Laporan kasino Forest City tidak berasas, berniat jahat, kata MB Johor
MENTERI Besar Johor Onn Hafiz Ghazi hari ini sekali lagi mengulangi bahawa tidak ada rancangan untuk membina kasino di Forest City.
Beliau berkata semua laporan berita yang mendakwa lesen dikeluarkan dan projek kasino sedang dalam perancangan adalah fitnah.
“Dakwaan sedemikian semuanya tidak berasas dan berniat jahat.
“Cukup-cukuplah. Dengan bantuan kerajaan persekutuan, sudah tiba masanya kita membina semula Forest City untuk kepentingan rakyat,” katanya pada sidang DUN Johor.
Onn Hafiz menjawab soalan Liow Cai Tung (Johor Jaya-PH) yang sebelum ini bertanya mengenai laporan projek kasino yang didakwa di Forest City.
Minggu lalu, polis merekodkan kenyataan seorang wartawan Bloomberg berhubung laporan berita mengenai rancangan untuk membina sebuah kasino di Forest City.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata perkara itu disiasat kerana hasutan, fitnah jenayah dan penyalahgunaan kemudahan rangkaian.
Razarudin berkata siasatan itu dimulakan selepas laporan polis dibuat oleh peguam pengasas Berjaya Group Vincent Tan berhubung artikel, “Malaysia Mulls Casino at Forest City: Bloomberg”.
Bulan lalu Bloomberg melaporkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bertemu Tan dan Ketua Eksekutif Kumpulan Genting Lim Kok Thay untuk membincangkan rancangan untuk sebuah kasino di pembangunan Forest City yang disifatkan sebagai bandar hantu.
Anwar, Berjaya dan Genting Malaysia menolak dakwaan yang dibuat dalam laporan Bloomberg.
Anwar juga mencadangkan agar mereka yang disebut dalam laporan itu mengambil tindakan terhadap Bloomberg. – 13 Mei 2024.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan