Anak Najib nafi terbabit rancangan jatuhkan kerajaan Pahang
ANAK kepada bekas perdana menteri yang kini dipenjarakan, Mohd Nizar Najib menafikan dakwaan beliau bertemu dengan pemimpin Perikatan Nasional (PN) dengan niat untuk menggulingkan kerajaan negeri Pahang.
Nizar yang juga pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang berkata beliau tidak akan mengkhianati Umno yang diperjuangkan keluarganya sejak ia ditubuhkan.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya desas-desus yang menyatakan saya berjumpa dengan pemimpin-pemimpin pembangkang untuk jatuhkan kerajaan negeri Pahang.
“Pertemuan dongeng ini tidak pernah berlaku sama sekali. Ayahanda (Najib Razak) selalu berpesan walau bagaimana susah pun keadaan kita agar setia kepada parti.
“Mana mungkin saya akan membelot untuk khianati kerajaan negeri Pahang yang diterajui oleh Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail, seorang pemimpin yang saya amat kasihi dan hormati,” katanya, lapor Malaysiakini.
Terdahulu tular di media sosial dakwaan pentadbiran kerajaan negeri Pahang goyah dan dijangka akan digantikan dengan kerajaan baharu.
Ada pihak memuat naik di media sosial dengan mengeluarkan kenyataan “Anak Bossku sudah jumpa PN”.
Nizar yang juga Adun Peramu Jaya dan Naib Ketua Umno Bahagian Pekan berkata beliau tidak akan mengkhianati kerajaan negeri Pahang.
“Beliau (Wan Rosdy) banyak membantu kawasan saya. Beliau baik hati dan pemimpin yang mudah didekati. Saya tidak akan khianati kepercayaannya.
“Saya bukan seorang ‘katak’ politik yang sanggup gadaikan prinsip dan maruah serta ‘menjualkan’ diri kepada mana-mana pembida yang tinggi.
“Mesejnya jelas, saya kekal setia bersama Umno, Barisan Nasional dan kerajaan Pahang yang ada sekarang,” katanya. – 23 Julai, 2024.
1 ulasan:
Jangan fitnah, banyak sejarah diubah suai, ada juga diabaikan kerana tidak membawa kebaikan kepada penulis sejarah, ini juga sejarah silam, Najib ada berapa isteri sebenarnya? Rosmah masuk kemudian, jadi FLOM wow bukan main hebat, seluruh dunia mengenali dia, bukan sebab tercantik terseksi tetapi kerana terlalu kaya berbelanja, terlalu make up, terlalu poyo, kalau setakat biasa biasa orang tidak pandang nenek tua tetapi kerana jawatan populariti dan ramai tukang cium tangan berkeliaran seperti lalat sekeliling tahi, memang popular sampai Shah Rukh Khan jumpa dapat cium dapat peluk, syukur alhamdulillah lah bukan semua dijemput ke majlis perkahwinan anak Ambani pun, hanya terkaya popular dan terbaik kategori kelas teratas, jadi orang kita pun ramai cuba begitu, tak kira apa cara salah asal boleh sampai tahap Ambani kah kah kah
Catat Ulasan