NAMA DAN
INDENTITI DIRI
Ada apa pada nama? Shakespere bertanya : What's In A Name? That which we call a rose. By any other name would smell as sweet. Bunga mawar dipanggil apa pun masih wangi. Ini kata-kata Shakepere dalam bangsawan Romeo dan Juliet.
Hishamuddin Rais tidak menyanggal ayat ini. Betul apa pun nama bunga mawar baunya masih wangi.
Tapi untuk saya nama ini memiliki pertalian sejarah, sejarah dan jati diri. Nama melambangkan jati diri. Nama adalah identiti. Nama kita adalah siapa kita. Siapa kita adalah jumlah pengumpulan semua sejarah dari seluruh kewujudan kita.
Nama walau pun singkat pasti memberi tanda dan makna. Nama perakam sejarah bahawa kita wujud.
Sebut saja nama Tungku Abdul Rahman kita akan tergambar lakaran sejarah dari nama ini. Sebut saja nama Botak Chin atau Bentong Kali kita akan tahu sejarah sosok ini. Sebut saja nama Hang Tuah dan Hang Jebat kita akan tahu siapa pro-Raja dan siapa pro-keadilan.
Atau sebut saja nama Melaka maka kita akan tergambar persejarahan kota ini. Dari soldadu Portugis, ke Belanda , ke Inggeris dan ke hari Tunku berlabuh di Melaka sepulang dari England berunding untuk Merdeka Tanah Melayu.
Justeru inilah yang dibawa oleh nama. Nama bukan satu perkara yang kecik anak. Nama juga melambangkan keluarga. Nama keluarga membawa ke kampung dan desa. Membawa ke mukim dan daerah. Dari mukim dan daerah lahir apa yang kita panggil tanah air.
Nama Tanah Melayu ini dengan kasar lagi lucah telah ditukar menjadi Malaya dan kemudian Malaysia. Ini jenayah besar yang dilakukan oleh United Malays National Organisation.
Nama ini bukan perkara yang kecik anak.
Kali pertama saya sampai ke Kota Bahru Kelantan ketika cuti panjang bulan Disember tahun 1973. Ini ketika Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM ) bergerak dengan bas PMUM ke Pantai Timur untuk menyebarkan akhbar Mahasiswa Negara.
Saya telah mengenali bandar Kota Bahru ini melalui penulisan. Saya selalu terbaca berita tentang Kota Bahru. Dari beberapa cerpen dan novel saya juga dikenalkan dengan Biarritz Park dan Pantai Cinta Berahi.
Biarritz Park ini dari apa yang saya baca adalah taman hiburan yang moden dalam pekan Kota Bahru. Di Biarritz Park Mek dan Awang sering berjumpa dan akhirnya memandu kasih bercengkerama di Pantai Chinta Berahi.
Mek yang bekerja sebagai pelayan di Biarritz Park melayan ramai pelanggan. Awang jadi cemburu. Terjadi pergaduhan di Pantai Chinta Berahi. Kapak kecil menjadi senjata pergaduhan.
Ini kesah Biarritz Park yang saya baca.
Pada tahun 1971 saya membuat khidmat sosial untuk Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia. Saya telah di hantar ke kampung nelayan bernama Kampung Danga di Johor Baru. Ketika di kampung ini saya bertemu dengan Pantai Lido.
Nama Lido ini tidak pula asing untuk saya. Dari kecil lagi saya telah mendengar nama Lido. Ini kerana di Seremban ada panggung wayang bernama Lido.
Biarritz dan Lido - saya tidak tahu dari mana asal usul mereka. Saya tidak tahu kenapa Biarritz Park ada di Kota Bahru. Kenapa Pantai Lido ada di Johor Baru.
Pada tahun 1987 saya menaiki bas dari Brussel Belgium menuju ke San Sebastian kota Basque di Utara Sepanyol. Perjalanan melintas kota Paris.
Sebelum memasuki sempadan Sepanyol saya ternampak papan iklan di lebuh raya. Papan tanda terpampang mengarah ke Biarritz dan Saint Jean de Luz.
Oh! Baru saya sedar rupa-rupanya dari sini asal usul nama Biarritz. Dari apa yang saya baca Biarritz Ini kota pantai yang lumayan dimana sosok-sosok warga Eropah yang kaya raya lagi ternama berpoya-poya dan bercanda-canda di tepi pantai Atlantik.
Tahun 1988 saya dengan kawan-kawan pelajar Malaysia di kota London merayau ke tanah besar Eropah. Dari Belgium kami berkereta hingga ke ke Itali. Di Itali kami sampai ke Venice.
OH! Baru saya sedar dari sini asal usul nama Lido. Bagaimana nama pantai ini tersangkut dengan panggung wayang di Seremban agak membingungkan.
Maka saya membuat rumusan pastilah nama Pantai Lido dan Biarritz Park ini diberi nama oleh penjajah Inggeris ketika mereka menjajah Tanah Melayu. Nama-nama ini adalah dari tempat dan wilayah mereka. Nama-nama import dari Eropah.
Bila Orang Putih sudah balik kampung maka kita wajib menobatkan Lido Beach sebagai Pantai Tanjung Puteri. Manakala Biarritz Park yang pernah di nobat sebagai Paris of Malaya telah wafat. Pada hemat saya kita dirikan batu nisan – papan tanda untuk memperingati sejarahnya.
Apa yang menjadi pelik sekarang ini ialah wujudnya nama-nama pekan dan wilayah yang masih menggunakan nama yang tidak ada bersangkutan dengan sejarah tempatan. Semua ini nama peninggalan penjajah.
Masih ada lagi nama seperti Butterworth, Pulau Carey, Cameroon Highland, Bukit Fraser , Bukit Maxwell - semua ini nama peninggalan penjajah. Nama-nama ini tidak ada pertalian dengan anak watan warga asli tempat itu.
Tidaak tersangkut dengan sejarah Bani Melayu dan amat jauh sekali dari sejarah Orang Asli.
Pada hemat saya satelah penjajah balik kampung maka sampai masanya Tanjung menggantikan George Town. Munculkan pencerahan sejarah bahawa Pulau Pinang adalah sebahagian dari Kedah. Sama seperti Singapura sebahagian dari bumi Johor dan sebahagian dari Tanah Melayu.
Ini bukan kerana saya anak Kedah atau saya Melayu maka saya mahu George Town dipanggil Tanjung. Bukan bukan bukan. Orang Melayu di Utara semua memanggil George Town Tanjung. Ini nama asal sebelum penjajah menobatkan bandar ini sebagai milik King George.
Justeru nama ini bukan perkara kecik anak. Siapa tidak tahu sejarah akan tidak tahu asal usul mereka. Tidak tahu dari mana mereka datang maka pasti mereka tidak tahu ke mana mereka hendak pergi. Amin
Jangan lupa percubaan untuk melupuskan nama daerah Jelebu dari sejarah penduduk asal. Ada Ustaz yang memberi ceramah karut bagaimana Jelebu telah di terok oleh seorang sahabat Nabi.
Mengaitkan Jelebu dengan sahabat Nabi sama seperti penjajah Inggeris menamakan Tanjung sebagai George Town. Penjajah dan Sang Ustaz memiliki niat jahat untuk melupuskan identiti dan sejarah tempat itu.
Melupuskan identiti adalah langkah pertama untuk mengubah hak pemilik tanah atau tempat tersebut. Tanah Melayu menjadi Malaya. Ini membuktikan bahawa Malayland ini sudah jadi Malaya milik Inggeris. Ini taktik penjajah.
Dalam masa yang sama kita juga wajib menilai identiti kita sendiri. Kita juga wajib mengenal siapa kita. Ada nama-nama daerah dan tempat yang asalnya asli tetapi kita ubah namanya. Pada hemat saya ini adalah bukti kejulingan fikrah kita sendiri.
Kalau penjajah mengubah nama – ini boleh difahami. Ini kerana mereka mahu menjadikan wilayah hak miliki mereka.
Kalau pemaju ‘ buah kelapa ‘ menukar nama Pantai Dalam menjadi Bangsar South saya sedar. Fikrah saya tercabar. Mereka mahu mengetepikan sejarah Melayu tempat itu.
Kalau penjajah kita halau mereka keluar dari negara. Kalau pemaju ‘ buah kelapa’ warga tempatan apakah wajib kita pelangkung mereka.
Pemaju ‘buah kelapa’ ini ialah konsep dari Hishamuddin Rais. Pemaju buah kelapa ini buntutnya hitam tetapi dalam kepala otaknya berlagak macam Orang Putih.
Selain dari budaya buah kelapa ini ada lagi satu jenis warga tempatan yang tidak tahu sejarah dan jati diri. Mereka tidak tahu pergi atau datang. Duduk atau berdiri. Tidak tahu siapa diri mereka sendiri.
Fikrah mereka juling , lucah dan kotor. Saya buktikan wujudiah mereka ini melalui Batang Berjuntai yang diubah nama untuk menjadi Bestari Jaya.
Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa aliran sungai itu juga boleh dipanggil batang.
Batang Kali ialah laluan sungai. Kali dalam bahasa Jawa ialah sungai. Di tempat asal usul saya Kampung Tengkek ada Batang Muar. Ini cabang dari sungai Muar. Justeru Batang Berjuntai disini tidak ada sangkut paut dengan alat senjata kemaluan lelaki.
Hanya fikrah yang juling lucah lagi kotor yang berupaya menggambarkan Batang Berjuntai sebagai kemaluan lelaki yang terkeluar dari seluarnya yang koyak.
Sepulang dari 20 tahun berkelana saya merasa agak sedih apabila saya mendapat tahu bahawa Pantai Chinta Berahi telah menjadi Pantai Cahaya Bulan.
Ini bukan hasil fikrah pemaju jenis buah kelapa. Ini fikrah lucah lagi kacau. Bila meliat ombak laut dan pantai pasir terhampar dalam otak yang dilihat hanya kemaluan lelaki dan kemaluan perempuan.
Menukar Pantai Chinta Berahi ke Pantai Cahaya Bulan adalah manifestasi hilang identiti diri. Konon menyucikan diri. Mereka ingin jadi Arab. Mereka mahu menjadikan Melayu ini seperti Taliban.
Dalam kepala Pak Lebai Nak Jadi Arab ini tidak ada yang lain melainkan seksual dan bersanggama.
Saya bersetuju dengan pandangan sasterawan Milan Kundera dari Republik Czech yang berkata ‘ forgetting is a crime... melupakan ialah satu jenayah...’
Jika melupakan satu jenayah bagaimana pula dengan segala usaha dan tenaga untuk melupus dan memadamkan. Batang Berjuntai, Pantai Chinta Berahi atau Tanjung?
Pasti ada yang boleh kita sesama lakukan dalam usaha untuk membina negara bangsa untuk anak semua bangsa. Tunggu minggu hadapan. Amin. (TT)
TULISAN INI DISIARKAN
DALAM PORTAL THE MALAYSIAN INSIGHT
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/449056
JUGA DALAM PORTAL
MALAYSIA NOW
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2023/06/23/nama-dan-identiti-diri
Tiada ulasan:
Catat Ulasan