Ahad, 5 Mei 2024

JANGAN BUANG MAKANAN !!!


Permintaan bantuan makanan melonjak, kata kumpulan


PERMINTAAN bagi makanan daripada kumpulan berpendapatan rendah meningkat sejak awal tahun ini, menjadikan program pengumpulan bank makanan diterajui The Lost Food Project (TLFP) sibuk.

TLFP berkata permintaan untuk makanan meningkat kira-kira 30% sejak Januari tahun ini.

Melabelkan ia sebagai gerakan masyarakat sivil penyelamat makanan sejak penubuhannya pada 2016, TLFP memerangi kelaparan dan perubahan iklim dengan menangani lebihan makanan.

Ia menyelamatkan lebihan makanan dan produk bukan makanan lain daripada dibuang, dan mengagihkannya semula kepada lebih 80 badan amal dan ribuan keluarga B40.

“Kami menyaksikan peningkatan (untuk bantuan makanan). Pada April tahun lalu, kami memberi makan kira-kira 20,000 orang (menyediakan 787,000 hidangan sebulan) dan sejak itu ia meningkat kepada 100,000 orang sebulan tahun ini,” kata Pengurus Perhubungan awam dan Komunikasi TLFP, Gayathri Liew.

“Sejak April 2023 hingga Mac 2024, TLFP menyelamatkan 2 juta kilogram makanan dan menyediakan 5 juta makanan. Lebih banyak kami selamatkan, lebih ramai orang yang boleh kami berikan makanan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata 80% makanan dan barangan diagihkan kepada 33 PPR di sekitar Lembah Klang, dengan 20% disalurkan kepada lebih 80 badan amal dan kumpulan masyarakat sivil untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.

Gayathri berkata secara purata lebih 4,000 tan makanan yang boleh dimakan dibuang setiap hari.

Menurut Perbadanan Pengurusan Pembersihan Awam (SWCorp), pada 2023 kira-kira 846,000 tan sampah domestik dikutip, dengan 44.5% adalah pembaziran makanan.

Gayathri berkata teras utama organisasi itu adalah untuk menyelamatkan makanan “dibuang” dan mengagihkannya semula kepada mereka yang memerlukan.

“Kira-kira 80% orang yang kami agihkan adalah keluarga B40 dari rumah pangsa kos rendah sekitar Lembah Klang. Kami menagihkan lebih 30 PPR, kami juga bekerjasama dengan PPR untuk meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat.

“Selebihnya diberikan kepada rumah anak yatim, rumah warga emas dan badan kebajikan lain.”

Beliau berkata trak mereka menghantar makanan kepada PPR setiap hari.

Seminggu sekali, kira-kira 30 hingga 40 badan amal akan datang mengutip makanan di gudang TLFP di Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.

Beliau berkata 80% bahan mentah yang mereka kumpul datang dari pasar borong Kuala Lumpur dengan kutipan mencecah kira-kira 191 tan sebulan.

“Kami kumpul lebihan sayur yang tidak boleh dijual oleh peniaga. Antara sayur yang kami selamatkan ialah sayur-sayuran berdaun, jenis ubi dan buah-buahan seperti kai lan, bok choy, timun, kentang, lobak merah, brokoli Cina, kubis Cina, kacang hijau, kembang kol serta oren, tembikai, anggur dan lain-lain.

“Kami mengutip hasil segar dari Isnin hingga Sabtu dan menghantarnya setiap hari secara bergilir-gilir kepada PPR.

“Kami juga mendapat 20% barangan daripada rantaian bekalan kami. Ini adalah barangan kering seperti peket Milo, mee segera, beras dan produk lain.

“Kami biasanya mendapatkan produk beberapa bulan sebelum tarikh tamat tempoh daripada syarikat yang bekerjasama dengan kami selama ini.”

Gayathri juga mengalu-alukan mereka yang ingin menjadi sukarelawan kerana bantuan tambahan masih diperlukan. 

“Kami mempunyai kira-kira 150 sukarelawan setiap bulan yang datang untuk membantu. Mereka datang dua kali seminggu pada hari Rabu dan Khamis untuk membantu kami.

“Mereka terdiri daripada kumpulan korporat, kumpulan masyarakat, pelajar dan individu berumur antara 15 tahun hingga 75 tahun.

“Kami juga mempunyai sukarelawan tetap yang telah bersama kami selama bertahun-tahun.”

Beliau menambah yang mereka juga mempunyai pemandu sukarelawan “Bread Rescue” yang mengambil roti dari kedai roti dan menghantarnya terus kepada golongan memerlukan di sekitar mereka.

Gayathri berkata sebagai sebuah organisasi yang membantu golongan miskin, mereka bergantung 100% kepada kemurahan hati orang lain.

“Pembiayaan yang kami perolehi adalah daripada individu dan penderma korporat, penajaan, yayasan dan geran.”

Mereka yang berminat dengan TLFP boleh menghantar mesej kepada mereka di Instagram. – 5 Mei, 2024.




INI KERJA AMAL

YANG MULIA

AMIN

SELAMATKAN

MAKANAN DARI

DI BUANG

AMIN

KHALAS

Tiada ulasan: