KULIAH POLITIK PRN JOHOR
Bila saya menulis tulisan ini warga Johor sedang turun mengundi. Kebelakangan – sebelum hari mengundi – dari beberapa laporan portal media yang saya baca semua pemerhati politik telah meramalkan yang United Malays National Organisation dan kuncu-kuncunya akan menang dalam PRN Johor.
Saya membuat beberapa panggilan telefon dengan kawan yang bersarang di Johor dan juga aktivis dari PKR yang turun naik ke Johor. Mereka semua memberi pandangan selain dari kempen yang dingin mereka juga berpendapat : Gerombolan United Malays National Organisation akan menang.
Kemenangan besar atau kemenangan kecil. Ini saja persoalan.
Saya yang berkhalwat di rumah dan tidak menziarah Johor menerima pandangan mereka sebagai ayat suci. Malah ini semua memperkuatkan lagi keyakinan pandangan saya. PRN Johor memperkeraskan lagi sikap dan pandangan saya bahawa selepas kalah di PRN Melaka Pakatan Harapan akan bungkus sekali lagi di Johor.
Terbungkusnya Pakatan Rakyat selain dari masalah yang ditimbulkan oleh Anwar Ibrahim ada lagi hukum dan syarat politik yang akan menjamin kekalahan Pakatan Harapan dan parti pembangkang.
Hukum dan syarat politik ini adalah induk kepada permasalahan yang sedang dihadapi oleh Pakatan Harapan. Permasalahan ini juga dihadapi oleh semua parti politik yang cuba mengalahkan United Malays National Organisation.
Induk kepada hukum dan syarat politik ini ialah kegagalan Pakatan Harapan menggalang satu perserikatan baru. Saya telah menulis betapa perlunya didirikan satu perserikatan baru - satu United Front – Barisan Bersatu wajib diwujudkan.
Mendirikan Barisan Baru adalah sine qua non.
Sine qua non – ini bahasa Latin yang sering digunakan dalam istilah budaya politik yang memberi makna : tanpa ianya semua tidak mungkin.
Tulisan kali ini saya ingin memperkaki, memperinci dan memilimeter ciri dan pola – taktik dan stratiji Barisan Bersatu yang sedang saya ajukan.
Paling utama ialah apa tujuan. Siapa musuh.
Kenali diri kamu
Kenali musuh kamu
Seratus pertempuran
Seratus kemenangan
Kata kata dari Sun Tzu dalam stratiji Seni Perang.
Untuk memahami teori United Front – Barisan Bersatu mari kita kembali melihat sejarah Eropah dan Perang Dunia Ke Dua. Ini contoh klasik untuk memahami teori dan praktik Barisan Bersatu.
Revolusi Bolshevik 1917 di Rusia jelas menentang sistem feudal monarki. Revolusi Amerika pada 1765 – tidak anti monarki tapi anti kolonial. Manakala United Kingdom adalah sarang monarki yang kukuh di Eropah.
Bolshevik mengajukan sistem ekonomi sosialis dengan perancangan terpusat. Manakala United Kingdom di Eropah dan Amerika mengamalkan sistem ekonomi kapitalis.
Sosialis mengutamakan kesejahteraan ramai. Kapitalis mengutamakan keuntungan modal. Dua sistem ekonomi yang terus bertelagah hingga ke hari ini.
Tup tup tahun 1933 Abdul Hitler oops... silap Aldolf Hitler naik takhta. Hitler dilantik untuk menjadi Canselor atau Perdana Menteri German. Bala muncul.
Adolf Hilter bersama Moussolini mengajukan fasisma. Fasis membawa pandangan keras nasionalis kanan dengan sikap kerajaan dan daulah yang mengamalkan politik kuku besi. Hanya satu parti menyusun negara tanpa soal jawab - tanpa pembangkang. Jika ada pembangkang mereka akan dibunuh mati atau di penjara.
Fasisma dengan satu tujuan mutlak untuk mencapai keuntunagn maksima kepada kaum pemodal.
Fasisma jelas berlawanan dengan sosialisma. Fasisma juga berlawan dengan kapitalisma yang mengajukan hak kebebasan kaum pemodal tanpa diganggu gugat oleh daulah.
Kapitalisma dan fasisma bertentangan di Eropah. Ini membawa perang di Eropah. Di Asia Jepun mendirikan rejim tentera dengan ideologi fasis. Eropah di bawah Adolf Hitler (1889-1945) dan Itali dibawah Benito Mussolini (1883-1945). Manakala Asia di bawah Hideki Tojo (1884-1948). Justeru German, Itali dan Jepun bersekutu untuk menjajah dunia dengan ideologi fasisma.
Sebelum Perang Dunia Kedua meledak – Russia pengamal sistem ekonomi sosialis menjadi musuh utama kepada Amerika dan United Kingdom. Dua kuasa Anglo-Amerika ini menjadi kubu kuat kuasa kapitalis dan imperialis. Ketika ini United Kingdom sedang menjajah lebih dari 30 buah negara di Asia, Afrika dan Latin Amerika.
Dalam Perang Dunia Ke Dua German di bawah Hitler menyerang kedua-dua sistem ekonomi – kapitalis dan sosialis. Hitler dengan nasionalisma kanan yang keras sedang mengajukan sistem ekonomi fasis yang mengancam sistem kapitalis dan sosialis.
Secara bijak , diatur dan dibincangkan cara taktik terbaik untuk mengalahkan ideologi fasis. Maka Winston Churchill (1874-1965) Perdana Menteri United Kingdom bersama dengan Presiden Amerika Franklin Roosevelt ( 1862 -1845) telah mempelawa Pemimpin Parti Komunis Rusia Joseph Stalin (1878-1953) untuk berunding duduk semeja.
Agenda The Big Three – Tiga Orang Kuat – ini ialah mencari jalan untuk menyelamatkan umat manusia dari malapetaka fasisma.
Akhirnya ketika sosok yang satu ketika dahulu bermusuhan kini bersatu dan bersetuju untuk mendirikan Barisan Bersatu – United Front.
Mereka mengetepikan perbezaan untuk menghadapi musuh utama mereka: Adolf Hitler. Hitler wajib dikalahkan begitu juga Mussolini dan Tojo.
Sejarah membuktikan keabsahan teori dan praktik United Front. Fasisma di kalahkan dalam Perang Dunia Ke Dua kerana hasil dari penggalangan Barisan Bersatu ketenteraan dari Amerika, United Kingdom dan Rusia.
Dalam masa yang sama kita lihat di Tanah Besar China perang dalaman sedang berjalan. Parti Komunis China di bawah Mao Zedong (1893-1976) sedang bergerila melawan kerajaan Koumintang Cheng Kai-shek (1887-1975). Gerila Parti komunis sedang berperang dengan askar kapitalis Cheng-Kai-Shek.
Pada tahun 1931 Jepun melanggar China dan menawan Manchuria. Pada tahun 1937 Jepun terus mara ke selatan dan menawan banyak wilayah China. Jepun masuk menyerang China ketika Mao dan Cheng Kai-shek sedang berperang.
Apa dua pemimpin China ini lakukan untuk menyelamatkan negara mereka dari dilanggar oleh Jepun?
Mao Zedong dan Cheng-Kai-Shek bertemu berbincang adan bersepakat untuk mendirikan United Front – Barisan Bersatu. Perang saudara dihentikan. Mereka menggembling tenaga dengan satu tujuan untuk menyelamatkan tanah air dari musuh luar i.e Fasis Jepun.
Terbukti teori dan praktik United Front membawa kejayaan. Hitler dikalahkan di Eropah. Jepun dikalahi di Tanah Besar China.
Ada sejarah United Front yang lebih dekat dengan kita. Ini juga berlaku ketika Perang Dunia Ke Dua di Tanah Melayu.
Sebelum Jepun melanggar Tanah Melayu – negara kita adalah tanah jajahan Inggeris. Rakyat ketika itu berjuang menentang penjajah Inggeris. Perjuangan menentang kolonial Inggeris di pimpin oleh pelbagai parti politik dari garis Nasionalis, Islamik dan Sosialis.
Kuasa kolonial Inggeris mengangap semua parti-parti ini sebagai musuh – terutama Parti Komunis Malaya (PKM). Inggeris menangkap para pemimpin gerakan menentang penjajah ini.
Askar Fasis Jepun mendarat di Kota Baru pada 8 Disember 1941. Tanah Melayu disedut dalam kancah Perang Dunia Ke Dua.
Apa terjadi dengan Inggeris? Apa terjadi dengan gerakan anti-kolonial Inggeris ? Apa terjadi dengan PKM?
Di Tanah Melayu dirikan United Front – Barisan Bersatu. Jangan terperanjat Parti Komunis Malaya duduk semaja dengan kuasa kolonial Inggeris. Mereka merancang stratiji terbaik untuk melawan Fasis Jepun.
Inggeris membekalkan senjata – di payung terjunkan ke.dalam hutan untuk gerila PKM. PKM menyusun kaum nasionalis yang anti fasis untuk mengangkat senjata melawan Jepun.
Ini sejarah United Front di Tanah Melayu. Penjajah Inggeris yang memberi senjata kepada gerila Parti Komunis. Seteru lama kini berkawan melawan musuh yang satu. Malah Rashid Mydin pemimpin besar PKM telah mendapat anugerah dari Baginda Queen sesudah perang tamat.
Apakah masih tidak yakin dengan teori dan praktik United Front ?
Saya menulis bahagian akhir tulisan ini pada pagi Ahad 13 Mac 2022 Kuliah Politik Johor baru selesai. Dari laporan portal berita United Malays National Organisation menang dengan cemerlang.
Sebelum saya menonjol kan siapa musuh Barisan Bersatu kita biar saya buka kitab sejarah. Babak dalam kitab sejarah ini mungkin ramai yang terlupa. Biar saya buka dan paparkan sebagai upaya saya untuk melawan lupa.
Mari kita lihat bagaimana Datuk Nenek moyang kita walau pun memberi pelajaran – bersatu teguh bercerai roboh tapi mereka sendiri telah tidak mengamalkan
pelajaran itu sendiri.
Apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511 - Kerajaan Melayu Melaka telah berundur ke Johor.
Sultan Mahmud Shah dari Johor telah berkali kali cuba mengambil alih Melaka. Pada tahun 1523 Melaka di kepong selama setahun. Sepatutnya Portugis tewas. Hakikatnya Portugis gagal dikalahkan.
Pada tahun 1568 Sultan Alauddin dari Acheh telah juga menyerang Portugis di Melaka dalam usaha untuk mengambil kota Melaka. Hasilnya Acheh tewas.
Dari mana kekuatan Portugis – Benggali Putih yang beribu batu jauhnya dari tanah air mereka dapat mengalahkan anak watan Nusantara yang mengepong mereka.
Sejarah merakamkan bahawa Acheh dan Johor tidak berjaya bersepakat. Malah ketika Portugis di kepung oleh tentera Acheh dan hampir tewas - pasukan tentera Sultan Johor telah datang membantu Kepala Tentera Portugis Dom Leonis Pereira. Acheh tewas. Portugis terus menjajah kota Melaka.
Bayangkan jika teori United Front digunakan oleh Acheh dan Johor – dua bala tentera ini bersatu melawan musuh yang sama - jawabnya anak watan Nusantara pasti menang melawan penjajah Eropah.
Disini Portugis yang licik telah menjalankan dasar Pecah Perintah. Memecahkan setia kawan anak watan. Gaduhkan Acheh dengan Johor. Pecah dan Perintah adalah teori yang berlawanan dengan teori dan praktik Barisan Bersatu. Di pecah-pecahkan untuk di kalahkan.
Kuliah Politik PRN Johor telah membuktikan parti pembangkang dari semua parti telah menjadi Acheh dan Johor. Mereka bergaduh sesama sendiri merebut kerusi Adun. Yang menang ialah United Malays National Organisation – parti jelmaan penjajah Inggeris.
Kekalahan di Johor ini untuk saya wajib dijadikan kuliah politik yang penting untuk semua pemimpin parti politik. Kuliah ini memberi pengajaran untuk semua parti politik ini betapa wajibnya mendirikan satu Barisan Bersatu yang baru.
Mendirikan United Front Baru atau Barisan Bersatu ini telah menjadi sine qua non.
Siapa musuh dan apa tujuan Barisan Bersatu ini ?
Sebelum saya memilimiterkan siapa musuh dan apa tujuan perlu saya ingatkan kembali bahawa kemenangan PRU14 adalah hasil menggunakan teori United Front atau Barisan Bersatu.
Pada 4 Mac 2016 adalah hari bersejarah. Pada hari Jumaat ini Deklarasi Rakyat (DK) di bentuk. Gerakan ini mewujudkan penggalangan United Front dalam politik moden Malaysia. DK melahirkan perserikatan Pakatan Harapan yang membawa kemenangan rakyat pada 10 Mei 2018.
United Front baru yang saya ajukan ini memiliki satu musuh dan satu tujuan.
Musuh Barisan Bersatu ialah Kluster Mahkamah
Tujuan menggalang Barisan Bersatu ini ialah untuk menghalang pencuri dari kembali berkuasa.
Asas United Front ini cukup mudah. Parti politik , badan NGO dan NGI – semua boleh masuk bersama ke dalam khemah besar ini. Dengan hanya satu syarat bahawa mereka tidak terlibat dalam genocide – pembunuhan beramai-ramai.
Genocide kita jadikan tangga rujuk untuk menilai sosok dan parti politik yang akan bersama menyelamatkan Malaysia dari pencuri.
Ini bermakna United Front ini adalah khemah besar yang menerima sesiapa saja yang sedia bersatu di bawah satu payung. Berjuang bersetia berkawan untuk menghalang pencuri kembali berkuasa. Amin.
NOTA KAKI:
Wajib disedari Barisan Nasional yang dipimpin oleh United Malays National Organisation juga adalah hasil dari teori United Front – Barisan Bersatu.
Satelah Parti United Malays National Organisation ini kalah dalam PRU3 pada tahun 1969 – sosok-sosok kiri yang menjadi penasihat Perdana Menteri Tun Razak seperti Abdullah Majid ( 1926- 2010) Wahab Majid (1929-2010), Dominic Puthucheary (1934 - ) dan James Puthucheary ( (1922-2000) telah mencadangkan kepada Tun Razak untuk mendirikan Barisan Nasional mengganti Perikatan dalam PRU4 tahun 1i974. Menjemput Parti Islam, PPP dan Gerakan dalam khemah Barisan Nasional . Yang lainnya jadi sejarah. Amin (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANINSIGHT.COM
1 ulasan:
Betul kata Isham barisan bersatu adalah formula kejayaan tewas pihak lawan. Tapi contoh2 yang Isham paparkan semua ada babak kedua, iaitu, apa terjadi kepada barisan bersatu selepas menewaskan pihak lawan?
Kita tahu dari sejarah, lepas pihak lawan ditewas, Amrika+British mula bermusuh dengan USSR/Rusia. Di China, komunis dan kuomintang mula berperang. Di PRU14 Msia, yang gila nak jadi perdana menteri mula sabotaj dan jatuhkan kerajaan sekutu sendiri.
Bagaimana nak elakkan barisan bersatu daripada berpecah selepas pihak lawan ditewas? Isham ada pencerahan?
Catat Ulasan