PRN Johor: Muda tak tolak kemungkinan pertindihan kerusi dengan PKR
KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) tidak menolak kemungkinan berlaku pertindihan kerusi pihaknya dengan PKR dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya telah cuba mengadakan beberapa rundingan dengan PKR namun parti itu mengambil pendekatan mengumumkan calon di 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Jika tidak ada sebarang perkembangan dan perubahan keputusan dari pimpinan Keadilan berkaitan kerusi Muda-Keadilan, pimpinan Muda akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan jalan ke hadapan pada hujung minggu ini.
“Sekiranya pertindihan kerusi antara Muda-Keadilan tidak dapat dielakkan, Muda akan serahkan keputusan di tangan rakyat Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, PKR dan Muda mengadakan pertemuan empat mata antara Syed Saddiq dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim pada 7 Februari lalu.
Perbincangan itu rata-ratanya membincangkan mengenai pembahagian kerusi PRN Johor selepas Mudat mengemukakan senarai kerusi DUN yang akan ditandingi parti itu.
Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, partinya telah memberikan usaha dan komitmen berterusan untuk mengelak pertindihan kerusi dalam kalangan parti-parti pembangkang.
Katanya, langkah itu semata-mata fokus untuk membawa perubahan yang baik kepada Negeri Johor.
“Melalui rundingan rasmi bersama DAP dan Amanah (Parti Amanah Negara), Muda telah berjaya mengelak sebarang pertindihan kerusi.
“Meskipun begitu, Muda telah menyampaikan niat dan hasrat Muda untuk mengelakkan sebarang pertindihan kerusi Muda-Keadilan kepada rakan DAP dan Amanaha. Muda juga bersedia untuk meneruskan rundingan bersama Keadilan,” kata Ahli Parlimen Muar itu lagi.
Sebelum ini, Anwar mengumumkan calonnya di kerusi DUN Larkin yang merupakan kerusi yang diintai oleh MUDA sebelum ini.
Turut dalam perhatian Muda adalah kerusi DUN Kempas dan DUN Gambir yang ditandingi PKR.
Syed Saddiq sebelum ini mengesahkan Muda akan bertanding di DUN Puteri Wangsa, DUN Tenang, DUN Bukit Kepong, DUN Parit Raja, DUN Machap dan DUN Bukit Permai.
Enam kerusi itu diperoleh selepas mengadakan rundingan dengan Amanah dan DAP.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan