Akaun Che Gubard BERSATU kena sekat, bank syak pengganas salah guna
SEREMBAN: Akaun bank Ahli Jawatankuasa Penerangan BERSATU, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Che Gubard disekat kerana transaksi deposit yang disyaki ada kaitan aktiviti pengganas.
Berkongsi perkembangan itu, Badrul Hisham berkata, beliau menyedari sekatan ke atas akaunnya selepas ia tidak boleh diakses.
"Malam ini akan hadir himpunan dan ceramah Palestin anjuran PAS Johor. Seperti biasa asingkan duit minyak dan tol siap-siap. Tiba-tiba nak top (tambah nilai) Touch & Go utk RFID melalui maybank2u tak boleh, katanya transaction limit (transaksi dihadkan).
"Takkanlah dengan baki RM619 boleh limit. Fikir maybe problem apps (mungkin masalah aplikasi). Lepas kira duit minyak, tol, teringat bill Maxis tak bayar dan kebetulan ada baki cash (tunai), bayarlah dulu sebab lepas due date bill (bil lepas tempoh pembayaran) dah," kataya.
Beliau yang mengesahkan kepada BH hantaran di Facebooknya (FB) mengenai kejadian itu, berkata ketika cuba membayar bil telefon, ada notis mengenai akaun bank miliknya tidak boleh diakses.
Badrul Hisham kemudian menghubungi pihak bank yang kemudian memintanya berurusan di cawangan bank itu yang terdekat sebelum pemeriksaan mendapati baki akaunnya daripada RM619 bertambah menjadi RM1,979.
"Dari baki RM619 dah jadi RM1,979. Ada banyak kemasukan kecil kecil," katanya menambah ia menyebabkan pihak bank menganggap ada aktiviti pengganas menyalah guna akaun berkenaan.
Di ruangan komen kemudian, beliau memaklumkan perkara sama dan mengakui sangat terkejut apabila mengetahui transaksi deposit yang cuba dimasukkan sejak tengah malam tadi mencecah RM268,000, tetapi tidak berjaya kerana transaksi dibekukan pihak bank.
"Kepada semua, saya amat hargai dan ini jadi kekuatan terus berjuang. Namun jumlah yang lepas masuk (ke dalam akaun) hanya RM1,390. Saya minta izin tuan puan semua untuk saya panjangkan derma sedeKah tuan puan sebagai sumbangan Ramadan nanti," katanya.
Terdahulu, Che Gubard dalam hantaran di FB semalam, mengiklankan kereta Toyota Hilux milknya untuk dijual bagi menampung keperluan kewangan sebagai aktivis dan membayar hutang-hutang kecil.
Katanya, walaupun kenderaan itu penting untuknya bergerak, keputusan menjual dibuat kerana beliau melihatnya sebagai jalan terbaik dalam meneruskan perjuangan selepas usaha mendapatkan bantuan daripada beberapa pemimpin tidak mendapat maklum balas.
"Saya sudah merujuk kepada beberapa pemimpin, namun tiada respons. Saya juga cuba meminjam, namun tak dapat. Mungkin semua pun tengah susah. Kita pilih jalan ini, tak ada sesiapa paksa, maka memang sunnah berjuang itu susah dan payah.
"Maka jalan segera terpaksa menjual kereta untuk menampung. RM7K + RM15K (RM7,000 + RM15,000) untuk urusan mahkamah dan peguam.
"Untuk kehidupan saya dan keluarga, jujurnya memang terhimpit, tapi insya-Allah saya kerja dan berniaga. Siapa nak sokong jangan sumbang duit, saya masih mampu kerja, terbaharu saya berniaga sambal sambil buat beberapa kerja," katanya.
Beliau ketika ini berdepan tindakan saman difailkan Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kader Jilani.
Media pada 17 Februari lalu melaporkan, Abdul Wahab menuntut ganti rugi RM5 juta serta permohonan maaf selama 30 hari berturut-turut daripada Badrul Hisham atas dakwaan memfitnah.
Ia susulan dakwaan bahawa Chegubard, 46, menyiarkan video menerusi FB rasminya kononnya Abdul Wahab berbual lucah dengan bekas Ketua Pengarah J-KOM, Dr Mohammad Agus Yusoff yang bertujuan menunjukkan pembabitan aktiviti tidak bermoral atau homoseksual.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan