TITAH , RETORIK
DAN
REALPOLITIK
Ramai masih kurang faham. Ramai warga tertanya-tanya. Ramai masih ragu-ragu tentang kerajaan hari ini.
Keadaan ini memaksa Menteri Penerangan Fahmi Fadil untuk berkata ‘....pengisytiharan Anwar sebagai Perdana Menteri dibuat Yang di-Pertuan Agong selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Raja-raja Melayu di Istana Negara pada minggu lalu...’
Satu kenyataan Menteri yang amat jelas.
Hakikatnya kata-kata Fahmi ini membuktikan kerajaan hari ini adalah Kerajaan Titah. Yang Di Pertuan Agong yang mewakili Raja-Raja Melayu bertitah agar didirikan kerajaan perpaduan. Khalas.
Selepas Titah Agong maka meloroh masuk pelbagai gabungan parti politik mahu berpayung di bawah Pakatan Harapan. Semua gabungan parti politik di Semenanjung Sabah dan. Sarawak akur dengan titah Agong.
Justeru dengan Titah Agong – kun fiya kun - Anwar menjadi Perdana Menteri Ke X. Dengan Titah akhirnya Anwar berjaya mendapat jumlah angka yang melintasi 112 ahli parlimen.
Tanpa Titah Agong – ramai tidak yakin dan tidak pasti apakah Anwar akan dapat melintasi angka 112. Kesangsian ini wujud kerana terlebih awal Pengerusi Perikatan Nasional Muhyidin Yasin telah klim yang PN telah memiliki 115 YB.
Suasana klim mengklim ini timbul satelah selesai PRU15 timbul. Keadaan ketika itu dipanggil Parlimen Tergantung. Jalan keluar yang terbuka ialah menerima Titah Raja-Raja Melayu.
Justeru ini Kerajaan Titah.
Selain dari Kerajaan Titah saya juga mentakrif dan memanggil kerajaan ini sebagai Kerajaan Gaya Hidup – life style goverment.
Kenapa saya memanggil ini Kerajaan Gaya Hidup?
Ini kerana jika kerajaan campuran Pakatan Harapan dan Barisan Nasional dan gabungan parti dari Sabah dan Sarawak ini tidak didirikan maka gaya hidup kita di Malaysia akan dipaksa untuk diubah.
Saya bukan Arab saya Melayu. Saya tidak mahu jadi Arab. Saya tidak meminati kerajaan yang sibuk dengan agenda lepas mati. Saya mahu kerajaan yang tegak berdiri di bumi nyata. Kerajaan yang sibuk dengan soal kehidupan hakiki di bumi yang nyata. Bukan ilusi. Amin.
Justeru pada tahap persejarahan negara bangsa kita hari ini saya merayakan Titah Raja Raja Melayu. Monarki kita tidak mahu gaya hidup kita rakyat Malaysia diubah untuk menjadi budaya Arab. Amin.
Tetapi bila Anwar mengumumkan senarai jemaah menteri – satu Malaysia terperanjat.
Kenapa terperanjat ?
Orang ramai – kecil besar tua dan muda - terperanjat apabila Zahid Hamidi di lantik menjadi Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Wilayah.
Zahid adalah Presiden United Malays National Organisation. Menduduki kerusi Presiden Parti Ketuanan Melayu bukan satu jenayah. Yang menimbulkan persoalan orang ramai ialah Zahid ada kes di mahkamah. Zahid berhadapan dengan 47 tuduhan. Perbicaraan sedang berjalan.
Hakikatnya Zahid , Guan Eng dan Syed Sadiq adalah contoh ahli-ahli kluster mahkamah yang menang pilihan raya. Mereka ada kes dalam mahkamah yang belum selesai. Mereka berhadapan dengan pelbagai tuduhan.
Justeru mengikut pandangan orang ramai mereka yang ada kes mahkamah ini tidak perlu dilantik untuk diberi jawatan menteri. Amat mustahil menjawat kerusi Timbalan Perdana. Menteri. Siah malaikat empat puluh empat jika ini berlaku.
Tetapi inilah yang berlaku. Zahid menjadi Timbalan Anwar Ibrahim. Amin.
Misalannya jika esok Anwar Ibrahim yang telah menolak naik kereta Mercedes Kerajaan sedang berjalan ke arah Parlimen. Anwar ditakdiri di tembak petir dan mati. Maka Zahid Hamidi akan diangkat menjadi pemangku Perdana Menteri.
Ini namanya realpolitik.
Realpolitik yang di eja dengan huruf K. Kenapa realpolitik di eja dengan huruf K ?
Untuk ini saya wajib memberi pencerahan apakah itu realpolitik dan kenapa dieja dengan huruf K.
Di eja dengan huruf K kerana asalnya perkataan politik dalam bahasa Inggeris di eja dengan huruf C. Realpolitik wajib dieja dengan huruf K kerana perkataan realpolitik berasal dari German.
Konsep dan perkataan realpolitik ini dicipta oleh Ludwig von Rochau ( 1910-1873 ) wartawan dan juga politikus German.
Pada tahun 1853 von Rochau menulis buku yang amat tersohor : Pratical Politics an Appilication of its Principle to the situation of the German States.
Buku yang ditulis pada tahun 1853 ini untuk pertama kalinya memperkenalkan konsep realpolitik.
Contoh terbaik realpolitik : Pada 21 Februari 1972 Nixon Presiden Amerika ke 37 telah sampai ke Bejing. Selama satu minggu Nixon menjadi tamu Mao Zedong pemimpin Agong Parti Komunis China.
Lawatan diplomasi Nixon ini di takrif sebagai realpolitik.
Realpolitik berasaskan perkara yang praktikal. Tanpa berasaskan teori, falsafah , moral atau etika. Kepentingan praktikal yang realistik menjadi panglima realpolitik.
Realpolitik ialah untuk kepentingan politik yang hakiki. Kepentingan politik yang tulen.
Contoh ke dua terbaik berlaku pada hari Jumaat 2 Disember 2022 di Kuala Lumpur : Anwar Ibrahim PM X Malaysia mengangkat Zahid Hamidi untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Wilayah.
Anwar melantik Zahid atas kepentingan realpolitik. Tidak ada heh tidak ada huh. Tidak perlu ayat tidak perlu hadis. Jika Zahid tidak dilantik maka mustahil Anwar akan dinobat sebagai Perdana Menteri X.
Bagaimana pula dengan segala ucapan Anwar tentang reformasi dan menolak rasuah, menentang kleptokrasi dan pelbagai ayat yang indah lagi menarik.
Apakah ini cakap tak serupa bikin. Tidak.
Semua ini bukan cakap tak serupa bikin. Disini kita wajib tahu dan wajib sedar tentang satu lagi jalur politik.
Menolak rasuah. Menolak penyalah gunaan kuasa. Melawan kleptokrasi. Memperjuang keadilan. Melawan kezaliman. Melaungkan dalam bahasa Arab nahi mungkar amal makruf. Berlabun tentang masyarakat madani dan dan dan.... semua ini adalah retorik politik.
Retorik melalui ucapan yang berapi-api ini perlu untuk mengolah persetujuan. Ini strategi semua ahli politik. Mengolah persetujuan orang ramai untuk mendapat sokongan dan undi.
Bukan Anwar sahaja yang beretorik. Hadi, dan Muhyidin dari Perikatan Nasional memberi ucapan yang penuh retorik.
Jangan lupa Donald Trump berjanji : Make America Great Again – Jadikan Amerika Hebat Kembali. Seramai 74 juta warga Amerika mengundi Trump. Rakyat Amerika yakin dengan retorik Trump.
Jadi jangan hairan jika Anwar berkata : ‘ ... malam ini kita menang esok tol hapus.... atau Rafizi berkata ...hari ini kita jadi kerajaan harga minyak akan turun.... kita lawan rasuah.... kita tangkap kleptokrat dan dakwa mereka....’
Semua ini retorik yang selalu kita dengar. Jangan ambil pot semua ini. Ambil sikap masuk telinga kiri keluarkan ke lubang kentut.
Bagaimana pula dengan janji dan manifesto.
Manifesto juga di buat untuk mengolah persetujuan. Dilakar dengan ayat-ayat yang cantik lagi molek. Manifesto ini dasar parti untuk mencari penyokong dan pengundi. Amin
Bagaimana pula dengan ucapan Rafizi : ‘... sayalah orang pertama yang akan menentang kerjasama dengan Zahid....’
Bagaimana pula dengan kata Nik Nazmi: ‘.... mereka yang ada kes mahkamah tidak perlu diberi jawatan...’
Bagaimana pula dengan kata Rafizi : ‘... Perdana Menteri tidak boleh menjadi Menteri Kewangan..’
Terbukti hari ini Zahid yang ada kes mahkamah diberi jawatan Timbalan Perdana Menteri. Anwar Ibrahim PM X menjadi Menteri Kewangan.
Semua bercanggah dengan kata-kata Rafizi dan Nik Nazmi ?
Apakah Rafizi dan Nik Nazmi ini penipu besar ?
Jangan silap faham dan jangan salah tafsir. Rafizi atau Nik Nazmi bukan berbohong. Mereka bukan penipu besar. Bukan mereka terlepas cakap. Mereka bukan menipu. Nik Nazmi dan Rafizi adalah sosok jujur – sejujur Tuan Guru Haji Hadi wakil rakyat Marang.
Tiga ayat ini adalah contoh terbaik untuk kita memaham politik baru bila retorik bertemu dengan realpolitik.
Bila retorik bertemu dengan realpolitik maka retorik sejujur mana pun akan gugur tewas.
Dalam ucapan Rafizi menolak kerjasama dengan Zahid ini sebelum retorik bertemu realpolitik. Bila bertemu realpolitik ucapan, janji dan retorik Rafizi semua masuk bakul sampah.
Realpolitik membuka mata Rafizi. Realpolitik membuka pintu kuasa. Realpolitik berjaya memperlihatkan Rafizi dengan punca kuasa.
Justeru dengan serta merta Rafizi dan Nik Nazmi tunduk kepada realpolitik. Anwar yang lebih licik dan arif telah lebih awal tunduk dengan realpolitik.
Hakikatnya apabila retorik bertemu realpolitik maka dengan serta merta segala retorik, segala janji, segala manifesto akan luncur tunduk dan menyembah kepada realpolitik.
Realpolitik tanpa moral, tanpa ideologi, tanpa falsafah , tanpa etika akan tunduk kepada kuasa. Realpolitik adalah realis. Realpolitik adalah yang benar dan yang maha benar. Tidak ada yang benar dari realpolitik yang membuka pintu kuasa.
Realpolitik juga adalah punca kuasa. Justeru jangan terperanjat apabila realpolitik juga akan membebaskan Najib yang kini dalam penjara Kanjang.
Jika Najib dibebaskan maka retorik Mat Sabu, retorik Gobind Singh, dan retorik Anthony Loke semua akan tercampak masuk ke lubang tandas. Retorik akan akur degan realpolitik yang menjadi punca kuasa. Sama seperti parti politik akur dengan Titah Agong. Khalas.(TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANINSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/415783
2 ulasan:
Yang kalah masih berniat nak berkuasa kah kah kah walau titah walau kehendak YDPA, masih engkar masih derhaka tak kira, dulu sembah sembah ambik pingat pingat di dada, selempang di badan, cium tangan, sekarang dah nak lawan titah kah kah kah apa sebab apa nak lagi? Tak cukup lah harta rompakan selama ini? Kah kah kah
maka apakah inti teras perjuangan ko bro isam...?
adakah kau jugak bidak2 politaik yg mendapat laba?
Catat Ulasan