Isham mungkin dipecat dari UMNO?
KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil membayangkan dirinya mungkin antara beberapa ahli yang akan dipecat oleh parti minggu ini.
Sekiranya ura-ura itu benar, beliau menyerahkan kepada kepimpinan parti dan MKT jika mereka mahu berbuat demikian.
“Perjuangan saya ikhlas kerana agama, bangsa dan tanah air dan bukan kerana kepentingan peribadi.
“Manusia boleh singkirkan manusia namun Allah SWT menentukan kifarahnya,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Terdahulu, Ahli MKT UMNO, Lokman Noor Adam melalui rakaman video yang disiarkan melalui laman Facebook miliknya mendesak Isham meletak jawatan.
Beliau berkata, Isham sepatutnya berbuat demikian sekiranya tidak boleh menerima keputusan MKT UMNO bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang dipersetujuinya ketika masih menjadi Ketua Penerangan UMNO.
Isham sebelum ini lantang mempersoalkan tindakan UMNO bergabung dengan PH dalam pilihan raya di enam negeri yang menyaksikan parti itu mencatatkan prestasi yang sangat buruk.
Berhubung desakan tersebut, Isham menegaskan, beliau tidak akan meletak jawatan Ahli MKT UMNO.
“Pemimpin pro-DAP ini suruh saya letak jawatan. Saya tidak akan letak jawatan. Saya dipilih oleh akar umbi,” katanya.
Beliau juga meminta Lokman supaya tidak mencampuradukkan titah Yang di-Pertuan Agong agar UMNO bergabung dengan PH dalam Kerajaan Perpaduan.
Isham mengakui bahawa beliau menjunjung titah tersebut namun tidak pernah bersetuju dengan keputusan UMNO untuk bergabung dalam pilihan raya bersama PH.
“Berada dalam kerajaan dan pergi pilihan raya bersama adalah dua perkara yang berbeza. Seri Paduka tidak pernah titah kita pergi pilihan raya bersama PH,” jelasnya.
Beliau juga yakin akar umbi sentiasa berada di belakangnya dan pada masa yang sama, mengingatkan semua pihak dalam UMNO bahawa bekas Najib masih di dalam penjara.
“Saya minta supaya kerajaan dan kepimpinan UMNO beri keadilan kepada Bossku dan jangan lupakan dia,” katanya. –
2 ulasan:
Demi agama bangsa negara ayat sama semua pakai sejak merdeka tapi ke mana mana semua tahu ayat ini sepatutnya demi diri, demi keluarga demi kejayaan kekayaan kaum kerabatku kah kah kah ayat ayat Arab sama menipu kiri kanan selalunya kah kah kah mana ada pejuang bangsa agama negaraku semuanya untukmu saja kah kah kah
semua kena jadi lokman.. baru ponorogo sayang.. isham ni lembab sikit rasanya tak kena pecat..
Catat Ulasan