Sabtu, 14 Oktober 2023

KOMEN BELANJAWAN


Belanjawan 2024 sentuh hal remeh yang tidak pernah dipeduli kerajaan lain

BELANJAWAN 2024 menyentuh isu-isu dianggap bukan keutamaan sejak sekian lama oleh kerajaan sebelum-sebelum ini dan pastinya ia akan memberi kelegaan kepada kumpulan B40 yang paling terkesan dengan kenaikan kos sara hidup, kata pemerhati.

Bercakap kepada The Malaysian Insight, menurut mereka belanjawan ini yang tertinggi dalam sejarah turut memberi perhatian kepada sektor pendidikan terutama pelajar dari kumpulan B40.

Kata mereka, lebih banyak dana diperuntukkan untuk menaik taraf infrastruktur sekolah dan fasiliti pendidikan.

Pelepasan dalam bentuk diskaun untuk pinjaman pelajar membantu meringan beban mereka.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim membentangkan belanjawan Madani semalam yang bertemakan ‘Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat’

Belanjawan ini dibentuk dengan berpandukan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMK12).

Ia merupakan belanjawan kedua dibentangkan Anwar, yang juga menteri kewangan sejak mengambil alih jawatan perdana menteri.

Ahli akademi Universiti Teknologi Malaysia Dr Mazlan Ali berkata beliau kagum dengan Anwar yang memberi perhatian lebih kepada perkara yang dianggap tidak penting sebelum ini seperti menaik taraf tandas di sekolah serta infrastruktur pusat penjaja yang lama.

“Ini belanjawan pro rakyat. PM sentuh semua orang, beliau bercakap tentang keperluan harian mereka bukan sahaja di semenanjung tapi juga di Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan memaksimumkan belanjawan untuk rakyat dan pada masa yang sama mensasarkan subsidi untuk yang layak. Dalam keadaan sekarang dan kekangan kewangan, kerajaan masih buat sehabis baik untuk bantu rakyat.

“Saya terkejut beliau beri perhatian untuk sediakan peruntukan baiki tandas di sekolah dan baiki serta naik taraf pusat penjaja.

“Ini tidak pernah diberi perhatian oleh kerajaan sebelum ini. Satu perkara lagi yang bagus ialah kebanyakan kontraktor untuk projek kecil-kecil ini ialah Melayu dan mereka menerima manfaat daripada itu,” katanya.

Anwar mencadangkan kerajaan akan membaik pulih dan menaik taraf tandas di 8,354 sekolah hujung tahun ini. Kerajaan akan memperuntukkan RM150 juta kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara untuk menyelenggara dan membaiki tandas awam.

Anwar mengumumkan peruntukan RM110 juta untuk membaik pulih dan menaik taraf pusat penjaja dan pasar awam yang uzur.

Mazlan berkata Anwar menunjukkan komitmennya untuk menyemak elaun dan gaji penjawat awam.

Katanya, insentif RM2,000 merupakan yang tertinggi pernah diberikan oleh kerajaan.

“Saya rasa lebih dari sedekad, jika tidak salah saya, gaji penjawat awam disemak. Insentif itu tinggi dan saya fikir ia akan manfaatkan ramai penjawat awam.

“RM1,000 untuk veteran yang pencen menunjukkan kerajaan juga memberi perhatian terhadap bekas penjawat awam,” katanya.

Anwar membentangkan Belanjawan 2024 pada Jumaat yang berjumlah RM393.8 bilion dengan RM303.8 bilion diperuntukkan bagi belanja mengurus, RM90 bilion untuk belanja pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka. – 14 Oktober, 2023.

WOIT

KOMEN AWAL

LIHAT MENARIK

AMIN

TAPI NI BELUM

KE PASAR BELI

AYAM DAN TELOR

AMIN

KHALAS

Tiada ulasan: