China rampas bekalan tentera Filipina di Laut China Selatan
MANILA: Pengawal Pantai China (CCG) dituduh merampas dan membuang makanan serta bekalan mahu dihantar kepada tentera Filipina ditempatkan di pos terpencil di Beting Thomas Kedua di Laut China Selatan.
CCG turut didakwa menghalang pemindahan perubatan anggota tentera yang sakit, dalam kes yang berlaku pada 19 Mei lalu.
Menurut sumber, kejadian itu berlaku ketika Tentera Laut Filipina melakukan operasi membawa barang-barang berkenaan ke kapal BRP Sierra Madre, kapal usang yang diusah suai menjadi pos kawalan tentera Filipina.
Sementara itu, dalam kejadian ketiga pada 24 Mei lalu, CCG didakwa menggunakan meriam air untuk menghalau bot nelayan Filipina berhampiran beting berkenaan.
Dakwaan itu dilakukan selepas media China melaporkan bahawa kakitangan Sierra Madre mengacukan senjata api ke CCG pada 19 Mei lalu.
China Central Television, menerusi media sosial pada 2 Jun lalu, melaporkan sekurang-kurangnya dua lelaki dilihat membawa pistol dan mengacukannya ke arah CCG.
Video selama 29 saat itu menunjukkan seorang lelaki bertopeng memegang objek menyerupai senapang.
Pada 19 Mei lalu, Sumber Inquirer berkata CCG mengerahkan empat bot getah ketika operasi penghantaran bekalan pesawat Tentera Laut Filipina ke Sierra Madre.
Anggota CCG dikatakan merampas sebahagian bekalan untuk kegunaan sendiri, kebanyakannya makanan, dan membuang bakinya ke dalam laut bagi memastikan ia tidak boleh dimakan.
Sumber bukan tentera turut mengesahkan berlaku gangguan dari pihak China namun faktanya berbeza dengan sumber pertama.
Ia mengatakan bot China cuba menghalang perpindahan kakitangan antara bot Tentera Laut Filipina dan kapal kecil Pengawal Pantai Filipina (FCG).
Beting Thomas Kedua, yang dikenali sebagai Ayungin di Filipina, lterletak dalam zon ekonomi eksklusif Filipina sepanjang 370 kilometer (km), kira-kira 194km dari wilayah Palawan.
China menggunakan peta menunjukkan 'sembilan garis putus', yang merangkumi kira-kira 90 peratus Laut China Selatan, dalam menegaskan tuntutannya termasuk terhadap kedaulatan ke atas Beting Scarborough.
Sierra Madre memerlukan misi penggiliran dan pembekalan semula berkala secara tetap, namun sering diganggu China sejak kebelakangan ini.
Misi pembekalan semula yang terakhir adalah pada Mac lalu apabila sebuah kapal bekalan Filipina rosak akibat ditembak meriam air China, sehingga menyebabkan kecederaan. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan