Ismail Sabri dapat perintah injunksi sementara terhadap Lokman Adam
MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, mendapatkan injunksi sementara terhadap Lokman Noor Adam dalam saman berhubung dakwaan kenyataan berunsur fitnah menerusi media sosialnya.
Peguam Ismail Sabri, Ragunath Kesavan berkata Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh membenarkan injunksi sementara itu sehingga mahkamah mendengar dan memutuskan permohonan injunksi inter-parte (kedua-dua pihak) pada 29 November ini.
“Mahkamah mengarahkan defendan (Lokman) dan plaintif (Ismail Sabri) memfailkan afidavit balas masing-masing pada 11 pada 25 Oktober. Kedua-dua pihak juga perlu memfailkan hujahan bertulis sebelum 8 November manakala hujahan balas sebelum 22 November,” katanya kepada media selepas prosiding secara maya hari ini.
Pada 12 September lalu, Ismail Sabri memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi supaya Lokman dengan serta-merta memadamkan kesemua video yang didakwa memfitnah perdana menteri di akaun media sosial.
Mahkamah mengeluarkan perintah injunksi memaksa defendan mengeluarkan video bertajuk “Bila Presiden Umno Panggil Tak Datang! Tapi PM Ada Masa Jumpa Mahathir – Lokman Adam”, yang dimuat naik di akaun Youtube, Facebook, Instagram dam TikTok milik defendan.
Mahkamah juga mengeluarkan perintah injunksi untuk menghalang Lokman, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, sama ada secara sendiri, ejennya daripada membuat kenyataan yang serupa di media sosial atau apa-apa laman web lain milik defendan.
Ismail Sabri, 62, yang juga naib presiden Umno selaku plaintif memfailkan saman itu atas kapasiti peribadinya menerusi Tetuan Kesavan pada 8 September lalu dengan menamakan Lokman, 49, sebagai defendan.
Beliau berkata kenyataan berniat jahat, fitnah dan tidak benar berkenaan plaintif dimuat naik menerusi empat akaun media sosial milik defendan iaitu YouTube “Lokman Adam”, Facebook “Lokman Noor Adam Official”, Instagram “lokmannooradam” dan TikTok “datoklokmanadam”.
Menurutnya, kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud plaintif berjumpa dengan Dr Mahathir Mohamad dan merancang atau berniat untuk merancang dengan bekas perdana menteri itu serta parti politik lain yang bertentangan dengan Umno untuk kekal sebagai perdana menteri dengan membelakangkan dan mengkhianati parti itu.
Ismail Sabri berkata beliau tidak pernah berjumpa Dr Mahathir dan parti lain dengan membelakangkan atau mengkhianati Umno untuk terus kekal sebagai perdana menteri.
Pada 1 September lalu, Lokman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua tuduhan membuat hantaran jelik terhadap kerajaan dan Ismail Sabri. – Bernama, 26 September, 2022.
2 ulasan:
Pemimpin kena jiwa besar, kalau anjing menyalak, ITU perangai anjing, naluri menyalak, tak akan nak salak anjing balik ? Kenapa buang masa layan Lok Aman ini seekor ini? Kan dia budak suruhan orang tertentu kah kah kah Tuan Anjing suruh menyalak, dia pun menyalak lah, bukan cerdik pun kah kah buang masa PM nak relax did New York, shopping did Dubai, alasan nak jumpa Tok Arab, senang cerita lah, buat satu program urusan rasmi saja kah kah kah
Mael Bera vs Lokman Adam ..ni biar betol. Teringat gwa riwayat Pak Pandir yg hathir kelas dewasa ..bila Cikgu tanya Pak Pandir, kalau di bagi peluang naik roket, Pandir nak ke planet atau bintang mana ..kata Pandir dia nak terbang ke matahari ..Cikgu ckp "panas tu .." ..Pandir jwb .."poey waktu malam la .." ...kahkahkah ..
Catat Ulasan