SAYANG EMAK KEPADA ANAK
Pagi itu Lee dan aku bangun di rumah Bapa Mentua Mister Tay di Taiping. Rumah banglo kayu kuaters untuk pegawai KTM (Kereta Api Tanah Melayu).
Meja makan keluarga ini di tepi dapur. Rumah banglo KTM ini agak luas jadi aku tak hairan Mister Tay masih duduk bersama Bapak Mentuanya.
Mister Tay hanya menumpang ketika sekolah tutup. Bila sekolah dibuka Mister Tay pulang ke Seremban. Isteri Mister Tay seorang misi di hospital Seremban. Dari Seremban Mister Tay berulang dengan Moris Minornya ke SMUJ ( Sekolah Menengah Undang Jelebu ).
Di atas meja ada teh susu dan roti disapu dengan majrin.
Pagi itu aku sempat bertemu dengan Bapak Mentua Mister Tay. Ketika kami sarapan dia datang berdiri di tepi meja. Lelaki lima puluhan ini agak gempal. Dari pakaian aku menjangkakan sosok ini pastilah pegawai tinggi dalam hairaki KTM Taiping.
Aku dan Lee bangun untuk bersalaman.
‘ You like Taiping...go and see the muzium....or lu orang panjat laa bukit Maxwell Hill .......’ Dia bersuara dengan satu cadangan yang telah kami dengar dari Mister Tay.
‘ Thank you..sir...’ Aku menjadikan diri aku budak berhemah pada pagi itu. Bapa Mentua Mister Tay beredar.
Selesai sarapan kami menapak ke arah muzium. Jauh juga kami berjalan tapi agak selesa dan ringan tanpa beg sandang di bahu atau mengepit khemah.
Dalam pekan Taiping aku bertanya pada seorang Abang China arah ke muzium.
‘ Jauh.. jalan depan ni ... nampak jil... sebelah jil muzium...’ Abang China memberi penjelasan.
Kami menapak keluar dari perut pekan. Muzium ini letaknya di pinggir pekan. Dalam kepala aku tergambar tembok penjara. Ingatan aku merujuk kepada penjara Pudu yang selalu aku lihat apabila aku dalam bas Foh Hup dari Seremban ke Kuala Lumpur. Bila aku nampak tembok penjara Pudu maka aku tahu aku telah sampai ke Kuala Lumpur. Penjara Pudu aku jadikan batu rujukan untuk Kuala Lumpur.
Mata aku mencari-cari tembok penjara. Kalau nampak penjara maka kami akan bertemu muzium.
Ah ! Betul kata Abang China itu. Dari jauh aku nampak tembok penjara. Sama bentuk seperti tembok penjara Pudu. Di jalan yang sama berdiri tersergam gah Muzium Perak.
Aku budak kampung tidak arif tentang reka bentuk dan jenis bangunan. Yang aku tahu pundung, kepuk padi dan rumah Melayu bentuk Minang. Ini banyak aku lihat di Jelebu. Atau rumah limas – rumah Melayu yang ada beranda.
Aku melopong melihat bangunan muzium seperti sebuah rumah yang maha besar. Di Jelebu tidak ada rumah atau bangunan sehebat ini. Rumah Datuk Undang Jelebu pun tidak sebesar dan segah Muzium Perak..
Di pintu masuk aku terbaca : Masuk Percuma. Inilah iklan yang akan sentiasa aku cari untuk menggembirakan hidup aku. Aku silap. Masuk percuma hanya untuk kanak-kanak. Orang dewasa seperti aku wajib membayar 20 sen untuk masuk.
Di pintu masuk ada tertera sejarah Muzium ini. Muzium ini nama resminya Muzium Perak. Didirikan pada tahun 1883 oleh Sir Hugh Low ( 1824-1905) Residen Inggeris di Perak. Inilah muzium pertama di Tanah Melayu. Perkataan muzium ini baru. Istilah asal sekolah gambar.
Nama muzium ini Muzium Perak kerana ketika didirikan ibu negeri Perak ialah Taiping. Sebelum Taiping ibu negeri Perak ialah Kuala Kangsar. Taiping menjadi ibu negeri dari tahun 1876 hingga ke 1937 – kemudian Ipoh menjadi ibu negeri Perak. Justeru namanya Muzium Perak bukan Muzium Taiping.
Pada tahun 1968 aku telah sedikit sebanyak mempelajari sejarah Tanah Melayu. Kali ini dalam muzium ini untuk pertama kali aku melihat rupa bentuk jongkong bijih timah dan semua yang bersangkutan dengan bijih timah.
Aku dapat melihat gambar-gambar lama tentang cara mem bijih. Mendulang, menembak dengan pancutan air hingga ke zaman menggunakan jentera moden kapal korek.
Di tepi gambar-gambar ini ada tulisan untuk memberi penerangan yang lebih lanjut.
Dari apa yang aku pelajari bijih timah inilah yang menjadikan Tanah Melayu wilayah rebutan kuasa penjajah. Kini bijih terpampang di hadapan mata. Bijih ini juga membawa masuk pendatang asing dari Tanah Besar China.
Di sebelah gambar-gambar ada penerangan yang lebih mendalam dari apa yang aku baca dari History of Malaya 1400-1959. Ini buku teks mata pelajaran sejarah untuk Tingkatan 5. Buku tulisan Joginder Singh Jessy.
Kali ini aku berpeluang melihat wajah Long Jaafar dan muka-muka samseng Hai San dan Ghee Hin. Aku telah mendengar nama samseng ini ketika belajar sejarah dalam tingkatan empat. Dua kumpulan samseng yang berasal dari China ini selalu bergaduh berebut pengaruh dalam kawasan lombong Larut dan Taiping.
Dalam muzium ini aku juga sempat melihat pinggan mangkuk dari tanah liat peninggalan sejarah. Aku terbaca pasu bucung, buyung dan labu. Semuanya aku tidak pernah mendengar namanya. Istilah ini tidak digunakan di Jelebu. Yang aku kenal hanya belanga. Belanga dari tanah liat ini ada dalam dapur rumah aku di Kampung Chenor.
Mata aku terbuka bila ternampak tulisan Labu Sayung. Untuk aku labu ialah buah labu. Dalam Muzium Perak labu ialah tempayan kecil untuk menyejukkan air.
Semua bahan pameran ini telah beratus tahun umurnya.
Satu yang menarik dalam muzium ini ialah bahagian sejarah Orang Asli – Senoi, Negerito dan Jakun. Bahagian ini menarik kerana aku tahu dari sinilah asal usul aku. Alat sumpitan, parang dan perangkap binatang dan lukah ikan buatan Sakai ini ada dipamerkan.
Mengikut tulisan yang dipaparkan Sakai ini adalah suku sakat asal usul yang menjadi Melayu. Mereka di kenali sebagai proto-Melayu. Kalau mengikut Tok Wan Rahmah aku mereka terus jadi Sakai kerana tidak menerima Muhammad sebagai Tok Penghulu.
Di Luar muzium ini ada sebuah kubur yang terbuka di mana aku dapat melihat tengkorak. Mengikut maklumat yang tertulis - kubur ini di temui di Lenggong Utara Perak. Aku tidak faham kenapa kubur ini dijadikan bahan pameran. Aku tidak faham apa makna Lenggong Man yang beribu tahun umurnya. Apa pertalian Lenggong Man dengan tamadun di Tanah Melayu. Semuanya aku tidak faham.
Hanya satu perkara yang terlintas dalam kepala aku - apakah pekerja di muzium ini tidak takut pada kubur dan tengkorak. Aku merasa seram ketika menjengukkan kepala aku ke dalam kubur untuk melihat tengkorak.
Mungkin ini tengkorak Tok Batin. Dengan cepat aku beredar. Aku takut terkena badi atau busung Tok Batin.
Kemudian aku sampai ke bahagian sejarah kereta api pertama di Tanah Melayu. Ini amat menarik. Landasan ini di buat oleh kolonial Inggeris pada tahun 1885. Landasan sejauh 8 batu lebih ini bermula dari Taiping ke Port Weld Kuala Sepetang.
Inilah bukti tentang betapa pentingnya bijih yang wajib di hantar bukan hanya melalui sungai tapi dengan kereta api. Juga membuktikan bertapa kayanya bandar Taiping dengan hasil bijih hingga menjadi ibu negeri Perak.
Pameran bahagian landasan kereta api ini betul-betul menarik perhatian aku. Ini kerana ada kesah di belakang kesah. Ada kesah cinta ibu kepada anak Ada kesah kereta api dengan gajah.
Pada tahun 1886 landasan kereta api telah disambung dari ke Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang. Kemudian pada tahun 1891 dari Seremban ke Port Dickson.
Sama seperti yang telah dilakukan di India - kuasa kolonial Inggeris membuat sistem pengangkutan kereta api untuk membawa hasil mahsul Tanah Melayu ke pelabuhan untuk di hantar ke London sebagai bahan -bahan dagangan.
Hutan dara dicunggah, di potong dan diteroka untuk membuat landasan kereta api. . Buruh telah didatangkan dari India untuk membina landasan kereta api. Kekayaan bijih Tanah Melayu menyanggupi belanjawan projek ini
Perak yang kaya dengan bijih, maka satu landasan telah juga di buat pada tahun 1895 dari Ipoh ke Tapah. Landasan ini menyimpang masuk ke hutan tropika yang tebal menuju ke Telok Anson.
Dari apa yang aku baca di Muzium Perak pada hari Ahad 16 September 1894 berhampiran Stesen Sungai Kerawat sekumpulan gajah sedang bersiar-siar mencari makan.
Seekor anak gajah telah terlanggar oleh kepala kereta api ini. Anak gajah ini jatuh mati di tepi landasan. Tidak ada kecederaan berlaku dalam kereta api.
Esoknya pada Senin 17 September 1974 emak dan ayah gajah bersama kawan-kawan telah datang ke tempat yang sama. Kali ini Sang Emak telah duduk di tengah landasan menanti untuk membalas dendam atas kematian anaknya.
Kepala kereta api tergelincir bila terlanggar emak gajah.. Tiga gerak jatuh terbarai. Gajah datang menyerang. Tiga sosok dilaporkan tewas. Emak gajah yang berdiri di tengah landasan kereta api juga mati.
Aku melihat gambar-gambar kepala kereta api, gerabak yang tergelincir dan juga gambar pegawai Inggeris yang datang melihat kawasan kemalangan.
Di Muzium Perak aku sempat melihat gambar pegawai Mat Salleh dengan senapang bergambar di sebelah emak gajah yang mati.
Tertiba aku sedar di pintu masuk ada tengkorak yang amat besar. Mata aku terbuak kerana baru aku sedar bahawa rangka kepala dan tengkorak anak gajah dan emak gajah kini menjadi sebahagian dari pameran.
Aku merasa sedih juga bila teringat kesah anak dan emak gajah. Cinta setia seekor emak kepada anaknya hingga sanggup mati. Aku juga pernah mendengar bahawa gajah memiliki ingatan yang amat kuat. Justeru gajah akan membalas kembali kejahatan yang telah dilakukan ke atas mereka.
Keluar dari muzium kami masuk kembali ke dalam Pekan Taiping. Rayau punya rayau kami sampai ke perhentian bas. Disini ada gerai-gerai makan. Tengah hari itu kami makan mee celup 25 sen semangkuk.
Lepas makan tengah aku mencadangkan kita ke Maxwell Hill. Aku bertanya dengan Abang Gerai cara hendak ke Maxwell Hill.
‘ Kena masuk Lake Garden.. sampai sana depannya Maxwell Hill...’
Sekali lagi Lee dan aku menapak mencari Lake Garden untuk menuju ke Maxwell Hill. Aku tidak tahu pun apa tentang Maxwell Hill. Frazer Hill pernah aku dengar, Nama Maxwell Hill ini muncul dari cadangan Mister Tay dan Ayah Mentuanya.
Lake Garden Taiping untuk aku sama saja macam hutan di Bukit Tangga. Untuk aku yang biasa dalam hutan dan bukit dan pokok tidak ada apa yang menarik. Hanya tasik yang luas agak menarik.
Kemudian aku ternampak air sungai berbatu-batu. Kami melintas tanah perkuburan. Aku perhatikan ini bukan kubur China atau Melayu – ini tanah perkuburan orang Kristian.
Pada hemat aku semasa zaman kolonial pasti ramai Mat Salleh yang telah meninggal dunia di Taiping. Mereka pastilah suku sakat Hugh Low yang datang melombong di Taiping. Atau mungkin juga makam pengikut suku sakat J.W.W Birch ( 1825-1875 ) yang mati di bunuh di Pasir Salak.
Akhirnya kami sampai ke kaki Maxwell Hill. Kami agak letih. Tapi untuk merakam sejarah kami terus mendaki. Satelah 10 minit mendaki kami berhenti.
‘ Kalau Mister Tay tanya... nanti kita cakap dah try naik bukit....tapi tak sampai puncak...aku dah letih...moh balik...’ Aku merancang jawapan jika di tanya oleh Mister Tay.
Kami meninggalkan Maxwell Hill, tanah perkuburan orang Kristian dan Lake Garden. Lewat petang kami sampai kembali ke rumah Mister Tay.
Malam itu Mister Tay menjamu kami dengan masakan China yang istimewa. Aku tak tahu siapa yang memasak. Semua terhidang di atas meja. Kami bertiga sahaja yang makan - sosok yang lain tidak kelihatan.
‘ So... you went to the muzium... lake garden...what you saw next to the lake garden is the War Cemetery ... Second World War...’ Mister Tay memberi penjelasan.
‘ Sir... we leave tomorrow morning... to Penang... and hope to see Mrs Ali in Kangar...’ Aku menyatakan rancangan kami.
‘ School open soon.... I will be back to Jelebu.... my wife is taking a break... ‘ Kami mendengar rancangan Mister Tay.
Malam itu di atas bantal aku teringat akan kubur dan tengkorak di Muzium Perak. Kemudian ingatan aku beralih ke gambar kereta api dan mayat emak dan anak gajah.
‘ Lee... Jelebu takda kereta api.. kalau ada banyak gajah di Gagu kena langgar...’ Aku bersuara.
‘ Jelebu too many bukit... susah nak but railway line..’ Lee Keong menjawab.
Malam itu aku dan Lee Keong bermalam kali terakhir di banglo papan rumah pegawai KTM Taiping. Rumah pegawai Kereta Api Tanah Melayu yang pernah melanggar anak dan emak gajah.
Esok pagi kami akan ke Pulau Pinang. (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2022/05/11/sayang-emak-pada-anak/
2 ulasan:
Rumah Gambar... dulu ayah saya pun guna istilah ini semasa kecil melawat muzium di Singapura suatu masa dahulu :)
Kalau ikot ukuran umur secaro saintifik ..Longgong Men lebey dulu idop daripada Adam. Apo kato Dato TaT Haji sakalian ..yg monomukan planet dunio sbg centre of universe ..yg dah pandai bagi ceramah dalam disko di apit duo awek yg birbaju burai tetek ..tuckbEEr ..
Catat Ulasan