Rabu, 1 Mac 2023

OPERASI SPESIAL PUTIN SETAHUN KEMUDIAN


OPERASI SPESIAL

 PUTIN   SETAHUN KEMUDIAN


Pada Jumaat 24/2/2023 cukup 365 hari Operasi Spesial Vladimar Putin. Semua media Barat   heboh bagai nak rak melaporkan  tarikh ini sebagai  cukup  setahun Perang Ukraine. 

Tarikh satu tahun Perang Ukraine ini tidak betul. Fakta ini salah. Maklumat sengaja di putar belit.

Perang Ukraine bermula pada bulan Februari 2014. Ini berlaku apabila kumpulan fahaman  kanan termasuk gerombolan bersenjata fasis – Arzov Regiment – menjalankan  rampasan kuasa di Kyiv. 

Presiden Victor  Yanukovych  dijatuhkan.  Pemimpin Ukraine ini telah   memandu Ukraine untuk tidak memusuhi Rusia.  Yanukovych  melihat Rusia sebagai tetangga dan rakan niaga.

Sebulan  sesudah rampasan kuasa -  pada  Mars 2014 Gerakan Pemisah Pro-Rusia  mula bergerak. Rusia mengambil kembali wilayah Crimea. Perang meletus.

Jangan lupa 17/6/2014   pesawat MAS dari Amsterdam ke Kuala Lumpur di tembak jatuh di wilayah Donbas. Ukraine tuduh ini kerja Rusia. Manakala Rusia menuduh ini kerja Ukraine.  

Pada 2015 German dan Perancis menjadi orang tengah untuk mendamaikan Ukraine dan Rusia. Perjanjian Minsk  - perjanjian damai antara Rusia dan Ukraine ditandatangani pada 12/2/2015.

Perjanjian ini tidak dipatuhi sepenuhnya. Soldadu Ukraine dan gerombolan fasis terus membantai  warga wilayah Donbas.  

Media Barat juga melaporkan Putin mengarahkan bala tentera masuk menyerang Ukraine pada 24/2/2022 tanpa sebab musabab.

Ini juga tidak betul. Ini juga berita putar alam. Perang sebenarnya terus berjalan di wilayah Donbas. Justeru  kemasukan askar Rusia menuju ke Kyiv di panggil Special Operation oleh Putin. Ini langkah  penerusan perang. 

Sebenarnya Amerika dan CIA telah merancang lama. Projek rampasan kuasa telah lama mengeram  di Kyiv. Amerika melalui CIA telah menggunakan dan memberi dana kepada  kumpulan politik berhaluan kanan dan badan NGO untuk berdemo menjatuhkan kerajaan Yanukovych yang dilihat pro-Rusia.

Apa projek Ukraine ini sebenarnya.

Projek perang ini sama seperti yang telah dilakukan oleh Amerika di Vietnam,  di Iraq, di Libya, di Kosovo , di Afghanistan dan di Syria.   Semua projek ini adalah projek kuasa  politik dan kuasa ekonomi Amerika Serekat 

Dalam bahasa politik ini adalah kuasa  hegemon – kuasa besar -   yang mahu menakluki dunia. Kuasa imperialis Amerika ini sama seperti kuasa Inggeris menjajah Tanah Melayu satu ketika dahulu.

Menjajah untuk menjarah harta kekayaan tanah jajahan. Tidak ada beza Inggeris dulu dengan Amerika sekarang.

Yang berbeza hanya retorik dan propaganda.  Inggeris mahu membawa tamadun. Inggeris menganggap kita  tidak bertamadun. Manakala hari ini Amerika datang dengan slogan demokrasi dan hak asasi.

Niat kuasa luar  - Inggeris ke,  Amerika ke atau China ke  - adalah sama. Kuasa luar datang untuk menjarah harta kekayaan negara yang dijajah.

Kuasa imperialis Amerika ini di kepalai  oleh elit politik berfahaman kanan, dibantu oleh kaum pemodal dari Wall Street, di sokong  oleh pemilik media dan dipasak oleh  kontraktor senjata. 

Lima syarikat  pembuat senjata terbesar dalam dunia ialah Lockheed Martin, Boeing, Raythoeon, Northrop Grumann dan General Dynamic.  Semua senjata Amerika dan senjata NATO di buat oleh syarikat-syarikat  ini.

Manakala syarikat media – cetak, tv dan filem – atau lebih tepat lagi lembaga penyebar propaganda memainkan peranan penting.

 Lembaga propaganda ini   di miliki oleh  Fox Cooperatin, Sony Cooperation, News Cooperation,  Hearst Communication,  Walt Disney Company dan  Warner Bros. 

Cara bergerak amat mudah : politikus ingin berkuasa – perlu dana untuk meraih undi.  Kontraktor senjata yang perlu projek  akan ‘ bersedekah ‘  dana kepada politikus. Justeru semua  bersekongkol untuk memaju dan mengembangkan kepentingan masing-masing. 

Semua kerja jahat mereka akan di sucikan dan dibasuh  oleh kumpulan media yang mengawal maklumat sedunia. Tugas media ini ialah mengolah persetujuan orang ramai.

Contoh terbaik bagaimana media  berjaya menggambarkan Saddam sebagai Hitler atau  Putin sebagai Hitler terbaru. 

Peranan media untuk mengolah persetujuan orang ramai.  Rakyat diminta  bersetuju untuk menghantar senjata atau turut sama berperang.

Syarikat media ini juga  mengaut untung dari penjualan filem, program tv,  berita dan maklumat.

Hakikatnya ini adalah ciri dan watak kerjasama kaum pemodal dalam  sistem ekonomi kapitalis. Ini bukan kapitalis kecil. Ini kapitalis bertaraf  dunia. 

Syarikat  dan kaum pemodal ini  bukan hanya menyusun siapa naik dan sapa turun dalam politik Amerika atau di Ukraine.  

Sapa naik dan sapa turun di UK, di Canada, di Iraq atau Syria jadi perhatian mereka. Malah sapa naik dan sapa turun di   Malaysia juga dalam pemerhatian  CIA. 

Ini dilakukan untuk memastikan kepentingan  dan keuntungan pelaburan  modal mereka terjamin selamat

Hakikatnya selagi sistem ekonomi kapitalisma wujud - dunia dan umat manusia akan terus diancam dengan wabak perang.

Apa yang berlaku di Ukraine 9 tahun ini adalah mengikut hukum sistem ekonomi kapitalis.

Operasi Spesial Putin bermula   setahun dahulu telah membantu   gerakan pemisah di wilayah timur Ukraine. Gerakan pemisah telah berjaya menawan hampir semua wilayah Donbas. Wilayah timur Ukraine ini di duduki oleh  etnik Rusia.

Bahasa dan budaya Rusia  yang telah di tekan oleh kerajaan pusat di Kyiv kini telah bebas. Malah wilayah Donbas ini mahu menjadi sebahagian dari Rusia. Ini dibuktikan dengan pungutan suara pada 14 Mei 2014.  Beberapa bulan satelah rampasan kuasa berlaku.

Apa sebenarnya niat dan perancangan Amerika  ke atas Ukraine.

Projek Amerika dan NATO cukup jelas. Satelah tamat Perang  Dingin dilihat Rusia dan China mula bersama dalam keluarga dunia.  Keadaan ini tidak menyenangkan  beberapa pihak.

Kontraktor senjata mula  hilang punca pendapatan. Tanpa perang kilang senjata tidak bergerak. Para pemikir  garis kanan mula hilang pengaruh kerana  China dan Rusia tidak lagi dilihat sebagai musuh. 

Pantagon – Jabatan Pertahan Amerika – dengan pelbagai jaringan lembaga  risik  merasa cuak akan kehilangan pengaruh dan kuasa.

Justeru musuh perlu diwujudkan. Musuh lama Perang Dingin ialah Rusia  dan China.  Dalam bacaan lembaga  pemikir dan  intelektual kanan  Amerika pada ketika ini mereka wajib mensasar kembali Rusia sebagai musuh.

Analisa mereka jelas. Satelah USSR – Soviet Union – runtuh Presiden Boris  Yeltsin mengambil alih. Sosok ini dilihat senang masuk ke dalam poket Amerika. 

Suasana berubah apabila Boris Yeltsin di ganti oleh Putin pada 23/3/2000.  Vladimar Putin bekas  pegawai KGB – lembaga risik Rusia -  di lihat bahaya.

Kenapa bahaya?

Pertama Rusia memiliki teknologi senjata  setaraf dan malah ada yang lebih tinggi dan lebih canggih dari Amerika.

Rusia negara  terluas dalam dunia. Memiliki hampir pelbagai bahan galian – minyak  dan gas lebih banyak dari apa yang ada di negara Arab. 

Rusia juga  kaya dengan  bahan galian seperti besi, magnesium, chrome. nikel, emas putih , titanium, tembaga, timah, fosfat, tungsten emas dan intan.

Ini adalah bahan-bahan strategik dalam industri moden dan industri persenjataan.

Di bawah kepimpinan Putin Rusia kembali membangun. Rusia di bawah Putin  berupaya menandingi Amerika. 

Justeru Rusia dan Putin wajib ditundukkan di bawah hegemoni Amerika.

Di sini peranan Ukraine yang dijadikan alat untuk meruntuhkan Putin dan jika berjaya memecahbelahkan Rusia.

Ukraine dipancing dengan tiket  anggota  negara Kesatuan Eropah. Ukraine juga dijanjikan akan menjadi anggota NATO.

Menjadi anggota NATO ini tidak dapat diterima oleh Rusia. Untuk Rusia jika Ukraine menjadi anggota NATO bermakna senjata nuklear Amerika berada depan pintu.  Maka Putin melancarkan Special Operation.

Langkah balas  pertama diambil oleh Amerika dan NATO ialah melakukan sekatan ekonomi. Ini dengan niat untuk menjerut leher Putin.  Sekatan ekonomi dijadikan  senjata ampuh.

Setakat 24/2/2023 ini seramai 10,608 individu warga Rusia  telah di kenakan sekatan. Mereka tidak dibenarkan masuk ke Amerika atau Eropah. Akaun bank mereka di bekukan. Nama mereka dalam senarai hitam.

Sebanyak 3,431 syarikat Rusia  termasuk bank dan syarikat  pertukaran mata-wang telah juga  di sekat dari menjalankan perniagaan di luar  Rusia.   Sebanyak 492 lembaga  kerajaan Rusia juga telah di sekat dari membuat perhubungan dengan negara luar.

Apa hasil sekatan ekonomi ini ?

Niat dan perancangan sekatan ekonomi Biden dan NATO ialah memporak perandakan ekonomi Rusia. 

Dari segi perancangan apabila  minyak mentah dan gas dari Rusia tidak ada pembeli maka ekonomi Rusia akan mengecut. Bila ekonomi mengecut rakyat jadi susah. Bila rakyat susah mereka jadi marah. Bila rakyat marah mereka akan memberontak. CIA sedia menunggu untuk menambah panas keadaan. Akhirnya  Vladimar Putin  akan digulingkan.

Dari segi teori dan dari tulisan dalam kertas kerja  Pantagon semua ini akan berlaku. 

Dalam realiti harian eksport minyak dan gas dari Rusia tidak  berkurang. Eropah tidak lagi membeli  gas dan minyak dari Rusia. Tapi Rusia ada pelanggan baru – India dan China.

Nilai ruble - mata wang Rusia telah naik dan kukuh. Ini satu tamparan tapak kasut  ke muka Presiden Biden dari Rumah Putih

Jelas  lagi terang – sekatan ekonomi ke atas Rusia gagal. Malah warga Eropah sendiri menerima padah. Harga minyak dan gas  yang dulunya di import  murah dari Rusia kini jadi mahal kerana di beli juah dari Amerika atau negara Arab.

Untuk memperingati setahun Operasi Spesial Putin Pertubuhan Bangsa -Bangsa Bersatu (PBB) telah mengadakan persidangan khas  di New York.

Kutukan demi kutukan dihamburkan ke atas Rusia dan Putin. Amerika dan kuncu-kuncu dan NATO mengutuk keras apa sahaja yang dilakukan oleh Rusia.

Di akhir persidangan PBB itu  satu resolusi telah di undi untuk menyelar dan mengutuk Rusia. Ini sebagai tanda   menyokong perjuangan rakyat Ukraine.

Sebanyak 141 negara menyokong resolusi  mengikut telunjuk Amerika dan NATO. Sebanyak 7 negara  - termasuk China dan India menentang  resolusi itu. Dan 32 negara berkecuali. 

Ketika tulisan ini di garap Janet Yellen baru sahaja selesai mengadakan lawatan mengejut ke Kyiv. Setiausaha Kewangan Amerika ini membawa 1.9 bilion dolar untuk Ukraine. Ini sebahagian dari 9.9 bilion dolar yang telah diluluskan  oleh Presiden Biden.

Setakat ini Amerika telah menghulurkan 19.2 bilion dolar sebagai bantuan yang bukan berupa senjata.

Dalam masa yang sama Amerika bersama NATO telah memberi bantuan senjata berjumlah lebih dari 30 bilion dolar untuk Ukraine.

Jelas ini perang proksi.  Amerika dan NATO berperang dengan Rusia. Mereka menggunakan rakyat Ukraine sebagai umpan cacing.

Apakah perang ini akan berterusan?  Ke mana akhirnya perang  ini? Sila tunggu minggu hadapan. (TT)


TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALM PORTAL THE MALAYSIANINSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/430552



Tiada ulasan: