Maka kawasan perumahan PWD di Kuala Klawang dipanggil Kaman Keling.
Orang Keling buruh PWD inilah yang bertanggung jawab membuat jalan tar, membetulkan bangunan kerajaan atau membaiki saluran air paip jika terganggu.
Tiga butir rumah guru terletak di belakang sekolah. Di belakang rumah guru ialah bangunan bengkel sekolah pertukangan. Di belakang sekolah pertukangan ada pagar tinggi kawat berduri. Pagar ini juga lalu di tepi rumah guru.
Seluruh pekan Kuala Klawang dipagari dan dikawal oleh soldadu Ghurkha. Di luar kawasan kawat berduri ini ditakrifkan sebagai kawasan yang bukan kawasan pekan.
Ada tiga pintu masuk ke Kuala Klawang - dari Seremban, dari Titi dan dari Simpang Pertang. Di tiga pintu ini ada khemah soldadu Ghurkha mengawal. Keluar masuk ke dalam pekan semua dikawal.
Badan diraba. Beg dan kerpai dibuka. Isi diselongkar. Kalau hamil perut juga diraba. Semua untuk memastikan tidak ada bahan makanan di seludup.
Jam tujuh petang hingga 6 pagi Kuala Klawang dalam ‘curfew’ - berkurung.
Aku ingat lagi makanan juga di catu. Untuk membeli gula, tepung, beras, minyak wajib menggunakan permit khas. Jumlah ahli keluarga tertera dalam kad permit ini. Dalam permit ini dinyatakan sebanyak mana bahan makanan yang dibenarkan boleh dibeli untuk satu keluarga.
Susu dan sardin atau apa saja makanan dalam tin yang telah dibeli akan di tebuk oleh tuan empunya kedai dahulu sebelum dibenarkan dibawa pulang.
Semua ini bertujuan untuk menafikan bahan makanan jatuh ke tangan gerila Parti Komunis Malaya (PKM).
Pada ketika aku membesar Parti Komunis Malaya (PKM) di bawah pimpinan Chin Peng sedang melancarkan perang gerila terhadap soldadu Inggeris.
Untuk mempertahankan Tanah Melayu kuasa kolonial Inggeris membawa soldadu upahan dari negara tanah jajahan seperti Fiji, Kenya, dan India.
Ketika ini juga Abah aku telah direkrut dari kampung Chenor untuk menjadi Polis Khas - Polis Hutan.
Aku tidak merasa apa-apa yang ganjil. Aku terima semua ini sebagai cara hidup baru. Keluarga aku menyesuaikan diri dengan gaya hidup baru ini. Semenjak kami berpindah dari Sekolah Tapak Kuala Pilah ke Kuala Klawang inilah gaya hidup kami.
Tanah Melayu dalam Perintah Darurat.
Kami semua – warga Jelebu - diberitahu bahawa kita semua dalam Darurat. Apa makna Darurat dan siapa yang darurat tidak pula aku tahu. Aku merasa selesa dalam Perintah Darurat ini kerana rumah aku ada api leterik dan ada air paip. Ini lebih lumayan dari rumah lama aku di sekolah pedalaman Kampung Tapak.
Aku tidak tahu sangat apa yang berlaku di luar pagar kawat berduri. Sesekali kami akan pergi ke Kampung Chenor untuk melawat sanak saudara. Apa yang selalu dalam ingatan ialah kami wajib masuk kembali ke pekan Kuala Klawang sebelum masa curfew bermula.
Aku ada mendengar cerita jika ada sesiapa berada di luar rumah sesudah curfew bermula maka soldadu Ghurkha akan menembak mati. Soldadu Ghurkha ini tidak akan di dakwa dakwi. Yang ditembak akan mati katak.
Aku paling takut waktu malam – takut dengan soldadu Ghurkha. Sesekali di waktu malam aku terdengar juga bunyi -kruk krak kruk krak - di luar pagar. Bunyi seperti ini – walau pun mungkin bunyi lembu berjalan – akan di tafsir sebagai bunyi soldadu Ghurkha sedang merayau. Tak ada siapa di rumah aku yang berani keluar melihat.
Soldadu Ghurkha memang ditakuti. Kesah keberanian mereka bertempur dengan gerila PKM selalu menjadi cerita dongeng orang kampung. Bila ada kenduri kahwin Orang Penanggah dan Orang Pangkal yang membawang kesah soldadu Ghurkha.
Kampung Baru China dalam daerah Jelebu seperti Titi, Simpang dan Pertang – semuanya di pagar dan di kawal. Aku tidak tahu bagaimana suasana di kampung-kampung Melayu yang lain. Aku rasa kampung Melayu lebih bebas. Ini kerana dalam analisis strategi politik kuasa kolonial Inggeris penyokong gerila Komunis ini hanya orang China.
Maka pekan China dan Kampung Baru China wajib dikawal.
Barang makanan dari Seremban hanya datang seminggu sekali ke Kuala Klawang. Bahan makanan datang dengan apa yang dipanggil Konvoi. Lori konvoi membawa beras, gula, tepung, minyak dan bahan makanan datang pada hari Rabu ke Kuala Klawang.
Ada lima enam buah lori membawa bahan makanan untuk kedai-kedai di daerah Jelebu. Lori konvoi bergerak sederet. Di hadapan dan di belakang lori ini ada kereta perisai. Ini untuk memastikan lori membawa bekalan makanan ini tidak diserang oleh gerila PKM ditengah jalan.
Pernah diberitakan satu pasukan soldadu Inggeris dan Ghurkha telah di serang hendap di Bukit Tangga dalam perjalanan dari Seremban ke Kuala Klawang. Lapan soldadu telah tewas. Hingga hari ini selekoh itu masih diingati oleh anak watan Jelebu sebagai selekoh Mat Salleh mati ditembak Komunis.
Abah aku pernah bercerita nama selekoh ini dipanggil Selekoh Cik Minah. Aku tidak pula tahu kenapa nama Cik Minah dan siapa dia Cik Minah ini. Selekoh ini juga ada berkaitan dengan mitos orang halus. Mungkin hantu soldadu Inggeris.
Kereta perisai ini biasanya dipandu oleh soldadu Ghurkha. Malah banyak lori dan jeep askar semuanya dipandu oleh Ghurkha.
Kuala Klawang ini wilayah akhiran terletak dalam gaung Banjaran Titiwangsa. Daerah Jelebu menjadi kawasan kering – rain shadow area – yang berlawanan dengan Taiping yang sentiasa basah.
Jelebu ditakrif sebagai kawasan hitam. Kawasan hitam maknanya pengaruh PKM amat kuat. Wilayah Jelebu amat strategik. Terletak disebelah Pahang – bersempadan dengan Karak dan Temerloh – yang juga wilayah hitam. Manakala Temerloh adalah pusat besar Rejimen Ke 10 Angkatan Tentera Rakyat PKM.
Anggota Rejimen ke 10 PKM adalah Orang Melayu.
Hutan dan bukit bukau dari Jelebu merentas menuju ke daerah Ampang. Ampang ini juga ditakrif sengai kawasan hitam. Bukit Ampang ini memandang ke Kuala Lumpur. Ini membolehkan gerila PKM dari Jelebu meresap turun ke Ampang untuk menyerang Kuala Lumpur. Justeru dari segi geo-stratiji Kuala Klawang dijadikan pekan tentera – military town.
Bila keluarga aku berpindah dari Sekolah Tapak ke Sekolah Kuala Klawang aku mula melihat dengan mata kepala aku sendiri sosok soldadu Inggeris dan sosok soldadu Ghurkha. Sebelum aku sampai ke Jelebu aku hanya mendengar sebutan Mat Salleh dan Ghurkha.
Kem Ghurkha di Kuala Klawang ini agak luas. Jumlah soldadu mungkin lebih dari 500 orang - satu batalion. Ekonomi Kuala Klawang disokong kuat oleh kehadiran soldadu asing ini.
Pekan kecil Kuala Klawang ini ada dua buah bar yang ada Amoi sebagai pelayan. Pintu masuk ke Bar Kedai Minuman Keras ini sama seperti pintu bar yang kita tengok dalam filem koboi dari Holywood.
Kuala Klawang ada dua buah hotel – rumah tumpangan. Sebuah Kedai Mamak – kedai NO 8. Tiga buah kedai kopi restoran China. Dua buah kedai dobi. Sebuah kedai buat roti. Sebuah panggung wayang – Ruby Theatre.
Pegawai Inggeris yang datang melawat Jelebu jika bermalam di Kuala Klawang akan menginap di Rumah Rehat Kuala Klawang letaknya antara Rumah Pasung dan Kem Askar Ghurkha – wilayah yang paling selamat dari serangan gerila PKM.
Rumah Tuan D.O di atas bukit yang kami panggil Bukit DO. Tuan OCPD tinggal atas bukit di belakang Rumah Pasung. Guru Besar tinggal di sebelah kem Ghurkha. Pegawai Inggeris ini duduk dalam kawasan yang paling selamat dan mudah dikawal oleh soldadu Ghurkha.
Pekan Kuala Klawang ini dilengkapi dengan sebuah Kelab di mana Tuan OCPD, Tuan DO dengan para Mem boleh bercanda-canda main daun trop atau main catur. Kelab ini letaknya di belakang Pejabat Daerah. Di sebelah pejabat ini ada gelanggang tenis dan sebuah gelanggang badminton tertutup. Untuk orang ramai – rakyat biasa - ada padang bola. yang luas. Letaknya di hadapan Rumah Pasung di tepi pekan.
Di waktu petang aku ada ternampak di padang pegawai Inggeris mengajar soldadu Ghurkha bermain satu permainan yang aku tidak pernah lihat. Aku tidak tahu hujung pangkal permainan ini. Bukan main bola, bukan main hoki tapi pukul bola kriket. Aku budak kampung dari Tengkek cuba memahami permainan yang aku angap pelik ini.
Hakikatnya- pegawai Inggeris sini menjadikan Kuala Klawang sama seperti perkampungan mereka di England.
Pernah satu petang ketika aku bermain di padang sekolah dengan abang aku seorang Mem Orang Putih datang merapati kami di tepi padang. Dia memakai gaun cantik , baju kelabu dan memakai kasut getah seperti lelaki.
Aku hanya mendengar perkataan ‘ cat... cat ‘. Kemudian Mem ini mengiau ngiau. Maka aku faham si Mem ini sedang mencari kucingnya yang hilang.
Esoknya emak aku pulang dari sekolah membawa berita bahawa Isteri OCPD telah kehilangan kucing.
‘ Mana Mak tau...’ Aku bertanya.
‘ Tadi Mem tu datang dekat padang sekolah... dia mencari kucingnya yang hilang..’ Penerangan dari Emak aku.
Hairan juga aku kerana kami orang kampung tak pernah hilang kucing. Kalau kucing hilang dua tiga hari dia akan kembali. Aku terfikir apakah kucing ini kucing dari London yang sesat di Jelebu.
Aku terus membesar sambil memerhati dan merakamkan dalam kepala aku apa yang aku lihat pelik dan ganjil. Aku anak yang penuh dengan soalan hingga Cik Gu Zaleha naik bosan untuk menjawab. Jawapan akan disusul dengan persoalan.
Darurat juga berterusan. Jelebu masih kawasan hitam. Salah satu tanda kawasan hitam ialah kerapnya kapal terbang menabur kertas selebaran.
‘ Surat kapal terbang apa ni mak...’ Aku bertanya ketika aku nampak kapal kerbang sedang menaburkan surat. Ketika itu kami sedang menziarah Pak Itam Hashim di Kampung Kampai . Pak Itam Hashim pemilik kedai runcit dan kedai kopi ini adalah adik kepada Abah aku.
Di belakang rumah Pak Itam aku ini adalah kawasan bukit bukau dan hutan dara yang tebal. Pasti dari risikan Inggeris ada pasukan gerila Rakyat Malaya yang dipimpin oleh PKM beroperasi di wilayah ini. Kampung Chenor, Kampai, Peradong ke arah Pertang menghala ke Karak Pahang – wilayah kuat PKM.
‘ Surat apa ni....’ Aku mendongak ke langit dan melihat kapal terbang ini terus menaburkan kertas selebaran.
‘ Untuk Komunis... kejar ambik ....kalau dapat...’ Emak aku memberi pandangan.
Aku mendongak ke langit. Taburan selebaran ini mula berterbangan. Aku mengejar. Jauh juga aku berlari dan aku dapat tiga helai lalu aku bawa ke kedai Pak Itam.
Aku amati selebaran ini dalam kertas A4 berwarna merah. Ada gambar lelaki China kurus kering macam kena penyakit batuk kering. Macam China sakit yang pernah aku ternampak di wad TB di Hospital Petaling.
Aku hulur satu kepada Emak aku dan satu pada Pak Itam.
Pak Itam membelek selebaran dan berkata : ‘ komunis lapar tak makan dalam hutan lebih baik serenda...’
‘ Komunis sapa ..’ Aku bertanya.
‘ Ni yang kurus kering ini tak makan laaaa...’ Pak Itam memberi penjelasan.
Aku perhatikan gambar jantan China yang kurus kering ini. Ini mesti China bodoh kerana dalam hutan ada banyak makanan. Aku pikir macam ini kerana di Guntur kampung Orang Asli di Tengkek mereka tak pernah putus makanan. Babi ada, napuh ada, cikah ada, berok ada dan di tepi paya pasti ada katak. Kalau ada katak mesti ada ular. Semua ini makanan Orang Asli.
‘ ini propaganda Inggeris .. nak minta gerila Komunis serah diri... dan nak takut kan kita semua... jangan masuk utan nanti tak makan...kurus kering tak makan...’ Cik Gu Zaleha memberi penerangan.
Aku mendongak nak melihat kapal terbang sekali lagi. Langit kosong yang tinggal hanya kelompok awan putih yang menjadikan petang yang cerah. (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2022/01/05/zaman-inggeris/
1 ulasan:
bila memoir nak terpancut?
Catat Ulasan