Rabu, 23 Februari 2022

MATA PENA MATA PEDANG



MATA PENA

MATA PEDANG


Pada tahun 1968 aku dalam tingkatan lima di Sekolah Menengah Undang Jelebu (SMUJ). Sekolah ini letaknya di pinggir pekan Kuala Klawang. Semenjak  tingkatan empat lagi  aku telah tinggal di Asrama Putera SMUJ. 

Syarat untuk tinggal di asrama ini tidak sulit. Pertama perlu ada tempat kosong. Asrama ini hanya boleh muat 35 orang pelajar. Pelajar yang tinggal jauh dari sekolah akan diberi keutamaan.

Aku tinggal di asrama kerana ketika itu Cik Gu Zaleha Sidek telah berpindah dari Sekolah Umum Batu Serambai  ke  Sekolah Amar Penghulu – enam batu dari pekan Kuala Klawang.

Ada 35 orang pelajar dari sekolah menengah yang menjadi  warga asrama ini. Asrama ini dikongsi  sama dengan  pelajar-pelajar dari  Sekolah Menengah Bandar Tinggi (SMBT ). 

Bangunan dinding papan atap zink asrama ini letaknya hanya lima minit  menapak  ke pintu utama SMUJ. Manakala SMBT  jauhnya  hampir dua batu dari pekan Kuala Klawang.  Warga asrama dari SMBT perlu naik bas atau berbasikal untuk ke sekolah.

Di zaman kolonial  Inggeris  Jelebu hanya ada satu sekolah menengah - hanya aliran Inggeris. Untuk sekolah menengah semua belajar di  GES (Goverment  English School ).  Di Jelebu tidak ada sekolah menengah aliran Melayu.

Zaman berubah. Apabila ramai pelajar sekolah rendah  aliran Melayu terkumpul maka pelajar wajib ditampung. Maka pelajar kelas menengah aliran Melayu masuk sama belajar di SMUJ. 

Ini menjadikan SMUJ  sekolah dua aliran -  Inggeris dan Melayu dalam satu bumbung. Akhirnya SMUJ menjadi padat. 

Maka pada tahun 1967  untuk menampung pelajar aliran Melayu  sebuah sekolah baru telah didirikan.  SMUJ  pecah dua. SMUJ terus wujud di tempat yang sama  di tepi pekan Kuala Klawang. Manakala Sekolah Menengah Bandar Tinggi  dengan bangunan baru  dibina dalam   kawasan kebun getah  yang luas  - dua batu dari pekan Kuala Klawang.

Tenaga pengajar dan kaki tangan pentadbiran juga terpisah dua. Tetapi warga asrama tidak berubah. Warga asrama dari SMUJ dan SMBT masih  di bawah satu bumbung.

Semenjak wujudnya SMBT  sekolah aku telah ada  persaingan  dalam arena sukan terutama sepak bola.  Persaingan dalam bahagian akademik juga hebat.  Kami lawan berlawan. 

Di sekolah aku  ada akhbar bulanan. Kadang-kadang ada   kadang-kadang senyap. Nama saja akhbar bulanan tapi selalu tak muncul. Akhbar Berita SMUJ ini  dikendalikan oleh  pelajar.  Lapan muka surat A4 yang disaikostail kemudian diedari percuma.  Jumlah edaran pun tidaklah banyak.

Aku masih ingat lagi laporan dalam Berita SMUJ   tentang guru  Orang  Putih American Peace Corps yang mengajar di SMUJ. Ada surat dari pembaca yang menuntut  agar murid tingkatan empat dan lima dibenarkan memakai seluar panjang. Ada juga halaman masak memasak.

Aku tertarik juga dengan Berita SMUJ ini. Maka ketika aku dalam tingkatan empat aku telah cuba menjadi ‘reporter’ untuk Berita SMUJ.

Satu petang telah diadakan perlawanan bola antara pasukan SMBT dengan pasukan SMUJ. Perlawanan  bola sepak ini diadakan di padang SMBT yang luas. Sekolah aku tidak memiliki padang sekolah. Semua aktiviti sukan untuk SMUJ menggunakan padang milik Majlis Bandaran Kuala Klawang .

 Pada petang itu aku  sebagai reporter telah pergi melihat  perlawanan itu.

Aku ini bukan kaki bola dan juga bukan ahli sukan. Tapi  aku tidak kaki bangku. Aku pernah memenangi larian merentas desa untuk SMUJ. Malah aku pernah mewakili SMUJ sebagai  salah seorang dari 5  pelari merentas desa  – Sukan Terbuka Negeri Sembilan 1968. Kami berlari  berganti-ganti  empat batu dari   Port Dickon ke Seremban

Aku ingat lagi pasukan bola sekolah aku tewas pada petang itu. Pasukan SMBT berjaya menjaringkan  dua gol berbalas satu.  

Jaringan gol ke dua ini menimbulkan  kekecohan. Berlaku pergaduhan kecil di hadapan pintu gol SMUJ. Aku di luar padang hanya memerhati apa yang berlaku. Pengadil perlawanan petang  itu ialah Cik Gu Zul dari SMBT. Justeru aku  merasa tidak puas hati.

Pulang  dari perlawanan  bola aku telah menulis satu laporan untuk Berita SMUJ. Aku ingat lagi apa yang aku tulis ‘ satu perkara yang tidak diingini telah berlaku di hadapan pintu gol SMUJ...’  Aku memberi andaian bahawa  pengadil petang itu telah berat sebelah. Justeru SMBT menang.

Satu minggu sesudah  Berita SMUJ terbit aku di beri tahu Cik Gu Kamarmahtum  guru sukan wanita dari  SMBT ingin berjumpa aku.  Pesanan ini  disampaikan  oleh pelajar SMBT yang tinggal seasrama  dengan aku.

Aku merasa tak selesa. Entah kenapa aku merasa tidak sedap hati. Petang yang dijanjikan  Cik Gu Kamarmahtum telah berkereta datang ke SMUJ.  Aku ingat lagi kami bertemu berhampiran dengan tempat letak kereta. 

‘ Apa dia yang kamu tulis...  apa dia yang tidak dingini berlaku depan pintu gol....’  Ini  pembukaan kata-kata apabila Cik  Gu Kamarmahtum   ternampak aku.

Dengan serta merta aku sedar bahawa apa yang telah  aku tulis dalam Berita  SMUJ telah menjadikan sebab kenapa Cik Gu Kamarmahtum mahu berjumpa dengan aku.

‘ Apa dia... apa terjadi... apa yang kamu maksudkan...’ Cik Gu Kamarmahtum terus menyoal aku dan menghampiri aku. Aku melihat dia agak marah.

Aku mengundur tanpa memberi jawapan apa-apa. Aku merasa cuak dan takut. Aku  memerhati keliling. Tak ada sesiapa nampak. Aku seorang diri mungkin akan dikasari. Lalu aku beredar. Aku juga tahu Cik Gu Kamarmahtum ini bukan  guru  sekolah aku. Maka  dia tidak boleh mengambil apa-apa tindakan terhadap  aku.

Tapi aku merasa risau juga jika dia membuat aduan  tentang aku  kepada Mister Francis Xavier guru besar SMUJ. Atau dia membuat aduan kepada Mister Tay Puan Loong   guru darjah aku.

Dua tiga hari aku menyimpan risau. Menunggu apakah aku akan dipanggil  Guru Besar kerana apa yang aku tulis dalam Berita SMUJ. 

Tunggu punya tunggu  tidak ada apa apa berlaku. Aku merasa selamat.

Aku kembali berseronok hidup dengan ramai kawan-kawan di Asrama. Asrama kami ini bukan lumayan. Sekolah kami juga bukan sekolah ternama. 

Kenalan baik aku ketika itu ialah Mat Sham Yahya. Dia dari Petasih – kampung Melayu 20 batu dari Kuala Klawang. Mat Sham belajar dalam tingkatan lima di SMBT. 

Kami semua ini  - pada ketika itu – mengikuti sastera Melayu ini seperti agama. Ini kerana kami sesama mengambil Sastera Melayu sebagai mata pelajaran untuk peperiksaan akhir. 

 Di SMBT ada diajar mata pelajaran Sastera Melayu.   Di SMUJ hanya aku seorang  yang mendaftar  mata pelajaran Sastera Melayu untuk peperiksaan Senior Cambridge dan Malaysia Certificate of Education (SC/MCE). Justeru aku tidak ada guru walau pun ini mata pelajaran yang akan aku ambil dalam peperiksaan akhir tahun.

Untuk menyelamatkan diri aku ikuti Mat Sham – apa buku yang dia pakai dan baca aku ikut sama. Buku puisi – Warna Suasana garapan Masuri S.N.  Buku novel yang wajib dibaca ialah Tulang-Tulang Berserakan  - karya Usman Awang.

Kami – aku dan Mat Sham – berangan-angan hendak menjadi  penulis seperti Usman Awang atau Keris Mas. Sesekali kami jika aku ada duit  maka aku akan membeli majalah Dewan Sastera. Atau jika bernasib baik ada  kawan yang terjumpa Dewan Sastera lama atau dipinjam dari Si Anu dan Si Anu. Kami semua ulat buku.

Ketika ini  aku berkongsi melanggan Mingguan Malaysia. Ini kerana tiap Ahad ada ruangan cerpen dan sajak dalam akhbar mingguan ini.  Aku peminat sastera Melayu menjadikan ruangan cerpen dan sajak ini wajib dibaca. 

Untuk akhbar harian kalau bernasib baik kami dapat membaca  Utusan Malaysia, Berita Harian dan Straits Times  - di kutub khanah. Akhbar-akhbar  ini sampai dulu ke Bilik Guru sebelum masuk ke bilik perpustakaan.

Ketika ini aku sebagai warga asrama melihat ada beberapa perkara yang tidak betul dalam pengurusan asrama.  Tukang masak  bersekongkol dengan pembekal makanan. Pinggan mangkuk yang agak uzur. Kerusi meja dalam bilik makan perlu diperbaharui.

Pada satu petang  terlintas dalam kepala aku untuk menulis surat ke ruangan Surat Dari Pembaca di Utusan Malaysia. Niat aku untuk meluahkan rasa  tidak puas hati – kompelin – melalui  ruangan Surat Pembaca.

Tulisan aku  bukan cakar ayam – tapi tidak secantik mana. Boleh dibaca  walau pun kadang kala aku sendiri pun gagal untuk membaca kembali apa yang telah  aku tulis.

Justeru aku berpakat dengan Mat Sham.

‘ Aku karang... kau tulis... tulisan aku ok ...’ Aku memberi cadangan kepada Mat Sham. Kami berdua memang ada niat untuk menjadi Usman  Awang atau Keris Mas.

Menulis ke akhbar ini sebagai uji bakat.

Aku ingat lagi malam itu – bilik bacaan kosong – jam telah melintas tengah malam  menuju ke pagi Ahad. Mat Sham mengambil pen dan kertas buku. Lalu aku mengarang.   Kami hanya berdua.  Tidak ada sesiapa lain yang tahu apa kami buat. 

Bukan berahsia. Tapi  kami akan merasa malu kalau surat ini tidak dilayani  dan terus masuk  bakul sampah. Juga untuk keselamatan lebih baik tidak ramai yang tahu.

Apa yang keluar dari mulut aku ialah rasa tidak puas hati kami sebagai penghuni Asrama Putera Sekolah Menengah Undang Jelebu.

Aku timbulkan hal makanan yang kami rasa kualiti rendah. Kami timbulkan persekongkolan antara tukang masak dengan pembekal makanan. 
Dari rasa hati -  aku timbulkan kedaifan kedudukan kami sebagai penghuni asrama.  

Mat Sham menulis dan aku mengarang.  Kami hanya menggunakan satu muka surat  dari kertas buku yang dipotong rapi oleh Mat Sham.  Surat aku  tidak bersurah panjang. Selesai penulisan kami mencari sampul surat. 

Senin  esoknya aku  ke pejabat pos. Setem sepuluh sen ke  alamat Utusan Malaysia Jalan Chan Sow Lin Kuala Lumpur. Kami menunggu.

Kehidupan di sekolah dan asrama berjalan seperti biasa. Tidak ada yang menarik. Juga tidak ada yang memualkan.

Satu minggu berlalu. Tidak ada apa apa yang berlaku. Mungkin Mat Sham telah lupa apa yang kami lakukan.
Aku merasa surat kami tidak mendapat layan.  Tutup cerita.

Sepuluh hari kemudian – pada hari Rabu – kelas aku  tamat 1 tengah hari. Aku menapak pulang ke hostel. Aku ternampak kereta Cik Gu Asli terletak di tepi tangga asrama. Aku merasa hairan. Pasti ada sesuatu telah berlaku. 

Cik Gu Asli ialah guru yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga asrama – guru pengawal asrama. Biasanya Cik Gu Asli yang juga kami panggil Bosseh akan datang melawat asrama di waktu malam. Kebiasaan Bosseh akan datang dengan isterinya Cik Gu Fatimah ke asrama. Mereka datang  sesudah selesai menuntun  filem di Ruby Theatre. 

Cik Gu Fatimah akan duduk dalam kereta dan Bosseh akan masuk ke bilik bacaan.  Atau Bosseh akan terus ke bilik tidur untuk memastikan semua  pelajar sedang membaca  atau membuat kerja  sekolah di bilik bacaan.

Hari ini Bosseh sampai tengah hari. Apa telah berlaku. Aku tertanya-tanya.

Kemudian dari jauh aku nampak Bosseh bercakap dengan Mat Tahir rakan sekelas dengan aku. Mat Tahir telah sampai lebih awal. Kemudian Bosseh beredar. Kereta Cik Gu Asli meluncur pergi.

‘ Ada apa Mat... Boss nak apa...’ Aku bertanya.

‘ Ada berita hostel kita dalam surat khabar  hari ini...’ Mat Tahir menjawab ringkas.

Aku berdebar gemuruh bila mendengar ayat – berita  hostel kita dalam akhbar  hari ini -. Aku tak tahu apa nak  buat. Apakah surat aku telah muncul di halaman Surat Dari Pembaca di Utusan Malaysia. 

Ketika makan tengah hari aku merasa gelisah. Aku menunggu Mat Sham pulang dari SMBT.  Bila Mat Sham muncul di dewan makan aku merasa lega.

Sesudah makan aku berbisik kepada  Mat Sham tentang lawatan Bosseh dan kata-kata Mat Tahir. Kami  wajib membaca  Utusan Malaysia terbitan hari.

Hari Rabu kami dibenarkan keluar  ke pekan Kuala Klawang. Lalu aku dan Mat Sham menuju  ke kedai Ah Kam untuk membeli akhbar – 20 sen senaskhah.

Dengan tak sabar aku terus mencari halaman Surat Pembaca. Sahih. Surat : Penghuni Asrama Putera Sekolah Menengah Undang  Jelebu telah disiarkan. Kami bertepuk tangan. Bangga dengan apa yang telah kami lakukan.

Kami pulang ke asrama dengan gembira. Akhbar Utusan bertukar tangan. Aku dan Mat Sham gembira tapi hanya sebentar kerana  beberapa jam kemudian satu rombongan ‘ gedebe’ datang ke asrama.

Guru Besar Francis Xavier,  Cik Gu Asli datang  bersama Mister  Ibrahim  Pengerusi  Jawatan Kuasa SMUJ. Juga dua lelaki yang aku rasa  bersangkutan dengan YB Lim Kim Kee – wakil rakyat Kuala Klawang.

Mereka berjalan memeriksa  asrama kami. Mereka masuk ke bilik tidur, dewan makan, bilik sembahyang,  melihat dapur dan berakhir di bilik bacaan.
Aku dan Mat Sham hanya  melihat dari jauh apa yang sedang berlaku.  Aku sendiri tidak menyanga surat kami menjemput  ‘ para gedebe’ ini datang melawat asrama kami.

Esoknya di sekolah SMBT dan SMUJ heboh tentang – surat penghuni asrama – terbit dalam Utusan Malaysia. Dalam kelas Form Five Arts – Zulkifli Nordin – class monitor -   terus menunjukkan tangan bahawa ini pasti kerja aku.  

Aku tak berani mengakui kerana aku tidak tahu apa akan terjadi  seterusnya. Malah Si Zul ini  membawa mulut ke sana sini.

‘ Sir... Isham write to newspaper...’ Zul menyebar berita kepada Mister Tay Puan Loong guru darjah aku. Zul menjadikan aku risau.

Di asrama aku dan Mat Sham tidak banyak buat cerita. Apa yang sahih - semua tangan  dan jari menunjukan ke arah aku yang  menanda tangani – penghuni Asrama Putera Sekolah Menengah Undang Jelebu.

EPILOK 1
 Cik Gu Kamarmahtum ialah kakak kepada gadis Malaysia yang di kurung di London. Aku bertanggung jawab memecah nama Aishah kepada akhbar Daily  Telegraph London melalui wartawan Dean Nelson.

Aku bersama Cik Gu Kamar telah  dibawa oleh Daily Telegraph ke  London pada 27 November 2013.

EPILOK 2
Aku tak menyangka  tulisan aku tentang jaringan bola boleh menimbulkan reaksi.

Aku juga tidak menyangka surat dari pembaca membawa impak  kepada pihak berwajib.

EPILOK 3
Beberapa minggu satelah surat dari penghuni asrama  terbit di Utusan Malaysia asrama  SMUJ  menerima pinggan mangkuk baru dan kelengkapan memasak yang baru.

EPILOK 4
 Tidak lama selepas  surat dari pembaca ini – aku dengar asrama baru akan didirikan untuk Sekolah Menengah Bandar Tinggi.

Hari ini SMBT telah memiliki asrama mereka sendiri. 

EPILOK 5
Asrama Putera SMUJ kini menjadi bengkel Giat Mara.  Di mana asrama baru  untuk Putera SMUJ aku tidak ada maklumat.

EPILOK 6
Ketika aku menulis tentang  jaring gol dan tentang asrama SMUJ aku ada terbaca : Mata Pena Lebih Tajam Dari Mata Pedang – tapi aku tidak faham makna sepenuhnya. 

Hari ini tahun 2022 – aku percaya akan ketajaman mata pena. Tapi untuk melakukan perubahan sosial dalam zaman digital internet   Mata Pena dan Mata Pedang Wajib Berjalan Bersama. Tanpa mata pedang mata pena akan terus tumpul. (TT)

TULISAN INI
DISIARKAN JUGA
DI LAMAN PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2022/02/23/mata-pena-dan-mata-pedang/



Tiada ulasan: