MENCARI
KELAB SOSIALIS
Ketika aku masuk menjadi pelajar tahun pertama di Universiti Malaya pada tahun 1971 tidak banyak yang aku tahu tentang Sosialisma.
Aku tahu wujudnya Parti Rakyat. Aku tahu wujudnya Parti Buruh. Aku pernah membaca novel garapan Ahmad Boestamam pemimpin Parti Rakyat. Aku pernah membaca novel Ishak Haji Muhamad – pemimpin Parti Buruh.
Aku pernah terbaca penglibatan Parti Rakyat dan Parti Buruh dalam pilihan raya umum tahun 1964. Dua parti ini bergabung menjadi Barisan Sosialis.
Aku tahu wujudnya Parti Komunis Malaya. Mustahil ada ang tidak pernah mendengar nama Chin Peng dan Rashid Mydin.
Abah aku Rais Manaf pernah menjadi Special Constable. Mustahil aku tidak tahu Shamsiah Fakeh. Shamsiah belajar sama dengan Rais Manaf di Sekolah Pondok Lebai Maadah di Pelangai. Lebai Maadah ialah Datuk sebelah Wan Rahmah aku.
Apa yang aku tahu tentang sosialisma pada tahun 1971 hanya tempias. Aku belum pernah membaca buku tentang : teori dan falsafah sosialis.
Aku tahu Rusia dan China itu negara sosialis.
Sebelum masuk UM aku telah tahu tentang wujudnya Kelab Sosialis di Universiti Malaya. Aku tahu dari membaca Mahasiswa Negara akhbar resmi Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya ) PMUM. Tapi ini pun pendengaran dari jarak jauh.
Justeru bila aku terlihat poster forum anjuran Kelab Sosialis : Pengalaman Tahanan Isa – Karim Singh dan Tajuddin Kahar – Di Dewan Kuliah F. Aku berniat hendak bersama.
Aku pernah terbaca nama Karam Singh dari Utusan Malaysia ketika aku di sekolah menengah SMUJ tahun 1968. Karam Singh seorang peguam telah menyusun pekerja estate di Asahan Melaka.
Dari apa yang aku baca pekerja estate dari Melaka telah berjalan kaki ke Kuala Lumpur. Apa perjuangan mereka aku tidak tahu. Dalam akhbar yang aku lihat hanya muka Karam Singh.
Nama Karam Singh ini melekat kerana karam dalam bahasa Melayu bermakna tenggelam.
Aku tidak tahu siapa Tajuddin Kahar.
Aku pernah mendengar tahanan politik. Tapi aku tidak tahu apa itu ISA. Keinginan aku mendadak. Aku ingin tahu. Aku ingin mendalami fikrah dengan perkara yang mencabar minda. Cabaran inilah yang aku cari dalam universiti.
Perkara lemau basi dan banal mahu aku tinggalkan. Aku mencari satu yang baru segar yang boleh aku lakukan.
Aku ingat lagi poster dalam kertas A4 ini ditulis dengan warna merah. Poster yang aku nampak terlekat di pokok kayu di tepi jalan arah dari Dataran Sastera ke Dewan Tengku Canselor.
Ketika aku membaca poster Kelab Sosialis ini Minggu Orientasi telah tamat. Tapi aku masih merasakan diri aku budak baru. Masih belajar. Masih memerhati. Masih mendengar apa kata senior walau pun orientasi sudah selesai.
Forum Kelab Sosialis di Dewan Kuliah F – Dataran Sastera pada Rabu malam. Petangnya ketika duduk santai di bilik bacaan bawah Dewan Makan Kolej Ke Lima aku terserempak dengan Shah pelajar tahun dua fakulti sastera. Shah ini mahasitua..
Mahasitua ini terminologi untuk pelajar yang masuk universiti bukan dari tingkatan enam. Mereka telah berumur kerana telah bekerja dahulu. Kebanyakan mahasitua adalah bekas guru yang menyambung belajar ke universiti.
‘ Freshie... dah selesai semua.. kau ambil paper apa ...’ Shah bertanya.
‘ Malay, history... satu paper English... Chinese ...’ Aku menjawab.
‘ Dah masuk Dewan Kuliah F... paling besar dalam kampus...’ Shah bertanya.
‘ Dah.... malam ni pun nak gi sana...’ Aku menjawab,
‘ Malam pun ada kelas...’
‘ Nak gi forum...’ Aku menerangkan.
‘ Forum apa... ‘ Shah memandang muka aku.
‘ Forum Kelab Sosialis....’
‘ Hei hei... gila kau... dewan tu nanti penuh dengan SB... nak cari apa ...’ Shah menghalang.
Aku senyap kemudian berkata, ‘.... nak dengar pengalaman tahanan politik...’
‘ Jangan pergi... bahaya.... SB ramai...’ Shah terus menakutkan aku.
Ini kali pertama aku dengar maklumat SB ada masuk dengar forum dalam kampus. Aku bukan takut SB. Tapi aku tidak mahu dilihat degil di mata senior.
Program pertama Kelab Sosialis tahun 1971 tidak aku hadiri.
Kuliah aku bermula. Kini aku mahasiswa fakulti sastera residen Kolej Ke Lima.
Kuliah jam 8 pagi – aku cukup liat – kuliah ini menjemput ponteng. Begitu juga kuliah jam 2 petang. Lepas makan ngantuk nak tidur.
Kelas tutorial boleh pilih waktu dan masa yang sesuai. Mengikuti kuliah satu tanggung jawab. Kuliah wajib tapi nama tidak dicatat seperti tutorial.
Dalam tahun pertama kuliah Sejarah paling popular. Lebih dari 500 pelajar maka kuliah di adakan dalam Dewan Tunku Canselor (DTC )
Ketua Jabatan Sejarah Khoo Kay Kim (1937-2019). Sejarah Eropah gurunya Krishen Jit (1939-2005). Sejarah Malaysia gurunya Bonnie. Jabatan Sejarah ada pensyarah jemputan dari Jakarta untuk mata pelajaran Sejarah Indonesia.
Kuliah H101 , H102, H103 – juga amat popular. Ramai yang mendaftar. H ini tanda mata pelajaran Pengajian Melayu.
Pengajian Melayu aku rasa lemau. Seolah-olah aku telah mengulangi apa yang telah aku lalui di Tingkatan Enam. Tidak mencabar minda aku. Tidak membuka fikrah.
Prof Taib Osman ( 1934-2017 ) dengan pola-pola dan ciri ciri yang membosankan. Maka Prof ini dikenali sebagai Profesor Pola-Pola oleh pelajar UM tahun 70’an.
Aku mendaftar mengikuti kuliah Chinese Study untuk mengetahui sejarah dan budaya China. Ini bukan sejarah China Malaysia. Ini sejarah China di Tanah Besar.
Tahun 1971 aku kagum dengan. Tanah Besar China yang mengamalkan sistem ekonomi sosialis. Ini juga menjadi aku mengikuti sejarah China.
Aku juga ada menyimpan niat untuk mempelajari Bahasa Mandarin.
Paling kecil ialah kuliah C150 – Sastera Inggeris- tidak sampai 10 orang pelajar. Maka kuliah diadakan dalam bilik kecil. Pensyarah Fadzilah Amin.
Kuliah dan tutorial sekali harung. Dua jam seminggu aku membuka minda dengan Sastera Inggeris.
Aku paling berminat dengan kuliah C150. Aku mula berkenal dengan dramatis Rusia Anton Chekov (1860-1909). Aku membaca drama Henrik Ibsen ( 1828-1906 ) dari Norway.
Aku mula membaca cerpen Leo Tolstoy (1828 -1910 ) dari Rusia. Fadzillah Amin memperkenalkan aku dengan penulis penulis cerpen Peranchis Guy De. Maupassant ( 1959-1893 ).
Aku juga mempelajari teater absurd - Six Character in Search of an Author – garapan Luigi Pirandello (1867-1934).
Kuliah C150 tidak pernah aku ponteng. Malah aku terus mendapat A untuk esei dan lulus cemerlang dalam peperiksaan.
Aku rasa kuliah C150 ini terus menjadi ingatan. Ini kerana seni sastera Eropah dan falsafah dari watak-watak yang aku pelajari dalam kuliah C150 ini terus menjadi guru dan pemandu pendewasaan hidup aku.
Mustahil aku akan melupakan watak Willy Loman dalam Death of a Salesman drama garapan Arthur Miller ( 1915 – 2005 ).
Kuliah aku ikuti tapai dalam masa yang sama aku terus mencari siapa pemimpin Kelab Sosialis.
Satu petang aku menapak ke Rumah Persatuan. Rumah Persatuan atau Union House di bawah bukit tidak jauh dari Pejabat Canselor dan berhadapan dengan Fakulti Pertanian.
Jalan kereta ke Union House cukup menarik. Kiri kanan jalan ada pohon sawit. Manakala jalan potong dari Union House ke DTC akan naik bukit melalui serimbun pohon buluh.
Letak Union House ini tidak jauh dari Tasik Universiti. Dalam bangunan Union House ada dua kafeteria. Satu menghala ke Tasik.
Aku memberanikan hati. Naik tangga dan masuk ke pejabat. Semua amat asing untuk aku. Aku nampak lelaki dan perempuan duduk di belakang meja. Ada yang menghadapi mesin taip. Dari umur dan pakaian aku yakin meraka bukan mahasiswa.
Aku macam rusa masuk kampung.
‘ Woit... freshie what do you want....'
Suara anak muda China muncul dari belakang aku. Dari pemerhatian aku rasa pasti mahasiswa.
‘ Not here... this is UMSU....’ Jawapan yang aku terima.
‘ Tak ada opis...’ Soalan dari aku.
‘ Wait here.... go to reading room downstair looks for Lee Chee Keong...’ Aku mendapat bantuan.
Aku terperanjat bila mendengar nama ini. Nam Lee Chee Keong ini sama seperti nama kawan baik aku Lee Keong di Jelebu.
Aku turun tangga dan masuk ke dalam bilik bacaan. Tak ramai siswa dalam bilik ini. Ada dua siswa China dan seorang pelajar Melayu.
‘ Chee Keong....’ Aku memanggil.
Tiga kepala menoleh.
‘ Yes ... what ...’ Jawapan kasar.
‘ Are you Chee Keong... ‘ aku bertanya.
‘ Not me.... him....’ Jarinya mengarahkan mata aku ke siswa yang sedang duduk.
Aku merapati Lee Chee Keong yang sedang duduk dan terus menghulur tangan
‘ Isham from Fitfth College... are you from Socialist Club....’ Aku bertanya sambil bersalam.
‘ Yes...why...’ Lee Chee Keong menjawab.
‘ Saya nak jadi ahli Kelab....’ Jawapan ringkas dari aku.
Lee Chee Keong berdiri dan memandang tepat muka aku. (TT)
TULISAN INI
DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2023/01/06/mencari-kelab-sosialis
2 ulasan:
lu cakap betul sosialis ke kominis...
Ini sosok the next prime minister anda layak
Catat Ulasan