Sabtu, 23 September 2023

HARGA SAYUR NAIK



Hujan berterusan, harga sayur dijangka naik 20%, kata pekebun

HARGA sayur dijangka melonjak sehingga 20% susulan hujan yang berterusan terutama sayur berdaun, kata pekebun.

Fasa peralihan monsun yang menyebabkan hujan tidak menentu dijangka sehingga November ini menjejaskan kitaran pertumbuhan sekali gus menjejaskan bekalan, kata mereka kepada The Malaysian Insight.

Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Pekebun-Pekebun Sayur Malaysia Lim Chai Heng berkata harga sesetengah sayur sudah naik sejak dua minggu lalu.

“Harga sayur paling ketara naik adalah sayur berdaun seperti ‘choy sum’, ‘bok choy’ dan kangkung,” katanya.

Katanya, sejak dua minggu lalu, harga borong ‘choy sum’ RM2.50/kg tapi kini sudah RM3/kg.

“Bok choy dah naik dari RM3/kg kepada RM4 sementara kangkung naik RM2 kepada RM2.50.”

Namun katanya, tidak semua sayur akan menjadi mahal untuk masa ini.

Antaranya sayur-sayuran seperti tomato di mana harga borongnya jatuh dari RM7/kg kepada RM5/kg.

Katanya, kenaikan harga pada musim hujan adalah perkara biasa.

“Tiada apa yang kami petani boleh buat. Itu semua aturan alam semulajadi, cuaca…ia terjadi setiap tahun,” katanya.

Katanya, lebihan air menyebabkan sayur terutama yang ditanam di kawasan lapang akan rosak.

Timbalan Presiden Persatuan Pekebun Cina Cameron Highlands Cheng Nam Hong berkata harga sayur hijau di kawasan tinggi juga akan naik akibat hujan meski sayur di situ kebanyakannya ditanam dalam rumah hijau dan terlindung dari hujan.

Cheng berkata, bukan kerana masalah air berlebihan namun kerana tidak cukup cahaya matahari.

“Jadi sayur seperti tomato, tidak masak maka hasil berkurang.

“Sayur berdaun akan tumbuh perlahan dan bawang merah tidak mudah tumbuh pada musim hujan. Jadi harga sayur mungkin akan meningkat kelak,” katanya.

Presiden Persekutuan Persatuan Peladang Sayur Malaysia Lim Ser Kwee lebih pesimis dalam situasi ini dan tidak percaya hujan akan memberi impak yang signifikan kepada bekalan sayur.

“Sebab hujan itu datang dan pergi. Bukannya hujan lebat yang berterusan.

“Saya tidak percaya kesan hujan yang sekejap-sekejap ini ketara,” katanya.

Katanya, keadaan berbeza jika hujan lebat berterusan beberapa hari dan tiada cahaya matahari.

“Itu akan memberi kesan yang signifikan kepada pertumbuhan sayur. Tapi untuk sekarang ini, situasinya masih okay,” katanya lagi.

Menurut Lim, beliau dimaklumkan hasil tuaian masih baik.

“Jadi, sepatutnya tiada masalah dengan bekalan,” katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada 14 September dalam satu kenyataan berkata fasa peralihan monsun ini dijangka berterusan sehingga 19 November.

Dalam tempoh peralihan ini, perubahan arah angin, ribut petir atau hujan lebat dengan angin kencang dijangka akan berlaku.

Kenyataan itu turut menyebut angin yang kuat boleh mengakibatkan banjit kilat dan kerosakan pada binaan yang tidak kukuh sehubungan itu orang ramai dinasihatkan berjaga-jaga. – 23 September, 2023.




HARGA SAYUR

NAIK

AMIN

HARGA IKAN

NAIK

AMIN

BERAS MURAH

HILANG

AMIN

RAKYAT DAH

MARAH DAH NI

KAH KAH KAH

KHALAS

Tiada ulasan: