Bekas PM, pembantu akan dipanggil berhubung dana RM700 juta, kata Azam
SEORANG bekas perdana menteri dan pembantunya akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dana kerajaan sebanyak RM700 juta yang dibelanjakan bagi tujuan promosi dan publisiti semasa pentadbirannya, kata Azam Baki.
Ketua Pesuruhjaya SPRM itu berkata mereka akan memanggil bekas perdana menteri itu tidak lama lagi.
“Tindakan memanggil mereka akan dibuat pada minggu ini atau selewat-lewatnya minggu hadapan.
“Kami tidak mempunyai banyak pertanyaan tentang bagaimana peruntukan itu diputuskan atau diluluskan. Ia lebih kepada bagaimana ia dibelanjakan dan syarikat yang diberi tugas untuk promosi dan kempen publisiti kerajaan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Bagaimanapun beliau tidak menamakan perdana menteri berkenaan.
Minggu lepas SPRM melancarkan siasatan terhadap RM700 juta yang dibelanjakan untuk tujuan promosi dan publisiti oleh dua kerajaan Persekutuan sebelum ini antara 2020 dan 2022.
Sumber berkata SPRM sudah ke Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi proses siasatan dan mengumpulkan maklumat serta mendapatkan dokumen berkaitan.
“Siasatan ini dibuat berdasarkan maklumat awal sebagaimana dinyatakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran pada November tahun lepas yang meminta perdana menteri menyatakan jumlah keseluruhan yang dibelanjakan kerajaan untuk kerja promosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian kerajaan menerusi semua platform media massa termasuk media cetak, media digital serta televisyen sepanjang tahun sejak 2020 hingga kini,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Susulan kenyataan Anwar itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil turut membuat catatan di media sosial yang rakyat berhak mengetahui bagaimana RM700 juta dibelanjakan. – 8 Januari, 2024.
1 ulasan:
Nak tangkap semua yang mencuri kena buat penjara besar besar woit, ramai sangat pencuri dalam negara, yang tak ada makan curi makan, yang ada jawatan curi duit emas berlian ops beg tangan kah kah kah bukan tuju sesiapa pun syukur belajar menabung sejak kecil lagi, tak ada siapa nak ikut petua menabung dalam tin MILO woit kah kah kah operasi tin milo sudah mula atau belum???
Catat Ulasan