Khamis, 22 Disember 2022

KOLEJ KELIMA AKU SAMPAI



KOLEJ KELIMA

 AKU SAMPAI


Aku masih ingat lagi petang Ahad 7 Februari 1971  Pak Cik  Amjal memandu kereta hijaunya untuk  membawa aku  ke Kolej Kelima Universiti Malaya (UM). 

Emak , Abah dan anak buah aku Norita dan Atan menemani aku.  Tiga tahun dulu Pak Cik Amjal  jugalah yang membawa aku ke MCKK. Kali ini  dia membawa aku   ke Kolej Kelima Universiti Malaya.

Ini kali pertama aku masuk ke dalam kampus   Universiti Malaya. Mata aku terbuka luas – memerhati dan merakam. Melihat bangunan, pokok, dahan , rimbunan buluh  dan wilayah yang akan menjadi laman permainan aku.

Kolej Kelima tersorok di sempadani oleh hutan belukar ,  ladang sawit dan  kebun buah-buahan. Asrama terbaru di UM. 

Terdapat   Dewan Besar dua tingkat. Bahagian atas Dewan Makan dan Pentadbiran. Bahagian bawah  berdinding kaca  dengan kerusi empok sebagai bilik rehat dan bilik membaca  akhbar. 

Di tepi dewan ini aku nampak ada  meja pendaftaran yang dikendalikan oleh beberapa pelajar. Aku mendaftar.

 Aku lihat  ramai pelajar lama  telah sampai.   Pelajar lama  kelihatan  relak dan bising dengan gelak ketawa. Manakala  aku – freshie -  pelajar baru  masuk  masih tercari-cari. 

Depan  Bangunan  Utama  ada dataran bersimen dan bertangga. Dataran ini dikelilingi oleh  lima blok asrama empat tingkat. Blok A, B, C. D dan E. Blok A dan B khusus untuk pelajar perempuan.


Bilik aku nombor 306 di Blok C.

Satelah aku mendaftar dan mendapat kunci bilik kami naik ke Dewan Makan.

Makan malam sedang dalam persediaan. 

‘ Ada masak cara Melayu.. ada masak Cina... semua halal....’ Emak aku bersuara. 

‘ Acik malam ni  gulai ayam....’ Norita anak buah aku yang ternampak tukang masak sedang memotong ayam di dapur.

Emak aku seperti biasa berbual panjang dengan Mak Cik tukang masak. Dari perbualan ini  Emak aku dapat maklumat sistem masakan Kolej Kelima.

Pada tahun 1971 aku datang ke UM  dengan beg kanvas  berwarna  hijau. Ini beg askar milik Abah aku.  Tak banyak barang yang aku bawa.  Sehelai towel  mandi, kain sarung, tiga seluar panjang,  empat helai baju kemeja, dua helai baju T sepasang kasut kulit dan selipar Jepun. 

Aku tidak membawa buku bacaan. Yang aku bawa  hanya sebatang pen dakwat kering dan dua keping buku latihan.  Aku telah biasa  dalam hal pindah randah  dan duduk di asrama. Pengalaman mengajar aku  untuk  berpindah ringan.

Satelah meninggalkan barang dalam bilik C 306 aku mengikut keluarga kembali ke Warung Amjal di Jalan Pantai tidak jauh dari pintu masuk ke UM. Di sana kami berpisah.

‘ Belajar elok-elok..’ Abah aku yang tak banyak cakap memberi ingatan.

Aku menapak kembali masuk ke Kolej Kelima.

Di dewan makan  semua ‘freshie’  diberitahu sesudah makan  wajib berkumpul di dataran depan dewan makan. 

Malam itu Minggu Orientasi Koleh Kelima bermula. Orientasi  juga bukan satu yang baru untuk aku. Di MCKK  freshie diwajibkan memakai tali leher selama dua minggu. Di Kolej Kelima kami juga wajib memakai tali leher selama dua minggu.

Jawatankuasa Orientasi dan para senior memperkenal diri. Ada  Kutubudin, Shah, Joe, Tengku Muhamad, Ah Chai dan Kuldip Singh, Gerry Lim,  Ikram dam Harbachan Singh.  Anak semua bangsa dan bangsa semua agama.

Aku senang sekali kerana aku kembali ke dunia  Jelebu  yang bukan dunia MCKK dimana  semuanya jantan Melayu.

Paling menarik ada freshie siswi sama beratur pada malam itu. Mata aku  mula memberi perhatian. Ini perkara baru untuk mata aku yang selama ini hanya melihat jantan, jantan dan lelaki.

Malam itu kami diajar lagu anthem  Kolej Kelima:

We are fifth collegian
Mighty fifth collegian
Where ever we go 
People want to know
Who we are
So we tell them 
We are fifth collegian

Lagu Kolej Kelima ini mengingatkan aku kembali kepada anthem MCKK:
Bung wak wak
Bung keh kek
Who are we
Malay Collge 
Can’t you see

Lagu-lagu genre ini  sekali pandang mungkin ditakrif sebagai perkara enteng. Tapi dari sudut saikoloji lagu-lagu ini menanamkan semangat cinta dan setiakawan.

Malam pertama di UM aku telah  mendengar perkataan ‘ fuck ‘  dan  ‘ cibai’ keluar dari mulut para senior yang sedang mengorientasi kami.

Pada malam ini juga aku berkenalan dengan Adi Satria, Hamzah Ros, Gan, Yong Yuet Yuan, Nordin,  Mubarak Husin , Papa Mus   dan John Zainal Carrey. 

Pada malam itu  juga pertama kalinya aku ternampak Khaton, Suraya, Fareeda, Zaleha, Raja  Norani, Siti Hawa, Habibah, Regina Maniam, Yok  Ju.
 
Selesai pengenalan aku pulang ke bilik C 306.  Teman sebilik aku ialah Seng  freshie Sains dari Ipoh.

‘ Hai romate....’Aku bersuara dan menghulur tangan.

‘Isham from Jelebu.... Seremban...’ Aku menambah.

‘ Seng... from Ipoh... Anderson School... ‘ Kami bersalaman. 

Awalnya aku merasa agak kekok sebilik dengan anak muda Cina dari Ipoh ini.  Kekok ini bukan kerana aku tak pernah tidur sebilik dengan anak Cina.  Lee Keong kawan aku dari Jelebu adalah anak Cina.

Malam itu aku merasa janggal kerana pertamanya tidur di bilik  baru. Kedua aku belum kenal dengan Seng. Kami baru sampai belum  sempat bersuai kenal.
Dari apa yang aku difahamkan  dasar rakan sebilik wajib bangsa asing ini adalah  dasar yang dikuatkuasakan oleh Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM).

Kami generasi kedua pasca Mei13 diwajibkan sebilik dengan yang berlainan bangsa. Ini untuk memastikan silaturahim terjalin kembali sesudah berlakunya tragedi 13Mei.

Senin esoknya aku ke Dataran Sastera. Aku  mendaftar sebagai pelajar Fakulti Sastera. Aku mengambil mata pelajaran Sejarah, Bahasa Cina, Pengajian Melayu, Sosiologi Antropologi  dan  Sastera Inggeris. 

Disini aku bertemu kembali dengan kawan-kawan Budak Koleq. Hamid Samad  budak Kota Tinggi  menjadi residen Kolej Ke Dua. Baharuddin dari Tangkak menjadi residen Kolej Keempat. Yang lain menginap  di luar menyewa rumah secara berkumpulan.

Mereka yang duduk di luar di kenali sebagai  Non Hostelite  Organisation (NHO) Mereka  bebas dari  Minggu Orientasi.

Minggu Orientasi berjalan rancak. Setiap malam ada saja aktiviti yang dijalankan. Kalau tidak menyanyi, kita berjoget. Jika tidak berjoget kita bersukan. 

Ragging  berjalan dengan penuh lawak ketawa. Yang ketawa para senior . Yang  menjadi bahan ketawa para freshie.

Sekali imbas ragging ini dilihat buang masa dan agak bodoh tetapi dari  dua minggu orientasi  inilah lahirnya  setia kawan dan solidariti kesetiaan terhadap Kolej Kelima.

Identifikasi diri muncul terutama bila kami bersukan.  Pasukan   Kolej lain kami anggap musuh.

Musuh ketat Kolej Kelima ialah Kolej Kedua.  Dalam bidang sukan kami sering bertempur semenjak dari  minggu orientasi. Bola, badminton, ragbi, takraw  - kami akan bersaing hangat. 
 
Minggu pertama berakhir. Masuk minggu ke dua  JKK Orientasi membuat pengumuman untuk melawat Kilang  Harimau  di Shah Alam. Aku dengan serta merta mendaftar.  Dari  hikayat Kolej Kelima lawatan ke Sarang Harimau ini menjadi satu yang amat menarik.

Bas pendek milik PMUM datang pada petang Sabtu itu.  Separuh dari rombongan  ini adalah para  senior dan ahli JKK Minggu Orientasi. 

Petang itu yang menjadi  Tok Penghulu melawat Sarang Harimau ialah Kuldip Singh. Kuldip telah beberapa  kali  datang melawat kilang ini.

 ‘ Beer  is good for digestive..... but not too much... a glass of beer sama dengan 6 buku roti...’ Kuldip menerangkan   ketika dalam perjalanan dari kampus ke Subang.

Aku terperanjat bila sampai kami disambut oleh S. Roomai Noor  Pegawai Perhubungan  Awam.

 Sosok ini aku kenal. Pelakon filem Merayu  dari Cathay Keris Filem Production. Aku kenal wajahnya kerana aku selalu menuntun gambar Melayu di Ruby Thaeter Kuala Klawang.

Aku tidak menyangka dapat bertemu dan bersalaman dengan S. Roomai  Noor dalam kilang Harimau.

Di dinding bilik tamu ada lukisan mural sejarah beer. Baru aku sedar bahawa beer ini adalah penemuan warga Arab Mesir ribuan tahun dahulu. Dari zaman Firaun lagi beer telah diminum.

Justeru al-cohol  dan beer dari  perkataan Arab.
Kami dibawa melawat kilang. Kami diberi penerangan tentang bijirin yang diperlukan untuk membuat beer.

Kami juga diberi tahu bahawa air untuk  pembuatan  Harimau ini berpunca dari Sungai Klang.

Babak akhir samapi.Kami di rayakan dengan  minuman Harimau yang baru selesai ditapaikan. Berjag-jag air  Harimau sampai dibawa oleh penyambut tamu.

Baru  aku faham kenapa Kuldip Singh telah beberapa kali  datang melawat Sarang Harimau.  Ada minuman beer percuma.

Sambil minum Harimau aku teringat kembali babak aku kena rotan di MCKK keran minum beer. 

Kini aku seorang mahasiswa tidak ada larang yang tidak akan  aku langgar. Di UM tidak ada prefect yang akan menangkap aku. Tidak ada Guru Besar yang akan merotan aku.

Seperti kata Cik Gi Ibrahim yang sama mengajar dengan  Ck gu Zaleha  ‘... Isham ... di universiti ini tempat bebas...’ (TT)  


TULISAN INI JUGA DISIARKAN
DALAM PORTAL MALAYSIA NOW
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2022/12/22/kolej-kelima-aku-sampai


Tiada ulasan: