Rabu, 6 Julai 2022

BUDAK JELEBU SESAT DI SEREMBAN


BUDAK JELEBU 

SESAT 

DI SEREMBAN 


Bulan  Mac 1968  - radio dan akhbar Malaysia heboh. Heboh dengan berita  Piala Thomas  yang dimenangi pada bulan Jun 1967  di Jakarta  akan dibawa pulang dari London. Aku bukan ahli sukan tapi heboh badminton  bagaikan nak rak ini telah  menyedut aku untuk membaca berita sukan.


Tahun 1968  siaran TV telah wujud di Malaysia. Tetapi  di Jelebu TV masih belum sampai.  Pancaran gelombang  TV telah gagal menembus masuk kerana kedudukan Jelebu di gaung Banjaran Titiwangsa dan dihalang oleh  Bukit Tangga.  

Berita Thomas Cup ini hanya aku ikuti melalui surat khabar.

Malaysia   diumumkan Malaysia menjadi juara Piala Thomas  1967 mengalahkan Indonesia. Berita memberi aku tahu bahawa kali  pertama Malaya jadi pemenang tahun 1949, kali ke dua tahun 1952 dan kali ketika tahun 1955. Semua ketika Tanah Melayu di bawah jajahan Inggeris.

 Kali ini Malaysia menang  Thomas Cup atas nama  Malaysia  bukan Malaya untuk kali ke empat.

Heboh berita menang  Thomas Cup macam cerita durian runtuh. Aku yang buta sukan ini tidak dapat tidak mula membaca hal sukan.

Aku yang tak tahu sangat dan jarang menghafal nama ahli  sukan dah mula  pandai menyebut nama pemain dua beradik Tan Aik Mong dan Tan Aik Huang. Juga nama Eng Boon Bee dan Abdual Rahman.

Ombak badminton mengampuh. Berita meledak lagi.

Pada Ahad 27 Mac 1968  dilaporkan seramai 5000 tua, muda, jantan betina  dan sida - warga  Malaysia telah berkampung menunggu Thomas Cup di Lapangan 
Terbang Antarabangsa  Subang. Mereka menyambut  Thomas Cup dibawa pulang  dari London.

Pasukan Thomas Cup telah sampai  ke Subang dari London  bersama Khir Johari  Presiden Badminton Malaysia merangkap  Menteri Pelajaran. Di Subang  Pasukan Thomas Cup ini telah disambut oleh Menteri Penerangan  Senu Abdul Rahman.

Esoknya 28 Mac 1968 – sekolah di seluruh Malaysia diberi cuti umum.

Berita Thomas Cup terus menjadi perbualan nasional. Ribut taufan Thomas Cup sedang melanda  Tanah Melayu dengan  hebat. 

Dengan serta merta disana sini kelihatan anak-anak dan budak-budak mula bermain badminton. Hebat. Cukup hebat pengaruh Thomas Cup ini. Kedai runcit – di Kuala Klawang juga mula menjual raket dan bola bulu ayam.

Tertiba aku  terbaca Khir Johari mengumumkan Piala Thomas akan di arak dari negeri ke negeri sebelum disimpan di muzium negara.  

Mata aku  terbuka bila membaca berita  Thomas Cup ini akan sampai ke Negeri Sembilan. Piala  dan pasukan badminton yang berjaya mengharumkan nama Malaysia  akan disambut orang ramai  di Seremban.

Selama satu minggu  Piala Thomas akan diletakkan di Dewan Bandar Seremban. Orang ramai dijemput datang  melihat piala ini. Masuk ke dewan percuma.

Tahun 1968  ketika Malaysia menang Thomas Cup  aku dalam Tingkatan Lima. Aku tinggal di hostel Sekolah Menengah Undang Jelebu. 

Antara kawan baik seasrama ialah Mat Sham Yahya – pelajar dari Kampung Petasih 20 batu dari Kuala Klawang. Dia pelajar tingkatan lima aliran Melayu di Sekolah Menengah Banda Tinggi. Katil Mat Sham  di tepi tingkap di sebelah katil aku.

‘ Eh... Mat Sham .. mari kita gi Seremban Sabtu ni... nengok Thomas Cup...’ Aku memberi cadangan

‘ Kek mano...’ Mat Sham bertanya.
 
‘ Dewan Soromban..... baco ni berita  ni... semua di jemput datang.... semua tu kitolaaa...’ Aku menghulur akhbar Utusan Malaysia pada  Mat Sham.

‘ Kito berdua je ko....” Mat Sham bertanya.

‘ Sapo lagi... ajak Kiak... ajak Mat Zin... ompek orang cukup laa...’ Aku memberi cadangan.

‘ Naik apo...bas tiket 80 sen...pulang balik 1.60 sen...belanjo lagi...kau ado duit ko...’ Mat Sham mengira bujet.

‘ Kito  hitch hike... numpang kereta orang...’ Aku beri cadangan.

Kemudian aku menemui  Kiak dan Mat Zin. Kiak ini nama gelaran. Nama dia sebenarnya Haris. Kerana kepala dia agak besar  macam kepala anai-anai - maka dalam budaya hostel Si  Haris mendapat gelaran Kiak.

Kiak  dalam tingkatan dua aliran Inggeris. Manakala Mat Zin dalam tingkatan tiga  dari aliran  Melayu.

“ Hari Sabtu ni... kita hitch hike... buat dua tim. ...empat orang susah nak dapat kereta... nanti drebar ingat kita nak menyamun... aku dengan Kiak... Mat Zin dengan Mat Sham...’ Aku memberi cadangan pada Kiak dan Mat Zin.

Berita kami nak ke Seremban ini tidak ramai yang tahu. Kalau rancangan gagal ianya tidak akan  menjadi buah mulut. Ini juga budaya hostel hidup beramai-ramai. Warga hostel  sentiasa  merayakan kejayaan dan juga kegagalan kawan-kawan seasrama.

Pagi Sabtu sampai. Awal pagi  selepas  sarapan kami bergerak mengarah ke jalan besar ke Seremban.  Kami menapak satu kumpulan. Kemudian kami berpecah  untuk memudahkan dapat kereta. 

Agak jauh juga kami berjalan.  Aku kan Kiak di belakang. Kami berpakat  sapa dapat kereta dulu akan cuba meminta tuan kereta mengangkut kami semua.

Nasib kami baik sebuah lori berhenti.   Aku dan Kiak  naik dahulu. Kemudian aku nampak Mat Sham dan Mat Zin.

‘ Bang... itu kawan kita  ... ambil sama....’ Aku meminta pada Abang Pemandu lori. Lori ini kami tahu pemiliknya  - orang kaya tempatan -  nama dia Kedah. Lori ini membawa pisang dan getah dari Jelebu ke Seremban.

Abang Pemandu tanpa banyak cerita berhenti dan mengambil Mat Sham dan Mat Zin. Mereka duduk dalam lori manakala  aku dan Kiak duduk di sebelah pemandu.

Kami berhenti di Ampangan – di simpang jalan  ke Kuala Pilah.  Kami menapak ke  Gedung Lalang. Menuju ke  kedai sepupu aku Hayati dan Zaiton. Mereka  berdua membuka kedai runcit.

Kak Ton dan Kak Yati gembira menyambut kami. Dalam masa yang sama mereka  hairan bila aku terangkan tujuan kami ke Seremban.

‘Kita yang duduk di Seremban tak tahu  Thomas Cup  dah sampai ke Seremban..... orang Jelebu lebih tahu...’ Kak Ton memberi  komen.

Lepas makan tengah hari kami beredar dari Gedung Lalang ke Seremban. Naik baik warna merah  milik Syarikat Union. Harga tiket 10 sen seorang.

Dari perhentian bas  kami menapak mencari Dewan Bandaran Seremban. Aku pernah  bersyarah dan jadi Johan Syarahan Bulan Bahasa Kebangsaan tahun 1963. Ini  lima tahun yang lalu. Aku sudah  terlupa arah jalannya.

Kami menapak dalam bandar Seremban.  Ini bandar terbesar di Negeri Sembilan. Maka untuk kami dari Jelebu melihat Seremban ini satu nikmat mata yang tidak perlu menggunakan duit.

Akhirnya kami bertanya Abang Polis arah ke Dewan Bandaran Seremban.

‘ Masuk ke jalan  depan sampai  simpang... jalan terus...Nak tengok Thomas Cup ke ...’ Abang Polis memberi arahan. Malah Abang Polis  tahu niat kami.

‘ Pagi tadi sambutan... ramai orang.... potang ni dah kurang...’ Abang Polis buka cerita.

Akhirnya kami sampai ke tempat yang dituju. Maklumat Abang Polis betul. Sambutan kesampaian Thomas Cup  telah berjalan awal pagi. Kami sampai lewat tapi orang masih ada masuk untuk melihat Thomas Cup.

Piala  Thomas ini diletakan di atas meja dalam peti kaca. Pelawat boleh melihat piala ini dari semua penjuru.

Aku hampiri Piala Thomas berwarna putih dari logam perak. Mungkin dua kaki tingginya. Aku baca nama pemenang  yang dipahat pada badan piala ini. Nama Malaya untuk tahun 1949, 1952, 1955 dan kemudian nama Indonesia untuk tahun 1958, 1961, 1964  dan  ruang kosong tahun 1967 untuk Malaysia.

Dari tarikh ini aku faham bahawa perlawanan merebut Thomas Cup ini berjalan 3 tahun sekali.

Aku  pusing dua kali untuk puas-puas  melihat piala ini.  Orang tidak ramai jadi aku mengambil masa.  Aku lihat Kiak dan Mat Zin telah lama menunggu di gigi pintu. Mereka pasti telah berpuas hati melihat Thomas Cup.

‘ Sam... lepas ni nak kito nak ke mano ?  Mat Sham bertanya.

‘ Mari jalan-jalan ke Lake Garden...’ Aku memberi cadangan.

‘ Kao tau jalan ke ...’  Mat Zin bersuara.

‘ Balik jalan tadi... sampai bas stand... aku rasa Lake Garden dekat bas stand...’ Aku memberi jawapan walau pun aku tidak pasti arah yang tepat.

Jauh juga kami menapak. Melintas pasar besar mengikut jalan dan akhirnya sampai juga kami ke Lake Garden.

Awalnya kami merayau tepi tasik dan melihat beberapa orang Budak Cina memancing menggunakan umpan lipas. Ini menarik kerana aku biasa memancing pakai umpan cacing. Tidak pernah  aku menggunakan umpan lipas.

Kemudian kami masuk ke kawasan rumah kaca di mana pelbagai jenis bunga sedang berkembang. Semua ini menarik. Semua menjadi nikmat mata.

‘ Kito nak balik pukul berapo ... Mat Sam bertanya.

‘ Kito ambil last bas... pukul onam... bas Lim dari Soromban last pukul onam...’ Aku memberi penjelasan.

‘ Ni dah pukul berapa...’ Mat Zin bertanya.

‘ Pukul ompek...’ Aku memberi pendapat tanpa memiliki asas kerana tidak seorang pun dari kami yang ada jam tangan.

Kami merayau dalam taman bunga ini. Hampir satu jam kami bercanda-canda.

‘  Jom balik... ‘ Mat Sham memberi arahan.

Kami menapak  menuju ke perhentian bas.   Kami ikuti jalan yang kami  lalui tadi. Kami sampai ke pasar besar. Kami menapak ke hadapan. Kedai makin berubah bentuk. Jelas bukan dalam pusat bandar. Kami menapak  ke hadapan dengan harapan akan berjumpa stesen bas.  Gagal.

Kami menapak ke hadapan hingga sampai ke hadapan panggung wayang. Sah kami telah sesat. Panggung wayang ini tidak pernah aku lihat ketika aku dalam  bas pulang ke Jelebu dari Seremban.

Kemudian aku nampak papan tanda :  Penjara Temiang.

‘ Kito dah sesat... pusing balik...ini arah ke Temiang.. ‘ Aku  memberi arahan dalam keadaan  gelabah.

Aku merasa takut. Aku takut bas terakhir jam 6 telah  berlepas. Kami menapak dengan cepat.

‘ Bas stand kek mano... arah ke mano...’ Aku bertanya pada Abang Melayu di tepi jalan.

‘ Tak jauh dopan sikit .. sobolah kiri... jang ooi... kao dari mano ni...’ Abang Melayu bertanya.

‘ Dari Klawang...’ Kiak menjawab.

‘ Laa....patutlaaa  sosek di Soromban ni...’ Abang Melayu  beri jawapan sambil ketawa.

Kami menapak deras.  Arahan Abang Melayu tepat.  Aku menari nafas panjang. Kami selamat. Akhirnya kami sampai juga ke tempat yang  dituju.

Aku tahu di bahagian mana dalam stesen bas ini Bas Lim akan berhenti. Aku mengarah ke sana.  Betul sebuah bas Lim berwarna hijau sedia menunggu penumpang.

Hati aku merasa lega seperti sudah siap kerja rumah yang telah diberi oleh Cik Gu.

‘ Bas ni  balik  Klawang ...bila nak jalan....’ Aku bertanya pada Penjual Tiket  yang berdiri di tangga  bas.

‘ Last bas ke Klawang dan Titi baru lepas... yang ini ke Pantai....’ Penjual Tiket melepaskan jawapan yang menakutkan aku.

‘ Bas...kito  dah abis... setengah jalan....bas ni sampai Pantai..’ Aku membuat kenyataan.

Semua memandang dengan muka kecewa. Letih  berjalan tadi  terasa datang kembali bersama berita ditinggal bas terakhir.

Aku berfikir sebentar dan membuat keputusan, ‘... Kita naik sampai Pantai... kemudian kita sambung jalan kaki...’ 

Kami tidak ada pilihan. Kami tidak mahu tidur dalam pekan Seremban.  Ini adalah pilihan terbaik.

 Bas bergerak. Harga tiket hanya 25 sen seorang. Tambang penuh dari Seremban ke Kuala Klawang  80 sen.

‘ Kek mano bas ni boronti.. ‘ Mat Sham memandang muka aku..

‘ Aku rasa kampung akhir kek kaki Bukit Tangga....rumah last .... aku rasa kek situ...’ Aku  memberi jawapan rambang.

Dalam bas kami tak banyak cakap. Matahari dah lama hilang. Senja sudah sampai. Aku merasa takut  nak melintas  hutan Bukit Tangga di waktu malam.

Bukit Tangga ini hutan tebal  tropika. Jalan di buat di lereng bukit dan bengkang bengkok. Emat batu mendaki naik dan empat batu menurun. Antara naik dan turun ada setengah batu jalan lurus.

Apa yang menakutkan kami ialah di atas bukit ini ada sebuah Tok Pekong  - betul-betul letaknya  di tepi jalan. Ini Tok Pekong untuk China  sembahyang dan Tok Pekong minta nombor ekor. 

Satu lagi cerita tentang Bukit Tangga yang menakutkan ialah Selekoh Cik Minah. Ini  ‘ kawasan  keras’ . Banyak kesah mulut orang yang lalu di waktu siang ternampak seorang Perempuan Melayu  di selekoh  tepi jalan di tengah hutan Bukit Tangga.. 

Selekoh Cik Minah ini juga pernah  menjadi tempat strategi gerila Parti Komunis Malaya membedil empat  orang soldadu Gurkha dan  tiga Inggeris.  Di mana letaknya Selekoh Cik Minah   ini aku pun tidak pasti. Tetapi  semua warga Jelebu tahu akan lejen Cik Minah ini.

Bas  meluncur. Penumpang tidak ramai. Kami berempat dan satu keluarga  dengan tiga anak dan empat lelaki China.

Lelaki China turun di Lam Seng. Ini kilang getah terletak di tepi jalan. Mungkin mereka pekerja di kilang ini. 

Bas masuk  semakin jauh ke perkampungan Melayu. Aku nampak pelita sudah mula dipasang. Maghrib sudah berlalu.  

Keluarga Melayu berhenti sebelum masuk ke pekan Pantai. Ini bukan pekan moden hanya beberapa deretan kedai papan dan sebuah Masjid.  Pekan kecil ini tidak ada api leterik. Kami berempat penumpang akhir.

‘ Mana nak pergi...’ Penjual tiket bertanya.

‘ Last stop... Bukit Tangga... ‘ Kiak bersuara.

‘ Hantar kami ke Klawang..... lagi baik... ‘ Mat Zin membuat lawak untuk menceriakan  suasana yang aku rasa makin tegang.  Makin dekat ke tepi hutan debaran jantung aku makin kuat. 

Aku rasa perasan sama juga di rasakan oleh Mat Sham, Kiak dan Mat Zin. Tapi kami tidak menyatakan ketakutan ini secara terbuka.

‘ Ok... sudah sampai.... last sttop....jaga jaga .. jalan baik baik...’ Penjual Tiket memberi nasihat.

Kami turun. Di kaki bukit aku mendongak melihat ke   atas Bukit Tangga.  Pokok-pokok dan belukar kelihatan  semakin  gelap. Kami wajib berjalan 12 batu sebelum  menghampiri ke rumah pertama di kaki Bukit Tangga – ini Kampung  Empang Batu Amar Penghulu.

Sebelum menapak mendaki bukit aku memberi ingatan : ‘ kalau dengar apa apa jangan tegur... senyap aje... kau  terbau  wangi jangan cakap... jalan terus...tahan kencing.. jangan kencing tepi  jalan....tak tahu  sapa punya kawasan..’ Ini petua yang aku dapat dari Chu Solat ketika aku masuk hutan mencari kancil.

Mat Sham , Kiak dan Mat Zin hanya mendengar petua yang aku berikan. Aku tahu perasaan mereka sama seperti perasaan takut yang sedang  aku rasai.

Tahun 1968 di waktu malam amat jarang kereta pulang dari Seremban  ke Kual Klawang.  Hampir tidak wujud kereta dari Kuala Klawang ke seremban.

Kemudian aku teringat akan petua mantra dari Arwah Wan Rahmah. Tok  Wan aku selalu mengajar aku berbudi bahasa ke wilayah dan tempat-tempat yang dianggap keras.

Tabek oo Tok 
Anak  cucu tumpang lalu
Bukan  anak cucu baru
Anak cucu lama jua.

Selesai aku bermantra itu kami menapak. Kami mendaki Bukit tangga. Kami berjalan berbaris.  Aku di hadapan. 

Kami tidak bercakap. Aku boleh mendengar nafas aku sendiri. Aku boleh terdengar nafas Mat Sham di belakang aku.

Gelap. Gelap. Tapi jalan aspal ini   memberi sedikit  cahaya untuk kami berjalan ke hadapan. Bulan tidak kelihatan.

Kami menapak. Aku terdengar deraman air. Ini air terjun yang jatuhnya betul-betul di tepi  jalan. Biasanya ketika dalam bas aku akan  memberi perhatian kepada air terjun ini. Kali  ini ketika  melintas aku memandang ke hadapan cuba mengelak memberi pandangan pada air terjun.

Dalam kepala  aku terbayang Cik Minah berambut panjang sedang berkembam mandi air terjun. Aku mempercepatkan jalan.

Kemudian dari  jauh aku nampak  Tok Pekong. Kami wajib melintasi Tok Pekong  yang betul-betul letaknya  di gigi jalan. Kami tidak ada pilihan melainkan lalu  di hadapannya. 

Aku tidak berani  memandang ke dalam Tok Pekong kecil ini. Aku merasa gerun. Pernah aku dengar cerita Tok Pekong ini ada harimau menjadi penunggu..  Aku tidak tahu  apa yang sedang  berada dalam Tok Pekong ini..

Kami selamat melintas Tok Pekong.  Kami selamat dari  dugaan besar yang telah kami lalui. Bunyi hutan dan bunyi malam menjadikan suasana lagi menakutkan. Sesekali dalam gelap  aku terdengar bunyi  cengkerik, suara  katak dan bunyi-bunyi entah apa-apa yang  menyeramkan.

Bunyi cengkerik ini berterusan. Kemudian berhenti, kemudian bersuara kembali. Bila kami hampiri  kawasan cengkerik ini mereka  berhenti bersuara. Cengkerik ini seolah-olah tahu ada manusia dalam ketakutan sedang menapak.

Akhirnya  kami sampai ke jalan lurus yang agak terang. Kiri kanan jalan terang berumput -  bukan tepi bukit atau tepi gaung.  Aku menarik nafas panjang, Kami telah berjaya menyeberang setengah perjalanan. Lagi lima batu kami akan sampai ke kawasan kampung.

Dari lejen yang aku dengar Selekoh Cik  Minah ini terletak diantara Tok Pekong dengan jalan lurus. Kini dua-dua wilayah telah selamat kami lalui.  Aku merasa bertambah lega.

Tidak ada sebuah pun kereta melintas.

Satelah jalan lurus kami berjalan menurun bukit. Kaki agak ringan sedikit, 

‘ Ok.. semua... tak lama lagi  Jeram Toi...’ aku bersuara memberi harapan dan  semangat untuk membunuh takut. Kami kini telah  berjaya selamat dari Tok Pekong China

Akhirnya kami menyeberang jambatan  Jeram. Toi. Aku merasa semakin lega. Kerana dua batu dari Jeram Toi ialah  jalan lurus menurun bukit dan masuk  ke wilayah perkampungan.

‘ Kita dak dekat...’  Mat Sham bersuara.

‘ Kiak.. Mat Zin... kito dah dokat nak sampai.... nak koncing  ko... pogi topi jalan tu...koncing mencangkung jangan berdiri...’ Aku makin berani bersuara dan membuat  lawak.

‘ Klawang lagi berapa batu ... jauh lagi ni... ‘ Mat Zin membuka mulut.

‘ Tak jauh... bawah ni dulu aku pernah camping....’ Aku membuka kesah lama.

Tertiba di penurun bukit aku terdengar injin.  Lampu kereta mula bersinar.  Cahaya yang kami tunggu-tunggu. Kami dah berjalan lebih dari tiga jam. Sebuah lori turun dari bukit. Kami mengangkat tangan.

Lori ini  berhenti. 

‘  Ke mana....’ Kelindan lori bertanya.

‘ Klawang...’ Empat  mulut menjawab serentak.

‘ Naik.. naik...’ Kelindan lori seorang Anak Muda China  menghulurkan tangan. Kami naik ke atas lori. Lori ini membawa tayar dan getah.

‘ Dari mana ... ‘  Kelindan bertanya.

‘ Dari  Soromban .... ‘ Mat Zin menjawab.

‘ Lu orang manyak berani... malam malam gelap gelap  lu lalu hutan Bukit Tangga... wa ada nampak harimau wooo....lu tak da takut...’ Kelindan lori bercerita.

‘ Mana ada... kami ok je.. tak jumpa apa-apa....’ Aku menjawab kerana merasa selesa  dan berani. Gembira kerana telah selamat dari sesat di bandar Seremban.

Hampir jam 12 kami diberhentikan di tepi padang Pekan Kual Klawang. Lori ini dalam perjalanan ke Titi.

Malam itu kami tidak makan. Tapi tidak merasa lapar kerana kami merasa kami telah selamat pulang.

EPILOK 1 – Sampai  sekarang kesah empat budak melintas Bukit Tangga masih jadi cerita lejen orang Jelebu. Ini kerana tidak ada  orang yang siuman akal akan  berjalan kali melintas. Bukit Tangga di waktu malam.

‘ Isham tu jangan ikut... dia gilo... malam-malam buto  naik Bukit Tangga’ .  Ini pernah diceritakan kepada aku.

Aku dijadikan watak sempadan dan watak tauladan.

EPILOK 2 – Kiak a.k.a Haris Razak kini duduk berkeluarga di Kajang

Mat Zin Daud  telah meninggal dunia. Sepulang dari 20 tahun berkelana aku sempat berjumpa Mat Zin di Bangsar.  Dia botak ketika kami bertemu.

Mat Sham  Yahya tinggal di Jalan Klang lama. Kami selalu berhubung dan berjumpa. Dia menghadapi  sakit buah pinggang. Tiga kali seminggu wajib di  dialisis.

Mat Sham membantu aku mengingatkan  kembali kesah Thomas Cup ini.

EPILOK 3 – Air terjun tepi jalan masih wujud. Tok  Pekong masih wujud di tepi jalan. Hanya beralih tempat.

Jeram Toi – kini ada jalan khas. Jeram Toi makin menjadi tempat popular berkelah di Jelebu.

EPILOK 4 -  Setiap kali aku pulang ke Jelebu aku akan melalui Bukit Tangga. Maka aku akan teringat kesah Thomas  Cup dan sesat di Seremban.

EPILOK 5 – Aku masih ingin mengenal pasti di mana Selekoh Cik Minah. Arwah Abah aku pernah menunjukan selekoh ini. Tapi aku terlupa – semua selekoh dilihat sama.

EPILOK 6 – Tahun 1989 ketika dalam perjalanan ke Gloucester kereta api yang aku naik berhenti di  satu stesen. Aku pandang keluar aku nampak tertulis : Badminton.

Cilaka! Rupa-rupanya dari kampung ini  asal usulnya permainan badminton.  
 
EPILOK 7 -  Jalan lurus  dan kampung pertama di kaki Bukit  Tangga telah aku abadikan dalam filem Dari Jemapoh ke Manchestee ( 2001 ). (TT)



TULISAN INI JUGA DISIARKAN
DALAM PORTAL MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2022/07/06/budak-jelebu-sesat-di-seremban



2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Aku budak Mantin, kampung baru. Tingkatan satu hingga lima, sekolah asrama juga, atas bukit kat Air Keroh Melaka. Kalau pengalaman naik bas, memang ada. Kalau balik dari asrama, bas Labu Sendayan jadi pilihan satu saja. Masa tu zaman lapan puluhan...naik bas yang menyeronok ialah dari bandar Melaka ke Seremban, ikut jalan persekutuan, Alor Gajah, Tampin, Kota, Rembau, Seremban...lepas sambung bas Foh Hup...sah sampai rumah matahari dah nak turun.

Kalau Hisyam tulis memoir pasal Negeri, memang akan diikuti, walau berapa banyak epiloknya...sebab, sedikit sebanyak merangkumi zaman Tanah Airku diambang ditelan oleh tsunami pembangunan...masih ada hutan semak belukar yang menjadi misteri sesuatu tempat. Bila ditembang bangun, sama ada buat rumah atau kedai, maka tinggal jadi kenangan kemisterian tempat tersebut.

Tanpa Nama berkata...

Sukan sudah jadi macam politik, mengikut kuota sampai hancur, bukan lagi ikut semangat sukan, semua pakai duit, macam mana nak maju, glamournya sekejap sampai individu yang kuat bidang sukan dipinggirkan pakai kuota, kaum agama sampai kena import Afrika orang putih ajar naik balik sukan, tak kira lah sukan apa, zaman wang kuasai semua sistem kapital keuntungan diutamakan hancur hancur kah kah