JUMPA TONGKAT
DAN LATIFF
Aku ingat lagi petang Khamis itu. Aku di jemput untuk menghadiri perjumpaan Kelab Sosialis. Ini pertemuan kali pertama. Kami bertemu di sebuah bilik kecil di Fakulti Sains.
Aku menapak dari Kolej Ke Lima. Tidak ada sapa kawan aku yang tahu bahawa aku dengan bangga telah melamar dan mendaftar untuk menjadi anggota Kelab.
Bila aku masuk ke bilik kecil ini aku ternampak muka Syed Husin Ali, sosok Usman Awang dan sosok Latiff Mohidin. Sosok-sosok ini semuanya aku temui untuk kali pertama.
Selain dari empat Melayu termasuk aku ada lagi beberapa siswa China termasuk Lee Chee Keong yang menjemput aku. Dalam bilik kecil ini hanya Chee Keong yang pernah bercakap dengan aku.
Aku kenal wajah Syed Husin kerana dia pensyarah ilmu Sosiologi di Fakulti Sastera. Aku ada ternampak dia berjalan di Dataran Sastera. Aku kenal muka Usman Awang dan Latiff Mohidin kerana aku membaca Dewan Sastera.
Juga aku pernah lihat gambar Usman Awang dalam akhbar Utusan Malaysia. Usman seorang sasterawan dari Dewan Bahasa Pustaka.
Aku tahu sajak Ke Makam Bonda tulisan Usman Awang. Malah pernah pada tahun 1960 di Sekolah Umum Batu Sarambai Ulu Klawang Jelebu aku mendengar kali pertama Ke Makam Bonda dibacakan.
Sajak ini mahu di dramakan untuk perayaan menyambut Hari Raya. Sambutan Hari Raya ini dibatalkan kerana Yang DiPertuan Agong yang juga Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan mangkat pada 1 April 1960 seminggu sesudah Raya.
Latiff dari apa yang aku baca adalah seorang pelukis dan dia juga menulis sajak. Pada tahun 1971 apa lukisan Latiff aku tidak tahu dan tidak pernah melihat. Sajak Latiff pun belum pernah aku baca.
Pertemuan petang itu bertujuan untuk suai kenal ahli Kelab baru dengan anggota lama. Kami tidak ramai tak sampai lima belas orang.
Pada petang itu aku berkenalan dan bersalaman dengan Heng, Yeoh, Chin dan Ho.
Satelah bersalaman kami bersembang santai. Ada jamuan ringan teh susu, kopi, kuih karipap dan kuih koci.
Chin menjadi tarikan. Semua berkumpul di keliling Chin. Dua bercerita tentang forum Karam Singh dan Tajuddin Kahar yang telah berlangsung. Petang itu aku dengar bagaimana Chin bercerita secara serius sambil berseloroh bila dia ditemui oleh SB.
Special Branch atau SB ini adalah mata-mata gelap tanpa pakaian seragam yang bertugas mengintip.
‘ SB wants to know... who organise the forum....’ Chin menerangkan.
Semua senyap mendengar.
‘ Of course... told him.... I’ve no idea.... ‘ Chin berkata sambil ketawa keran berjaya memperlekeh SB.
Aku tidak hadir dalam forum ini walau pun menyimpan niat hendak mendengar pengalaman Karam Singh dan Tajuddin Kahar dalam penjara tahanan politik.
Cawan teh di tangan dan mulut mengunyah karipap aku merapati Usman Awang yang ketika itu bersembang dengan Syed Husin dan Latiff.
‘ Dari mana. ... ‘ Syed Husin memandang aku dan bertanya.
‘ Fifth College....’ Aku menjawab.
‘ Ibrahim Husin di Fifth College kan...’ Usman menyampuk.
‘ Betul...’ Aku menjawab.
‘ Ungku Aziz... ambil dia jadi pelukis resmi UM...’ Usman menerangkan.
Aku hanya mengangguk.
‘ Latiff kita ini.... baru balik dari German... kalau tidak dia pun boleh melukis....’ Usman menyambung cerita.
Aku tidak tahu pun tentang apa Latiff buat di German dan bila dia pulang dari German. Yang aku tahu Latiff ini budak Lenggeng. Dia melukis poster iklan filem untuk panggung wayang di Seremban. Ini cerita yang aku dengar. Entah betul entah tidak.
‘ Anak Alam macam mana.....’ Tongkat bertanya pada Latiff.
Aku pernah terbaca berita tentang Anak Alam ini. 1971 zaman pop yeah yeah dan hipi. Pesta muzik Woodstock baru selesai pada bulan Ogos 1969. Filem Woodstock masih jadi tontonan.
Aku ingat lagi tahun 1968 Tok Gurun John Lennon yang bernama Maharisihi Yogi telah datang ke Palau Pinang. Ada kereta Rolls-Royce datang menyambut. Pulau Pinang ketika itu menjadi sarang hipi batu loncatan hipi dari Kathmandu dan India singgah sebelum bercanda ke Siam.
Pada hemat aku Anak Alam ini adalah hasil pengaruh hipi, pesta muzik Woodstock dan rock n roll. Rambut Latiff yang panjang , bermisai berjanggut sejemput dengan kemeja coklat lusuh dan seluar jenama meyakinkan aku Si Latiff ini tipikal hipi
Muka Latiff pula ada iras Scott McKenzie (1939-2012) penyanyi lagu San Francisco yang hot pada tahun 1968.
Tertiba aku terbau wangi. Aku cari puncanya. Aku ternampak Usman sedang menghembuskan asap rokok.
Baru aku sedar bahawa Usman ini seorang perokok. Bukan rokok biasa. Aku perhatikan kotaknya. Merah dan bertulis Gudang Garam. Usman Awang pada petang itu bertanggung jawab mempertemukan aku dengan Gudang Garam.
‘ Tongkat.... we have to go....’ China dan Ho meminta diri.
‘ You call him Tongkat....’ Aku bertanya pada Chin.
‘ Inilah Tongkat Waran.... geng Singapura dia tak pernah panggil dia Usman.... semua panggil Tongkat.... ‘ Latiff menerangkan .
Aku tahu Tongkat Waran ini nama pena Usman Awang. Aku tak sangka ada ornag memanggil dia Tongkat.
Petang itu aku merasa gembira kerana secara resmi aku telah diterima menjadi anggota Kelab. Petang Khamis itu juga aku berbangga kerana dapat berkenalan dan berbual untuk pertama kalinya dalam hidup aku dengan Usman Awang, Latiff dan Syed Husin.
Aku terfikir juga kenapa Usman Awang dan Latiff datang ke jamuan teh Kelab Sosialis. Pertanyaan ini tidak aku tanyakan kepada sesiapa pun.
Aku membuat rumusan peribadi bahawa Tongkat Waran dan Latiff Mohidin adalah penganut fahaman sosialis.
Syed Husin ahli Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM). Tongkat dan Latiff bukan orang parti. Jika tidak menganut fahaman sosialis kenapa mereka hadir dan dijemput datang ke jamuan Kelab Sosialis UM 1971. Justeru , pada hemat aku mereka ini pasti penyokong PSRM.
‘ Nak baca buku apa .. saya nak baca buku sosialis..’ Aku murid tahun pertama bertanya kepada Syed Husin tentang buku yang perlu aku baca untuk memahami ideologi sosialisma.
‘ Datanglah ... ke pejabat... ada buku boleh pinjam dan baca.....’ Syed Husin mempelawa aku.
Petang Khamis itu aku merasa puas hati. Bukan saja dapat makan kuih koci dan karipap malah dapat berkenalan dengan Tongkat dan Latiff.
Lewat petang Sabtu kuliah telah selesai. Waktu bersukan. Aku terserempak dengan Papa Mus siswa Ekonomi di Dewan Makan. Papa Mus siswa dari Ipoh ini juga pernah bercerita dengan aku tentang Ahmad Boestamam. Maka aku rasa dia bersimpati dengan garis kiri.
‘ Mari kita ronda tepi tasik...’ Papa Mus mengajak aku merayap ke tepi Tasik di hadapan Kolej Ke Dua.
Kami menapak menuju ke arah Tasik. Tidak ada apa yang menarik di tepi Tasik. Kemudian kami mengelencong ke Dewan Tunku Cnaselor.
‘ Mari ke Dataran Sastera... aku nak cari opis Syed Husin...’ Aku memberi cadangan kepada Papa Mus. Dia tidak membantah.
Kami melintas fakulti Sains sampai ke depan Library. Kemudian melintas di hadapan Sudut Pidato.
Sudut Pidato tangga batu tiga tingkat terletak di hadapan Library di antara lima batang pokok rendang.
‘ Ini saja Speaker Corner....aku ingat apa.. ‘ Pap Mus bertanya dan menjawab sendiri.
Ramai pelajar baru masuk UM akan terperanjat apabila melihat tangga batu ini. Ianya tandas kebebasan bersuara bukan hanya di Universiti Malaya malah ianya telah terakam dalam sejarah perjuangan pelajar.
Pelajar baru terperanjat bila melihat kerana beritanya yang gah dalam laporan akhbar. Walhal ianya hanya tangga batu tiga tingkat.
Dataran Sastera kosong. Kami menapak ke bangunan pejabat tenaga pengajar. Bilik bilik kecil yang ada nama pensyarah tertulis. Aku mencari nama Syed Husin Ali.
Di tengah tingkat tiga aku jumpa pejabat t Syed Husin Ali. Namnya tertelus di dinding pintu.
‘ Ok... dah tahu...’ Aku bersuara.
Senin lepas kuliah jam 10 pagi aku memanjat tangga ke pejabat Syed Husin Ali,. Aku mengetuk pintu. Syed membuka pintu,.
‘ Saudara... sapa nama...’ Syed bertanya.
‘ Isham dari Fifth College.. datang nak pinjam buku...’ Aku menjawab.
‘ Ya...’ Syed Husin membongkok ke belakang mencari buku di rak buku di belakang kerusi. Dia membelek-belek beberapa buah buku. Dia memilih yang sesuai untuk aku baca.
‘ Yang ini dulu.. baca yang ini...’ Syed menghulurkan buku The Essential Left.
‘ Terima kasih....’ Aku sambut dan membelek buku itu.
Buku The Essential Left yang mengandungi tulisan Marx, Engels dan Lenin. Buku ini tidak tebal hanya 255 muka surat.
Turun dari bilik Syed Husin aku terus menapak pulang ke Kolej Ke Lima.
Semua beres. Aku telah mendaftar untuk menjadi ahli Kelab Sosialis. Tapi aku masih bukan anggota penuh. Aku menjadi anggota cadangan.
Ini sistem Kelab Sosialis. Aku wajib membuktikan bahawa aku faham asas sosialisma. Aku perlu aktif sebagai anggota Kelab sebelum diterima penuh sebagai anggota Kelab Sosialis.
Kelab Sosialis mengamalkan sistem kader. Ada ahli cadangan dan ada ahli penuh. Tahun 1971 aku hanya ahli cadangan Kelab Sosialis.
Buku The Essential Left membuka satu dunia baru untuk aku. Seleai membaca kini aku menunggu aksi. (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2023/01/20/bertemu-tongkat-dan-latiff
3 ulasan:
Satu soalan yang tertanya-tanya... jika si Isham ni, penganut fahaman kiri, kenapa dia petpotpetpot pasal halau China Merah? Bukankah menghalau saudara sesama anutan? Ini sudah kira kafir-mengkafir sesama penganut agama kiri...
hebat..
===========================
kalsu dspat tt (teh tarik) kat alor setar lagi hebat
Oittt bhaii..sian kat ko ...yg nama-nama yg disebut tu mesti majoritinya kerja besaq2 dlm mana-mana organisasi baik awam atau swasta walau dapat general deggre atau third class jee ...cuma ko jelah yg hidup tak ketahwan hala hingga sekarang..tu yg agaknya ko jadi penganut islam budaya ..kan bhaiii..kah kah kah
Catat Ulasan