APA JADI
BILA SUHU NAIK
Suhu planet dunia kita seharusnya ialah 15C - Darjah Centrigrade. Suhu planet Mercury 167C. Suhu planet Venus 464C. Cuaca di dua planet ini terlalu panas seperti air menggelegak. Tidak memungkin manusia hidup di planet ini.
Iklim bumi kita ini cukup ngam. Tidak panas dan tidak terlalu sejuk. Iklim bumi kita ini dianggap iklim Goldilocks. Ada wilayah panas dan ada wilayah sejuk.
Wajib disedari juga suhu iklim bumi kita ini telah naik 1C semenjak tahun 1880. Pemanasan global sedang berjalan.
Tahun 1880 diambil sebagai tarikh patokan suhu iklim dunia kerana di zaman ini kuasa elektrik di temui. Ini permulaan era Revolusi Industri Ke Dua.
Ditahun ini muncul tenaga elektrik dan teknologi di mana kilang-kilang didirikan untuk mengeluarkan produk dengan banyak.
Tenaga elektrik dijana dengan pembakaran arang batu.
Kenapa iklim dunia berubah dan kenapa suhu bumi naik telah kita ketahui. Sebab musababnya telah kita kenal.
Kita – umat manusia – bertanggung jawab membawa kepada perubahan iklim dunia kita ini. Pemanasan global ini adalah hasil dari perbuatan dan tindak tanduk umat manusia.
Kali ini saya mahu memberi gambaran bagaimana jika suhu iklim bumi kita ini terus berubah. Apa akan terjadi kepada umat manusia. Apa akan terjadi kepada binatang, haiwan dan tumbuhan – pokok dan kayu kayan.
Sedarlah: bayi yang dilahirkan pada tahun 2023 ini akan merasakan keadaan persekitaran mereka akan lebih panas dari yang dilalui oleh datuk nenek moyang mereka.
Malapetaka akan menimpa kita semua. Ombak panas akan sampai. Kemarau berpanjangan. Bumi subur akan jadi gersang, kering kontang dan akhirnya menjadi padang pasir.
Apa yang saya tulis ini bukan berniat untuk menakut-nakutkan sesiapa pun. Tulisan ini bukan menjanjikan kedatangan Dajjal sebelum munculnya Imam Mahadi.
Tulisan ini bukan berasaskan fake news atau berita palsu. Tulisan ini menyatakan apa yang sedang berlaku. Berasaskan kajian dan fakta ilmiah dari ilmuwan dan para saintis pengkaji cuaca. Bukan dari mimpi untuk menakut-nakut para pembaca.
Biar saya gunakan metafora tentang manusia hari ini. Ketika ini kita semua seperti katak terapung di air dalam periuk di atas api.
Api ini sedang membakar periuk secara perlahan-lahan hinggakan katak tidak sedar dan tidak melompat keluar. Atau berusaha untuk menyelamatkan diri.
Saya cuba memberi ingatan kepada Sang Katak bahawa air dalam periuk semakin panas. Akhir akan menggelegak dan katak akan direbus mati. Amin.
Metafora yang saya nyatakan disini berasakan kenyataan NASA (National Aeronautics Space Administration ) ajensi kaji selidik ruang angkasa lepas milik Amerika.
Mengikut NASA sembilan tahun kebelakangan ini suhu bumi makin panas berpandukan rekod rakaman suhu bermula dari tahun 1880.
Suhu telah naik sebanyak 1.1 C lebih panas berbanding dengan pukul rata suhu dalam kurun ke 19.
Bumi yang panas sedang mencairkan air batu di Kutub Utara dan Selatan. Mencairkan glasier di wilayah pergunungan. Kecairan air batu ini akan menambah kenaikan air laut.
Hampir 10 % warga dunia ini duduk berhampiran dengan air. Pukul rata jaraknya sepuluh meter dari tebing air. Pada ketika ini air telah naik sebanyak ½ meter semenjak tahun 2015.
Para saintis yang membuat ramalan dalam tahun 2100 air akan naik setinggi dua kaki.
Justeru Presiden Jokowi telah mengambil langkah yang tepat. Jakarta – ibu negara Indonesia telah dipindahkan ke Nusantara. Ini penempatan baru ibu negara Indonesia di wilayah Kalimantan yang lebih tinggi dan selamat.
Saheh - Jakarta sedang tenggelam. Begitu juga satu hari nanti kota London di sebelah Sungai Thames dan New York yang terletak di tepi laut.
Kota dan bandar di kawasan rendah di tepi laut akan menjadi mangsa air. Begitu juga dengan pulau-pulau di Lautan Pasifik , Lautan Hindi dan Lautan Atlantik.
Bukti sahih ialah beberapa pulau di Kepulauan Fiji telah mula tenggelam. Warga di pulau ini berpindah ke tempat yang lebih tinggi atau meneroka pulau baru. Tenggelamnya pulau mereka bermakna lupus sejarah tamadun peninggalan datuk nenek moyang mereka.
Manakala Pulau Maldives di Lautan Hindi juga sedang tenggelam. Setiap kali air laut pasang banyak kawasan akan di masuki air.
Semenjak beberapa dekat kebelakangan 1/3 Maldives sudah tenggelam.
Mengikut ramalan World Bank, with "future sea levels projected to increase in the range of 10 to 100 centimeters by the year 2100, the entire country could be submerged"
Tahun 2100 Pulau Maldives ini akan hanya menjadi ingatan. Banci tahun 2021 terdapat 521,457 warga Maldives - jantan betina kecil besar tua muda.
Ke mana mereka akan melarikan diri ?
Hakikatnya kawasan rendah di pesisir laut akan menjadi mangsa awal.
Mari kita lihat lembah delta Ganges dan Brahmaputra terletak di Bangladesh dan di Bengal Barat. Lembah seluas 100,000 km persegi ini adalah delta yang terluas dalam dunia.
Ada seramai 260 juta warga hidup di lembah ini. Seramai 160 juta di Bangladesh dan 100 juta di Bengal. Ini wilayah bumi yang amat subur.
Apabila air laut naik maka banyak kampung tenggelam di Bangladesh dan di Bengal. Ini perkampungan petani kecil. Di mana keluasan tanah mereka tidak sampai 2 ekar.
Petani kecil ini berjumlah 600 juta. Kita akan temui mereka di Amerika Latin, di Afrika dan di Asia. Jangan pandang enteng - petani kecil ini. Mereka mengeluarkan 1/3 dari bahan makanan dunia.
Bila perkampungan mereka tenggelam maka mereka akan berpindah. Rantai makanan akan terputus. Pengeluaran makanan hilang.
Di Bangladesh kota Dacca kini menjadi pusat pelarian warga dari kampung-kampung yang tenggelam. Kini kota Dacca makin sesak dan padat. Ditambah pula dengan kemasukan pelarian dari Rohingya.
Perubahan iklim di Bangladesh membawa bencana air. Di wilayah lain seperti di Somalia , Kenya di benua Afrika atau Geutamala di Amerika Latin petani kecil kekurangan air untuk bercucuk tanam.
Di wilayah ini pemanasan global dan perubahan iklim membawa mudarat kemarau berpanjangan. Hujan tidak sampai.
Panen gagal. Tanaman mati kering tanpa air. Haiwan ternakan mati kehausan. Petani kecil anak beranak lari ke kota dan bandar mencari perlindungan. Bandar dan pekan menjadi padat.
Manakala petani kecil yang ladang kering kontang di Amerika Latin dan Amerika Tengah akan melarikan diri ke Amerika Utara. Mereka menyerbu masuk ke Mexico untuk menembus masuk ke Amerika Sarekat.
Pelarian dari Amerika Latin ini bukan pelarian perang tapi pelarian ekonomi. Amerika Sarekat menjadi tempat mereka mencari perlindungan.
Hari ini kita selalu terbaca berita mayat bergelimpangan di tepi pantai Itali atau Greece. Ini mayat warga Afrika yang ingin masuk ke Eropah Barat. Kapal mereka karam di tengah laut di pukul badai atau bocor atau terlalu padat.
Tujuan mereka menuju Eropah ialah untuk memulakan kehidupan baru.
Fakta ada menunjukkan sebahagian lari kerana perang. Atau kerana politik negara kacau bilau. Tapi majoriti lari kerana bumi pertanian mereka gersang dan kering. Kemarau berpanjangan . Mereka tidak ada pilihan melainkan cuba merempuh masuk secara haram ke Eropah.
Rata-rata mereka ini adalah pelarian ekonomi bukan pelarian politik - economic refugees bukan political refugees.
Kedatangan refugee ini tidak disukai oleh warga asli Eropah. Warga asli menolak pendatang yang akan mengubah gaya hidup dan tatasusila penduduk asal.
Maka babak ini di katakan rasisma . Hakikatnya pendatang mangsa bencana alam sedang membawa porak peranda ke dalam masyarakat Eropah yang liberal dan sekular.
Apakah ini rasisma kerana penduduk asal mempertahan gaya hidup mereka yang sekular.
Bayangkan jika negara China di langgar kemarau berpanjangan akibat pemanasan global. Ramai warga China akan meloroh lari ke Vietnam, ke Siam dan ke Malaysia. Sabah , Sarawak dan Kalimantan akan menjadi sasaran rakyat China. Senario ini bukan mustahil. Bibit-bibit dan tanda-tanda telah wujud.
Buktinya ialah Pulau Bidong dan Pulau Babi Besar. Dua pulau ini telah di ceroboh oleh warga Vietnam yang lari dari Perang Vietnam pada tahun 1974.
Ketika ini kita di Malaysia sedang menerima refugee dari Rohingya dan Myamar. Bayangkan jika kemarau berpanjangan di Myanmar atau Bangladesh atau banjir melanda Bangladesh seperti melanda Pakistan pada bulan Jun 2022 lalu.
Apa akan terjadi ?
Saya amat yakin Malaysia akan diserbu pelarian ekonomi akibat dari malapetaka iklim.
Amat jelas disini kesan pemanasan global, kesan rumah hijau sedang merobek susunan sosial masyarakat yang wujud pada ketika ini . Perubahan iklim ini ikat berikat. Semua kait mengait. Semua ada sebab dan akibat.
Kajian memperlihatkan semenjak tahun 1990 jumlah orang pelarian ke Amerika Sarekat bertambah empat kali ganda. Ini juga selari dengan empat kali lebih kerap berlakunya kemarau di Amerika Latin.
Pada 21 Mac 2022 majalah The Economist telah memetik kata-kata Setiausaha Agong (PBB) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres : ‘... kita sekarang dalam ICU dan sedang nazak....’
Kata-kata ini disampaikan di Persidangan COP26 di Glassgow Scotland pada November 2021. COP – Climate Change Conference of the Parties – adalah lembaga yang ditubuhkan oleh PBB.
Setiap tahun PBB akan mengadakan persidangan COP. Pe
mimpin negara, para saintis, pakar kaji cuaca dan juga wakil NGO akan bertemu dan berbincang untuk mencari jalan keluar dan menyelamatkan umat manusia diari malapetaka cuaca.
mimpin negara, para saintis, pakar kaji cuaca dan juga wakil NGO akan bertemu dan berbincang untuk mencari jalan keluar dan menyelamatkan umat manusia diari malapetaka cuaca.
COP telah berjalan sebanyak 27 kali. Kali pertama di Berlin pada tahun 1995. Kali terakhir COP27 bersidang pada bulan November 2022 di Sharm el-Sheikh Mesir.
Saya memaksa diri untuk bercakap jujur disini. Walau pun kita dalam keadaan nazak – dalam ICU – tetapi langkah-langkah bijak dan betul untuk membendung kenaikan suhu dunia masih gagal dilakukan.
Katak masih lalai dalam air yang belum menggelegak.
Terlalu banyak songel dan terlalu banyak cekadak yang menghalang langkah tepat dijalankan demi menahan kenaikan suhu planet bumi.
Apa yang songel. Dan siapa yang menghalang. Betulkah ada sabotaj. Sila tunggu pencerahan. Amin. (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
THE MALAYSIAN INSIGHT.COM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan