Restoran bayar gaji lebih bimbang pekerja lari waktu Tahun Baharu Cina
RESTORAN Cina dilaporkan menawarkan gaji yang sangat menarik untuk pekerja tetap dan sambilan agar mereka tidak lari ketika industri bersedia mengaut keuntungan menjelang Tahun Baharu Cina.
Kadar upah bermula daripada RM8 sejam dan boleh mencecah sehingga RM12, menurut sumber industri.
Kadar itu dilaporkan dua atau tiga kali ganda lebih tinggi berbanding pada waktu biasa.
Restoran di Johor dilaporkan mengalami kekurangan pekerja lebih daripada mana-mana negeri lain kerana dolar Singapura menarik mereka untuk bekerja di republik tersebut.
Sebuah restoran Singapura, Dian Xiao Er, dikatakan menawarkan S$36 (kira-kira RM116) sejam kepada kakitangan sambilan mereka yang bekerja pada malam Tahun Baru, hari pertama, kedua dan ketujuh Tahun Baharu Cina dan Pesta Tanglung, menurut laporan media.
Kadarnya ialah S$24 (kira-kira RM77) untuk bekerja dari hari ketiga hingga hari ke-14 tahun baharu.
Restoran di republik itu telah memikat pekerja Malaysia yang berpengalaman sejak tiga bulan lalu, menurut industri.
Presiden Persatuan Dapur Johor Ang Swee Kiong memberitahu The Malaysian Insight restoran di Johor kini dibebani dengan kekurangan pekerja sejak sekatan pergerakan Covid-19 dan perjalanan rentas sempadan ditarik balik awal tahun ini.
“Industri makanan dan minuman, dan katering telah kehilangan ramai pekerja yang hijrah ke Singapura,” kata Ang.
“Jadi tidak dapat dielakkan, wujud kebimbangan yang kekurangan pekerja akan jadi lebih teruk semasa tahun baru di mana restoran berharap untuk membuat keuntungan sebanyak mungkin bagi menebus kembali kerugian yang ditanggung semasa pandemik.”
Tahun baharu Cina yang akan datang ini juga akan menjadi tahun baharu pertama yang disambut tanpa sebarang sekatan. Ia jatuh pada 22 Januari, 2023.
Ang berkata beberapa restoran terpaksa berunding dengan pekerja mereka mengenai “gaji tahun baharu” tiga bulan lalu agar dapat halang mereka berhenti kerja.
Kekurangan itu menyebabkan restoran tidak kisah mengambil suri rumah sebagai pekerja sambilan memandangkan kesukaran mengambil pekerja asing.
Menawarkan gaji yang menarik nampaknya telah membuahkan hasil untuk restoran makanan laut Xin Yang di Batu Pahat.
Pengarahnya, Tan Boon Guan berkata, beliau tidak bimbang kerana restorannya ada kakitangan yang mencukupi untuk musim yang sibuk nanti.
“Selagi anda jaga keselesaan pekerja, anda tidak perlu risau tentang kekurangan pekerja. Penting melayan mereka dengan bagus,” kata Tan.
Tambahnya restorannya sudah penuh ditempah untuk Tahun Baharu Cina, jadi beliau akan tingkatkan jumlah pekerjan sebanyak 30 peratus mulai malam tahun baharu.
Kebanyakannya adalah pelajar yang mencari wang tambahan dan pekerja sambilan. – 15 Disember, 2022.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan