Hubungan terakhir dengan pengawai kawalan trafik udara 7 minit selepas pesawat berlepas – CAAM
PUTRAJAYA – Pesawat ringan, BK 160 Gabriel, yang terhampas dekat Kapar, Klang, Selangor hari ini membuat hubungan terakhir dengan pengawai kawalan trafik udara tujuh minit selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada jam 1.28 tengah hari.
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Kapten Norazman Mahmud yang mengesahkan pesawat dengan nombor pendaftaran I-POOC terhempas itu berkata, tiada panggilan kecemasan diterima selepas itu.
“Hubungan terakhir pesawat dengan pegawai kawalan trafik udara dilaporkan pada pukul 1.35 petang namun tiada panggilan kecemasan diterima.
“Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautikal Kuala Lumpur (KLARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) diaktifkan serta merta untuk mengenal pasti lokasi pesawat,” katanya dalam kenyataan sambil menambah ia merupakan penerbangan rekreasi, hari ini.
Menurut Norazman, terdapat seorang penumpang dan seorang juruterbang berada dalam pesawat tersebut namun keadaan kedua-dua mangsa masih belum dapat dipastikan setakat ini.
Katanya, siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016. –
Tiada ulasan:
Catat Ulasan