Muda tanding 6 kerusi, rundingan dengan Amanah, DAP
IKATAN Demokratik Malaysia (Muda) akan bertanding enam kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas mencapai kata sepakat tiada pertindihan kerusi dengan Amanah dan DAP, umum pemimpin tiga parti itu.
Enam kerusi itu ialah Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa, dan Bukit Permai.
Bagaimanapun semua kerusi itu hanya melibatkan rundingan Muda dengan dua komponen Pakatan Harapan itu dan tidak termasuk rundingannya dengan PKR.
“Rundingan antara Muda dan PKR sedang diteruskan demi kesepaduan menghadapi PRN ini,” kata kenyataan bersama pemimpin tiga parti itu.
Kenyataan dikeluarkan Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight minggu ini, Syed Saddiq berkata Muda akan bertanding di Johor dengan lambangnya sendiri.
Amanah dan DAP pula menggunakan logo PH tetapi tidak PKR yang juga menggunakan lambang sendiri.
Tiga komponen PH sebelum ini sepakat mengagihkan PKR dan Amanah masing-masing bertanding 20 kerusi sementara DAP 16.
Media difahamkan melalui rundingan yang diumumkan kesepakatannya hari ini Amanah menyerahkan empat kerusi kepada Muda sementara DAP 2.
Ini menjadikan DAP kekal bertanding 14 kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Kenyataan tiga pemimpin itu juga menyebut Amanah, DAP dan Muda setuju memastikan tiada pertindihan kerusi sesama mereka serta menggembleng jentera bersama.
Mereka juga sepakat untuk bersama-sama menubuhkan kerajaan negeri.
“Ini bermakna bagi menghadapi PRN Johor Amanah, DAP dan Muda bakal bergerak sebagai rakan strategik pilihan raya – walaupun Muda tidak menyertai Pakatan Harapan.
“Ini serasi dengan prinsip “khemah besar” untuk menyatupadukan semua parti politik dan menggembleng tenaga yang bersedia melawan kerajaan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional,” kata mereka.
Suruhanjaya Pilihan Raya yang bermesyuarat hari ini menetapkan penamaan calon pada 26 Februari dan pengundian pada 12 Mac. – 9 Februari, 2022.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan