AGAMA BARU
DAN
TUHAN BARU
Sabar dulu biar saya terangkan. Benarkan saya melebar pencerahan.
Minggu lalu saya telah membuka wacana perbincangan tentang teknologi dan tamadun manusia yang dibawa oleh Revolusi Industri.
Saya mengakui bahawa saya ini warga Gatek : Gagap Teknologi. Walau pun saya gagap teknologi tetapi saya memahami apa sedang berlaku. Kegagapan saya tidak menghalang saya untuk memikir , menganalisa dan merungkai teknologi.
Revolusi Industri Pertama umat manusia berlaku pada tahun 1765 di Manchester dan Liverpool. Revolusi ini berasakan kuasa air dan kuasa wap yang menghidupkan injin.
Revolusi Industri Ke Dua pada tahun 1870 dengan penemuan elektrik yang berupaya mengeluarkan produk berganda-ganda. Revolusi Industri Ketiga bermula pada tahun 1969 dengan kuasa elektronik dan tenaga nuklear.
Tiga Revolusi Industri awal telah memangkin kelahiran Revolusi Ke Empat pada tahun 2000. Revolusi Industri Ke Empat ialah Revolusi Internet yang kita alami sekarang. Kini Internet telah wujud lebih dari dua dekad. Kesan dan dampaknya sedang kita alami.
Setiap kali revolusi industri ini berlaku dunia kita akan berubah. Perubahan berlaku dalam segi sosial, ekonomi dan budaya antara kita sesama umat manusia.
Tidak ada sesiapa yang dapat menafikan fakta ini.
Malam ini jika Hang Tuah dan Hang Jebat bersilat di Istana Negara pasti mereka akan menggunakan pistol atau M16. Ini hakikat.
Dang Wangi akan membawa Jebat ke hospital dengan menaiki Proton Saga untuk mendapat rawatan doktor pakar.
Dunia berubah. Tamadun muncul berkembang dan runtuh. Perubahan sentiasa berlaku. Ketika saya menulis ini pelbagai perubahan sedang terjadi. Selesai pembaca membaca tulisan beribu perubahan telah mengambil tempat.
Pada satu ketika dahulu para Nabi dilahirkan di Timur Tengah. Para Nabi dari Timur Tengah datang membawa agama untuk pencerahan umat manusia.
Ada Nabi bernama Zaroaster, Musa, Noh, Isa atau Muhammad. Para Nabi memperkenalkan agama baru. Ada agama bernama Hindu, Yahudi, Zoroastrian, Kristian atau Islam.
Agama-agama yang dibawa oleh para nabi ini memperkenalkan konsep Tuhan Yang Maha Esa kepada umat manusia. Ada tuhan dengan nama Vishnu , Yahweh, Jehovah, Elohim, Allah, Ahura Mazda atau Shiva
Hari ini semua telah berubah . Bulan berganti tahun. Tahun menjadi dekad. Dekad berganti kurun. Kurun berganti abad. Perubahan berlaku.
Ribuan tahun dahulu para Nabi dilahirkan di Timur Tengah. Para Nabi hari ini dilahirkan di Silicon Valley dan di Bangalore.
Nabi-nabi baru ada yang bernama Bill Gates, Marc Zuckerberg, Steve Job, Brijendra K Syngal atau Elon Musk.
Agama baru ini bernama Data. Nama tuhan agama Data ialah Algoritma.
Agama Data sedang tersebar melalui Facebook, Blog, Twiteer, Instagram, E-mail, Telegram atau Tik Tok.
Penemuan saya dengan Data - agama baru ini berlaku secara tidak sedar. Saya telah terserempak dengan agama Data secara tidak sengaja. Pertemuan saya dengan tuhan yang bernama Algoritma juga tidak dirancang.
Dua tahun dahulu saya merancang hendak melawat Pulau Pinang. Saya mencari hotel atau rumah tumpangan yang membenarkan saya membawa anjing peliharaan saya.
Saya bertanya dan mencari maklumat hotel ini melalui Google. Saya temui beberapa hotel. Saya jangka pertanyaan saya akan tamat disini sahaja. Rupa-rupanya tidak.
Apabila saya membuka Facebook ( FB ) terpampang iklan beberapa buah Hotel Pulau Pinang. Malah muncul juga iklan hotel-hotel lain di Siam, di Langkawi dan di Eropah.
Saya merasa takjub kerana iklan hotel ini muncul dengan setia untuk beberapa hari dalam FB saya.
Tidak setakat FB - bila saya membuka E-mail ada beberapa iklan hotel terselit sama.
Jelas terbukti Internet ini telah menyempurnakan keberahian saya yang ingin pergi bercuti.
Algoritma telah membaca niat saya. Belum sempat saya berdoa Tuhan ini telah memberi jawapan.
Pernah satu hari saya berbual dengan seorang kawan melalui telefon bimbit. Saya memasang niat untuk membeli basikal. Saya bertanya dengan kawan saya yang lebih arif dalam hal kayuh mengayuh.
Tidak saya menyangka perbualan di waktu malam dengan kawan saya itu telah menjemput iklan basikal muncul dalam FB saya esok paginya.
Jelas Internet telah mendengar niat saya. Data dan Algoritma kini betul-betul menjaga apa saja niat dan keberahian saya.
Jelas disini Data dan Algoritma ini sedang mengawal dunia kita setiap detik setiap hari. Segala data setiap sosok dalam dunia ini di kumpul.
Dalam Islam ada Raqib dan Atid yang mengumpul dosa dan pahala.
Algoritma ada FB, Twiteer, Tik Tok E-mail untuk mengumpul apa saja maklumat kita dengan tekun tanpa silap atau salah. Tuhan ini tahu buku apa yang kita baca. Tuhan ini tahu isi surat cinta yang telah kita hantar melalui e-mail.
Data terus mengumpul.
Tuhan ini tahu jenis makanan apa yang saya suka. Restoran mana yang saya langgani. Dengan siapa saya makan. Dan berapa jumlah kemampuan saya berbelanja di restoran.
Data juga memberi khidmat bakti.
Justeru saya akan beri ingatan melalui FB bahawa lagi dua hari kawan saya Si Polan dan Si Polan akan menyambut hari jadi. Kali pertama maklumat ini sampai kepada saya agak memeranjatkan. Kini telah menjadi kebiasaan.
Algoritma telah memberi tugas kepada FB, E-mail, Twiteer, Tik Tok, Kad Kredit, Kad Tol untuk mengumpulkan semua data mengenai Hishamuddin Rais.
Apa yang telah saya masukan ke dalam FB semua di rakam. Tarikh, waktu atau gambar yang telah saya pos dalam FB akan dicatat untuk dirakam dan di simpan dalam arkib.
Sesekali Algoritma akan mengeluarkan pada tarikh yang sama apa yang pernah saya pos kan dalam FB 10 tahun dahulu.
Aduh ! Algoritma lebih berjaya merakam dan mengingati perbuatan saya. Hishamuddin Rais sendiri tidak dapat mengingati apa yang Hishamuddin Rais pernah lakukan. Amin.
Algoritma memiliki kuasa ingatan yang tidak pernah dimiliki oleh manusia. Ingatan Algoritma ini tidak pernah salah. Apa yang dipungut oleh data maka itulah yang akan di kumpulkan.
Tidak ada rahsia antara kita dengan Algoritma. Masuk portal lucah semua akan di rakam. Masuk portal mencari ganja – ini juga dirakam. Dalam agama Data tidak ada yang menjadi rahsia antara kita dengan tuhan yang bernama Algoritma.
Satu zaman dulu kalau hendak mencari jodoh teman hidup yang berkekalan pelbagai cara dilakukan. Ada keluarga yang akan menggunakan khidmat bomoh dan pawang. Ada yang menggunakan hari tarikh lahir. Menilik bulan dan bintang.
Tahun 2022 bomoh , dukun dan tukang tilik nasib tidak perlu.
Kita boleh mencari jodoh dengan sekelip mata. Caranya cukup senang. Ada seribu satu jenis laman yang menyediakan ruangan Jantan Cari Betina, Perempuan Cari Lelaki, Jantan Cari Lelaki atau, Perempuan Cari Betina.
Semua keberahian akan diurus. Tepuk dada tanya seluar dalam. Tepuk seluar dalam tanya dompet.
Agama Data tidak ada konsep dosa dan pahala. Tidak ada hidup sesudah mati. Tidak ada halal dan haram. Tidak ada neraka dan syurga.
Justeru semua keberahian seksual akan disediakan untuk semua jenis manusia.
Hakikatnya walau pun tanpa kesedaran para penganut agama Data ini sedang beriman dan beramal.
Kalau agama Islam mewajibkan bangun pagi bersembahyang Subuh. Untuk agama Data penganut yang setia akan bangun pagi terus melihat telefon untuk membaca whatapps.
Iman penganut agama Data ini cukup kuat. Amalan untuk menyembah Algoritma tidak berhenti-henti. Malah di mana sahaja berada Algoritma ini akan disembah.
Saya selalu ternampak satu keluarga yang permai sedang makan dalam restoran. Walau pun sedang duduk makan bersama anak beranak suami isteri pasti telefon bimbit di tangan, mulut mengunyah mata terus berhubung dengan Algoritma.
Jangan ketawa. Penyembah agama Data ini ketika terberak pun akan menyembah Algoritma.
Apa yang saya paparkan ini hanya permulaan ciri dan watak agama Data. Revolusi Industri Ke Empat baru bermula. Data masih di kumpul. Algoritma sedang menyusun.
Tetapi awas ! Data dan Algoritma pada awalnya telah berjaya melahirkan robot.
Robot adalah besi dan plastik yang boleh bergerak. Agama baru dan tuhan baru telah melintasi zaman robot. Data dan Algoritma sedang merancang untuk melahirkan manusia yang berbiologikan manusia.
Apa? Manusia lahir tanpa jantan dan betina bersanggama ? Mustahil ini akan berlaku.
Tidak mustahil. Ini kerana agama Data dan Algoritma sedang menyediakan Kecerdasan Buatan (KB) – Artifical Intelligence (AI)
Apa dia KB? Apa dia AI ? Sila tunggu minggu hadapan. (TT)
TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL MALAYSIAN INSIGHT
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/419587
Tiada ulasan:
Catat Ulasan