Persoalkan hukuman Najib, Zahid jejaskan imej Anwar
Tindakan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi membuat kenyataan secara terbuka yang menggesa supaya bekas perdana menteri, Najib Razak diberi keadilan di mahkamah, boleh menjejaskan imej kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim kerana boleh mengundang persepsi negatif dalam kalangan masyarakat, kata penganalisis.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Ahmad Atory Hussain, berkata amat tidak wajar untuk Zahid yang kini merupakan timbalan perdana menteri mengeluarkan kenyataan politik dan menyentuh apa yang sudah diputuskan oleh mahkamah.
"Saya kurang bersetuju dengan cara Zahid sebab ia sudah diputuskan oleh mahkamah," kata Atory kepada MalaysiaNow.
"Di situ dia membuat kenyataan politik. Ini adalah antara Najib dan mahkamah, justeru orang luar terutamanya menteri tidak wajar masuk campur.”
Pada 13 Januari, Zahid ketika berucap pada Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur mengulangi pendirian parti itu yang menuntut supaya Najib diberikan keadilan di mahkamah selepas meringkuk di penjara.
Zahid yang juga ahli Parlimen Bagan Datuk mendakwa pertuduhan terhadap Najib merupakan pendakwaan terpilih.
Mahkamah Tinggi pada Julai 2020 menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas Najib yang juga bekas ahli Parlimen Pekan didapati bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Hukuman itu dikekalkan apabila Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib dan keputusan itu dimuktamadkan di Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos tahun lalu sebelum bekas presiden Umno itu dihantar ke Penjara Kajang.
Atory berkata, Anwar yang kini perdana menteri sewajarnya menasihatkan menteri Kabinet termasuk timbalan perdana menteri supaya bertindak secara profesional dan tidak mengeluarkan kenyataan yang dilihat cuba campur tangan terhadap keputusan mahkamah.
Katanya, isu yang dihadapi Anwar pada masa ini sebenarnya bukan soal kerjasama antara Pakatan Harapan dengan Barisan Nasional (BN), tetapi lebih kepada beberapa pemimpin Umno yang berdepan dengan kes mahkamah.
"Anwar seperti berada dalam keadaan dilema, ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa.
"Jika tiada kes mahkamah, Anwar tidak akan berdepan dengan situasi ini," katanya.
Dari perspektif undang-undang, peguam kanan Haniff Khatri Abdulla menegaskan bahawa Najib sudah diberi keadilan dan menggunakan haknya apabila menghantar rayuan ke mahkamah untuk mencabar keputusan yang dibuat pada 23 Ogos tahun lepas.
Katanya, memandangkan rayuan Najib sudah didengar dan ia mengikut proses undang-undang yang betul, tidak wajar untuk sesiapa "mendahului" mahkamah dengan mengeluarkan kenyataan.
"Jika Najib dapat tunjukkan kepada Mahkamah Persekutuan prosiding semakan bahawa ada kecacatan keadilan, maka perintahnya adalah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu.
"Jika dia dapat yakinkan, maka perlu ada rayuan semula keputusan Mahkamah Persekutuan.
"Dan di Mahkamah Persekutuan ,rayuan semula itu pula perlu diyakinkan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi perlu dibatalkan sebab ianya cacat dari sudut cara macam mana perbicaraan di mahkamah tinggi dilakukan," katanya.
Mengulas lanjut, Haniff berkata, sekiranya Najib berjaya buktikan ada kecacatan dari sudut konflik Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, maka mahkamah mungkin akan perintahkan ulang bicara perbicaraan Mahkamah Tinggi.
Akan tetapi katanya, jika Najib dapat yakinkan tidak perlu ulang bicara kerana keputusan berkaitan keterangan-keterangan tersebut salah, maka bekas presiden Umno itu boleh dapat pembebasan.
"Jika beliau tak berjaya dalam permohonan semakan yang akan datang ini, maka habislah segala prosiding perundangan dan kehakiman di Malaysia untuknya.
"Sepatutnya memang tamat semasa rayuan Mahkamah Persekutuan, tetapi disebabkan ada satu prosiding terpencil dinamakan semakan.
"Oleh itu, bila ia tamat, tiada rayuan atau semakan dan tiada semakan di atas semakan," kata Haniff.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan