Polis siasat Papagomo berhubung hantaran video aibkan PM
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap blogger kontroversi Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris berhubung hantaran video kelmarin yang mengaibkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman Rusdi Mohd Isa berkata Papagomo membuat hantaran video berdurasi satu jam 32 minit dan 50 saat bertajuk ‘DSAI penyakit misteri tiada penawar AIDS’ yang dimuat naik di saluran Youtube Sir Azri pada Sabtu lalu.
“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian Pendakwaan/ Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Aman di bawah 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
“Kes masih di peringkat siasatan dan PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau komentar yang boleh mengganggu proses siasatan,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Pada masa yang sama, beliau mengingatkan orang ramai tidak menggunakan platform media sosial untuk mengulas atau memanipulasi isu sehingga menyentuh isu ketenteraman awam, prinsip moral, fitnah atau pengapian apa-apa kesalahan.
Malah katanya polis akan mengambil tindakan tegas tanpa komromi terhadap mana-mana pihak dikesan melakukan perbuatan seperti itu. – Bernama, 19 Disember, 2023
Tiada ulasan:
Catat Ulasan